
Anak-anak sekarang memang mudah tertarik dengan pelbagai jenis mainan yang comel dan menarik, lebih-lebih lagi apabila melihat koleksi blind box yang semakin popular. Bukan sahaja anak-anak, malah ada ibu ayah yang turut teruja membelinya kerana ingin melengkapkan koleksi tertentu.
Namun, di sebalik keseronokan membuka kotak misteri ini, pernah tak ibu ayah terfikir tentang hukum membelinya dalam Islam?
Ini kerana pembeli perlu membuat bayaran terlebih dahulu tanpa mengetahui reka bentuk sebenar mainan yang bakal diterima. Ada yang bernasib baik mendapat koleksi diinginkan, namun ada juga yang sanggup membeli berkali-kali kerana mahu mendapatkan patung edisi rare.
Jadi, adakah pembelian blind box ini dibenarkan dalam Islam atau sebenarnya mempunyai unsur gharar (ketidakpastian) dan perjudian?
Perkongsian dari Ustazah Asma Harun ini wajar ibu ayah ambil tahu, terutama apabila anak-anak mula menunjukkan minat terhadap trend mainan sebegini.

Apakah Hukum Membeli Barang Yang Tidak Diketahui Kandungannya?
Pada asasnya, Islam mengharuskan urusan jual beli selagi memenuhi rukun dan syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.
Antara syarat penting dalam jual beli ialah barang yang dijual hendaklah diketahui dengan jelas oleh pihak yang berakad. Hal ini bagi mengelakkan ketidakpastian, penipuan dan pertikaian yang boleh merugikan mana-mana pihak.
Rasulullah SAW bersabda:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-hasah (jual beli menggunakan lontaran batu) dan jual beli gharar.” (Riwayat Muslim, no. 1513)
Hadis ini menjadi dalil utama larangan jual beli yang mengandungi unsur gharar, iaitu ketidakpastian atau ketidakjelasan yang menjejaskan sesuatu transaksi.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan:
فَلَا يَصِحُّ بَيْعُ مَا يَجْهَلُهُ الْعَاقِدَانِ أَوْ أَحَدُهُمَا، وَلَا جَعْلُهُ ثَمَنًا
Maksudnya: “Tidak sah menjual sesuatu yang tidak diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad atau salah seorang daripada mereka, dan tidak sah menjadikannya sebagai harga.”(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 6/19)
Kitab tersebut turut menjelaskan:
كَمَا لَا يَصِحُّ بَيْعُ وَاحِدٍ مِنْ أَشْيَاءَ دُونَ تَعْيِينِهِ
Maksudnya: “Begitu juga, tidak sah menjual satu barang daripada beberapa barang tanpa menentukannya.” (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 6/19)
Berdasarkan penjelasan ini, jual beli yang melibatkan barang yang tidak diketahui secara jelas sehingga menimbulkan ketidakpastian yang besar adalah tidak sah.
Contohnya, seseorang membayar RM50 untuk sebuah kotak misteri tanpa mengetahui jenis barang yang akan diterima.

Dia mungkin memperoleh barangan elektronik, aksesori murah atau barang lain yang mempunyai nilai sangat berbeza.
Dalam keadaan ini, pembeli tidak mengetahui dengan jelas barang yang menjadi subjek jual beli. Bahkan, nilai barang yang diterima mungkin jauh lebih rendah daripada wang yang dibayar.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Al-Kafi #1757 menjelaskan bahawa jual beli mystery box seperti ini tidak diharuskan dan akadnya terbatal kerana barang jualan tidak diketahui atau ditentukan secara jelas.
Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui jawapan e-Musykil tahun 2021 turut menjelaskan bahawa jual beli mystery box yang barangannya tidak jelas adalah tidak diharuskan kerana mengandungi unsur gharar yang dilarang oleh syarak.
Oleh itu, pembelian kotak misteri yang tidak diketahui jenis barangannya serta melibatkan ketidakpastian yang besar tidak memenuhi syarat jual beli yang sah.

Sebelum Beli Ambil Tahu Dahulu
Isu hukum membeli blind box ini sememangnya wajar diberi perhatian, khususnya dalam kalangan ibu ayah yang mempunyai anak-anak kecil.
Perkara ini boleh dijadikan ruang untuk ibu ayah mendapatkan penjelasan lanjut tentang prinsip jual beli dalam Islam.
Apa yang penting, ibu ayah perlu lebih peka terhadap cara sesuatu produk dijual dan tidak hanya melihat kepada keseronokan atau populariti mainan tersebut.
Sebelum membenarkan anak membeli, ambil tahu terlebih dahulu bagaimana sistem pembelian itu berfungsi, apakah barang yang dijanjikan dan sama ada terdapat unsur ketidakpastian yang boleh menimbulkan masalah dari sudut syarak.
Dengan cara ini, ibu ayah bukan sahaja dapat mengawal perbelanjaan anak-anak, malah membantu mereka memahami kepentingan memilih sesuatu pembelian dengan lebih bijak dan berlandaskan ajaran Islam.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Ustazah Asma Harun
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

