Ibu lepas bersalin asyik rasa serba tak kena. Semua benda nampak salah, asyik sedih. Kadang-kadang nak marah tak tentu pasal. Para suami, jika ada tanda-tanda ini pada isteri anda segeralah dapatkan bantuan. Itu mungkin simptom yang menunjukkan isteri anda sedang mengalami postpartum depression.
Sumber foto: www.shutterstock.com
Melalui segmen Tanya Pakar, Pa&Ma mendapatkan Dr Umi Adzlin yang merupakan seorang Pakar Psikiatri untuk menjelaskan tentang topik ini. Menurutnya, kemurungan selepas melahirkan anak adalah gangguan emosi. Mama yang mengalami masalah ini biasanya akan berada dalam kesedihan yang berpanjangan, melebihi tempoh dua minggu.
Tak ada semangat, rasa nak MATI!
Perasaan sedih ini pula bukannya biasa-biasa kerana ia boleh sehingga ke tahap mama merasa tidak bersemangat, tiada motivasi untuk bangun atau melakukan kerja-kerja mudah dan untuk membuat keputusan juga menjadi sukar. Bahkan mama akan menangis sepanjang hari sehingga waktu makan dan tidur juga terganggu.
Lebih teruk lagi, ada juga mama yang akan mengatakan lebih baik mereka mati sahaja! Tahukah para suami, perasaan sedih begini TIDAK NORMAL. Biasanya perasaan sedih seseorang tidak akan berpanjangan sehingga dua minggu tanpa sebab.
Sumber foto: www.shutterstock.com
Waktu untuk seseorang itu menghadapi postpartum depression?
Selepas dua minggu berterusan, ketika itulah doktor atau pakar akan mempertimbangkan untuk mendiagnos seseorang mama itu sekiranya mereka menghidap postpartum depression. Tempoh kemurungan ini boleh berlanjutan sehingga usia anak satu ke dua tahun dan ia berkaitan dengan penjagaan anak dan bukannya isu lain.
Siapa yang berisiko?
Semua wanita berisiko untuk mengalaminya. Bukan sahaja anak pertama, bahkan mama yang sudah beberapa kali bersalin pun boleh kemurungan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, baik dari golongan profesional atau suri rumah.
Ads
Ia bukan perkara main-main kerana 1 dari 10 wanita mengalami kemurungan selepas melahirkan bayi (sama ada mereka memilih untuk menderita dalam senyap atau mendapatkan rawatan).
Kemurungan boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya;
Ads
Kelahiran merupakan peristiwa besar dan boleh memberi efek kepada emosi.
Sebagai contoh, mama mahukan kelahiran secara normal tetapi terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.
Berkemungkinan ada masalah dengan bayi selepas dilahirkan.
Sebagai contoh, bayi mengalami jaundis berpanjangan atau anak ada masalah kesihatan yang lain.
Kekurangan sokongan dari orang sekeliling.
Sekiranya suami sudah nampak isteri mengalami perubahan tingkah laku dan tidak sama seperti biasa atau mungkin lebih emosi (risaukan perkara yang tak rasional, tidak yakin, terlebih sensitif dan sebagainya), itu mungkin simptom mereka mengalami kemurungan selepas bersalin.
Antara tanda lain adalah apabila mama tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa. Mereka juga mungkin mengalami kesukaran untuk menguruskan diri sendiri apatah lagi anak-anak. Sekiranya ini berlaku, usah bertangguh! Segeralah dapatkan bantuan dan penilaian dari doktor atau pakar.
Suami boleh membawa isteri berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan mahupun pakar di hospital. Biasanya rawatan awal berbentuk penilaian untuk melihat tahap kemurungan si isteri sama ada ia ringan, sederhana atau berat.
Sekiranya berada di tahap ringan atau sederhana, rawatan berbentuk terapi psikologi akan diberikan. Namun jika sudah memasuki kemurungan tahap berat, pakar akan mengadakan sesi terapi psikologi dan memberi ubat tertentu untuk membantu.
Ads
Suami mainkan peranan penting!
