Menjadi seorang ibu bukanlah mudah. Banyak yang harus dilakukan untuk menyediakan yang terbaik buat anak-anak. Kadang-kadang perangai anak yang macam-macam pun boleh buat ibu sakit kepala!
Sebagai manusia biasa kadang-kadang ibu akan merasa stres dan marahkan anak-anak. Bila dah dimarah, tak sampai hati pula tengok mereka. Ibu kena bijak mencari jalan untuk mengurangkan rasa stres itu.
Menurut kajian dalam American Journal of Epidemiology, wanita atau lelaki yang kuat marah cenderung untuk mempunyai berat badan berlebihan.
ASYIK MARAH-MARAH, NAIK BERAT BADAN!
1. Rasa marah, kemudian cari makanan
Apabila kita sedang marah ia bukan sahaja menyebabkan perubahan emosi dalam fikiran tetapi juga melibatkan proses kimia dalam tubuh manusia. Apabila sedang marah, hormon adrenalin akan dirembeskan.
Ia menyebabkan perasaan panik dan risau serta mengaktifkan butang ‘sedia bertindak’. Ketika ini, aliran darah dari organ ke otot menyebabkan kita sukar merasa lapar ketika marah.
Tapi ia hanya sementara sahaja, selesai marah kita akan mula kehilangan tenaga dan merasa lapar. Apabila kita dalam keadaan tertekan begini, kita cenderung untuk memilih makanan yang tidak sihat atau mindless eating.
Ads
2. Cari makanan yang menenangkan
Apabila kita dalam keadaan stres atau sedang marah, kita akan mencari makanan yang membuatkan kita selesa. Makanan begitu seperti snek, coklat, kek, biskut dan minuman manis berkesan untuk melegakan perasaan tetapi kita cenderung untuk mengambilnya berlebihan.
3. Hormon kortisol meningkat
Dalam keadaan marah, hormon kortisol akan meningkat. Ia bukan sahaja meningkatkan tekanan darah, tetapi memberi efek terhadap berat badan.
Ads
Menurut BrightSide, kortisol akan menukarkan gula dalam darah kepada lemak dan melambatkan proses pencernaan. Akibatnya, ia akan meningkatkan berat badan dengan penghasilan lemak.
4. Jadi susah tidur
Bila selalu marah dan stres, pola tidur akan terganggu. Kita menjadi sukar tidur dan ia menyebabkan kekurangan tenaga. Apabila tidak tidur, kita biasanya cenderung untuk makan dan memilih comfort food yang biasanya boleh menyebabkan peningkatan berat badan.
5. Hilang fokus
Apabila sering marah-marah, kita menjadi orang yang kurang daya tumpuan. Setiap yang berlaku, kita hanya akan nampak yang negatif sahaja. Ia akan membuatkan kita mudah merasa putus asa, takut mencuba dan meghukum diri sendiri.
Sebenarnya, jika merasa letih atau stres berehatlah. Ibu juga manusia biasa, kadang-kadang ‘tewas’ juga. Tubuh dan otak kita tidak boleh menerima beban yang terlalu banyak. Ibu merupakan ‘orang kuat’ dalam keluarga, jadi sentiasa positifkan diri dan buatlah setiap perkara itu mengikut kemampuan sahaja.
Bersalin secara pembedahan bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Namun setiap pembedahan mempunyai risiko tersendiri. Salah satunya ialah bernanah, membengkak dan tidak sembuh-sembuh jika tidak dijaga dengan baik.
Demi melahirkan zuriat yang dikandung, para ibu reda apabila disarankan melalui proses pembedahan caesarean. Namun pastikan luka dijaga dengan baik dan tahap kesihatan diri perlu dipertingkatkan untuk membantu proses penyembuhan.
Jururawat Bel Nawhen mengulas mengenai penjagaan luka caesarean setelah tularnya video luka pembedahan seorang wanita yang mengeluarkan nanah seperti keju cair. Video yang dipercayai dari luar negara itu menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan warganet.
Video ini tular kembali. Ada yang mengatakan ia berlaku kerana tidak berpantang sebaik-baiknya. Siap ada salahkan makanan dan lain-lain lagi.
