“Anak saya suka membaca tetapi dia tak suka menulis”. “Susah betul nak suruh anak saya ini buat latihan menulis”. Ini adalah antara rungutan yang sering dengari daripada ibu bapa tentang kemajuan anak mereka terutama bila bacaan tidak lagi menjadi keutamaan.
Secara umumnya aktiviti menulis di peringkat tadika sering kali bermula dengan “latihan”. Perkataan latihan ini sudah cukup menunjukkan bahawa aktiviti ini adalah bersifat “kerja’, melibatkan penggunaan otot-otot kecil jari memegang pensel serta fokus mata untuk menghasilkan coretan yang berbentuk di atas kertas.
Huruf yang ditulis berulang-ulang tidak menghasilkan contohnya perkataan yang difahami dan sering kali anak hanya melakukan aktiviti ini bukan kerana suka tetapi dipaksa.
Bagaimanakah kita boleh memastikan aktiviti ini menjadi sesuatu aktiviti yang bermakna dan menyeronokkan?
Mengajar anak sebarang kemahiran baru seharusnya dimulakan dengan menyemai minat dahulu. Contohnya,kalau ingin anak suka membaca, mulakan dengan membaca buku cerita kepadanya.
Dengan itu, kalau ingin anak suka “ menulis” anda seharusnya mempamerkan keseronokan menulis serta kenapa menulis itu suatu kemahiran yang perlu dipelajari.
Bagaimana hendak kita mulakan? Ikuti empat langkah mudah ini.
Ads
LANGKAH SATU
Aktiviti penulisan pertama tidak perlu melibatkan anak-anak menulis atau memegang pensel. Tak pegang pensel? Macam mana anak hendak menulis kalau tak guna pensel? Tentu ibu ayah pelikkan.
Sebenarnya pensel dan pena akan digunakan tetapi yang akan menggunakannya adalah ibu atau ayah atau guru. Ibu atau ayah bertindak seperti wartawan atau seorang setiausaha. Ibu atau ayah bersama sekeping kertas dan pensel atau pena akan mengajak anak untuk bercerita.
Tanya anak apa aktivitinya pada hari itu
LANGKAH KEDUA
Ads
Seterusnya, ibu atau ayah akan bertanya kepada anak apa yang berlaku pada hari tersebut( maka seeloknya aktiviti ini dilakukan pada sebelah petang atau malam). Ibu atau ayah mungkin sudah mengetahui tentang perkara-perkara menarik yang mungkin telah berlaku pada hari itu, contohnya, anak baru sahaja pulang daripada lawatan sekolah ke zoo. Ibu atau ayah , boleh bertanya, “ Tadi adik pergi ke mana dengan kawan-kawan dan cikgu”. Dia menjawab “ Zoo”. Seterusnya ibu bolah bertanya, “ Ada apa di zoo?”.
Ibu atau ayah tulis apa yang anak ceritakan dengan ayat yang ringkas dan tulisan yang besar
LANGKAH KETIGA
Kemudian ibu atau ayah akan menulis apa yang anak akan ceritakan apa yang dilihat. Ibu atau ayah akan menulis di atas kertas. Masa ini ibu boleh bagitahu bahawa pada hari itu bermulalah aktiviti menulis diari aktiviti anak. Ibu akan menulis dalam ayat yang lengkap sambil diperhatikan oleh anak.
Ads
Apa yang berlaku di sini adalah anak melihat “fenomena” menulis, anak mengamati tulisan yang ditulis ibu atau ayahnya yang merupakan hasil daripada kata-katanya atau ideanya. Anak didedahkan kepada sebab dan perlunya dia untuk menulis. Anak akan teruja melihat apa yang difikirkannya dapat digambarkan dalam bentuk tulisan.
