Darah org mengandung ni Allah jadikan lebih pekat dari biasa, dan secara normal nya darah ibu ini senang nak membeku untuk menyediakan ibu utk proses bersalin – kalau berlaku pendarahan yang banyak, badan sudah bersedia mengurangkan pendarahan dengan cpt2 mengaktifkan sistem pembekuan darah.
PULMONARY EMBOLISM – MEMBUNUH !
Rahim yg makin membesar yang mengandungi bayi akan menekan saluran darah utama di dalam badan ibu mengandung menyebabkan aliran darah kurang lancar dan tersekat-sekat. Bila pengaliran darah kurang lancar ditambah pula dgn sifat semulajadi darah ibu yg senang beku, maka fenomena thrombosis / darah beku sangat senang terjadi.
Masalah darah senang membeku ini 5 KALI GANDA masa berpantang, jika dibandingkan ketika mengandung. Hal yg demikian kerana terdapat perubahan komposisi air lepas bersalin menyebabkan darah LAGI PEKAT, risiko meningkat lebIh-lebih lagi pada 3 minggu pertama lepas bersalin.
Kebiasaannya, darah beku akan terbentuk di saluran darah kaki dahulu. Apabila darah beku berkumpul dengan lebih banyak di bahagian kaki sekaligus menyebabkan keadaan Deep Vein Thrombosis. Ibu mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan mengadu sakit pada betis ketika berjalan.
Sekiranya masalah ini tidak dikenal pasti dan rawatan diberikan segera, darah beku pada saluran darah kaki ini akan pecah kepada cebisan kecil pada bila-bila masa bergerak ke peredaran darah peparu menyebabkan saluran darah peparu tersumbat dinamakan pulmonary embolism, boleh membawa MAUT
FAKTOR-FAKTOR MENINGKATKAN PELUANG MENDAPAT DARAH BEKU
(Nombor dalam kurungan tu memberitahu score yg diberikan pada ibu jika ada faktor tu )
IKLAN
?Ibu pernah ada darah beku masa kehamilan sebelumnya (4) ?Umur ibu 36 tahun dan ke atas (1) Obesiti ( 1 atau 2 ) ?Anak sudah lebih 3 orang (1) ?Merokok (1) ?Urat-Urat timbul pada kaki (1) ?Pre-eclampsia (1) ?Kehamilan kembar 2 atau 3 (1) ?Pembedahan Caeserean secara kecemasan (2) ?Pembedahan Caeserean secara elektif (1) ?Kelahiran guna Forceps (1) ?Proses bersalin yg panjang ( lebih 24 jam) (1) ?Tumpah Darah ( lebih 1 liter ) (1) ?Kelahiran pramatang kurang 37 minggu (1) ?Kelahiran mati (1) ?Sebarang prosedur yg dibuat ketika mengandung (kecuali repair koyakkan bersalin) – operation buang appendix (3) ?Muntah-muntah teruk masa hamil (3) ?Ibu ada jangkitan kuman teruk (1) ?Ibu tak gerak2, kekeringan tak minum air (1)
Kalau tambah nombor-nombor dlm kurungan tu, jika score 4 atau lebih, ibu perlu dimulakan ubat mencegah darah beku sejak AWAL MENGANDUNG
Kalau score 3, ubat mencegah darah beku dimulakan pada 28 MINGGU KEHAMILAN
Kalau score 2, ubat mencegah darah beku dimulakan LEPAS bersalin selama 10 HARI
Untuk makluman semua, IBU MELAYU yang meninggal akibat pulmonary Embolism ini adalah PALING TINGGI jika dibandingkan dgn kaum-kaum utama di Malaysia. Kenapa?
Takda jawapan lagi untuk menerangkan keadaan ini.
IKLAN
Berdasarkan analisis, ibu-ibu Melayu lebih Obes dari kaum lain, dan MAJORITI ( saya tak ckp semua ye) mengamalkan pantang larang adat Melayu yg mana menegah IBU berpantang supaya tidak minum air yg mencukupi ketika berpantang, kena banyak berehat dan baring saja dan dilarang berjalan sana sini atau bergiat aktif kerana timbulnya fahaman ‘BENTAN’
Satu lagi, Ibu melayu kebanyakkan tidak mendengar nasihat doktor untuk mengambil suntikan mencegah darah beku – Enoxaparin/Clexane kerana dikhuathiri kandungan DNA khinzir di dalamnya. Ada ibu dengan angkuhnya bercakap pada saya – Ala masa zaman mak-mak beranak dulu takde pun bagi injection bagai ni. Hidup je !