7 SEBAB LUKA CAESAREAN BERNANAH
Bel turut menyatakan 7 perkara dan sebab yang boleh menjadi punca luka caesarean bernanah.
Sedangkan kalau ada nanah macam cheese tu, maknanya berlaku jangkitan pada luka.
Sebab berlaku jangkitan adalah:
#1. Keadaan penjagaan luka yang tidak sempurna seperti ibu tidak mandi dalam tempoh masa yang lama, #2. Luka pembedahan dibiarkan lembab (kelembapan tu favourite kuman). #3. Luka tak dicuci sempurna. #4. Ada uncontrolled diabetic mellitus yang mana kita tahu luka memang akan lambat sembuh. #5. Berat badan yang tidak dikawal. **Pesakit yang mempunyai masalah obesiti, penyakit kencing manis dan penyakit daya ketahanan rendah berisiko menyebabkan luka lambat sembuh. #6. Sukat segala mak nenek air. Dah sukat air jadi sembelit dan kulit pun tak dapat kelembapan yang sebaiknya lepas tu dah sembelit tu, buang air besar nak kena teran dah bagi tekanan kat abdomen (bagi caesarean) dan perineum (bagi kes kelahiran normal dengan luka episitomi) #7. Sapu kunyit, manjakani, manjalara, manja-manja, herba entah mana asal usul kat luka pembedahan hingga kuman akibat penyediaan bahan sapuan tadi menjangkiti kawasan luka.
PEKA JANGKITAN KUMAN & ELAK JAHITAN TERBUKA
Selain itu, turut dikongsikan penjagaan yang perlu dilakukan ibu untuk menjaga luka pembedahan. Dalam tempoh selepas bersalin, ibu perlu memastikan bahagian luka dijaga dengan rapi dan peka tanda-tanda terjadinya jangkitan kuman.
Dah bedah maknanya dah selesai ke?
Tidak.
Luka jahitan dan luka pembedahan perlu sentiasa diperiksa untuk memastikan tidak ada jangkitan atau jahitan yang terbuka.
Tanda-tanda jangkitan kuman pada luka adalah;
Terdapat lelehan cecair atau nanah daripada bahagia luka.
Kulit sekitar bahagian tersebut merah dan kelihatan bengkak.
Luka kelihatan seperti terbuka dan apabila disentuh, akan merasa sakit.
Dikurniakan anak sudah tentu menjadi idaman setiap wanita berkahwin. Jika tiada sebarang komplikasi, kelahiran secara normal amat digalakkan. Melahirkan melalui pembedahan biasanya dibuat jika ibu mempunyai masalah dengan kehamilannya.
Terdapat perbezaan dalam prosedur kedua-dua jenis kelahiran ini. Ada pendapat yang mengatakan kelahiran normal lebih baik berbanding pembedahan, tetapi setiap ibu yang bertarung nyawa untuk bersalin harus diberikan penghargaan.
Kenali dua jenis kelahiran ini dengan lebih dekat agar anda dapat memahami konsepnya. Pa&Ma mendapatkan penerangan lanjut tentang kelahiran normal dan pembedahan ini daripada Dr. Khamsiah Muda, Pengasas dan Pakar Obstetrik & Ginekologi di Andorra Women and Children Hospital.
KELAHIRAN NORMAL
Kelahiran anak secara normal adalah proses pada akhir kehamilan, iaitu janin keluar dari rahim ibu melalui vagina tanpa menggunakan bantuan peralatan seperti vakum atau forcep. Proses kelahiran normal boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.
Fasa Pertama
Kelahiran bermula dengan mulanya fasa pertama proses kelahiran. Pada waktu ini, Rahim akan mengecut setiap 10-30 minit pada awalnya dan ia berlaku untuk jangka masa 40 saat. Kemudian, kadar pengecutan rahim akan meningkat perlahan-lahan setiap dua minit. Setiap kali Rahim mengecut, pangkal rahim akan membuka sehingga mencapai kelebaran 10sm.