LANGKAH KEEMPAT
Akhirnya membuatkan anak-anak suka menulis. Aktiviti ini sebaiknya dilakukan setiap hari. Ianya boleh menjadi lebih menarik dengan meletakkan gambar yang berkaitan, tiket masuk atau sebarang kenangan berkaitan aktiviti. Mendekorasi muka depan diari boleh juga dijadikan aktiviti kreatif yang tersendiri.
Apa yang pasti aktiviti penulisan seperti ini membolehkan anak melihat proses menulis itu dan melihat bahawa ia adalah sesuatu yang bermanfaat malah menyeronokkan. Jom kita ajak anak-anak lakukan aktiviti menulis cara ini;
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak anak berani dan bijak buat keputusan, mak ayah kena beri kebebasan dari awal serta bersyarat. Ini antara faktor untuk tingkat yakin diri pada anak dan menjadi insan yang hebat, berwibawa serta baik akhlaknya.
Walaupun ramai mak ayah merungut susah dengan keadaan hari ini untuk beri kebebasan pada anak, ada cara yang lebih praktikal untuk dilakukan. 9 tip ini memang kita dah buat cuma tak dimanfaatkan sepenuhnya.
Memang anak-anak perlu diberikan galakan, tak kiralah apa pun yang mereka lakukan. Baik ketika mereka belajar merangkak, mengayuh basikal mahupun membaca. Tapi awas, jangan terlalu banyak melontarkan pujian terhadap anak-anak. Sikit-sikit “Bagus!”,”Sayang memang pandai!”,”Bijaknya anak mak!” Lama-lama mereka pun jadi kalis terhadap pujian, sampai tak tahu nak bezakan mana pencapaian mereka yang memang patut untuk diraikan. Anak-anak pun tahu ya kalau mak ayah puji berlebih, “Memang lukisan Amin nilah yang tercantik sekali ayah pernah tengok”. Puji anak biarlah berpada-pada dan kena pada tempatnya. Daripada puji hasil, tukar kepada puji usaha!
Macam kejam sangat bunyinya tu kan. Manalah ada mak ayah yang sanggup tengok anak terluka, sedih, kecewa. Tapi ada perkara-perkara yang anda tak perlu masuk campur. Biarkanlah anak-anak belajar dan alami sendiri. Kawan tak ajak mereka bermain? Anak tak terpilih masuk dalam acara lari dalam guni? Tak perlu menghadap guru besar dan desak mereka pilih anak kita. Anda sebenarnya tak membantu mereka pun. Kata Robert Brooks, penulis bersama buku Raising Resilient Children, kanak- kanak perlu tahu yang tak mengapa kalau mereka gagal, bahawa perasaan sedih, cemas dan marah itu normal. Mereka belajar untuk berjaya dengan menghadapi cabaran, bukannya dengan mengalihkan halangan itu bagi pihak mereka. Pendek kata, jangan balut anak-anak dengan bubble wrap, berikan mereka peluang untuk mengambil risiko.
Latihlah anak-anak untuk belajar membuat keputusan sendiri sejak dari kecil. Beri peluang untuk mereka membuat pilihan dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan mereka, contohnya baju apa nak pakai hari ni, sarapan pagi nak makan apa. Tapi pilihan yang bagaimana? Kalau mak ayah beri sepenuh kuasa kepada anak-anak pun tak boleh juga, nanti haru biru jadinya. Berilah dua atau tiga pilihan tertentu yang boleh anak pilih daripadanya. Contohnya jangan tanya terus “Adik nak makan apa pagi ni?” tapi tanyalah “Pagi ni adik nak makan roti bakar atau nasi goreng?” Pada masa yang sama juga, pastikan anak-anak tahu yang sesetengah perkara lain adalah tertakluk di bawah kuasa anda. Contohnya perlu atau tidak mereka ke sekolah hari ini!
