
Perkembangan anak pada usia satu hingga tiga tahun kadangkala hadir dengan pelbagai tingkah laku yang membuatkan ibu ayah tertanya-tanya. Anak suka cakap ‘tak nak’, susah berkongsi mainan, suka mereka-reka cerita atau asyik memasukkan barang ke dalam mulut? Kadangkala perangai anak kecil ini boleh membuatkan ibu ayah pening kepala, malah tertanya-tanya sama ada tingkah laku tersebut normal atau petanda masalah perkembangan.
Apabila anak memasuki usia satu hingga tiga tahun, banyak perubahan mula berlaku. Daripada bayi yang hanya tahu menyusu, tidur dan bermain, si kecil kini semakin aktif bergerak, petah bercakap serta mula mempunyai kehendak sendiri.
Dalam tempoh ini, anak sedang belajar mengenali dunia sekeliling, memahami emosi dan membentuk personaliti mereka.
Namun, seiring dengan perkembangan tersebut, muncul juga pelbagai tingkah laku yang kadangkala menguji kesabaran ibu ayah.
Menurut Dr. Cristina Farrell, pakar pediatrik perkembangan dan tingkah laku di K. Hovnanian Children’s Hospital, terdapat beberapa perangai anak kecil yang mungkin dianggap pelik atau merisaukan, tetapi sebenarnya merupakan sebahagian daripada proses perkembangan mereka.
Jadi, sebelum ibu ayah terlalu risau, jom fahami lima tingkah laku anak kecil yang sebenarnya normal mengikut peringkat usia.
5 Tingkah Laku Normal Dalam Perkembangan Anak

1. Anak Suka Cakap ‘Tak Nak’ Untuk Semua Perkara
Pernah tak ibu ayah berdepan situasi anak asyik menjawab “tak nak” setiap kali diminta melakukan sesuatu?
Suruh mandi, tak nak. Ajak makan, tak nak. Minta gosok gigi pun tak nak!
Walaupun kedengaran seperti anak sengaja melawan, sebenarnya tingkah laku ini berkait rapat dengan perkembangan sifat berdikari mereka.
Menurut Dr. Farrell, anak kecil mula menyedari bahawa mereka mempunyai pilihan dan boleh menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan sendiri.
Memandangkan kebanyakan aktiviti harian mereka ditentukan oleh orang dewasa, anak akan cuba menunjukkan kawalan terhadap perkara yang mereka mampu lakukan.
Sebab itulah anak mungkin lebih suka membantah, terutama ketika makan, memakai pakaian atau menjalani latihan menggunakan tandas.
Apa ibu ayah boleh buat?
Berikan pilihan yang mudah supaya anak berasa mereka turut mempunyai kawalan. Contohnya, daripada terus menyuruh anak memakai baju, cuba tanya, “Adik nak pakai baju merah atau biru?”
Pada masa sama, ibu ayah tetap perlu menetapkan batasan yang jelas, terutama melibatkan keselamatan dan rutin penting.
2. Anak Suka Mereka-reka Cerita, Adakah Itu Menipu?
Kadangkala anak kecil boleh bercerita dengan begitu yakin tentang sesuatu perkara, walaupun kisah tersebut tidak benar-benar berlaku.
Contohnya, anak memberitahu dia mempunyai kucing di rumah, sedangkan keluarga langsung tidak membela haiwan peliharaan.
Jangan terus menganggap anak suka menipu!
Menurut Dr. Farrell, pada usia ini, kemahiran bahasa anak masih berkembang. Mereka belum mampu menyampaikan semua perkara yang difikirkan dengan tepat.
Malah, kanak-kanak kecil juga masih belajar membezakan antara imaginasi dengan realiti.
Sebagai contoh, apabila anak berusia dua tahun mengatakan dia tidak suka pisang, mungkin sebenarnya dia cuma tidak mahu makan pisang pada waktu tersebut.
Ini kerana pemahaman mereka tentang masa lalu, sekarang dan masa depan masih belum matang.
Ada juga anak yang bercerita tentang sesuatu berdasarkan pengalaman ahli keluarga atau perkara yang pernah dilihat.
Bagaimanapun, anak kecil juga mungkin cuba menyembunyikan kesalahan, terutama apabila takut dimarahi.