Suami merupakan support system terbesar buat isteri yang baharu melahirkan bayi. Berilah sokongan kepada isteri kerana ia adalah rawatan terbaik buat wanita yang mengalami kemurungan. Sesi terapi psikologi dengan pakar mungkin mengambil masa satu ke dua jam (mungkin 1-2 sesi setiap minggu) tetapi keberadaan suami di sisi isteri adalah setiap masa. Oleh itu, peranan suami sangat besar.
Sumber foto: www.shutterstock.com
Berikan sokongan praktikal kepada isteri yang berbentuk bantuan seperti ambilkan air, tolong jagakan anak dan sebagainya sudah cukup untuk membuatkan isteri merasa dihargai. Selain itu, sokongan emosi juga sangat penting. Jadilah pendengar yang baik dan penuh empati supaya isteri terasa dirinya didengari.
Suami juga boleh mendapat risiko kemurungan selepas isteri bersalin! Sekurang-kurangnya 1 daripada 20 orang lelaki mengalaminya selepas isteri mereka melahirkan bayi. Ia mungkin berlaku kerana si suami terlalu risaukan isteri dan anak mereka.
Tekanan untuk menyediakan yang terbaik juga boleh menjadi pencetus kepada masalah kemurungan ini. Oleh itu, suami isteri perlu saling membantu antara satu sama lain bagi memudahkan segala urusan selepas mendapat cahaya mata tersayang.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.” Begitulah keadaan yang dilalui bayi comel berusia tujuh bulan, Umair Musa bin Mohamad Hariz, yang kini menderita penyakit hati kronik dikenali sebagai Biliary Atresia.
Sekilas pandang, Umair kelihatan sihat dan ceria seperti bayi lain. Namun di sebalik senyumannya, tubuh kecil ini sedang bertarung nyawa akibat kegagalan fungsi hati. Penyakit jarang berlaku ini menyebabkan saluran hempedu Umair rosak dan hati tidak dapat berfungsi dengan baik.
Pernah Jalani Pembedahan Kasai, Namun Gagal
Seawal usia 80 hari, Umair sudah menjalani pembedahan Kasai iaitu prosedur yang menggantikan saluran hempedu yang rosak dengan usus kecil bagi meneruskan fungsi hati. Namun malangnya, usaha itu gagal.
Kini, satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawanya adalah dengan pembedahan pemindahan hati (liver transplant). Lebih menyentuh hati, ayahnya sendiri, Encik Hariz, sanggup menjadi penderma hati demi menyelamatkan anak kecilnya.
Perlukan Dana RM200,000, Masih Baki RM100,000
Kos keseluruhan pembedahan pemindahan hati dianggarkan mencecah RM200,000. Namun, setakat 25 Ogos lalu, jumlah kutipan dana baru mencecah RM100,000. Ini bermakna, masih berbaki RM100,000 lagi diperlukan agar Umair dapat segera menjalani pembedahan yang sangat penting untuk menyelamatkan nyawanya.
Menurut Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (NGO) yang menguruskan kutipan dana ini, Umair perlu segera dibedah sebelum keadaan hatinya bertambah teruk.
Bagi ibu bapa Umair, setiap hari yang berlalu adalah ujian besar. Melihat anak kecil menanggung penderitaan dengan tubuh yang semakin lemah adalah sesuatu yang sangat meruntun jiwa.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun rasmi:
Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia No. Akaun: 5515 7530 7417 (Maybank) Reference: Bantuan Musa BA
Setiap sumbangan anda, walaupun kecil, sangat besar ertinya buat Umair dan keluarga. Ia bukan sekadar wang, tetapi sebuah harapan dan peluang kedua untuk si kecil ini terus hidup.
Semoga dengan doa dan sokongan kita semua, Umair Musa memperoleh peluang kedua untuk membesar sihat, bermain ceria dan kembali tersenyum di sisi ibu bapa tercinta. 🌸
Pengenalan Tentang Diet Ibu Menyusu Dan Realitinya
Ramai ibu menyusu yang sanggup berpantang pelbagai jenis makanan kerana bimbang ia memberi kesan kepada si kecil. Ada yang langsung tak mahu makan pedas, ada yang elak brokoli, malah ada ibu yang berhenti minum kopi kerana takut bayi berjaga malam. Hakikatnya, kerisauan ini biasa dalam kalangan ibu menyusu tetapi adakah ia benar? Atau sebenarnya ibu tak perlu terlalu menyeksa diri?
