Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu kota semalam tepat jam 10.01 malam.
Berita gembira itu disahkan oleh wakil pengurusan Nabila Razali Entertaiment yang memaklumkan bahawa ibu dan bayi dalam keadaan sihat.
Bayi seberat 3.1kg itu adalah anak sulung Nabila, hasil perkahwinannya dengan suami, Nik Iruwan, 39, yang berlangsung tahun lalu.
Nabila 32 meluahkan rasa syukurnya selepas selamat bersalin.
Ads
“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya.
Ads
“Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan dan akhirnya Allah kurniakan Amanah ini buat saya dan suami.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan saya serta memberi sokongan tidak berbelah bagi selama ini,” katanya dengan penuh rasa syukur dan terharu.
Ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka kini sedang giat mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah taska.
Bayi perempuan comel itu dikatakan ditinggalkan di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Semabok, Melaka sejak tiga bulan lalu.
Menerusi kenyataan rasmi, JKM memaklumkan bahawa bayi yang ketika itu dianggarkan berusia sekitar tiga hingga empat bulan telah dihantar ke taska berkenaan oleh sepasang lelaki dan wanita pada 17 Mac lalu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), individu terbabit dianggarkan berusia lingkungan 40-an dan berpakaian biru serta merah pada hari kejadian.
Namun begitu, tiada waris yang tampil untuk mengambil bayi tersebut sejak 19 Mac, menjadikan bayi berkenaan yang kini dikenali sebagai Arisa, secara rasmi di bawah jagaan JKM.
“Bayi perempuan itu dihantar ke taska tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan waris tidak mengambilnya bermula 19 Mac lalu.
“Setakat ini, bayi berkenaan diletakkan di bawah jagaan JKM dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sehubungan itu, JKM Melaka menyeru ibu kandung atau mana-mana waris yang mengenali atau mempunyai hubungan dengan bayi berkenaan supaya segera menghubungi Pelindung Kanak-kanak atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah.
Di mana, orang ramai boleh berbuat demikian di talian 06-3333333 bagi membantu proses kebajikan dan penjagaan bayi tersebut.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak kebelakangan ini, tular cerita tentang nama-nama gelang emas. Ada jenis melur, pulut dakap, kepala ular, belut, sauh pintal dan banyak lagi. Tapi yang menjadi kegilaan ramai adalah gelang emas pulut dakap perut ular. Bukan saja rekaannya cantik, tetapi nilainya juga tinggi.
Bukan mudah mahu beli, sebab harganya mahal. Selain tebal, ia juga berat. Semakin berat sesuatu barang kemas, harganya akan meningkat. Perlu ada ilmu ketika mahu membeli. Akhtar Syamir berkongsi tip pembelian gelang pulut dakap perut ular ini melalui penulisannya.
Jika anda merancang untuk membelinya, ikuti perkongsian bermakna ini.
Katakanlah anda berjaya meyakinkan diri anda atau suami anda untuk membeli gelang Pulut Dakap Perut Ular tu yang beratnya 17g pada hari ini.
Dari apa yang anda dengar dan baca, ada yang kata kedai tiada upah tu sudah masukkan harga pada harga emas. Jadi, sama sahaja katanya.
Kemudian, ada pula yang kata, upah mahal. Sampaikan rantai 30g upah sahaja dah RM900. Terbeliak mata anda. Terbeliak lagi mata si suami.
Jadi, anda pun pening. Hari-hari terbayang Pulut Dakap, tak lena tidur dibuatnya. Perancangan dan bisikan untuk memujuk si suami pun dah berjaya walaupun memakan masa berbulan-bulan.
Tapi bila masa nak membeli, anda keliru dan tak dapat nak pilih kedai mana yang lebih murah, yang ada upah ke atau yang tiada upah?
Ini cara kira yang sangat mudah untuk anda buat keputusan. Sebagai contoh :
Kedai Emas Mek Leha Kaya :
Emas 1g RM245
Free Upah
Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang :
Emas 1g Rm237
Upah mengikut jenis barang kemas.
Cincin, subang RM50+
Gelang RM200+
Rantai RM300+
Gelang Pulut Dakap Perut Ular beratnya 17g.
Kedai Emas Mek Leha Kaya
17 x RM245 = RM4165
Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang
17 x RM237 + RM200 = RM4229
Jadi, kedai mana yang murah? Patutlah Mek Leha terus kaya, sebab barang kemas kedai dia lagi murah sebenarnya. “Upah dah masuk dalam harga emas” punya ayat tu sebenarnya tak tepat tanpa ada perkiraan sebegini.
Tapi, semuanya bergantung kepada kos upah Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang. Mungkin dia boleh tawar lagi kos upah tu. Mungkin la, boleh cuba kalau mahu.
Pada pendapat saya, kedai yang menjual emas tanpa upah ialah kedai yang paling mudah untuk berurus niaga. Anda sudah tahu harga emas kedai itu dan anda hanya perlu darab sahaja. Tak perlu risau berapa Ringgit yang anda perlu bawa.
Risiko pada kedai yang ada mengenakan upah ialah pada upahnya. Ada yang ikut jenis, ada yang ikut berat contohnya 1g RM10 / RM20 / RM30 dan ada yang suka-suka letak dan tunggu pelanggan tawar. Kalau tak tawar, untunglah dia. Kalau pandai tawar, mungkin akan dapat lebih murah dari kedai yang harga tetap dan mungkin juga harganya sama sahaja.
Nak mudah, tak perlu pening-pening. Ambil tahu harga emas kedai tu, darabkan dengan berat dan campur kos upah. Kemudian, bandingkan jumlah dia dengan kedai yang tiada ambil kos upah. Dari situ anda boleh tahu yang mana lebih murah, yang mana lebih mahal.
