Anak suka sangat kemam makanan dalam mulut. Ada yang kemam lama-lama, kemudian barulah telan makanan tu. Punyalah lama nak habiskan makanan ni.  Tak kurang juga ada anak-anak yang kemam makanan, kemudian keluarkan semula makanan tu dari mulut. Kemam makanan tu sampai berair-air mulut. Lain pula yang dibuatnya. Bertambah-tambah la rasa susah hati mak dan ayahnya sebab anak makan macam tu.

Berikut penerangan yang dikongsikan oleh Nutritionist Iza dari Aishah Kassim Academy. Beliau menjelaskan faktor-faktor yang mungkin menyebabkan anak anda buat macam ni.

ANAK ANDA SUKA KEMAM MAKANAN DALAM MULUT?

1. ANAK ADA MASALAH SENSORI

Bila ada masalah sensori, ia boleh menyebabkan deria-deria yang ada pada anggota badan anak ni tak dapat nak hantar signal pada otak untuk proses dan bertindak balas berdasarkan infomasi yang dia dapat dari deria tu. Contohnya bila anak makan, deria dimulut tu tak hantar signal ke otak untuk anak kunyah dan telan makanan tu.

Ada kanak-kanak yang deria mereka sangat sensitif (hipersensitif) atau kurang sensitif (hiposensitif) bila dapat rangsangan oral. Kadang-kadang mereka yang mempunyai deria hipersensitif ni akan muntahkan semula makanan yang dimakan dan ada juga yang menolak makanan kerana terdapat gangguan pada deria-deria mereka dari makanan yang diberi padanya. Bagi kanak-kanak yang hiposensitif, mereka tak dapat rasa ada makanan dalam mulut, jadi mereka tak sedar dan biarkan je makanan tu berada dalam mulut mereka tanpa menguyah dan telan. Sampai berair-air mulut anak tu.

2. ANAK ADA MASALAH ORAL MOTOR

Kemahiran oral motor yang baik penting untuk kemahiran makan dan pertuturan anak. Gangguan pada bahagian ini menyebabkan anak anda mengalami masalah dengan otot-otot saraf bahagian oral mereka sehingga menyebabkan anak susah nak kunyah makanan, air liur asyik terkeluar, makanan dan minuman juga terkeluar dari mulut. Anak yang kemam makanan dalam mulut ni sebab tak tahu cara nak kawal pergerakkan lidah mereka. Tak tahu cara nak tolak makanan ke kiri, ke kanan, ke depan, ke belakang. Jadi, ibubapa perlu latih bahagian oral motor ini untuk bantu kembangkannya.

Kemahiran oral motor yang baik ni penting sewaktu proses makan sebab ia akan melibatkan cara bagaimana otot-otot mulut anak tu berfungsi untuk koordinasikan gerakkan mulut, nak latih kekuatan otot-otot mulut dan untuk gerakkan makanan dalam mulut sehingga proses menelan.

IKLAN

3. KUANTITI MAKANAN DALAM MULUT TERLALU BANYAK

Bila anak makan atau anda suapkan makanan dalam kuantiti yang banyak, anak tak dapat nak kawal pergerakkan lidah mereka tu. Jadi susah untuk anak telan makanan tu. Akhirnya anak hanya kemam makanan yang ada di dalam mulutnya. Kalau anda tak percaya, cuba la masukkan makanan dalam mulut banyak-banyak, lepas tu tengok dan rasa sendiri macam mana lidah tu nak gerak. Kita yang dewasa ni mungkin akan mudah sikit la nak gerakkan, tapi cuba bayangkan untuk kanak-kanak yang baru nak belajar makan ni, perkara ni susah sangat untuk mereka buat. Jadi, untuk ajar anak anda telan dan kunyah, bagi dalam kuantiti yang sikit dahulu. Anak pun tak tertekan nak kena habiskan makanan. Mesti ada yang akan cakap “lambat la habis kalau bagi makan sikit-sikit” kan? Ini la pengorbanan anda sebagai ibubapa yang tak ada sesiapa dalam dunia ni akan buat pada anak anda. Anda saja yang dapat bantu dia.

BACA [Jangan Cepat Lap Muka Anak Waktu Makan. Biar Dia Seronok, Comot Pun Tak Apa!]

