Macam tahu je baby ayah tak ada untuk azankan dia, betul-betul azan Maghrib dia keluar. Allahuakbar besarnya rahmat Allah untuk anak kedua kami, luah Nor Azreen Rahim isteri kepada anggota kumpulan UNIC , Wan Najdi Wan Mohd Noh selepas selamat melahirkan anak keduanya, semalam.
Menurut Najdi, disebabkan tidak dapat mengazankan terus ke telinga anaknya, dia menggunakan aplikasi Facetime sebagai salah satu cara yang boleh dilakukan kerana faktor jarak.
Situasi berlaku ketika dia masih dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur daripada Narathiwat, Thailand kerana memenuhi undangan persembahan bersama UNIC di sana.
“Ketika itu, saya baru tiba di hotel selepas menempuh perjalanan selama hampir 10 jam dari Kota Bharu ke Narathiwat.
“Sampai saja dalam bilik hotel dan mendapat kemudahan wifi, saya menerima pesanan Whatsapp daripada ibu mengatakan isteri mengalami ‘contraction’ dengan bukaan 5 sentimeter,” katanya.
Najdi, 26 berkata, perasaannya gementar dan takut kerana isterinya tidak mengadu sakit atau menunjukkan tanda-tanda bersalin ketika menghantarnya ke lapangan terbang, awal pagi semalam.
Disebabkan situasi itu, Najdi mengambil keputusan pulang segera dari Narathiwat ke Kota Bharu dan menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.
Ads
Tambahan pula, pihak hospital hanya membenarkan suami atau ibu sahaja masuk ke dalam dewan bersalin.
“Walau pun terkilan tidak sempat berada di sisi isteri di dalam dewan bersalin, istimewanya anak lelaki kami itu dilahirkan tepat ketika azan Maghrib berkumandang,” katanya hanya sampai ke hospital kira-kira jam 12 tengah malam.
Ads
Hasil perkongsian hidup bersama isteri, Norazreen Rahim, Najdi sebelum ini dikurniakan anak sulung, Wan Nur Maisarah, 1 tahun 10 bulan.
Sumber: ig norazreenrahim/najdiunic & metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kita kerap mendengar istilah ‘bayi tertelan najis’ ketika dalam proses kelahiran atau dipanggil Sindrom Aspirasi Mekonium. Apakah keadaan yang sebenarnya berlaku?
Pada pagi itu, Anis (bukan nama sebenar)yang sudah melepasi dua hari daripada tarikh jangkaan bersalin melihat ada kesan air tanpa bau pada seluar dalamnya. Dia fikir itu adalah air kencing. Tetapi apabila diperhatikan ia sangat jernih dan tidak berbau hancing, membuatnya terfikir ia adalah lelehan air ketuban.
Kontraksi yang dirasai tidak terlalu kuat dan kesibukan di pejabat menyebabkan Anis berlengah untuk ke hospital. Sehinggalah pada tengah hari, air yang jernih tadi mula bertukar warna dan ada kepingan warna hijau di dalamnya. Maka dia terus bergegas ke hospital dan doktor menyarankan supaya dia segera melahirkan bayi menerusi pembedahan untuk mengelakkan bayi tertelan najis sendiri atau dipanggil Sindrom Aspirasi Mekonium.
Kita kerap mendengar istilah ‘bayi tertelan najis’ ketika dalam proses kelahiran atau dipanggil Sindrom Aspirasi Mekonium. Apakah keadaan yang sebenarnya berlaku? Menurut Dr Siti Aishah Daud, Pakar Obstetrik & Ginekologi Subang Jaya Medical Centre, Sindrom Aspirasi Mekonium merujuk kepada masalah pernafasan bayi. Ia sama ada disebabkan oleh bayi membuang najis dalam kandungan dan menyebabkan ia memasuki paru-paru.
Mekonium ialah najis berwarna hijau kegelapan yang dihasilkan oleh saluran gastrousus janin sebelum lahir. Ia terdiri dari sel epitilial usus, lanugo, mukus, air ketuban, hempedu dan air. Ia pekat dan melekit seperti tar. Pada kebiasaannya mekonium akan berada di dalam usus sehingga lahir. Selepas lahir bayi akan mengeluarkan mekonium selama beberapa hari dan diikuti oleh najis biasa yang berwarna kekuningan.
