Nak anak berani dan bijak buat keputusan, mak ayah kena beri kebebasan dari awal serta bersyarat. Ini antara faktor untuk tingkat yakin diri pada anak dan menjadi insan yang hebat, berwibawa serta baik akhlaknya.
Walaupun ramai mak ayah merungut susah dengan keadaan hari ini untuk beri kebebasan pada anak, ada cara yang lebih praktikal untuk dilakukan. 9 tip ini memang kita dah buat cuma tak dimanfaatkan sepenuhnya.
Jangan puji anak sebarangan
Memang anak-anak perlu diberikan galakan, tak kiralah apa pun yang mereka lakukan. Baik ketika mereka belajar merangkak, mengayuh basikal mahupun membaca. Tapi awas, jangan terlalu banyak melontarkan pujian terhadap anak-anak. Sikit-sikit “Bagus!”,”Sayang memang pandai!”,”Bijaknya anak mak!” Lama-lama mereka pun jadi kalis terhadap pujian, sampai tak tahu nak bezakan mana pencapaian mereka yang memang patut untuk diraikan. Anak-anak pun tahu ya kalau mak ayah puji berlebih, “Memang lukisan Amin nilah yang tercantik sekali ayah pernah tengok”. Puji anak biarlah berpada-pada dan kena pada tempatnya. Daripada puji hasil, tukar kepada puji usaha!
Jangan selamatkan anak anda
Macam kejam sangat bunyinya tu kan. Manalah ada mak ayah yang sanggup tengok anak terluka, sedih, kecewa. Tapi ada perkara-perkara yang anda tak perlu masuk campur. Biarkanlah anak-anak belajar dan alami sendiri. Kawan tak ajak mereka bermain? Anak tak terpilih masuk dalam acara lari dalam guni? Tak perlu menghadap guru besar dan desak mereka pilih anak kita. Anda sebenarnya tak membantu mereka pun. Kata Robert Brooks, penulis bersama buku Raising Resilient Children, kanak- kanak perlu tahu yang tak mengapa kalau mereka gagal, bahawa perasaan sedih, cemas dan marah itu normal. Mereka belajar untuk berjaya dengan menghadapi cabaran, bukannya dengan mengalihkan halangan itu bagi pihak mereka. Pendek kata, jangan balut anak-anak dengan bubble wrap, berikan mereka peluang untuk mengambil risiko.
Biarkan anak-anak membuat keputusan
Latihlah anak-anak untuk belajar membuat keputusan sendiri sejak dari kecil. Beri peluang untuk mereka membuat pilihan dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan mereka, contohnya baju apa nak pakai hari ni, sarapan pagi nak makan apa. Tapi pilihan yang bagaimana? Kalau mak ayah beri sepenuh kuasa kepada anak-anak pun tak boleh juga, nanti haru biru jadinya. Berilah dua atau tiga pilihan tertentu yang boleh anak pilih daripadanya. Contohnya jangan tanya terus “Adik nak makan apa pagi ni?” tapi tanyalah “Pagi ni adik nak makan roti bakar atau nasi goreng?” Pada masa yang sama juga, pastikan anak-anak tahu yang sesetengah perkara lain adalah tertakluk di bawah kuasa anda. Contohnya perlu atau tidak mereka ke sekolah hari ini!
Fokus pada gelas separuh penuh
Kalau anak-anak jenis yang mudah berasa kecewa apabila gagal, bantulah mereka untuk jadi lebih optimistik. Tapi jangan hanya sekadar ucap kata-kata indah ” Dik, pandanglah ke sisi positif, jangan lemah.” Sebaliknya galakkan anak-anak berfikir mencari penyelesaian bagaimana caranya untuk memperbaiki keadaan dan mencapai impian mereka. Kalau mereka kecewa kerana tidak terpilih memegang watak dalam pementasan drama sekolah, katakan kepada mereka, “Papa tahu Anis rasa sedih, apa kata kita fikir macam mana caranya supaya peluang Anis untuk terpilih lain kali lebih tinggi.”
Ads
Suburkan minat mereka
Cuba dedahkan anak-anak kepada pelbagai jenis aktiviti berbeza. Apabila mereka dah temui apa yang mereka suka, galakkan mereka. Kanak-kanak yang mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu benda, tak kiralah apa pun, sama ada memasak, bermain skateboard ataupun menari selalunya berasa bangga dengan kepakaran mereka dan mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk berjaya dalam bidang-bidang yang lain.