Menurut pakar pediatrik Dr Nisa Khalil, majoriti besar bayi tidak terkesan pun dengan diet ibu menyusu. Susu ibu telah melalui proses penapisan alami tubuh sebelum sampai kepada bayi. Jadi, makanan yang ibu makan tidak masuk ke badan bayi secara ‘mentah’ seperti yang ramai sangka.
View on Threads
Majoriti Bayi Tidak Terjejas Dengan Diet Ibu Menyusu
Dr Nisa menjelaskan bahawa kebanyakan makanan yang diambil ibu tidak menimbulkan masalah pada bayi. Kajian Hopkins Medicine turut menyokong perkara ini hanya sekitar 3% bayi yang menyusu badan mengalami sensitiviti terhadap makanan ibu.
Itu bermaksud hampir semua makanan ibu tidak menyebabkan:
perut bayi berangin
ruam
kembung
cirit-birit
muntah
Termasuklah cili, yang tidak akan membuat susu ibu menjadi pedas!
Bila Ibu Perlu Waspada? Tanda Bayi Sensitif
Walaupun jarang, ada sebahagian kecil bayi yang boleh mengalami alahan, terutama alergi protein susu lembu (CMPA) berlaku pada sekitar 0.5% hingga 1% bayi.
Tanda yang perlu diperhatikan:
najis berdarah
ekzema teruk
berat tidak naik dengan baik
menangis without reason selepas menyusu
Jika ibu nampak tanda-tanda ini, jangan pantang sendiri. Perlu jumpa pakar pediatrik untuk diagnosa tepat.
Diet Ibu Menyusu Untuk Bayi G6PD
Untuk bayi G6PD, diet ibu menyusu memainkan peranan besar. Misalnya, kacang parang perlu dielakkan.
Menurut Dr Nisa, ini bukan sebab susu ibu ‘tercemar’, tetapi walaupun kuantitinya kecil, ia boleh mencetuskan hemolysis (pemusnahan sel darah merah) yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa.
Ibu ayah perlu dapatkan senarai makanan terlarang daripada pakar perubatan jika anak menghidap G6PD.
Mitos-Mitos Tentang Diet Ibu Menyusu Yang Patut Ditinggalkan
Dr Nisa turut meluruskan beberapa kepercayaan lama:
Kacang tidak menyebabkan bayi berangin
Brokoli & kobis tidak buat bayi kembung
Durian selamat diambil
Makanan pedas boleh dimakan (kecuali bayi ada alergi tertentu)
Banyak pantang masyarakat sebenarnya tidak disokong kajian.
Bolehkah Ibu Menyusu Minum Kopi?
Ramai ibu takut kafein. Sebenarnya, ibu boleh minum kopi hingga 300mg kafein sehari (sekitar 1–2 cawan). Hanya sedikit kafein sampai kepada bayi.
Jika ibu perasan bayi sukar tidur selepas ibu minum kopi, cuba kurangkan.
Diet Ibu Menyusu Boleh Ubah Rasa Susu – Ini Normal
Hopkins Medicine menyatakan bahawa rasa susu memang berubah mengikut makanan ibu. Bawang putih, herba atau makanan pedas boleh beri sedikit perubahan rasa.
Menariknya, kajian menunjukkan:
ibu yang makan bawang putih menyebabkan bayi menyusu lebih lama
bayi yang biasa rasa pelbagai perisa lebih mudah melalui fasa weaning
Ini membantu perkembangan sensori rasa mereka.
Kesimpulan Pakar Tentang Diet Ibu Menyusu
Dr Nisa menegaskan: “Kecuali ada sebab perubatan sebenar, anda tak perlu pantang macam zaman nenek.”