Apa ibu ayah boleh buat?
Elakkan terus melabel anak sebagai pembohong. Sebaliknya, bantu mereka memahami perbezaan antara cerita imaginasi dengan kejadian sebenar.
Jika anak melakukan kesalahan, berikan ruang untuk mereka bercakap tanpa terus memarahi atau memalukan mereka.
Artikel Trending: Jerebu Sangat Berbahaya Kepada Bayi, KKM Beri Amaran Ibu Ayah Jangan Ambil Mudah!
Artikel Trending: Wanita Wajah Cantik Lebih Ramai Anak, Ini Fakta Kajian Saintis Yang Ramai Tak Tahu
Arttikel Trending: Bella & Syed Saddiq Kahwin, Ramai Nak Tahu Status Mahram & Aurat Anak Tiri, No. 7 Paling Ramai Tak Tahu!
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
3. Anak Tak Suka Berkongsi Mainan Dengan Kawan
“Ini adik punya!”
Ayat ini mungkin biasa didengar apabila anak sedang bermain dengan kanak-kanak lain.
Ada anak yang menangis apabila mainannya diambil, malah ada yang langsung tidak mahu berkongsi walaupun mempunyai banyak permainan.
Ibu ayah jangan cepat menganggap anak terlalu mementingkan diri sendiri.
Menurut Dr. Farrell, kemahiran berkongsi dan bermain secara bekerjasama sebenarnya memerlukan masa untuk berkembang.
Ketika usia toddler, kanak-kanak lazimnya melalui fasa parallel play, iaitu bermain bersebelahan dengan kanak-kanak lain tanpa semestinya bermain bersama.
Biasanya, sekitar usia tiga tahun, anak mula lebih menyedari kehadiran rakan sebaya dan menunjukkan minat untuk bermain bersama.
Namun, kemahiran berkongsi, menunggu giliran dan memahami perasaan orang lain masih perlu dipelajari secara berperingkat.
Apa ibu ayah boleh buat?
Jangan paksa anak menyerahkan permainan setiap kali diminta.
Sebaliknya, ajarkan konsep bergilir-gilir, gunakan ayat mudah seperti “Lepas abang main, kita bagi adik pula” dan tunjukkan contoh berkongsi dalam kehidupan harian.
4. Anak Suka Masukkan Semua Barang Dalam Mulut

Mainan, hujung selimut, jari sendiri atau apa sahaja yang dijumpai, semuanya mahu dimasukkan ke dalam mulut!
Bagi ibu ayah yang mempunyai anak kecil, perkara ini mungkin sudah menjadi kebiasaan.
Menurut Dr. Farrell, perbuatan memasukkan objek ke dalam mulut merupakan salah satu cara bayi dan kanak-kanak kecil meneroka persekitaran.
Mereka menggunakan deria rasa dan sentuhan untuk mengenali tekstur serta ciri sesuatu objek.
Selain itu, perbuatan menghisap atau menggigit juga boleh memberikan rasa selesa, terutama ketika anak sedang tumbuh gigi.
Walaupun tingkah laku ini biasa berlaku, ibu ayah tetap perlu berwaspada kerana terdapat risiko anak tercekik atau tertelan objek berbahaya.
Pastikan barang kecil seperti syiling, bateri butang, manik dan komponen mainan yang mudah tertanggal disimpan jauh daripada capaian anak.
Sediakan juga mainan yang sesuai dengan usia serta selamat untuk diteroka.
Penting: Jika anak disyaki tertelan bateri butang, dapatkan rawatan kecemasan dengan segera walaupun anak belum menunjukkan sebarang gejala. Bateri butang boleh menyebabkan kecederaan dalaman yang serius.
5. Anak Suka Korek Hidung, Walaupun Di Tempat Awam!
Satu lagi perangai anak kecil yang mungkin membuatkan ibu ayah malu ialah tabiat mengorek hidung.
Ada anak yang melakukannya ketika menonton televisyen, bermain atau berada di tempat awam.
Menurut Dr. Farrell, tabiat ini juga berkaitan dengan penerokaan deria dan anggota badan.
Apabila anak berasa tidak selesa di dalam hidung, mereka akan cuba menghilangkan rasa tersebut menggunakan cara yang paling mudah diketahui.