Tetapi dalam kes tertentu, bayi telah membuang air besar ketika di dalam kandungan lagi. Kebanyakan kes terjadi kepada bayi yang ‘stres’ (fetal distress) akibat oleh kekurangan darah atau oksigen. Lazimnya, ia disebabkan oleh masalah fungsi plasenta atau uri. Tetapi ada juga yang terjadi secara rawak tanpa sebab seperti kes Anis di mana bayinya tidak stres atau tertekan tetapi sudah melewati tarikh jangkaan bersalin.
BAYI TERTELAN MEKONIUM
Apabila mekonium dikeluarkan dan terbebas ke dalam air ketuban, ia kemudiannya akan disedut atau ditelan oleh bayi ke dalam paru-parunya. Hal ini juga akan menyebabkan tubuh bayi diselaputi najis dan menyumbat saluran pernafasan bayi selepas dilahirkan.
Pasukan yang merawat akan segera merawat bayi yang mengalami sindrom ini. Sejurus selepas dilahirkan, pasukan perubatan akan bertindak pantas dengan menyedut mulut, hidung dan tekak bayi untuk mengeluarkan mekonium jika bayi dalam keadaan lemah, tidak bernafas dan diselaputi mekonium. Mereka kemudiannya dirawat dengan antibiotik jika terdapat risiko jangkitan yang tinggi dan diberikan bantuan sampingan dengan oksigen juga akan diberi jika diperlukan. Bayi yang diberi alat bantuan pernafasan akan dipantau untuk mengelakkan sebarang komplikasi seperti pneumothorax atau PPHN.
SIAPA YANG BERISIKO?
Ibu yang berisiko menyebabkan bayi mengalami stres sehingga membuang najis ketika dalam kandungan
Kehamilan melebihi tarikh jangkaan 40 minggu menyebabkan uri tidak berfungsi baik. Kandungan yang melewati 40 minggu boleh menyebabkan uri `lebih matang’. Uri adalah organ yang memberi khasiat dan oksigen kepada janin di dalam rahim. Apabila uri matang, ia tidak dapat memberi oksigen secukupnya kepada janin. Air ketuban juga pada waktu ini juga akan berkurangan dan menyebabkan kandungan mekonium menjadi pekat. Oleh itu sindrom ini lebih kerap terjadi kepada kandungan yang ‘lebih hari’ (past due) berbanding dengan bayi pramatang atau cukup bulan.
KESAN TERTELAN NAJIS KEPADA BAYI
Sindrom ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kepada bayi. Antaranya ialah;
USAHA UNTUK MENGELAKKANNYA
Memang ia tidak boleh dielakkan tetapi sekurang-kurangnya ibu boleh mengambil langkah berjaga-jaga. Tidakterhad kepada golongan yang berisiko sahaja. Bagi ibu yang disenaraikan berisiko tinggi, mereka perlu sentiasa berwaspada dan melihat sekiranya terdapat lelehan air ketuban bermula dari minggu ke-34 kehamilan.
Selain itu, segera mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor pakar sekiranya merasakan ciri-ciri bayi stres seperti bayi kurang bergerak, pendarahan, perut berasa senak dan kejang, tekanan darah naik serta kenaikan berat badan secara tiba-tiba.
Bagi mengurangkan risiko terjadinya Sindrom Aspirasi Mekonium, proses kelahiran perlu dipendekkan lebih-lebih lagi bagi bayi yang sudah stres di dalam kandungan. Kerjasama ibu dan pasangan menerima cadangan doktor untuk melahirkan menerusi pembedahan atau menggunakan alat bantu dapat mengurangkan masa kelahiran dan seterusnya mengelakkan terjadinya sindrom ini.
INFO: Kira-kira 5 % sahaja bayi yang membuang najis dalam kandungan akan mengalami Sindrom Aspirasi Mekonium. Bayi yang awalnya mengalami pernafasan laju akan mula bernafas secara semula jadi selepas empat hari. Sindrom ini jarang menyebabkan kerosakan kepada paru-paru.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat semangat ibu kepada dua anak, Elyana, 34, yang sentiasa kuat walaupun kini sedang bertarung nyawa melawan penyakit kanser limfoma tahap empat. Namun raut wajahnya tidak sedikitpun mempamerkan penderitaan yang dihadapi.
Timbul kekaguman bagaimana Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal mengumpul kekuatan melawan penyakit berbahaya ditanggung sejak 10 tahun lalu.