Perlu diterangkan disini, walaupun Enoxaparin/Clexane mengandungi DNA khinzir yg sgt sedikit, penggunaan clexane telah difatwakan dibenarkan utk tujuan perubatan kerana
✅Tiada ubat lain setanding enoxaparin/Clexane untuk mencegah darah beku pada ibu hamil
IKLAN
✅Suntikan heparin tidak memberikan kesan yg berkesan seperti enoxaparin/clexane, lebih-lebih lagi untuk ibu yg beratnya lebih 90kg. Kalau nak gak beri heparin, suntikan nya adalah 2 kali sehari, berbanding dgn clexane yang diberi hanya sehari sekali. Clexane telah terbukti lebih berkesan berbanding Heparin.
✅Arixtra/Fondaparinux adalah sangat mahal. Arixtra tidak mempunyai kajian yg cukup untuk penggunaan terhadap ibu hamil – tak boleh nak ckp selamat atau tak untuk ibu hamil. Sebahagian kecil ubat arixtra akan keluar dalam susu ibu dan boleh mmbahayakan bayi yg menyusu ibu.
Tempat yang boleh diberikan suntikan bawah kulit ( subcuticular )
Jadi dah jelas?
Ingat, dalam 100 kematian ibu di Malaysia, 60 kematian disebabkan oleh pulmonary embolism.
Allah suruh ikhtiar dan ikhtiar, bukan dok diam berpeluk tubuh, tunggu maut datang menjemput. Pastu salahkan takdir. Berhenti menzalimi diri sendiri.
Ada kes, ibu bersalin tiba-tiba. Belum sampai waktu, tetapi tanda kontraksi sudah datang dan ibu perlu melahirkan bayi. Situasi ini dikenali sebagai kelahiran kecemasan atau Born Before Arrival. Bagaimana si ibu dan ahli keluarga terdekat harus bertindak ketika berhadapan dengan kes begini? Paling penting, ibu harus sentiasa berada dalam keadaan mental dan fizikal yang bersedia.
Dr Nurul Azwa Hasny, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, SALAM Shah Alam Specialist Hospital menerangkan lebih lanjut tentang isu ini.
“Kelahiran boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Lebih-lebih lagi bagi kehamilan yang sihat dan kandungan sudah melewati usia 37 minggu. Sebaik-baiknya sentiasa bawa bersama buku rekod pemeriksaan kehamilan dan beg hospital yang berisi kelengkapan bersalin apabila kandungan menghampiri tarikh jangkaan bersalin.”
RASA BERSALIN DATANG KETIKA MEMANDU ATAU KESEORANGAN
Bagi kes yang melibatkan sakit tiba-tiba ketika memandu di jalan raya atau ketika berseorangan di rumah, beberapa langkah perlu dilakukan untuk memastikan proses kelahiran yang selamat.
Sekiranya ibu terbabit sedang memandu, maka dia perlulah berhenti di tempat yang selamat seperti di lorong kecemasan, stesen minyak atau tempat rehat R&R, yang mana terdekat.
Minta bantuan orang ramai untuk menghubungi talian kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bagi mendapatkan bantuan kecemasan, diikuti dengan ahli keluarga yang terdekat.
Jika tidak ada orang lain bersama, hubungi 999 sendiri dan ikut arahan paramedik MERS dengan tenang. Paramedik MERS memerlukan maklumat akan lokasi ibu bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan.
Bagi ibu yang berseorangan di rumah, cuba berbaring di atas katil atau permukaan yang rata. Tinggikan kepala dengan bantal. Dengar arahan paramedik MERS dengan teliti.
Pastikan ibu menarik nafas yang dalam dan perlahan di antara kontraksi.
TANDA-TANDA KELAHIRAN AMAT DEKAT
Ibu perlu tahu tanda-tanda ini supaya boleh mengenal pasti bahawa kelahiran akan berlaku dan tidak sempat untuk ke hospital. Pada kebiasaannya bagi anak pertama, kelahiran akan mengambil masa lebih lama manakala bagi kehamilan anak kedua dan seterusnya akan berlaku lebih cepat.