Hobi-hobi aneh juga dapat membantu anak-anak yang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri di sekolah, malah anda boleh membantu anak-anak menggunakan minat mereka untuk berhubung dengan kawan-kawan yang lain. Contohnya, jika anak anda minat melukis tetapi kebanyakan kawan-kawannya minat bersukan, galakan anak anda untuk melukis sesuatu yang berkaitan dengan sukan dan tunjukkan kepada rakan-rakan yang lain.
Latih anak menyelesaikan masalah
Menurut penulis buku Raising a Thinking Child, Dr.Myrna Shure “Kanak-kanak berasa yakin apabila mereka dapat berunding untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.” Kajian beliau mendapati kita sebenarnya boleh mendidik anak kecil untuk menyelesaikan sendiri masalah mereka. Caranya? Zip mulut anda. Sekiranya mereka datang mengadu kepada anda apa yang terjadi, jangan terlalu cepat memberikan mereka penyelesaian. Tanya mereka akan cara terbaik yang mereka rasa patut dibuat. Rangsang minda mereka untuk berfikir dengan bertanyakan soalan yang tepat
Ads
Cari jalan untuk membantu orang lain
“Apabila kanak-kanak berasa bahawa mereka menyumbang kepada perubahan, tak kiralah sama ada membahagi-bahagikan gelas di taman asuhan ataupun membawakan biskut ke rumah orang tua, mereka akan berasa lebih berkeyakinan,” kata Dr.Brooks. Memang bagus kalau anak-anak diberikan tugas sendiri dirumah, tetapi lagi baik kalau anda meminta anak kecil untuk membantu dalam sesuatu projek.“Umi memang perlukan bantuan kakak!” Mereka dapat melihat sendiri bahawa kerja orang dewasa memerlukan usaha, dan ini dapat membantu mereka agar tidak terlalu keras terhadap diri sendiri di masa depan kelak, kata Dr.Hirsh-Pasek
Beri peluang untuk anak-anak meluangkan masa dengan orang yang lebih dewasa
Kanak-kanak memang suka berkawan dengan rakan-rakan seusia mereka, tapi jangan lupa yang bergaul dengan orang yang lebih dewasa juga penting untuk mereka. Meluangkan masa disamping orang dewasa dapat meluaskan dunia anak-anak, mengalakkan mereka untuk berinteraksi dengan orang yang lebih besar (selain anda) dan memberikan mereka cara lain untuk berfikir. Kajian mendapati bahawa hubungan rapat anak kecil dengan orang-orang dewasa tertentu (seperti bapa saudara, guru, kawan ibu ayah) menjadikan anak-anak lebih berdaya tahan.
Ads
Berfantasi tentang masa depan
Jika anak-anak dapat membayangkan diri mereka melakukan sesuatu yang penting pada masa depan, ia dapat membantu menambah keyakinan mereka. Berceritalah dengan anak-anak tentang bagaimana anda, pasangan anda atau orang lain yang mereka kenal memilih karier. Mungkin anak anda bercita-cita ingin menjadi angkasawan ataupun pelakon terkenal, tak mengapa. Jangan perlecehkan impian mereka. Walaupun dia mungkin bertukar fikiran nanti, apa yang penting adalah dia berfikir tentang matlamatnya.
Sumber: parents.com & shaznur
Rancangan realiti keibubapaan edutainment, Rockstar Junior Arrian dan Andra di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) Rabu ini, jam 9 malam menampilkan kehidupan Tomok, isteri dan anak-anaknya termasuk interview eksklusif, tip keibubapaan dan cabarannya.
#RockstarJr #ArrianAndra
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pantang kita terlepas pandang, anak ke dapur dan akan buat percubaan untuk buka peti ais. Bila dah semakin mahir, makin kerap pula dia buat. Dah jadi tabiat pula! Pastinya kita akan marahkan anak kerana khuatir barang makanan di dalam itu rosak atau sebenarnya kita lebih risaukan keselamatannya.
Anak kecil anda ada tabiat ini? Dalam sehari asyik buka peti ais sahaja kerja mereka. Mama tentu naik rimas melihat tingkah laku tersebut. Memang kalau ada anak kecil yang sudah pandai explore banyak benda, peti ais boleh jadi mimpi ngeri kepada ibu bapa.
Tetapi sebelum marahkan mereka cuba fahamkan dulu apa punca si kecil suka sangat explore peti ais. Lepas dah tahu apa puncanya mungkin boleh buat langkah pencegahan dan keselamatan untuk elakkan anak daripada mendapat bahaya.
Sebenarnya ada beberapa sebab yang mungkin menyebabkan kanak-kanak kecil dari usia 10 bulan hingga 6 tahun sangat suka buka pintu peti ais. Ini antaranya:
1. Rasa ingin tahu yang sangat tinggi
Bayi dan kanak-kanak memang terkenal dengan sikap ingin tahu mereka yang tinggi. Mereka asyik lihat papa dan mama buka pintu peti ais jadi keinginan untuk mencuba turut ada dalam fikiran mereka. Bila dapat peluang memang tak akan dilepaskan.
