Bayi yang memiliki kulit gelap dikatakan terjadi disebabkan oleh ibu makan kicap ketika mengandung. Maka ramailah ibu-ibu mengandung yang tidak makan kicap ketika mengandung kerana bimbang anak yang dilahirkan berkulit gelap. Namun sejauh manakah kebenaran tentang perkara ini?
Ibu Mengandung Yang Makan Kicap Kulit Anak Jadi Gelap?
Masalahnya, benarkah makan kicap, anak yang dikandung itu kulitnya boleh menjadi gelap macam kicap itu? Tapi digalakkan pula ibu mengandung ini minum soya banyak-banyak katanya anak boleh jadi putih ikut soya itu sedangkan kicap itu juga asalnya dari kacang soya juga.
Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, warna makanan yang diambil tidak akan mempengaruhi warna kulit bayi. Ini kerana sistem penghadaman di dalam badan tidaklah bersambung dengan rahim. Makanan yang dimakan akan dicernakan dicemarkan di dalam sistem penghadaman dan diserap ke dalam badan.
Mitos Atau Fakta
Molekul yang sudah tercerna inilah yang akan diberikan kepada bayi melalui uri(placenta). Penggunaan molekul makanan yang tercerna tersebut tidaklah akan mempengaruhi warna kulit bayi.
Warna kulit yang gelap adalah disebabkan kehadiran kompaun melanin yang terhasil daripada sel melanocytes. Ada sesetengah orang yang mempunyai masalah dalam penghasilan sebatian ini dan kulit mereka akan kelihatan sangat putih. Bukan kulit sahaja sangat putih, rambut dan kening mereka juga akan kelihatan putih disebabkan sebatian melanin juga banyak pada bahagian tersebut. Mereka dikatakan penghidap penyakit Albino.
JADI JELAS SEBENARNYA PERMAKANAN TIDAK MEMPENGARUHI WARNA KULIT BAYI. TAPI SEBENARNYA BERGANTUNG PADA PERWARISAN GENETIK – IAITU WARNA KULIT MAK ATAU AYAH BAYI TU SENDIRI.
Kesimpulannya, warna makanan yang diambil langsung tidak ada kaitan dengan warna kulit anak yang bakal dilahirkan.
Ibu mengandung yang ingin berpuasa di bulan Ramadan bukanlah suatu perkara baru. Malah isu ini sering diperkatakan. Hampir setiap tahun pasti ada saja golongan ibu hamil yang bimbang dengan keadaan diri juga bayi setiap kali Ramadan menjelang.
Hampir kebanyakan ibu mengandung mahu berpuasa namun terdapat beberapa kebimbangan yang sentiasa difikirkan. Tahap kekuatan diri dan kesihatan bayi dalam kandungan mungkin antara penyebab kebimbangan ini. Ramai juga yang tertanya-tanya mengenai risiko berpuasa kepada bayi dalam kandungan.
WANITA HAMIL BOLEH BERPUASA JIKA MAMPU
Ramai juga wanita yang hamil tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan bayi mereka yang masih di dalam rahim. Ketahuilah bahawa selagi wanita yang hamil itu masih mampu berdiri dan menjalankan rutin kerja sehariannya, Insya Allah, Allah akan menyelamatkan bayi mereka. Ibadah puasa tidak sesekali menyebabkan bayi mereka berada dalam bahaya.
Tidak dapat dinafikan apabila tidak mengambil makanan atau minuman untuk jangka masa yang agak lama ketika berpuasa menyebabkan seorang wanita yang hamil itu menjadi lebih letih.
Bagaimanapun bukankah tujuan berpuasa untuk merasakan diri kita letih supaya kita lebih mensyukuri nikmat kesihatan dan limpahan rezeki yang banyak sebelum ini. Adalah digalakkan wanita yang hamil meneruskan puasa kerana bayi yang berada dalam rahim tidak pernah mengalami kekurangan nutrisi.
Mereka akan tetap mendapat nutrisi pemakanan walaupun ibu mereka berpuasa kerana nutrisi-nutrisi itu bukan dibekalkan dari makanan yang diambil tetapi dari simpanan yang banyak di dalam organ hati. Apatah lagi dalam ibadah puasa hanya berlangsung kira-kira 14 jam dan kemudian kita dibenarkan makan dan minum ketika berbuka puasa.