Kontraksi yang kerap iaitu antara dua hingga tiga minit sekali.
Gesaan untuk meneran atau rasa ingin buang air besar.
Air ketuban keluar dengan banyak secara tiba-tiba.
Dapat melihat atau sentuh kepala bayi di kemaluan faraj.
4 KEPERLUAN ASAS PERLU ADA
Selain segera mendapatkan bantuan kecemasan, sekiranya masih sempat, sediakan peralatan asas bagi memastikan kelahiran lebih mudah dikendalikan.
Sediakan alas tempat perbaringan seperti plastik alas meja atau hamparan kain yang tebal. Ini kerana proses kelahiran akan melibatkan pengeluaran lendir dan darah yang banyak dan alas tersebut memudahkan proses membersihkan kelak.
Kain cadar, kain selimut, kain batik atau tuala bersih dan kering.
Kain lampin untuk menyambut bayi dan kain untuk membalutnya.
Air suam yang diletakkan dalam besen yang bersih. Ia diperlukan untuk membuang kekotoran lendir pada bayi dan mencuci tangan.
* Sekiranya tiada sebarang kain seperti dinyatakan, kertas atau surat khabar kering boleh digunakan.
JANGAN PANIK, BERTINDAK SEGERA!
Ibu perlulah berkeyakinan diri untuk melalui proses bersalin walau pun terpaksa melakukannya seorang diri atau tanpa sempat ke hospital. Jika kedudukan bayi betul dan sudah berada di bahagian rongga pelvis, kelahiran akan mudah dan tidak mengambil masa yang lama.
Walau pun begitu, pastikan faktor kebersihan dititikberatkan untuk mengelakkan jangkitan kuman kepada ibu dan anak. Ibu perlu mencuci bahagian intim dengan air atau dengan sabun dan air sebelum proses kelahiran.Dalam keadaan cemas begini, suami, ibu atau sesiapa sahaja yang akan menyambut bayi juga perlu bersih.
Ibu tidak perlu meneran bagi kes kelahiran seperti ini. Sebaik-baiknya jangan meneran. Beberapa teknik pernafasan boleh dilakukan seperti menarik nafas yang dalam dan perlahan atau pernafasan “panting”; iaitu bernafas dengan kuat dan cepat.
Pernafasan ini penting bagi mengelakkan ibu meneran dan bayi meluncur keluar dengan sendirinya. Ia juga dapat membantu mengelakkan koyakan pada tisu-tisu lembut, melengahkan masa untuk persiapan dan mengelakkan kecederaan atau bayi terjatuh jika ibu masih belum dalam posisi yang membolehkannya menyambut bayi.
APA NAK BUAT BILA BAYI SUDAH KELUAR?
Saat ini ibu atau orang yang menyambut bayi perlulah bersedia untuk mengampu kepala, bahu bayi dan badannya keluar untuk mengelakkan koyakan teruk pada ibu. Berhati-hati semasa menyambut kelahiran kerana bayi selalunya licin.
Perhatikan kedudukan tali pusat. Longgarkan untuk mengelakkan ia mencerut leher atau badan bayi.
JANGAN POTONG TALI PUSAT UNTUK MENGELAKKAN JANGKITAN KUMAN!
Lap seluruh badan bayi terutama pada bahagian mulut dan hidung yang mungkin mempunyai lendir dengan kain lembut seperti kain lampin.
Sambil mengelap, urut perlahan bahagian belakang bayi dan kaki untuk merangsang bayi menangis supaya dia boleh bernafas dengan baik.
Letakkan bayi di dada ibu (atau perut ibu jika tali pusat pendek) secara menangkup atau melekap untuk sentuhan kulit ke kulit. Selimutkan tubuh bayi untuk mengelakkan kesejukan.
Sambut uri keluar dan biarkan tali pusat tidak dipotong. Tunggu sehingga paramedik atau bidan memotongnya menggunakan peralatan yang steril.
Dapatkan posisi yang selesa untuk ibu boleh memulakan penyusuan kali pertama. Elakkan ibu sejuk dengan membersihkan ibu dan menukar kain yang basah.
Sementara menunggu kehadiran paramedik, duduk bersama ibu dan bayi sepanjang masa bagi memastikan kedua-duanya dalam keadaan baik. Peralatan bayi dan ibu boleh disediakan kerana kemungkinan ibu dan bayi akan ditahan di hospital.