Situasi inilah yang kita panggil kontraksi. Pada waktu inilah para ibu akan merasa sakit sementara menunggu pintu rahim terbuka sehingga 10sm agar bayi dapat melalui pintu vagina untuk menjayakan kelahiran normal. Biasanya pangkal rahim diselaputi lapisan mukus yang menolong mencegah jangkitan. Lapisan ini akan dikeluarkan sebelum proses kelahiran bermula. Selepas itu, proses seterusnya adalah kepecahan air ketuban.
Fasa Kedua
Dalam fasa kedua kelahiran, bayi dikeluarkan dari rahim melalui vagina. Ia akan berlaku apabila otot rahim dan abdomen mengecut dengan kuat. Dalam kes kelahiran normal yang biasa, kepala bayi akan dikeluarkan terlebih dahulu.
Sekiranya bayi berkedudukan songsang, bahagian punggung akan dileuarkan terlebih dahulu. Dalam keadaan ini, kaki bayi terlipat ke atas. Jika ini kes ibu yang pertama kali melahirkan, bayi berkemungkinan harus dikeluarkan melalui pembedahan caesarean. Selepas dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi kepada uri akan dikapit dan di potong.
Fasa Ketiga
Fasa ketiga kelahiran berlaku lebih kurang ¼ – ½ jam selepas bayi dilahirkan. Kemudian uri akan dikeluarkan. Uri bersambung kepada bayi melalui tali pusat yang terdiri daripada saluran darah dan tisu kolektif.
PEMBEDAHAN CAESAREAN
Pembedahan caesarean adalah pembedahan di mana pakar obstetrik membuat potongan pada perut dan rahim (uterus) agar bayi anda boleh dilahirkan. Pembedahan untuk melahirkan anak merupakan pembedahan besar yang paling biasa dalam kalangan wanita.
Kelahiran melalui pembedahan akan dsyorkan oleh doktor jika kelahiran secara normal didapati berisiko tinggi. Namun demikian, prosedur ini juga boleh dijalankan dia atas permintaan si ibu.
Bila Proses Bersalin Caesarean Bermula?
Setelah usia kehamilan mencapai 38 minggu Bayi akan dikeluarkan melalui belahan di perut ibu dan bukan dari faraj. Sebelum pembedahan dimulakan, doktor akan menjalankan pembiusan epidural sehingga kawasan perut ke kaki (half body bius) supaya si ibu berasa kebas.
Semasa proses pembedahan, para ibu berada dalam keadaan sedar. Hanya dalam kes tertentu, pembiusan penuh akan dilakukan. Bagi mengelakkan iu berasa panik, doktor kebiasaannya akan mmberi ubat penenang supaya mereka lebih santai ketika proses pembedahan dijalankan.
Mengapa Perlu Dibedah?
Terdapat beberapa kes kehamilan yang memerlukan ibu menjalani kelahiran melalui pembedahan:
Plasenta Previa
Semasa mengandung, rahim mengembang dan plasenta (uri) yang normal akan melebar menjauhi serviks. Plasenta previa adalah keadaan di mana uri tetap berada di bahagian bawah rahim atau dekat dengan serviks sehingga menutup pintu laluan kelahiran.
Plasenta Luruh (Abruption)
Keadaan ini apabila plasenta terpisah dari dinding rahim seblum tarikh kelahiran. Apabila ia berlaku dikhuatiri bayi akan terputus bekalan nutrisi dan oksigen. Dalam sesetengah kes, jika ini terjadi bayi akan dilahirkan pra matang.
Kehamilan songsang
Tali pusat jatuh (Cord Prolapse)
Jarang berlaku. Tetapi jika terjadi, pembedahan segera perlu dibuat kerana tali pusat terkeluar melalui serviks dan vagina sebelum bayi dilahirkan.
Bayi lemas (Fetal Distress)
Bayi lemas apabila kekurangan bekalan oksigen ketika dalam kandungan. Ia dikesan melalui tanda denyutan jantung bayi yang menjadi perlahan berbanding kadar normal.
Bukaan lambat
Jika bukaan rahim terlalu lambat, tidak terbuka pada kadar sekurang-kurangnya 0.5sm setiap jam dalam tempoh empat jam, pasti ada masalah.
Pembedahan ulangan
Ibu mengalami masalah darah tinggi atau kencing manis semasa hamil
Masalah tumbesaran bayi
Jika tumbesaran bayi terbantut, bayi mudah lemas semasa proses kelahiran.