Kalau anak-anak jenis yang mudah berasa kecewa apabila gagal, bantulah mereka untuk jadi lebih optimistik. Tapi jangan hanya sekadar ucap kata-kata indah ” Dik, pandanglah ke sisi positif, jangan lemah.” Sebaliknya galakkan anak-anak berfikir mencari penyelesaian bagaimana caranya untuk memperbaiki keadaan dan mencapai impian mereka. Kalau mereka kecewa kerana tidak terpilih memegang watak dalam pementasan drama sekolah, katakan kepada mereka, “Papa tahu Anis rasa sedih, apa kata kita fikir macam mana caranya supaya peluang Anis untuk terpilih lain kali lebih tinggi.”
Cuba dedahkan anak-anak kepada pelbagai jenis aktiviti berbeza. Apabila mereka dah temui apa yang mereka suka, galakkan mereka. Kanak-kanak yang mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu benda, tak kiralah apa pun, sama ada memasak, bermain skateboard ataupun menari selalunya berasa bangga dengan kepakaran mereka dan mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk berjaya dalam bidang-bidang yang lain.
Hobi-hobi aneh juga dapat membantu anak-anak yang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri di sekolah, malah anda boleh membantu anak-anak menggunakan minat mereka untuk berhubung dengan kawan-kawan yang lain. Contohnya, jika anak anda minat melukis tetapi kebanyakan kawan-kawannya minat bersukan, galakan anak anda untuk melukis sesuatu yang berkaitan dengan sukan dan tunjukkan kepada rakan-rakan yang lain.
Menurut penulis buku Raising a Thinking Child, Dr.Myrna Shure “Kanak-kanak berasa yakin apabila mereka dapat berunding untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.” Kajian beliau mendapati kita sebenarnya boleh mendidik anak kecil untuk menyelesaikan sendiri masalah mereka. Caranya? Zip mulut anda. Sekiranya mereka datang mengadu kepada anda apa yang terjadi, jangan terlalu cepat memberikan mereka penyelesaian. Tanya mereka akan cara terbaik yang mereka rasa patut dibuat. Rangsang minda mereka untuk berfikir dengan bertanyakan soalan yang tepat
“Apabila kanak-kanak berasa bahawa mereka menyumbang kepada perubahan, tak kiralah sama ada membahagi-bahagikan gelas di taman asuhan ataupun membawakan biskut ke rumah orang tua, mereka akan berasa lebih berkeyakinan,” kata Dr.Brooks. Memang bagus kalau anak-anak diberikan tugas sendiri dirumah, tetapi lagi baik kalau anda meminta anak kecil untuk membantu dalam sesuatu projek.“Umi memang perlukan bantuan kakak!” Mereka dapat melihat sendiri bahawa kerja orang dewasa memerlukan usaha, dan ini dapat membantu mereka agar tidak terlalu keras terhadap diri sendiri di masa depan kelak, kata Dr.Hirsh-Pasek
Kanak-kanak memang suka berkawan dengan rakan-rakan seusia mereka, tapi jangan lupa yang bergaul dengan orang yang lebih dewasa juga penting untuk mereka. Meluangkan masa disamping orang dewasa dapat meluaskan dunia anak-anak, mengalakkan mereka untuk berinteraksi dengan orang yang lebih besar (selain anda) dan memberikan mereka cara lain untuk berfikir. Kajian mendapati bahawa hubungan rapat anak kecil dengan orang-orang dewasa tertentu (seperti bapa saudara, guru, kawan ibu ayah) menjadikan anak-anak lebih berdaya tahan.
Jika anak-anak dapat membayangkan diri mereka melakukan sesuatu yang penting pada masa depan, ia dapat membantu menambah keyakinan mereka. Berceritalah dengan anak-anak tentang bagaimana anda, pasangan anda atau orang lain yang mereka kenal memilih karier. Mungkin anak anda bercita-cita ingin menjadi angkasawan ataupun pelakon terkenal, tak mengapa. Jangan perlecehkan impian mereka. Walaupun dia mungkin bertukar fikiran nanti, apa yang penting adalah dia berfikir tentang matlamatnya.