Namun, selagi hayat dikandung badan, wanita kelahiran Shah Alam, Selangor itu tidak sesekali berhenti berharap untuk berjuang melawan penyakitnya.
Wajahnya sentiasa ceria melayani pengikut dalam Instagram (IG) Live, biarpun sedang menerima rawatan di hospital selama dua minggu. Tetap manis menguntum senyum, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Secara jujur, saya tidak tahu daripada mana datangnya kekuatan ini. Saya percaya berkat doa semua orang, ia bagaikan meniupkan semangat untuk saya terus bernafas.
“Saya hanya manusia biasa, ada masanya momen kecewa dan tertekan. Saya akui sukar menerima kenyataan pada awal disahkan menghidap kanser. Saya sering tertanya-tanya kenapa ia terjadi kepada saya?
“Saya juga mempersoalkan, kenapa orang lain menghidap penyakit sama boleh sembuh, tetapi saya tidak? Namun, lama kelamaan saya mula menyedari, semakin lama Allah menguji, semakin saya beroleh ketenangan,” katanya.
Demi menjalani rawatan dengan tenang, Elyana juga menjauhkan dirinya daripada insan negatif. Akuinya, rohani juga semakin terisi selepas hampir 10 tahun menjadi pesakit kanser.
Malah, pelakon drama Dunia Baru dan Misi Dania Cun itu berkata, dia juga tidak terlalu mengejar kebendaan. Andai sebelum ini pekerjaan menjadi fokus utama, tetapi kini sekadar membiarkan Allah mengatur rezeki buatnya sekeluarga.
“Saya percaya kepada rezeki Allah dan tidak mengejar kehidupan dan keduniaan seperti dahulu. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, saya beroleh ketenangan dan rezeki sentiasa ada,” katanya.
Berkongsi tahap kesihatannya, Elyana yang baru sahaja keluar hospital bagi menjalani rawatan berkata, dia optimis, meskipun sel kanser sudah merebak pada anggota badan yang lain.
“Saya menjalani 10 kali rawatan radioterapi dan dimasukkan dua beg darah. Untuk rawatan radioterapi kali ini, doktor memfokuskan kepada sel kanser yang tumbuh pada bahagian dada kerana ia agak besar berbanding lain.
“Sebenarnya, tujuan asal ke hospital tempoh hari hanyalah untuk menambah darah, tetapi apabila ujian imbasan PET dilakukan, doktor mendapati terdapat ketumbuhan pada bahagian tengah dada. Jadi, doktor terpaksa menjalankan rawatan radioterapi secepat mungkin.
“Kesan ketumbuhan ini, saya sukar bernafas, malah batuk tidak henti-henti hampir setahun. Apabila asyik batuk, saya mengalami kesukaran menelan hingga menjejaskan selera makan. Ia juga memberi kesan kepada berat badan.
“Selain dada, kanser turut merebak pada bahagian paru-paru, belakang rahim, sedikit pada usus dan beberapa bahagian badan lain. Dengan bantuan steroid, berat badan hanya 35 kilogram (kg) kini sudah naik kira-kira tujuh kg.
“Selera makan juga sudah semakin baik berbanding sebelum ini,” kata Elyana.
Biarpun sudah hampir sedekad berjuang melawan penyakit selepas melahirkan anak sulung, Elyana berkata, dia tidak pernah berputus asa mencari penawar penyakitnya. Bahkan, tidak pernah rasa takut, biarpun ramai membuat tanggapan penyakit kanser adalah ‘death penalty’ untuk penghidapnya.
“Bagi saya, tiada apa yang perlu ditakutkan, semua orang bakal berdepan kematian suatu hari nanti. Saya percaya pada qada dan qadar, ada orang tidak sakit pun tiba-tiba boleh meninggal dunia.
“Ada yang diuji tiada makanan, ada pula dengan kesakitan. Pendek kata, setiap manusia tidak terlepas melalui ujian masing-masing. Jadi, apa yang boleh dilakukan, hadapilah ujian dengan ikhlas.
“Paling penting, belajarlah untuk reda. Apabila kita reda, insya-Allah ketenangan akan datang,” katanya yang sedang berehat di rumah gembira selepas dua minggu terpisah dengan keluarga kecilnya.
Memulakan kerjaya nyanyian seawal usia 14 tahun, kongsi Elyana, dia dijangka akan dimasukkan semula ke wad untuk merawat sel kanser pada bahagian lain.