Cuma jika wanita yang hamil itu merasakan diri mereka tidak sihat, pening, rasa seperti hendak pitam, kabur penglihatan atau mengalami tanda-tanda lain yang membimbangkan, maka berbukalah dan dapatkan pemeriksaan doktor.
Selalunya hal-hal ini berlaku apabila tubuh badan mereka sedang berusaha untuk menyesuaikan dengan rutin pemakanan yang berbeza di bulan Ramadan.
“Wanita hamil dan menyusui, jika takut terhadap anak-anaknya, maka mereka berbuka dan memberi makan seorang miskin.” (HR. Abu Dawud, dishahihkan oleh Syaikh Al Bani dalam Irwa’ul Ghalil).
Wanita yang hamil dinasihatkan oleh doktor untuk tidak berpuasa, boleh meninggalkan puasanya, contohnya wanita hamil mengalami komplikasi kehamilan atau mengalami penyakit yang sedia ada sebelum hamil lagi.
Wanita yang risau tentang pergerakan anaknya dalam rahem yang sedikit juga boleh meninggalkan puasa.
Antara sebab lain ialah tidak minum air yang mencukupi. Salah satu cara untuk mengetahui bahawa seseorang itu tidak minum air secukupnya apabila air kencingnya menjadi sedikit, pekat, berbau dan berwarna keruh.
Ramai orang mengatakan anak-anak yang bermasalah bermula daripada cara didikan yang kurang tepat daripada rumah. Hal ini benar namun cara didikan yang bagaimanakah dikatakan kurang tepat?
Matlamat untuk menjadikan anak bijak dan dengar kata serta tidak bermasalah sebenarnya harus bermula daripada awal, iaitu ketika mengandung lagi.
Kata Datuk Dr Fadzilah Kamsah, “Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak.” Demikian pandangannya.
Jadi matlamat untuk menjadikan anak bijak haruslah lebih jelas.
Oleh yang demikian, jadikanlah dunia awal bayi iaitu alam rahim sebagai institusi pertamanya mempelajari pelbagai perkara baharu. Janin boleh dirangsang melalui kaedah-kaedah tertentu.
Makanan berkhasiat dan seimbang sangat penting dalam pembinaan otak bayi. Jadi, pastikan pemakanan seharian ibu ketika hamil mengandungi karbohidrat, vitamin, mineral dan paling penting kaya dengan protein.
Sama juga halnya dengan pengambilan minyak ikan Omega . Ia adalah makanan yang baik untuk perkembangan otak bayi. Malah, kandungan EPA dan DHA yang ada di dalam minyak ikan amat diperlukan untuk perkembangan bayi yang sihat.
Islam amat menggalakkan anda mengamalkan beberapa aspek penting supaya anak yang dilahirkan berakhlak mulia. Antaranya, banyak mengingati Allah SWT dengan memohon ampun dan taubat; melakukan kebajikan dan meninggalkan segala larangan-Nnya.
Sepanjang hamil, anda dan suami dituntut memperbanyakkan solat sunat dan puasa sunat terutamanya pada Isnin dan Khamis. Sama juga halnya dengan membaca Al-Quran. Antara yang elok dibaca ketika hamil ialah surah al-Fatihah, Yasin, at-Taubah, Yusuf, Luqman, an-Nahl (ayat 78), al-Aa’raf (ayat 189) dan banyak lagi.
Dengan membaca surah dan ayat ini, ia dapat memudahkan proses bersalin, mendapat anak yang sihat, sempurna, bijak dan soleh.
Doa adalah senjata umat Islam. Oleh itu, anda digalakkan untuk kerap membaca surah al-Fatihah, al-Inshirah dan ayat Kursi. Suami juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut anda.
Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, al-untuk melapangkan hati dan fikiran manakala ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan. Apabila hati anda terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Malah, setelah anak lahir, anda masih boleh meneruskan bacaan berkenaan ketika menyusukannya. Amalan ini diyakini dapat menghasilkan anak yang bijak dan tinggi akhlaknya.