2. Anak tertarik dengan aktiviti buka peti ais
Bentuk objek peti ais itu sendiri sangat menarik perhatian si kecil. Apatah lagi jika selalu memerhatikan orang dewasa buka dan tutup pintu peti ais serta mengeluarkan pelbagai barangan daripadanya.
3. Mula-mula nak cuba, dah mahir dia jadikan tabiat!
Biasanya mula-mula si kecil hanya kerap berdiri depan peti ais sambil cuba membuka pintunya tetapi tidak berjaya. Namun, hasil tak mengenal erti putus asa jangan terkejut kalau anak anda akhirnya berjaya membuka sendiri pintu peti ais. Kali pertama berjaya, anak anda akan ketawa gembira dan bangga dengan pencapaiannya. Selepas itu mereka akan jadikan tabiat buka peti ais sebagai satu aktiviti wajib setiap hari. Bertabahlah mama!
Oh, mereka tahu dalam peti ais ada banyak makanan dan minuman yang disimpan oleh mama.
Mungkin juga ada makanan dan minuman yang mereka tidak dibenarkan makan. Jadi si kecil berusaha untuk mendapatkan makanan dan minuman kegemarannya di dalam peti ais.
5. Anak nak latih kemahiran tangannya
Dari sudut positif, kebolehan si kecil membuka pintu peti ais adalah satu bentuk kemahiran motor halusnya apabila mereka semakin mahir menggunakan tangan. Jadi, tabiat membuka pintu peti ais boleh juga menjadi satu rangsangan positif pada perkembangan kemahiran tangannya.
Bukankah sikap semula jadi si kecil memang meniru perbuatan orang dewasa. Sebenarnya mereka sedang meneroka persekitaran dan belajar banyak perkara daripadanya dan sememangnya si kecil anda budak bijak!
Jika anak anda sudah sampai peringkat tabiat ini, sentiasa utamakan keselamatan mereka terjamin. Berikut antara langkah keselamatan yang mesti dilakukan bagi mengelakkan anak diancam bahaya.
Jangan biarkan anak berseorangan di dapur kerana bimbang dia akan buka dan masuk dalam peti ais.
Jauhkan plug peti ais daripada jangkauan si kecil.
Jangan simpan ubat atau sebarang makanan/minuman yang tidak sesuai untuk anak kecil dalam peti ais.
Jika boleh segala makanan/minuman dalam botol/bekas kaca jauh daripada capaian anak bila dia membuka peti ais.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penulis yakin, semasa kita masih kecil, setiap daripada kita telah diajar bagaimana untuk menulis karangan dengan baik mengikut format penulisan tertentu sebagai satu cara komunikasi.
Ada penulisan berbentuk surat rasmi, surat tidak rasmi, perbualan dan pelbagai lagi format penulisan yang lain. Kesemuanya diajar seawal kita masih di bangku sekolah rendah, dan kemahiran penulisan tersebut diasah dengan lebih tajam setibanya di sekolah menengah. Adakah gaya penulisan menggunakan pen atau pensil tersebut merupakan satu-satunya cara berkomunikasi yang diajar semasa berada di sekolah? Atau terdapat kaedah komunikasi lain selain penulisan tersebut?
Lukisan dan contengan juga adalah bentuk komunikasi
Sekumpulan penyelidik daripada Michigan State University, Amerika Syarikat berpendapat, pengajaran penulisan di peringkat pendidikan awal kanak-kanak perlu lebih daripada sekadar penulisan berasaskan format tertentu atau dengan menggunakan alatan tertentu seperti pensel. Ia perlu lebih daripada ruang lingkup tersebut.
Mereka mendapati, guru-guru di tadika kurang menggalakkan ‘penulisan’ untuk tujuan berkomunikasi, sebaliknya hanya sekadar penulisan semata-mata. Menurut Hope Gerde, pensyarah di Jabatan Pembangunan Manusia dan Kajian Keluarga, setiap kanak-kanak mempunyai idea mereka yang tersendiri. Menurut beliau, setiap guru perlu menggalakkan kanak-kanak untuk mengekspresikan idea mereka dengan menggunakan apa sahaja jenis ‘penulisan’ yang mereka boleh hasilkan atau gemari. Ini termasuklah cara ‘penulisan’ atau komunikasi melalui lukisan atau contengan.