Bagaimanapun, katanya, dia masih berada dalam dilema sama ada memilih rawatan kemoterapi atau radioterapi.
Memandangkan anak-anak masih kecil, Elyana lebih selesa memilih radioterapi berbanding kemoterapi. Ini kerana kesannya tidak seteruk kemoterapi yang akan menyebabkan tubuhnya menjadi lembik.
“Saya akan lakukan apa sahaja sebagai ikhtiar untuk sembuh. Selain perubatan moden, saya mahu mencuba rawatan alternatif. Apa sahaja cadangan kenalan, saya akan cuba.
“Malah, saya pernah berulang alik selama hampir tiga tahun ke Jakarta, Indonesia untuk menjalani rawatan. Namun, saya tidak dapat terbang ke sana disebabkan COVID-19.
“Saya serasi dengan perubatan di Jakarta. Saya rasa lebih bertenaga seperti orang tidak sakit. Rawatannya menggunakan kaedah alami dan tidak mengenakan apa-apa bayaran.
“Rawatan juga lebih kepada kerohanian. Setiap malam Jumaat, ceramah agama diadakan membuatkan saya beroleh ketenangan. Biasanya, saya berulang alik antara sebulan atau dua bulan sekali. Kos mungkin agak tinggi kerana perlu terbang ke seberang.
“Namun, saya menjadi tidak berkira soal duit disebabkan beroleh ketenangan dan bertenaga,” katanya.
Mengulas penampilan terbaharu yang kini berhijab, Elyana mengakui, dia sedang berubah perlahan-lahan untuk berhijab dengan sempurna.
Akuinya, dia sudah lama berniat memakai tudung, memandangkan usia semakin meningkat dan anak-anak kian membesar.
“Jika dahulu, saya sibuk memikirkan konsep album, bimbang imej tidak bersesuaian. Lagipun, masih darah muda dan saya pula tidak pakai seksi, jadi belum masanya untuk berhijab.
“Tetapi, kini usia pun semakin meningkat, anak-anak sudah membesar. Dengan ujian COVID-19, saya rasa tiba masanya untuk saya berubah perlahan-lahan dan memakai hijab,” katanya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebanyakan wanita dalam kalangan masyarakat kita gemar untuk amal cara berpantang sendiri selepas bersalin dan ia memang pilihan tepat. Ini kerana berpantang selepas bersalin memang sangat perlu bagi memastikan tubuh badan si ibu mampu pulih dan sembuh seperti sedia kala.
Terpulanglah kepada anda sama ada ingin menggunakan cara berpantang moden atau cara berpantang tradisional, asalkan ia dilakukan dengan betul.
Cara berpantang sendiri
Selepas melahirkan anak, ada satu tempoh di mana wanita memerlukan penjagaan yang panjang lagi rapi bagi memastikan tubuh badan sihat dan kuat kembali. Tempoh ini dinamakan sebagai ‘tempoh pantang’ dan ia berbeza bergantung kepada kaum, tradisi serta tahap kesihatan tubuh badan seorang wanita itu.
Dalam kalangan masyarakat kita khususnya orang Melayu, tempoh ini kebiasaanya berlarutan selama 44 hari ataupun 100 hari – mengikut pilihan. Ketika ini, anda sangat tidak digalakkan untuk banyak bergerak dan beraktiviti kerana berehat dengan cukup adalah keutamaan yang wajar dipatuhi.
Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan oleh wanita sebagai cara berpantang sendiri? Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu lebih lanjut!
Perkara utama
Golongan ibu muda yang baru pertama kali bersalin, berpantang bukanlah sesuatu yang mudah ekoran belum cukup pengetahuan dan pengalaman. Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk kalian bertanyakan pendapat kepada pakar sama ada perlu buat cara berpantang moden atau cara berpantang tradisional.
Tanpa mengira cara yang dipilih, anda perlu pastikan bahawa ada beberapa perkara utama yang perlu diberikan perhatian sebagai cara berpantang sendiri.
Berikut merupakan 4 perkara utama yang dimaksudkan itu:
#1. Dapatkan rehat yang cukup
Semasa tempoh ini, perkara paling utama yang perlu wanita buat adalah berehat untuk menyegarkan kembali tubuh badan yang penat dan lemah. Manakan tidaknya, anda perlu menjaga dan menyusu bayi yang memerlukan 100% perhatian anda, jadi sila dapatkan rehat yang cukup. Antara tip yang mungkin kami boleh berikan di sini adalah untuk anda tidur pada waktu yang sama bayi anda tidur, sila cuba ya?