4. ANAK ADA MASALAH FOKUS DAN PERHATIAN

Apabila anak ada masalah fokus, mereka tak dapat nak beri tumpuan pada apa yang mereka sedang lakukan. Anak tak sedar dengan apa yang dia sedang buat dan apa yang terjadi pada sekelilingnya. Jadi susah untuk proses maklumat. Contohnya bila ada gangguan semasa makan seperti gadget, anak tak fokus pada makanan yang masuk ke dalam mulutnya. Jadi perkara yang sering terjadi, anak akan kemam saja makanan atau telan saja makanan tanpa menyedari apa yang di makan olehnya. Jadi ibubapa perlu tahu, penting sangat untuk anak ada fokus dan kesedaran yang baik. Bila anak sedar, mudah untuk mereka proses maklumat serta tahu apa langkah seterusnya yang mereka perlu buat bila makanan ada dalam mulut.

5. ANAK ADA MASALAH KOGNITIF

IKLAN

Kognitif yang baik penting untuk anak anda berfikir, mentafsir, mempelajari, memahami, mengingati dan memberi pendapat terhadap sesuatu perkara yang yang terjadi pada diri dan sekelilingnya. Anak anda akan mudah untuk ingat, merancang, faham turutan, menyelesaikan masalah, tahu kesan dan akibat dan berimaginasi terhadap sesuatu perkara bila mereka mempunyai kongnitif yang baik. Contohnya bila anak ada masalah kongnitif, mereka tak tahu apa nak buat bila ada makanan dalam mulut tu, tak tahu sama ada nak kena biarkan atau telan. Sebab tu ada kanak-kanak yang hanya kemam saja makanan tu.

Jadi, apa yang anda boleh buat sekiranya anak suka kemam makanan dalam mulut adalah:

(a) Elak beri anak snek (cth susu, buah, biskut dll) yang banyak sebelum waktu makan. Walaupun snek yang anda bagi tu berkhasiat. Sebab bila anda bagi banyak sangat, anak akan kenyang. Maka selera anak akan terjejas. Nak makan pun dah tak lalu.

(b) Tetapkan masa makan yang sama dan konsisten setiap hari. Jadi mudah untuk anda tahu dan rancang bila nak bagi anak snek, bila nak bagi anak makan. Kita tak nak jarak masa pemberian snek dan makanan utama tu dekat-dekat.

(c) Elakkan semua gangguan yang ada semasa makan seperti gadget, tv dan mainan. Ia akan membantu untuk anak fokus pada proses makan tersebut dan sedar mengenai apa yang patut mereka buat. Ia akan bantu mereka sedar dan belajar proses makan tu macam mana.

ARTIKEL MENARIK [Bertuah Anak Lelaki Rapat Dengan Ibu. Bukan Saja Lebih Pandai Tapi Bagus Peribadinya!]

IKLAN

(d) Bila anda suapkan makanan pada anak, kurangkan kuantiti makanan yang disuap ke dalam mulut anak tu. Supaya tak susah untuk anak kunyah dan mudah untuk lidah anak gerakkan makanan dalam mulut. Sama juga kalau anda bagi anak makan sendiri, kawal kuantiti makanan yang masuk ke dalam mulut anak.

(e) Beri peluang untuk anak anda meneroka semasa makan. Jangan marah bila dia main-main dengan makanan tu. Beri peluang dia belajar untuk melatih kemahiran deria-deria dia. Boleh ajak anak buat aktiviti-aktiviti yang dapat rangsang sensori anak seperti masukkan spaghetti dalam botol, main tepung dll.

(f) Hiaskan makanan dalam rupa yang menarik. Anak akan lebih seronok bila nampak makanan yang cantik dalam pinggannya dan ianya membantu menarik minat anak untuk makan. Kadang-kadang anak tak minat nak makan sebab nampak makanan tu tak menarik.

Anda boleh cuba dulu tips di atas ni ya. Cuba dulu. Kunci utama adalah KONSISTEN dan TAK PUTUS ASA. Saya tak boleh beri jangka masa untuk anda nampak hasil, sebab setiap kanak-kanak berbeza. Apa yang pasti, bila anda konsisten, anda akan nampak perubahan pada anak tu.

InsyaAllah, saya doakan semoga semua usaha ibubapa yang baca dan cuba tips yang dikongsikan oleh saya ini dipermudahkan. Harap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda semua yang membaca.

Kredit: Nutritionist Iza
Aishah Kassim Academy

**Mahu dapatkan keperluan anak pada harga jimat, klik di sini

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)