
Kegembiraan sebuah keluarga bertukar menjadi detik pilu apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai disambar buaya dalam kejadian di Sungai Sibumbung, Kampung Semayan, Pulau Banggi, Kudat, Sabah, pada malam Selasa.
Lebih menyayat hati, jasad mangsa, Mohamad Hilmi Nurjahid, 9, ditemukan sendiri oleh bapa kandungnya tidak jauh dari lokasi dia dipercayai disambar reptilia berkenaan.
Kehilangan anak pada usia yang masih kecil pastinya menjadi dugaan amat berat buat keluarga, apatah lagi apabila insan tersayang pergi dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.

Bapa Temukan Jasad Anak Pada Jam 8.10 Malam
Menurut Pegawai Pertahanan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kudat, Kapten Abdullah Sabaruddin, pihaknya menerima makluman daripada Balai Polis Karakit mengenai kejadian seorang kanak-kanak yang dipercayai lemas selepas disambar buaya.
Susulan maklumat tersebut, anggota APM bersama pihak polis bergegas ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada keluarga mangsa.
“Sebaik tiba, pihak APM dan polis bertemu dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat kejadian tersebut.
“Pada jam 8.10 malam, mangsa dijumpai dalam keadaan sempurna oleh bapa kandung tidak jauh dari lokasi dia disambar buaya,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Jasad Mohamad Hilmi kemudiannya dibawa ke rumah keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Penemuan jasad mangsa oleh bapa kandungnya sendiri pastinya menjadi detik yang amat memilukan buat keluarga yang berdepan kehilangan insan tersayang dalam kejadian tidak diduga itu.

Tragedi Jadi Peringatan, Jangan Ambil Mudah Keselamatan Anak Di Kawasan Sungai
Kejadian menyayat hati ini menjadi peringatan kepada ibu ayah agar sentiasa berwaspada apabila berada berhampiran sungai, khususnya di kawasan yang mempunyai risiko kehadiran buaya.
Kanak-kanak mungkin belum memahami sepenuhnya bahaya yang boleh mengancam keselamatan mereka, lebih-lebih lagi apabila berada berhampiran kawasan berair.
Justeru, ibu ayah disarankan supaya sentiasa memastikan anak berada dalam pengawasan orang dewasa, mengelakkan aktiviti berhampiran tebing sungai yang berisiko serta mematuhi sebarang amaran keselamatan daripada pihak berkuasa.
Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Mohamad Hilmi Nurjahid. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat menyedihkan ini.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