Berbicaralah sambil mengusap lembut perut. Lahirkan perasaan rindu menanti kelahirannya dengan penuh ikhlas. Kajian mendapati bayi yang mendapat perhatian sejak dalam kandungan jelas kelihatan lebih baik dan tidak banyak meragam berbanding golongan yang tidak mendapat perhatian daripada ibu bapanya.
Ada pendapat menyatakan bahawa rangsangan sebegini amat efektif apabila kandungan menginjak usia enam bulan ke atas. ini disebabkan pada usia tersebut jaringan struktur otak bayi mula berfungsi dengan baik.
Pastikan emosi anda sentiasa tenang agar anak yang bakal dilahirkan selalu riang dan tidak mudah meragam. Keadaan emosi yang tenang akan membantu perkembangan otak yang sihat dan pertumbuhan janin yang seimbang. Jadi, anda harus lebih banyak bersabar dan bersikap positif.
Percayalah, tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak anda di masa hadapan. Malah, perasaan riang merupakan rangsangan kepada pembinaan otak yang pada masa yang sama dapat memastikan bayi yang sihat, pintar dan cerdas.
Perdengarkan janin dengan muzik klasik kerana ia diyakini dapat merangsang kecerdasan bayi sejak dalam kandungan. Oleh kerana muzik klasik memiliki pelbagai nada yang harmoni, ia mampu memberi rangsangan berupa gelombang alfa.
Gelombang ini berupaya menimbulkan ketenangan dan ketenteraman sehingga anak dapat memberi tumpuan yang lebih terhadap sesuatu perkara.
Perdengarkan juga beberapa jenis bahasa dan pelbagai pengetahuan asas yang mudah. Mulalah mengajar Aa-B-C, 1-2-3, kata-kata pengenalan diri seperti assalamualaikum, hello, ini ibu atau ayah dan sebagainya.
Lakukan isyarat-isyarat mudah seperti menepuk perut dengan lembut, menggosok persekitaran perut, menggoncang perut perlahan-lahan dan kemudian usap lembut bagi menenangkannya.
Rakamkan suara anda, suami dan ahli keluarga yang lain berserta bunyi-bunyian dan pasangkan earphone ke perut. Dengan cara itu bayi yang bakal lahir mudah mengecam suara-suara orang terdekat dengannya setelah dilahirkan kelak.
Perkenalkan juga perbezaan suasana seperti terang dan gelap dengan menggunakan lampu picit yang disuluh ke perut. Lakukan rangsangan ini selama lima hingga 10 minit setiap kali melakukannya.
Semoga semua ibu mengandung istiqomah melakukan amalan tersebut sambil jangan lupa berdoa memohon kepada Yang Maha Esa agar mengurniakan anak-anak yang soleh dan solehah kepada kita.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahukah anda, wanita hamil berpotensi mendapat diabetes gestasi jika pemakanan hariannya tidak dikawal langsung?
Oleh sebab itu, bagi mengurangkan risiko mendapat masalah kencing manis semasa hamil ini, ibu perlulah mengamalkan beberapa kaedah pemakanan yang tepat.
Apakah jenis makanan atau cara menurunkan gula darah pada ibu hamil agar tidak mendapat diabetes gestasi?
Ada beberapa cara menurunkan gula darah pada ibu hamil yang sangat mudah untuk dipraktikkan.
Mungkin sebelum ini anda tidak tahu mengenainya justeru adalah lebih baik untuk anda melihat kepada 7 cara yang kami kongsikan di sini.
#1. Kurangkan makanan manis
Tip pertama untuk wanita hamil menurunkan paras gula darah adalah dengan mengawasi pengambilan makanan yang manis. Ini merupakan langkah paling penting dan lazim walaupun untuk pesakit diabetes biasa.
Untuk mengelakkan gula darah anda meningkat naik secara mendadak, cuba kurangkan pengambilan makanan manis seperti kuih-muih, kek, minuman manis bahkan gula-gula.
Jika anda mengidam makanan manis, gantikannya dengan sumber lain seperti buah-buahan.
Namun, anda masih perlu mengawal pengambilan harian agar tidak makan buah secara berlebih-lebihan.
