Menggigil Satu Badan Lepas Bersalin, Doktor Dedahkan Sebabnya!

Share

Lain orang lain pengalamannya semasa melahirkan cahaya mata. Namun gejala badan menjadi menggigil selepas bersalin perlu diberikan perhatian segera. Apa sebabnya?

Menerusi laman Instagram milik Dr Izzat, Doktor Kesihatan Wanita, beliau berkongsi pengalaman dan penjelasan mengenai fenomena menggigil selepas bersalin yang sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu-ibu.

Labour Shakes atau Postpartum Shivering Gejala Normal

Menurutnya, keadaan ini dikenali sebagai labour shakes atau postpartum shivering dan ia merupakan sesuatu yang normal serta kerap berlaku selepas proses kelahiran.

Tambah beliau lagi, proses ini hanyalah tindak balas semula jadi tubuh terhadap perubahan besar yang sedang berlaku. Katanya, sama ada melahirkan secara normal atau melalui pembedahan caesarean, kedua-duanya boleh mengalami simptom ini.

Dr Izzat turut menyatakan bahawa perubahan hormon secara mendadak selepas bersalin, terutamanya penurunan hormon estrogen, progesteron dan oxytocin, memainkan peranan besar dalam gangguan sistem kawalan suhu badan.

“Kejadian yang normal terjadi lepas bersalin. Banyak sebab. Antaranya perubahan hormon estrogen, progesteron dan oxytocin yg mendadak akan kacau thermoregulation – cara badan kawal haba. Shivering adalah satu cara badan untuk mengeluarkan haba,” jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun situasi ini boleh kelihatan mengganggu dan menakutkan, ia tidak membahayakan dan tidak memerlukan sebarang rawatan khusus.

Rawatan asas seperti menyelimutkan badan ibu sudah mencukupi untuk menenangkan keadaan. Namun, sekiranya menggigil berlarutan dalam tempoh yang lama, atau disertai dengan simptom seperti demam dan kelemahan melampau, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan untuk menolak kemungkinan jangkitan seperti sepsis atau chorioamnionitis.

Melalui perkongsian ini, Dr Izzat berharap lebih ramai wanita, terutamanya yang bakal melahirkan anak, dapat memahami keadaan ini dan tidak terlalu cemas jika mengalaminya.

Tip Elak Menggigil Lepas Bersalin

Untuk membantu mengurangkan rasa menggigil, ibu boleh:

  1. Pastikan badan sentiasa hangat
    Pakai stoking, selimutkan badan dan elakkan terkena pendingin hawa secara terus.
  2. Minum air secukupnya
    Proses bersalin menyebabkan tubuh kehilangan banyak cecair melalui peluh dan darah. Minum air suam sedikit demi sedikit.
  3. Makan makanan berkhasiat
    Jangan biarkan perut terlalu lama kosong. Ambil makanan yang mengandungi protein, zat besi dan karbohidrat untuk memulihkan tenaga.
  4. Rehat dan kurangkan pergerakan berlebihan
    Tubuh baru melalui proses yang sangat memenatkan. Minta pasangan atau ahli keluarga membantu menguruskan bayi sementara ibu berehat.
  5. Beritahu jururawat atau doktor
    Jika masih berada di hospital, jangan tahan atau menganggapnya perkara biasa. Pemeriksaan suhu, tekanan darah dan tahap pendarahan mungkin diperlukan.

Namun, menggigil yang disertai demam 38°C atau lebih, sakit perut kuat, badan terlalu lemah, darah nifas berbau busuk, pendarahan banyak, luka bersalin merah atau bernanah, sesak nafas atau jantung berdegup sangat laju perlu diperiksa segera.

Demam dan menggigil beberapa hari selepas bersalin boleh menjadi tanda jangkitan rahim atau komplikasi lain.

Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!

Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil 

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Dr Muhammad Izzat Abdul Razak

Published by
SRM