Asas penting untuk ibu menyusu:
amalkan diet seimbang
minum ikut keperluan
jaga mental dan emosi
nikmati makanan tanpa stres
Ibu yang sihat dan tenang akan menghasilkan susu yang lebih berkualiti untuk bayi. Jadi ibu, jangan terlalu risau. Menyusukan anak sepatutnya pengalaman indah, bukan tekanan. Teruskan perjalanan penyusuan dengan yakin, ilmu dan kasih sayang sambil memahami kebenaran sebenar mengenai diet ibu menyusu.
Baru dua bulan lepas melahirkan cahaya mata sulung secara pembedahan caesarean, kini Dahlia Rizal kembali mencuri perhatian!
Bukan kerana glamor atau fesyen keterlaluan, tetapi kerana semangat dan komitmen luar biasanya sebagai ibu muda yang kekal aktif dan sopan. Menerusi satu perkongsian video di laman sosial, Dahlia dilihat bermain sukan pickleball dengan penuh bertenaga, membuatkan ramai netizen kagum dan terinspirasi.
Lebih menarik, penampilan Dahlia ketika bersukan juga menjadi bualan hangat. Mengenakan pakaian serba hitam yang longgar dan menutup aurat, dia kekal anggun meskipun sedang aktif di gelanggang. Ramai memuji sikapnya yang bijak memilih pakaian sukan sopan tanpa mengorbankan keselesaan, bukti bahawa wanita boleh bersukan tanpa perlu mendedahkan aurat atau memakai pakaian ketat.
Bagi ibu-ibu yang pernah melalui pengalaman bersalin czer, pasti tahu bahawa proses pemulihan memerlukan masa dan penjagaan rapi. Namun Dahlia membuktikan bahawa dengan perancangan yang betul dan nasihat doktor, ibu masih boleh kembali aktif secara berperingkat.
“Saya tak terus bersukan lepas bersalin. Dua bulan pertama saya fokus healing, banyak rehat, jaga emosi, dan buat senaman ringan di rumah. Selepas doktor beri ‘green light’, baru saya mula aktiviti luar perlahan-lahan,” kongsinya dalam ruangan komen.
Langkah berhati-hati dan bertanggungjawab inilah yang menjadikan Dahlia contoh terbaik kepada ibu-ibu muda. Tidak terburu-buru, tetapi tetap menjaga kesihatan fizikal dan mental dengan cara yang sihat dan seimbang.
“Real Muslimah” – Gaya Sopan Jadi Ikutan Ramai
Apa yang membuatkan ramai lebih terinspirasi adalah cara Dahlia membawa imej wanita Muslimah yang aktif tetapi tetap menjaga batas. Malah, netizen menggelarnya “Real Muslimah” kerana kekal istiqamah menutup aurat walaupun sedang melakukan aktiviti fizikal yang mencabar.
Ruangan komen turut dihujani dengan pujian dan pertanyaan tentang pakaian yang dipakainya. Ramai ibu muda yang ingin tahu jenama dan di mana boleh dapatkan set sukan longgar seperti itu. Dahlia nyata berjaya mencetuskan trend baru – aktif, sopan dan bergaya, semuanya dalam satu!
Inspirasi Buat Ibu-Ibu Yang Baru Melahirkan
Kisah Dahlia Rizal ini bukan sekadar tentang bersukan. Ia tentang kekuatan seorang ibu, kecekalan menghadapi fasa berpantang, dan keinginan untuk kembali sihat demi keluarga. Dalam dunia hari ini yang penuh tekanan dan cabaran, inspirasi seperti ini sangat berharga untuk ibu-ibu muda yang mungkin sedang mencari semangat baru.
Buat mama yang baru lepas bersalin, ingatlah – ambil masa untuk sembuh, dengar nasihat doktor, dan yang paling penting, dengar isyarat tubuh sendiri. Bila dah bersedia, mulalah perlahan-lahan. Kesihatan ibu adalah hadiah terbaik untuk anak-anak.
Syabas Dahlia, Pa&Ma bangga dengan semangat dan gaya positifmu! Teruskan menginspirasi ramai wanita di luar sana.
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.