Tahukah anda bahawa air kosong tidak mengandungi sebarang kalori.
Selain itu, ia juga mempunyai beberapa khasiat lain yang membantu memastikan keseimbangan dan metabolisme tubuh agar berjalan dengan lancar.
Air kosong membantu anda mengurangkan keinginan untuk mengambil minuman manis selain mengekalkan diri untuk kekal hidrat.
Pengambilan air putih setiap hari mampu menstabilkan gula darah wanita hamil supaya tidak meningkat naik.
#3. Cara menurunkan gula darah pada ibu hamil: lakukan senaman ringan
Tip yang seterusnya bagi menurunkan paras gula darah wanita yang sedang hamil adalah dengan melakukan senaman ringan.
Namun, sebelum melibatkan diri dengan sebarang senaman, dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Jika doktor membenarkan anda untuk melakukan senaman ringan, barulah anda boleh melakukannya.
Senaman bukan sahaja membantu mengawal paras gula darah tetapi juga memberikan manfaat kepada pernafasan dan peredaran darah.
Cukup sekadar dengan berjalan-jalan di sekitar rumah pada waktu pagi dan petang.
Senaman juga boleh mengurangkan sakit-sakit belakang yang sering terjadi dalam kalangan wanita hamil.
#4. Ambil makanan yang mengandungi probiotik
Makanan yang kaya probiotik atau bakteria baik ini sangat diketahui membantu sistem pencernaan tubuh. Selain itu, ia juga boleh membantu mengawal paras gula darah dalam tubuh manusia.
Antara jenis makanan yang kaya dengan probiotik adalah seperti yogurt, keju dan susu.
Namun, ia tidak bermakna bahawa anda boleh mengambilnya tanpa had.
Anda masih perlu mengawal pengambilan harian walaupun ia baik untuk tubuh agar tidak berlaku sebarang komplikasi lain.
#5. Ambil jenis lemak sihat
Tidak semua lemak adalah jenis lemak yang buruk. Ada jenis lemak sihat dan bermanfaat kepada tubuh yang disebut sebagai lemak tidak tepu tunggal atau mono.
Antara contoh makanan yang kaya dengan jenis lemak tidak tepu ialah minyak zaitun, minyak kanola, buah avokado, kekacang, biji-bijian dan juga ikan salmon.
Kandungan lemak sihat yang diambil ini mampu mengawal paras gula darah sehingga menjauhkan diri kita daripada risiko mendapat penyakit diabetes.
#6. Cara menurunkan gula darah pada ibu hamil adalah dengan makan oat
Bijirin oat adalah salah satu jenis makanan yang memiliki indeks glisemik atau GI yang rendah.
Apabila jenis makanan itu rendah GI, maka ia akan mengambil lebih banyak masa untuk dihadam dan membuatkan perut kita berasa kenyang dalam tempoh yang lebih lama.
Pengambilan oat tidak sama dengan pengambilan nasi kerana oat tidak akan meningkatkan kadar gula darah anda.
Jika anda inginkan hidangan oatmeal yang lebih enak dan berkhasiat, tambahkan juga hirisan buah-buahan seperti kekacang, buah pic, pisang dan juga buah beri ke dalam mangkuk oat anda.
#7. Ambil sumber makanan berprotein
Protein juga mampu mengawal kadar gula dalam darah wanita hamil agar ia sentiasa stabil.
Selain itu, protein juga boleh membuatkan kita berasa kenyang dengan lebih lama. Antara jenis makanan yang kaya dengan kandungan protein adalah seperti ikan, daging tanpa lemak, ayam, dan juga telur.
Elakkan makanan ini juga!
Selain mengambil beberapa jenis makanan seperti di atas, ada juga beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan bagi menurunkan paras gula darah.
Antaranya ialah minuman beralkohol, makanan segera, makanan bergoreng, dan juga makanan yang tinggi kandungan kanji seperti nasi putih dan kentang.
Dengan mengamalkan beberapa cara menurunkan gula darah pada ibu hamil seperti ini, anda bukan sahaja boleh mengelakkan diri daripada mengalami diabetes gestasi, malah risiko beberapa penyakit kronik lain.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)