Bayi kembar
Bayi kembar boleh dilahirkan melalui kelahiran normal, tetapi sesetengah kes ibu terpaksa dibedah bergantung kepada posisi bayi, berat badan mereka serta usia dalam kandungan.
Biar apa pun jenis kelahiran seorang ibu, ia merupakan pengorbanan terbesar seorang wanita. Kedua-dua jenis kelahiran sama hebat dan sama sakitnya. Selepas melahirkan bayi, jagalah kesihatan dan ikutlah saranan doktor agar segera sembuh. Jika ada ibu yang mahu bersalin secara pembedahan walaupun tiada sebarang komplikasi ketika hamil, itu bergantung kepada pilihan masing-masing. Setiap kelahiran mempunyai risiko tersendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai ibu bapa, kita sering kali melihat dan memerhati setiap pergerakan bayi seperti ketawa, merengek dan menangis sebagai petunjuk tahap kesihatan mereka. Walau bagaimanapun, sesetengah petanda masalah kesihatan, seperti bayi sembelit, sukar untuk dikesan dan dilihat.
Simptom sembelit
Bayi yang secara eksklusif menyusu susu ibunya sahaja, tidak akan mempunyai masalah seperti ini, kerana hampir semua nutrien dari susu ibu akan diserap.
Namun berbeza kepada bayi yang diberi susu formula, mereka mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk diserang masalah sembelit.
Malah masalah sembelit dalam kalangan bayi turut berlaku disebabkan makanan tertentu yang dimakan selepas makanan pepejal diperkenalkan.
Memahami tanda sembelit, pastinya dapat membantu mengatasi masalah kesihatan bayi sebelum ia bertukar menjadi masalah yang lebih besar.
Buang air besar
Kekerapan bayi akan membuang air besar pada setiap hari akan ada turun naik, terutama apabila anda memperkenalkannya makanan baru. Jika bayi anda tidak membuang air besar selama beberapa hari dan kemudian mempunyai najis yang keras, ia kemungkinan petanda mereka mengalami sembelit.
Sembelit bukan sahaja bergantung kepada jumlah kekerapan membuang air besar, tetapi juga kepada keadaan najis itu juga.
Menahan
Sekiranya berlaku perubahan wajah bayi anda ketika sedang membuang air besar, seperti kelihatan tegang atau berkerut, ia mungkin tanda sembelit. Bayi yang berdepan masalah ini biasanya akan menghasilkan najis seperti tanah liat yang sangat keras.
Najis keras boleh menyukarkan proses membuang air besar, bayi anda berkemungkinan akan menangis atau menjadi tegang.
Darah
Sekiranya anda terlihat garis-garis darah merah di atas najis bayi anda, ia adalah kerana bayi mengalami kesukaran ketika proses membuang najis dan menyebabkan kelukaan di sekeliling dinding dubur.
Perut keras
Perut keras boleh menjadi tanda sembelit. Kembung dan tekanan yang disebabkan sembelit boleh menyebabkan bayi anda cepat berasa kenyang.
Tidak mahu makan
Kehilangan selera pada bayi anda mungkin disebabkan ketidakselesaan yang dihadapinya. Malah perut yang kembung juga boleh menyebabkannya tidak mahu makan.
Rawatan
Beberapa strategi dan kaedah yang boleh anda cuba untuk melegakan keadaan sembelit yang dihadapi oleh bayi anda. Ini termasuk:
Menukar susu
Jika anda memberi bayi anda susu ibu, anda mungkin perlu untuk menyeimbangkan diet anda. Ini kerana bayi anda mungkin sensitif terhadap sesuatu yang anda makan dan mengakibatkan sembelit, walaupun kes seperti ini jarang berlaku.
Bagi bayi yang diberikan susu formula, anda boleh menukar kepada susu yang lain. Alahan kepada bahan-bahan tertentu yang terkandung dalam susu formula itu boleh menyebabkan sembelit.