Dr Nurul Azwa menegaskan bersalin di rumah amat tidak digalakkan tanpa dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih. Ini adalah kerana komplikasi bersalin boleh meragut nyawa ibu dan anak yang dikandung.
Sekiranya sudah hampir dengan tarikh bersalin, anda perlu memastikan yang;
Anda menyimpan nombor telefon klinik atau jururawat berdekatan untuk dihubungi sekiranya berlaku kes sebegini.
Pastikan telefon boleh berfungsi sebagai persediaan.
Tidak berada keseorangan di rumah atau membuat perjalanan jauh seorang diri apabila kandungan mencecah 37 minggu atau tarikh bersalin semakin hampir.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi? Jika tidak, teruskan membaca artikel ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh ibu bapa ambil mudah!
Para ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam alam keibubapaan pasti akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut menerima kehadiran seorang bayi dalam hidup mereka.
Ini kerana anda sebagai ibu bapa perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel mereka. Segala macam perkara mengenai bayi perlu anda tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal tenang dan ceria di samping anda. Antara yang paling perlu diberi perhatian adalah kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu mandi, waktu bermain dan juga warna najis bayi.
Ya, warna najis bayi juga perlu ibu bapa perhatikan dengan baik kerana ia adalah salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si comel anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang membuat pembacaan mengenainya.
Mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Najis bayi tidak normal
Antara soalan yang sering ditanya oleh para ibu bapa terutamanya yang masih baharu adalah mengapa warna najis bayi mereka adalah tidak normal? Ini akan menimbulkan tanda tanya yang lain iaitu apakah warna najis bayi yang normal? Sebenarnya, tidak ada warna najis bayi yang tetap untuk dianggap sebagai normal atau tidak normal. Ia akan berubah-ubah mengikut tahap kesihatan seseorang bayi itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga beberapa soalan lain yang sering diutarakan berkaitan dengan najis bayi iaitu kekerapan dan konsistensi pembuangan najis kanak-kanak. Selain warna najis bayi, 2 perkara ini juga mampu memberikan indikasi terhadap tahap kesihatan seseorang bayi itu. Dalam pada itu lagi, ibu bapa perlu tahu bahawa ciri-ciri najis itu juga bergantung kepada pemakanan, penghidratan, emosi pengambilan ubat dan lain-lain punca yang wujud.
Ciri-ciri umum najis bayi
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Warna najis bayi dan puncanya
Pasangan ibu bapa sudah pasti sangat obses dengan setiap perkembangan baharu anak mereka. Perkara-perkara seperti berat badan, ketinggian, warna rambut, warna mata dan kesemua mengenai bayi pasti akan menarik perhatian ibu bapa. Namun begitu, apa kata anda jika pasangan ibu bapa itu obses dengan warna najis bayi mereka sendiri?
Sebenarnya, ia bukan perkara yang terlalu aneh atau pelik untuk difikirkan. Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu.
Disebabkan itu, anda sebagai ibu bapa sedikit sebanyak boleh cuba untuk mengetahui mengenai kondisi anak anda dengan meneliti warna najis bayi. Persoalannya, bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi ini? Sila ikuti panduan yang berikut:
#1. Najis bayi berwarna hitam
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh mekonium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Najis bayi berwarna kuning
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
#3. Najis bayi berwarna coklat cair
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
#4. Najis bayi berwarna merah
Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
#5. Najis bayi berwarna putih
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Ada ibu bapa yang berjenaka bahawa bayi yang membuang najis berwarna putih adalah keturunan legenda Pulau Langkawi iaitu Mahsuri yang mempunyai darah berwarna putih. Itu bukan sama sekali halnya kerana najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
#6. Najis bayi berbuih
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
#7. Najis bayi berair
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
#8. Najis bayi berwarna-warni
Pernahkah anda terbayang najis bayi yang berwarna-warni? Cuba anda bayangkan campuran sayur-sayuran yang dipotong kecil seperti lobak merah, lobak putih, kacang hijau, terung dan tomato digaul sekali di dalam satu bekas. Ya, ia mungkin kelihatan berwarna-warni dan meriah. Pun begitu, adakah ibu bapa perlu risau mengenainya?
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
Sebaiknya, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang masalah terdapat sistem pencernaan bayi anda.
