
Ada kalanya anak kecil akan bertanya sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka oleh ibu dan ayah. Antaranya, pertanyaan mengenai perubahan yang berlaku pada tubuh badan mereka sendiri.
“Ayah, kenapa kemaluan saya mengeras pada waktu pagi?”
Soalan seperti ini mungkin membuatkan ibu ayah berasa serba salah, cemas atau tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Namun, perkara paling penting ialah jangan memarahi, mentertawakan atau membuatkan anak berasa malu.
Bagi anak lelaki yang sedang membesar, perubahan tersebut mungkin menimbulkan kekeliruan kerana dia masih belum memahami sepenuhnya fungsi tubuh badannya.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, ibu ayah boleh menerangkan perkara ini kepada anak dengan bahasa yang mudah, tenang dan sesuai dengan usianya.
Morning wood ialah keadaan semula jadi yang dialami oleh hampir semua lelaki. Memahami perkara ini akan membantu ibu ayah menjawab soalan anak dengan lebih yakin tanpa menimbulkan rasa takut atau malu.
Morning erection atau turut dikenali sebagai morning wood, ialah keadaan alat sulit lelaki mengeras ketika bangun tidur atau sejurus sebelum terjaga.
Fenomena biologi ini berlaku secara semula jadi kepada hampir semua lelaki dan boleh mula dialami ketika kanak-kanak sedang membesar sebelum menjadi lebih ketara apabila menghampiri usia akil baligh.
Jelaskan kepada anak bahawa keadaan tersebut bukan sesuatu yang pelik, kotor atau memalukan. Ia hanyalah sebahagian daripada perkembangan normal tubuh manusia.
Morning wood juga menunjukkan bahawa sistem saraf dan aliran darah ke bahagian alat sulit sedang berfungsi dengan normal.
Semasa tidur, tubuh berada dalam keadaan rehat dan sistem saraf boleh merangsang salur darah secara semula jadi sehingga menyebabkan ereksi berlaku tanpa disedari.
Keadaan ini bukan tanda penyakit dan biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan.
Morning wood lazimnya berlaku ketika seseorang berada dalam fasa tidur REM (Rapid Eye Movement).
Pada waktu ini, paras hormon testosteron boleh meningkat secara semula jadi. Peningkatan hormon tersebut membantu mencetuskan ereksi walaupun tanpa sebarang rangsangan seksual.
Bagi anak lelaki yang semakin meningkat dewasa, perubahan hormon ini merupakan sebahagian daripada proses pertumbuhan yang sihat.
Selain perubahan hormon dan kitaran tidur, pundi kencing yang penuh pada waktu pagi juga boleh menyebabkan morning wood
.Tekanan daripada pundi kencing yang penuh boleh merangsang saraf berhampiran lalu menghasilkan ereksi secara spontan. Sebab itulah keadaan ini sering berlaku sebaik sahaja seseorang bangun daripada tidur.
Ibu ayah juga perlu menjelaskan bahawa morning wood bukan semestinya berlaku kerana rangsangan seksual atau kerana anak melihat sesuatu yang tidak sepatutnya.
Ia boleh berlaku secara spontan ketika tidur tanpa sebarang fikiran, sentuhan atau rangsangan seksual.
Penjelasan ini sangat penting supaya anak tidak menyangka dia telah melakukan sesuatu yang salah. Jangan biarkan anak berasa bersalah atau malu terhadap tindak balas normal tubuhnya.
Apabila anak bertanya, ibu ayah boleh memberikan jawapan yang mudah difahami seperti:
“Perkara itu normal. Badan abang sedang membesar dan kadang-kadang bahagian tersebut boleh mengeras sendiri, terutama apabila bangun tidur. Abang tidak buat salah apa-apa.”
Pada masa yang sama, gunakan peluang ini untuk mengajar anak tentang privasi tubuh. Terangkan bahawa alat sulit ialah bahagian peribadi yang perlu ditutup dan tidak boleh disentuh atau ditunjukkan kepada orang lain tanpa sebab yang betul, seperti ketika mendapatkan rawatan dengan pengawasan ibu atau ayah.
Ketiadaan morning wood tidak semestinya menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah kesihatan. Setiap individu mempunyai keadaan tubuh dan kekerapan yang berbeza.
Namun, sekiranya berlaku kesakitan, bengkak, kemerahan, kecederaan, masalah membuang air kecil atau ereksi berpanjangan yang tidak surut selama beberapa jam, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Soalan anak mengenai tubuh badan tidak seharusnya dianggap memalukan. Cara ibu ayah memberikan respons akan menentukan sama ada anak berasa selamat untuk terus bertanya atau memilih mendapatkan jawapan daripada sumber yang tidak sesuai.
Jawablah dengan tenang, jujur dan mengikut tahap usia anak supaya dia memahami bahawa perubahan tubuh merupakan sebahagian daripada proses membesar. Dengan penjelasan yang betul, anak akan lebih yakin memahami tubuhnya serta menghormati privasi diri sendiri dan orang lain.
Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!
Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: Public Health Malaysia