Makanan pejal
Sesetengah makanan pejal boleh menyebabkan sembelit, tetapi hal ini boleh diperbaiki. Jika anda baru mencuba memberikan makanan pepejal kepada bayi anda, cuba tambahkan beberapa makanan serat tinggi seperti:
Brokoli
Buah pear
Buah prun
Buah peach
Epal tanpa kulit
Kurangkan memberi bijirin yang diproses atau nasi, sebaliknya cuba berikan barli, oat atau quinoa. Roti atau biskut bijirin penuh, juga dapat membantu mengatasi sembelit.
Puri
Jika bayi anda berusia 6 bulan ke atas dan belum membuat peralihan kepada makanan pepejal, cuba beberapa jenis makanan yang disenaraikan di aras dalam bentuk puri. Buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai banyak serat semula jadi yang akan membantu pembuangan najis bayi anda.
Kuantiti air
Penghidratan yang betul adalah penting untuk melancarkan proses membuang air besar. Air dan susu sangat baik untuk mengelakkan bayi anda dari terhidrat. Untuk bayi lebih dari 6 bulan, jus prun atau pear boleh diberikan sekali-sekala untuk mempercepatkan kontraksi kolon bayi anda, sekali gus dapat membantu proses membuang air besar.
Jika jus terlalu manis atau kuat rasanya untuk bayi anda, tambahkan secawan air untuk mencairkannya. Bagi bayi yang di bawah usia 6 bulan, pastikan anda mendapat nasihat dan pandangan doktor sebelum memberikan apa-apa kepadanya selain susu ibu atau formula.
Banyakan pergerakan
Bayi yang banyak bergerak akan membantu mempercepatkan proses pencernaan, sekali gus membantu pergerakan benda di dalam usus. Sekiranya bayi anda masih belum berjalan, pergerakan basikal di kakinya (leg bicycles)pasti akan membantu.
Urutan
Lakukan urutan lembut di bahagian perut dan bawah perut bayi untuk merangsang pergerakan usus. Ulangi senaman beberapa kali sehari, sehingga bayi anda ada membuang air besar.
Masih tidak berjaya
Melakukan perubahan dalam diet bayi anda (atau anda sendiri) pasti akan dapat membantu mengatasi masalah sembelit bayi anda. Namun jika masih tidak berjaya, terdapat beberapa teknik lain yang boleh anda gunakan.
Kebanyakan teknik ini boleh dilakukan di rumah, walau bagaimanapun jika anda tidak pernah mengamalkannya sebelum ini, anda perlu berjumpa dengan doktor anda terlebih dahulu untuk mendapat nasihat dan rundingan khusus.
Teknik-teknik ini termasuk:
Glycerin suppository
Jika bayi anda mempunyai tanda najis berdarah selepas membuang najis yang keras, glycerin suppositoryakan dapat membantu melancarkan proses pembuangan najis.
Ia boleh dibeli di farmasi dan digunakan di rumah. Ikuti arahan pada pakej jika ia untuk bayi anda yang berusia 2 tahun ke atas atau bertanyakan kepada doktor sebelum menggunakannya jika ia adalah untuk bayi anda dibawah usia 2 tahun.
Laksatif
Laksatif (laxative)diperbuat daripada ekstrak malt barli (Maltsupex) atau serbuk psyllium(Metamucil) yang dapat melembutkan najis bayi. Tetapi ia tidak disyorkan kepada bayi. Berbincang dengan doktor anda sebelum memberikan apa-apa laksatif kepada bayi di bawah umur 1 tahun.
Pakar pediatrik
Sekiranya anda keliru atau merasa bimbang, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor kepada bayi anda. Dalam kebiasaan kes, masalah sembelit bayi anda akan dapat di atasi dengan sendirinya atau dengan rawatan semula jadi.
Jika strategi tersebut masih tidak berfungsi, sila dapatkan nasihat atau cadangan dari doktor anda untuk bantuan. Doktor anda juga akan dapat membantu melihat simptom atau tanda lain (seperti demam) yang boleh menjadi petunjuk masalah yang lebih besar yang mungkin memerlukan rawatan perubatan.
Berita Bung Moktar meninggal dunia mengejutkan negara. Ketahui perjalanan hidup, keluarga, legasi politik dan sisi peribadi tokoh Sabah ini yang dikenang ramai.