Terdapat hanya sedikit kajian berkenaan bagaimana guru-guru tadika melihat penulisan pada pendidikan awal kanak-kanak, termasuklah minat dan keseronokan kanak-kanak tersebut. Amat penting untuk memahami pendapat guru memandangkan pendapat mereka akan mempengaruhi segala arahan pengajaran. Tambahan lagi, menggunakan penulisan sebagai salah satu alat komunikasi adalah cara yang berkesan untuk menguatkan kemahiran menulis pada umur yang masih muda. Ia sememangnya akan meningkatkan kejayaan akademik kanak-kanak tersebut.
Kurang bimbingan kepada kanak-kanak
Kajian mendapati, sokongan persekitaran seperti ruangan menulis yang telah ditetapkan diwujudkan dalam 94% daripada keseluruhan bilik darjah. Walau bagaimanapun, terdapat perbincangan yang terhad berkenaan bagaimana kanak-kanak diajar untuk menggunakan bahan yang disediakan.
Berdasarkan kajian tersebut, penyelidik mendapati, secara umumnya guru-guru tadika bersetuju bahawa kanak-kanak menyukai aktiviti penulisan. Walau bagaimanapun, guru-guru turut menyatakan bahawa terdapat kekurangan daripada segi bimbingan mengenai bagaimana untuk mengajar kanak-kanak tersebut menulis, walaupun mempunyai kurikulum yang telah ditetapkan.
Mungkin selepas ini, terdapat sedikit kebebasan untuk kanak-kanak mengekspresikan cara komunikasi mereka dengan menggunakan cara yang lain tanpa meninggalkan konsep penulisan sedia ada. Ia bertindak sebagai langkah penambahbaikan kepada konsep sedia ada yang terlalu terhad. Selain itu, guru-guru juga perlu membimbing kanak-kanak bagaimana untuk menggunakan alatan dalam bilik darjah agar mereka dapat berkomunikasi dengan lebih baik.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak picky eaters bila ibu bapa lakukan kesilapan ini, kalau pernah buat, segera hentikan. Anak yang memilih-milih makanan atau dikenali sebagai ‘picky eaters’ seringkali menjadi masalah kepada ramai ibu bapa.
Anak Picky Eaters Bila Ibu Bapa Lakukan Kesilapan Ini
Kecenderungan untuk menolak makanan tertentu atau mempunyai pilihan makanan yang sangat terhad boleh menjadi sumber kebimbangan. Hal ini kerana ia sangat berkaitan dengan nutrisi dan perkembangan anak.
Picky eating biasanya didefinisikan sebagai penolakan untuk makan makanan tertentu atau keengganan untuk mencuba makanan baru. Walaupun kebanyakan kanak-kanak melalui fasa ini pada satu titik dalam perkembangan mereka, bagi sesetengah, kebiasaan ini boleh berterusan atau menjadi lebih serius.
Kebenaran ini mesti disampaikan walaupun pahit. Saya tahu ramai akan susah nak terima. Tapi tujuan post ini adalah bukan untuk menyalahkan dan menunding jari pada ibu bapa. Bahkan untuk sama-sama belajar memperbaiki diri dan bantu anak atasi picky eaters.
Most of the time, kanak-kanak bukan dilahirkan picky eaters. Mereka tiada masalah apa-apa tapi disebabkan oleh cara ibu bapa mengendalikan anak-anak pada waktu makan menyebabkan anak jadi picky eaters.
1️⃣ Menggunakan makanan sebagai hadiah dan hukuman. Beri anak aiskrim sebagai upah kalau habiskan makanan akan buat anak bertambah tak makan. Paksa, ugut, menengking anak untuk makan juga sangat tidak membantu!
2️⃣ Tidak menunjukkan contoh yang baik ketika makan. Parents tak tunjuk healthy eating habit tapi nak anak makan tanpa gula dan garam. Buah tak makan, sayur susah telan, macam mana anak nak ikut. Ibu bapa kena mulakan dulu.
3️⃣ Tidak variety kan makanan anak. Hanya beri makanan anak suka sahaja sebab sudah give up anak tak nak yang lain. Key untuk anak suka sesuatu makanan adalah exposure exposure exposure.
4️⃣ Ada snek di rumah. Kalau di rumah ada keropok, jajan, sweets, icecream lah, memang susah nak makan proper. Anak akan ada tendency kenyang dengan snek begini. Bukan tak boleh langsung tapi sesekali sahaja dan beli on usage basis. Tiada stok makanan begini di rumah.
5️⃣ Pressure anak waktu makan. Merenung anak, paksa anak makan, asyik suruh makan je. Bila pressure tinggi, anak pun tak selera nak makan.
But dont worry, picky eating disebabkan oleh faktor begini mudah nak reverse kan dengan mengubah approach dan behaviour ketika waktu makan.