Berbeza dengan orang dewasa, kanak-kanak kecil masih mempunyai kawalan impuls yang terhad.
Mereka juga belum memahami sepenuhnya tentang kebersihan diri dan adab ketika berada di tempat awam.
Apa ibu ayah boleh buat?
Elakkan memalukan atau memarahi anak secara berlebihan.
Sebaliknya, ajarkan mereka menggunakan tisu, cara membersihkan hidung dengan betul serta kepentingan mencuci tangan.
Latihan ini mungkin perlu diulang berkali-kali sebelum anak benar-benar memahaminya.
Artikel Trending: STR 2027: Bantuan Hingga RM150 Sebulan, Keluarga Anda Layak Terima Berapa? Ini Syarat & Tarikh Penting Permohonan
Artikel Trending: KKM Dedah Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat, Amaran Bahaya Untuk Kanak-Kanak & Warga Emas
Artikel Trending: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Bila Ibu Ayah Perlu Risau Dengan Tingkah Laku Anak?
Walaupun beberapa tingkah laku di atas merupakan sebahagian daripada perkembangan normal, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan perhatian lanjut.
Menurut Dr. Farrell, ibu ayah disarankan mendapatkan pandangan pakar pediatrik sekiranya anak menunjukkan tanda-tanda berikut:
- Masih kerap memasukkan objek ke dalam mulut selepas usia toddler, atau cuba memakan bahan yang bukan makanan.
- Kerap mengalami tantrum yang berpanjangan, sekitar 10 hingga 30 minit atau lebih, terutama jika sukar ditenangkan.
- Mengalami kesukaran menenangkan diri, walaupun dengan bantuan dan sokongan penjaga.
- Sentiasa mengelakkan interaksi dengan kanak-kanak lain sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap perkembangan sosial.
- Mengalami kesukaran menggunakan komunikasi lisan atau bukan lisan, seperti perkataan, gerak isyarat atau ekspresi untuk menyampaikan keperluan mengikut tahap usia.
- Terlalu sensitif terhadap rangsangan deria, contohnya bunyi atau tekstur tertentu sehingga mengganggu aktiviti harian.
Bagaimanapun, tanda-tanda ini tidak semestinya bermaksud anak mempunyai masalah perkembangan tertentu. Penilaian lanjut diperlukan untuk memahami keadaan sebenar.
Ibu ayah juga boleh berbincang dengan guru taska, guru prasekolah atau doktor yang memantau perkembangan anak sekiranya mempunyai kebimbangan.
Dalam memantau perkembangan anak, ibu ayah juga digalakkan melihat kemajuan kemahiran komunikasi, sosial, pergerakan dan kebolehan mengurus emosi mengikut peringkat usia. Jika anak kehilangan kemahiran yang sebelum ini sudah dikuasai, dapatkan penilaian doktor tanpa berlengah.
Tempoh tantrum sahaja juga tidak menentukan sama ada seseorang anak mempunyai masalah perkembangan. Kekerapan, tahap keterukan, keselamatan dan kesannya terhadap kehidupan harian turut perlu dipertimbangkan.
Setiap Anak Ada Fasa Perkembangan Tersendiri
Dalam membesarkan anak kecil, tidak semua tingkah laku yang mencabar kesabaran bermaksud anak sengaja mahu melawan atau mempunyai masalah disiplin.
Ada kalanya, mereka sebenarnya sedang belajar mengenali emosi, memahami batasan, meneroka persekitaran dan menyesuaikan diri dengan kemahiran baharu.
Apa yang penting, ibu ayah perlu memberikan bimbingan secara konsisten, menetapkan batasan yang sesuai dan memahami keperluan perkembangan mengikut usia.
Jangan terlalu cepat melabel anak sebagai nakal hanya kerana mereka menunjukkan tingkah laku yang sukar difahami.
Namun, jika sesuatu perangai terlalu kerap, berpanjangan atau mengganggu kehidupan harian, jangan teragak-agak mendapatkan nasihat profesional.
Ingat, memahami perkembangan anak bukan bermaksud membiarkan semua tingkah laku mereka, tetapi membantu si kecil belajar dengan cara yang lebih positif.
Sumber: healthychildren.org healthychildren Parents.com

sekarang!