#9. Najis bayi berwarna coklat gelap
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Jadi, apa yang boleh anda lakukan?
Warna najis bayi anda mungkin tidak mampu untuk anda ubah dalam tempoh sehari semalam. Jika anda bimbang dengan sesuatu keadaan pada bayi, ada perkara yang boleh anda lakukan iaitu menjaga dan mengawal sistem pencernaan si comel anda.
Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayu untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi sistem pencernaan bayi anda:
Amalkan penyusuan susu ibu
Pertama sekali, anda perlu mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Ini kerana ia akan membantu di peringkat awal kehidupan bayi dengan meningkatkan perlindungan imunnya dan pada masa yang sama memastikan imbangan sihat bakteria baik dan bakteria jahat di dalam usus si comel anda.
Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh membantu menyalut saluran usus bayi anda sekali gus melindunginya daripada antigen yang berbahaya yang terdapat di persekitaran mereka. Selain mampu meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu juga akan memberi bayi anda nutrien dan khasiat yang seimbang yang khusus untuk tumbesaran mereka.
Elakkan pengambilan antibiotik berlebihan
Selain itu, anda juga perlu mengelak daripada memberi bayi anda apa-apa jenis antibiotik kecuali doktor membenarkannya atas dasar perubatan. Ini kerana antibiotik akan mengganggu imbangan mikroflora dalam usus bayi anda. Jika ubat-ubatan diperlukan, sila rujuk dengan pihak doktor terlebih dahulu.
Anda perlu peka terhadap warna najis bayi anda kerana ia boleh menjadi indikator yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem pencernaan bayi anda. Ketahuilah bahawa bayi yang sihat adalah sangat ceria dan perjalanannya ke arah tumbesaran dan perkembangan yang baik bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Konklusi
Konklusinya, warna najis bayi sememangnya adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri.
Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si comel anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.
Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Mempunyai tanda lahir bukanlah suatu yang pelik sebenarnya, namun oleh kerana tanda lahir yang agak ketara pada muka, seorang kanak-kanak yang masih kecil dipanggil buruk dan ‘cacat’ oleh segelintir masyarakat yang tidak prihatin.
Marianna Bowering dari Adelaide sangat menyayangi anak perempuannya yang diberi nama Angelica. Mempunyai tanda lahir di bahagian muka yang turut dikenali sebagai “port wine stains”, ibu ini menganggap ia adalah satu keunikan yang ada pada anak perempuannya itu.
Jadi mangsa hinaan & tohmahan orang
Angelica dilahirkan dengan tanda lahir berwarna merah di wajahnya, Marianna mengelarkan tanda itu sebagai ‘Angels kiss’ kerana bentuknya yang seakan hati.
Tapi ternyata tidak semua orang dapat menerima keadaan anak perempuannya itu sehingga ada yang menghina si kecil ini dengan mengatakan muka Angelica seperti dipanggang.
Menurut Marianna juga, dia sering mendapat komen yang berunsur hinaan sama ada secara peribadi ataupun secara online di laman sosial miliknya sendiri.
“Perkataan yang paling menyakitkan apabila seorang lelaki mengatakan kepada saya bahawa Angelica cacat, saya sangat terkejut.
“Ada juga yang mengatakan mukanya sangat mengerikan sehingga dia tidak akan mendapat teman lelaki pada masa hadapan dan saya tidak seharusnya membiarkan Angelica bermain dengan air panas,” katanya.
Nak beri kesedaran tentang tanda lahir Port Wine Stain
Dengan kata-kata hinaan yang dilemparkan kepada si kecil Angelica, Marianna bimbang dengan masa depan anaknya itu.
“Saya risau apa yang bakal dia lalui di alam persekolahan tetapi saya berharap akan ada lebih banyak pendidikan terhadap kesedaran tentang perkara ini.
“Ia sangat menyakitkan apabila orang lain bersikap kejam terhadapnya namun ketika saya melihatnya sekarang, saya tahu dia seorang yang berani dan mempunyai keyakinan yang tinggi,” ujar Marianna.
Justeru itu, ibunya sedang cuba untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang apa itu tanda lahir Port Wine Stains supaya anak-anak yang senasib dengan Angelica tidak lagi menerima tohmahan dan hinaan seperti yang dialami anaknya itu.