Sumber: parents.com & shaznur
Rancangan realiti keibubapaan edutainment, Rockstar Junior Arrian dan Andra di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) Rabu ini, jam 9 malam menampilkan kehidupan Tomok, isteri dan anak-anaknya termasuk interview eksklusif, tip keibubapaan dan cabarannya.
#RockstarJr #ArrianAndra
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak suka sangat kemam makanan dalam mulut. Ada yang kemam lama-lama, kemudian barulah telan makanan tu. Punyalah lama nak habiskan makanan ni. Tak kurang juga ada anak-anak yang kemam makanan, kemudian keluarkan semula makanan tu dari mulut. Kemam makanan tu sampai berair-air mulut. Lain pula yang dibuatnya. Bertambah-tambah la rasa susah hati mak dan ayahnya sebab anak makan macam tu.
Berikut penerangan yang dikongsikan oleh Nutritionist Iza dari Aishah Kassim Academy. Beliau menjelaskan faktor-faktor yang mungkin menyebabkan anak anda buat macam ni.
ANAK ANDA SUKA KEMAM MAKANAN DALAM MULUT?
1. ANAK ADA MASALAH SENSORI
Bila ada masalah sensori, ia boleh menyebabkan deria-deria yang ada pada anggota badan anak ni tak dapat nak hantar signal pada otak untuk proses dan bertindak balas berdasarkan infomasi yang dia dapat dari deria tu. Contohnya bila anak makan, deria dimulut tu tak hantar signal ke otak untuk anak kunyah dan telan makanan tu.
Ada kanak-kanak yang deria mereka sangat sensitif (hipersensitif) atau kurang sensitif (hiposensitif) bila dapat rangsangan oral. Kadang-kadang mereka yang mempunyai deria hipersensitif ni akan muntahkan semula makanan yang dimakan dan ada juga yang menolak makanan kerana terdapat gangguan pada deria-deria mereka dari makanan yang diberi padanya. Bagi kanak-kanak yang hiposensitif, mereka tak dapat rasa ada makanan dalam mulut, jadi mereka tak sedar dan biarkan je makanan tu berada dalam mulut mereka tanpa menguyah dan telan. Sampai berair-air mulut anak tu.
2. ANAK ADA MASALAH ORAL MOTOR
Kemahiran oral motor yang baik penting untuk kemahiran makan dan pertuturan anak. Gangguan pada bahagian ini menyebabkan anak anda mengalami masalah dengan otot-otot saraf bahagian oral mereka sehingga menyebabkan anak susah nak kunyah makanan, air liur asyik terkeluar, makanan dan minuman juga terkeluar dari mulut. Anak yang kemam makanan dalam mulut ni sebab tak tahu cara nak kawal pergerakkan lidah mereka. Tak tahu cara nak tolak makanan ke kiri, ke kanan, ke depan, ke belakang. Jadi, ibubapa perlu latih bahagian oral motor ini untuk bantu kembangkannya.
Kemahiran oral motor yang baik ni penting sewaktu proses makan sebab ia akan melibatkan cara bagaimana otot-otot mulut anak tu berfungsi untuk koordinasikan gerakkan mulut, nak latih kekuatan otot-otot mulut dan untuk gerakkan makanan dalam mulut sehingga proses menelan.
3. KUANTITI MAKANAN DALAM MULUT TERLALU BANYAK
Bila anak makan atau anda suapkan makanan dalam kuantiti yang banyak, anak tak dapat nak kawal pergerakkan lidah mereka tu. Jadi susah untuk anak telan makanan tu. Akhirnya anak hanya kemam makanan yang ada di dalam mulutnya. Kalau anda tak percaya, cuba la masukkan makanan dalam mulut banyak-banyak, lepas tu tengok dan rasa sendiri macam mana lidah tu nak gerak. Kita yang dewasa ni mungkin akan mudah sikit la nak gerakkan, tapi cuba bayangkan untuk kanak-kanak yang baru nak belajar makan ni, perkara ni susah sangat untuk mereka buat. Jadi, untuk ajar anak anda telan dan kunyah, bagi dalam kuantiti yang sikit dahulu. Anak pun tak tertekan nak kena habiskan makanan. Mesti ada yang akan cakap “lambat la habis kalau bagi makan sikit-sikit” kan? Ini la pengorbanan anda sebagai ibubapa yang tak ada sesiapa dalam dunia ni akan buat pada anak anda. Anda saja yang dapat bantu dia.