#2. Amalkan diet sihat
Selain itu, wanita juga perlu untuk makan dan minum secara seimbang bagi mendapatkan kembali nutrien yang mungkin sudah banyak kehilangan. Oleh itu, sila ambil lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran, serat, protein dan lain-lain untuk memastikan tubuh badan kekal sihat dan kuat. Buat anda yang menyusu badan, jangan lupa untuk minum lebih banyak air bagi menggantikan semula cecair dalam badan!
#3. Jangan malas untuk bersenam
Jangan salah sangka, anda mungkin tidak perlu untuk terus bersenam sehari, seminggu atau sebulan selepas anda melahirkan bayi. Sebaliknya, dapatkan nasihat pakar tentang waktu yang sesuai untuk kalian kembali aktif bagi memastikan tubuh badan kekal cergas.
Namun adalah sangat penting untuk anda tidak melakukan senaman yang berintensiti tinggi, tapi mulakan dengan berjalan atau berjoging.
#4. Minta bantuan orang lain
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, sila dapatkan bantuan daripada pakar, keluarga serta rakan untuk membantu anda ketika ini. Sebagai contoh, anda mungkin memerlukan pasangan untuk melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas dan sebagainya.
Paling penting, kalian juga mungkin mahu melanjutkan cuti bersalin jika bekerja untuk memastikan tubuh badan bersedia sebelum kembali ke pejabat.
Biasakan diri dengan perubahan!
Ketika anda sedang menjalani cara berpantang sendiri di rumah, tidak dinafikan mungkin akan berlaku banyak perubahan pada diri anda. Selain perubahan pada aspek mental, anda juga mungkin akan perasan bahawa perubahan juga berlaku pada aspek fizikal yakni tubuh badan.
Oleh itu, anda perlu biasakan diri dengan perubahan yang biasa terjadi seperti berikut dan amalkan cara berpantang moden atau cara berpantang tradisional:
Pembengkakan buah dada
Untuk pengetahuan anda, payudara wanita akan membengkak dan membesar ekoran penuh dengan susu beberapa hari selepas bersalin. Ia adalah normal namun akan menyebabkan ketidakselesaan yang boleh dikurangkan dengan tuaman. Jika ia turut melibatkan kerengsaan pada puting, anda mungkin boleh dapatkan krim dari doktor untuk mengurangkan rasa sakit dan ngilu tersebut.
Perubahan dinding pelvik
Kawasan di antara rektum dan faraj (perineum) biasanya akan mengembang dan terkoyak ketika proses melahirkan bayi secara normal. Bagi memulihkan kembali perubahan pada dinding pelvik ini, terdapat beberapa kaedah yang mungkin boleh anda cuba termasuklah:
Dalam pada itu, sila elakkan sebarang aktiviti lasak seperti mengangkat barangan berat ketika ini untuk elak dinding pelvik menjadi lebih teruk.
Sembelit
Adalah tidak pelik jika wanita hamil lepas bersalin itu mengalami sembelit selepas bersalin, jadi cara berpantang sendiri itu adalah sangat penting. Antara petua yang mungkin kalian perlu cuba adalah ambil lebih banyak serat dan air untuk merangsang aktiviti usus agar lebih lancar. Bersangkutan dengan dinding pelvik juga, Kegel adalah senaman terbaik yang boleh membantu menguatkan otot dan usus yang sudah lemah.
Kesimpulan
Kesimpulannya, setiap ibu hamil itu perlu untuk amal cara berpantang sendiri selepas bersalin sama ada secara moden atau tradisional. Ini bertujuan bagi membolehkan tubuh badan wanita itu kembali sihat dan kuat seperti sedia kala semula.
Di samping itu, ia juga merupakan kesempatan waktu untuk si ibu dan si anak mengeratkan hubungan mereka. Jika wujud sebarang persoalan tentang berpantang selepas bersalin, sila rujuk pakar untuk lebih informasi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemilihan makanan sebelum bersalin sangat penting untuk membekalkan tenaga, mengelakkan keletihan dan membantu ibu melalui proses kelahiran dengan lebih selamat.