Ambil kira juga harga trade in (anda jual emas anda ke kedai, pegang duit dan tambah duit untuk emas yang baru). Buat perkiraan yang sama, cuma perlu tambah penolakan harga emas yang anda trade in (jual) kepada kedai.
Contohnya anda sudah ada gelang Coco 15g. Nak tukar angin ke gelang Pulut Dakap Perut Ular 17g.
Kedai Emas Mek Leha Kaya tadi dia beli emas anda pada harga RM210 jika anda mahu beli emas di kedai dia.
Emas Pulut Dakap : RM4165
Emas Coco anda : 15 x RM210 = RM3150
Tolak harga Pulut Dakap dengan Coco RM4165 – RM3150 = RM1015. Ini amaun yang perlu ditambah.
___
Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang pula dia beli emas anda pada harga RM215 jika anda mahu beli emas di kedai dia.
Emas Pulut Dakap : RM4229
Emas Coco anda : 15 x RM215 = RM3225
Tolak harga Pulut Dakap dengan Coco RM4229 – RM3225 = RM1004. Ini amaun yang perlu ditambah.
Jadi, Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang lagi murah walaupun berbeza hanya beberapa ringgit sahaja.
Pilihan di tangan anda. Jika harganya tak jauh beza, pengakhirannya anda akan memilih sama ada dari segi nama kedai atau servis yang pekerja kedai itu beri.
Secara kesimpulannya, apabila hendak membeli emas, ambil tahu :
1. Harga emas kedai 2. Harga upah spesifik kepada barang kemas yang akan dibeli 3. Harga trade in (jual emas anda dan beli emas di kedai sama) 4. Harga jual untuk dapat tunai
Semoga dengan panduan ini, anda dapat membeli emas dengan harga terbaik dan tidak tertipu dengan promosi-promosi yang memperdaya. Akan saya sambung mengenai perkara ini di penulisan akan datang.
Jadilah pembeli emas berilmu, kongsikan penulisan ini buat manfaat semua.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apabila kerajaan mengesahkan bantuan kewangan berjumlah RM150 secara one-off akan diteruskan bagi tahun hadapan, ramai ibu bapa menarik nafas lega. Inisiatif ini dikenali sebagai Bantuan Awal Persekolahan 2026 dan ia bertujuan membantu meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak di seluruh negara.
Pengumuman rasmi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini pastinya memberi kelegaan kepada jutaan ibu bapa, khususnya yang sedang merancang perbelanjaan awal sebelum sesi persekolahan baharu bermula. Lebih melegakan, bantuan ini diberikan tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa atau penjaga, sekali gus memastikan setiap murid menerima manfaat yang sama rata.
Bagi tahun 2026, seramai lebih 5.2 juta murid sekolah rendah dan menengah, termasuk pelajar Tingkatan Enam, layak menerima Bantuan Awal Persekolahan 2026. Pendekatan inklusif ini jelas mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebajikan pendidikan anak-anak terus terpelihara tanpa mengira latar belakang keluarga.
Bantuan sebanyak RM150 ini diharap dapat membantu ibu bapa menampung keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, beg sekolah serta alat tulis. Bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak bersekolah, bantuan ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan kewangan yang sering dirasai menjelang awal tahun.
Menurut makluman rasmi KPM, bagi tahun 2026, kaedah penyaluran bantuan akan kembali dilaksanakan secara serahan tunai di sekolah. Agihan ini dibuat menerusi program pertemuan antara guru dan ibu bapa yang dianjurkan oleh pihak sekolah masing-masing.
Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan proses agihan, malah secara tidak langsung mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa. Ia juga memberi ruang kepada ibu bapa mendapatkan maklumat terkini berkaitan perkembangan akademik serta kebajikan anak-anak mereka.
Untuk makluman semua ibu bapa dan penjaga, agihan Bantuan Awal Persekolahan 2026 dijadualkan bermula seawal 11 Januari 2026 (Ahad). Proses ini akan dilaksanakan secara berperingkat di sekolah-sekolah seluruh negara.
Sehubungan itu, ibu bapa disarankan agar sentiasa peka dengan sebarang makluman rasmi daripada pihak sekolah bagi memastikan kehadiran semasa hari agihan dan proses penerimaan bantuan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekeliruan.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM800 juta khusus untuk Bantuan Awal Persekolahan menerusi Belanjawan 2026. Peruntukan besar ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pendidikan dan kesejahteraan murid di Malaysia.
Selain itu, kerajaan turut memperluas Bantuan Am Persekolahan (BAPs) kepada murid miskin sehingga Tingkatan Lima, berbanding hanya sehingga Tingkatan Tiga sebelum ini, dengan peruntukan sebanyak RM180 juta. Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan untuk mengurangkan keciciran pelajar akibat kekangan kewangan.
Dalam masa yang sama, sebanyak RM150 juta turut diperuntukkan bagi Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) untuk membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan meneruskan persekolahan. Bantuan ini amat penting bagi memastikan peluang pendidikan yang adil dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Usaha ini selari dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi fokus kepada pengukuhan akses pendidikan yang adil, menyeluruh dan inklusif, terutama kepada golongan yang memerlukan.
Selain bantuan kewangan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) turut diteruskan dengan peruntukan RM870 juta. Program ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 870,000 murid di seluruh negara bagi memastikan mereka menerima makanan berkhasiat sepanjang sesi persekolahan.
Buat ibu bapa, manfaatkan Bantuan Awal Persekolahan 2026 sebaiknya untuk keperluan persekolahan anak-anak. Persiapan yang rapi bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah mampu meningkatkan keyakinan dan semangat anak-anak untuk memulakan tahun persekolahan baharu dengan lebih ceria, positif dan bersedia menghadapi cabaran pembelajaran.