Apabila anak ada masalah fokus, mereka tak dapat nak beri tumpuan pada apa yang mereka sedang lakukan. Anak tak sedar dengan apa yang dia sedang buat dan apa yang terjadi pada sekelilingnya. Jadi susah untuk proses maklumat. Contohnya bila ada gangguan semasa makan seperti gadget, anak tak fokus pada makanan yang masuk ke dalam mulutnya. Jadi perkara yang sering terjadi, anak akan kemam saja makanan atau telan saja makanan tanpa menyedari apa yang di makan olehnya. Jadi ibubapa perlu tahu, penting sangat untuk anak ada fokus dan kesedaran yang baik. Bila anak sedar, mudah untuk mereka proses maklumat serta tahu apa langkah seterusnya yang mereka perlu buat bila makanan ada dalam mulut.
5. ANAK ADA MASALAH KOGNITIF
Kognitif yang baik penting untuk anak anda berfikir, mentafsir, mempelajari, memahami, mengingati dan memberi pendapat terhadap sesuatu perkara yang yang terjadi pada diri dan sekelilingnya. Anak anda akan mudah untuk ingat, merancang, faham turutan, menyelesaikan masalah, tahu kesan dan akibat dan berimaginasi terhadap sesuatu perkara bila mereka mempunyai kongnitif yang baik. Contohnya bila anak ada masalah kongnitif, mereka tak tahu apa nak buat bila ada makanan dalam mulut tu, tak tahu sama ada nak kena biarkan atau telan. Sebab tu ada kanak-kanak yang hanya kemam saja makanan tu.
Jadi, apa yang anda boleh buat sekiranya anak suka kemam makanan dalam mulut adalah:
(a) Elak beri anak snek (cth susu, buah, biskut dll) yang banyak sebelum waktu makan. Walaupun snek yang anda bagi tu berkhasiat. Sebab bila anda bagi banyak sangat, anak akan kenyang. Maka selera anak akan terjejas. Nak makan pun dah tak lalu.
(b) Tetapkan masa makan yang sama dan konsisten setiap hari. Jadi mudah untuk anda tahu dan rancang bila nak bagi anak snek, bila nak bagi anak makan. Kita tak nak jarak masa pemberian snek dan makanan utama tu dekat-dekat.
(c) Elakkan semua gangguan yang ada semasa makan seperti gadget, tv dan mainan. Ia akan membantu untuk anak fokus pada proses makan tersebut dan sedar mengenai apa yang patut mereka buat. Ia akan bantu mereka sedar dan belajar proses makan tu macam mana.
(d) Bila anda suapkan makanan pada anak, kurangkan kuantiti makanan yang disuap ke dalam mulut anak tu. Supaya tak susah untuk anak kunyah dan mudah untuk lidah anak gerakkan makanan dalam mulut. Sama juga kalau anda bagi anak makan sendiri, kawal kuantiti makanan yang masuk ke dalam mulut anak.
(e) Beri peluang untuk anak anda meneroka semasa makan. Jangan marah bila dia main-main dengan makanan tu. Beri peluang dia belajar untuk melatih kemahiran deria-deria dia. Boleh ajak anak buat aktiviti-aktiviti yang dapat rangsang sensori anak seperti masukkan spaghetti dalam botol, main tepung dll.
(f) Hiaskan makanan dalam rupa yang menarik. Anak akan lebih seronok bila nampak makanan yang cantik dalam pinggannya dan ianya membantu menarik minat anak untuk makan. Kadang-kadang anak tak minat nak makan sebab nampak makanan tu tak menarik.
Anda boleh cuba dulu tips di atas ni ya. Cuba dulu. Kunci utama adalah KONSISTEN dan TAK PUTUS ASA. Saya tak boleh beri jangka masa untuk anda nampak hasil, sebab setiap kanak-kanak berbeza. Apa yang pasti, bila anda konsisten, anda akan nampak perubahan pada anak tu.
InsyaAllah, saya doakan semoga semua usaha ibubapa yang baca dan cuba tips yang dikongsikan oleh saya ini dipermudahkan. Harap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda semua yang membaca.
**Mahu dapatkan keperluan anak pada harga jimat, klik di sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hati ibu ayah mana yang tak risau bila anak ketagih gajet hingga boleh menyebabkan tingkah laku berubah menjadi negatif. Kalau ada anak anda kini sedang mengalami masalah ketagihan gajet, boleh ikut cara ibu ini buat pada anak-anaknya yang ketagih gajet.
Hayana Darlizdalam perkongsian di facebook mengaku anak-anaknya menghadapi masalah ketagihan handphone sehingga menyebabkan tingkah laku mereka sukar dikawal, kerap mengamuk dan asyik menghadap handphone 24 jam sehingga dia mengambil langkah drastik demi memastikan anaknya berubah.
Maafkan saya sebab bertangguh lama nak kongsikan cara saya hentikan ketagihan handphone pada anak.
Ya anak-anak saya (Adam dan Adzan) ketagih handphone saja. Sebab kami tak ada gajet lain seperti tab.
Cara kami:
1. Menipu. Memang kami terpaksa menipu. Ini memang betul-betul tipu sunat. Kebetulan suami perlu bekerja di luar negara ketika itu. Kami tipu yang handphone mereka akan dibawa ke luar negara (anak-anak ada handphone sendiri). Padahal sebenarnya saya cuma sorokkan di dalam almari baju.
2. Dua bulan berjauhan dengan abi nya, saya “handle” anak seorang diri di rumah tanpa bantuan handphone untuk tenteramkan mereka. Memang rumah tunggang langgang. Anak-anak bergaduh tak kira masa. Tapi saya perasan yang hubungan mereka mula menjadi semakin rapat.
3. Ajaibnya langsung tak terkeluar di mulut mereka minta guna handphone saya untuk tonton youtube. Langsung. Selama dua bulan.
4. Cukup dua bulan, abi mereka pulang ke tanah air. Soalan pertama anak-anak “mana handphone”. Kami pandang sesama sendiri. Ketika itu kami duduk dan beritahu cerita sebenar kepada mereka. Dan kami sedarkan mereka yang mereka lebih seronok bermain tanpa handphone. Dan anak-anak setuju.
5. Maka bermula episod hidup kami membesarkan dan mendidik anak-anak tanpa handphone.
6. Ya, semudah itu. Langkahnya mudah, jalannya panjang dan berliku. Perlu istiqamah, perlu gigih dan tabah teruskan.
Bangga?
Ya memang kami bangga dapat betulkan silap kami. Dan syukur sangat Allah permudahkan semuanya.
Melihat Adam jadi lebih bertanggungjawab terhadap adik-adiknya. Perpustakaan mini di rumah sudah mula digodek walaupun buku-buku habis tercarik.
Alhamdulillah.
Saya tak suruh anda ikut saya menipu. Tapi saya sangat sarankan, sila betulkan kesilapan anda mulai sekarang.
Membiarkan anak-anak terus hanyut dengan dunia gajet adalah sangat salah. Anda kenal anak anda, anda sepatutnya tahu cara terbaik untuk “deal” dengan mereka.
Pasang niat, tawakal dan bolos saja dinding itu.
Semoga berjaya!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!