Setiap ibu bapa pasti idamkan anak yang soleh dan solehah. Namun dalam usaha untuk mencapai impian itu, perlu ada usaha dan doa daripada ibu bapa supaya dapat mengiringi perjalanan anak-anak dengan lebih baik.
Perkongsian daripada seorang ibu, Puan Wan Nur Syakira mengenai bagaimana ibu bapa boleh lakukan untuk pastikan anak membesar menjadi anak yang baik.
Saya kumpulkan 4 tips yang saya jumpa dan amalkan.
1️⃣ DOA
Setiap kali pakaikan baju dan seluar anak-anak, saya akan bacakan doa memakai pakaian kuat-kuat.
” Ya Allah, sebagaimana Kau cantikkan rupaku, Kau cantikkanlah akhlakku.”
Lalu saya lanjutkan dengan doa,
“Ya Allah, jadikanlah Adam dan Yusuf anak yang soleh, anak yang mudah dididik dan dilentur, anak yang jaga solat , quran dan akhlaknya”, dan saya lanjutkan juga doa-doa yang lain.
Tak lupa, doa, ” Ya Allah, berilah kekuatan dan kesabaran buat abi dan ummi untuk didik anak -anak. Moga dapat jadi contoh yang baik buat anak”. Doa untuk diri kita juga.
Selalunya ibu bapa lupa untuk mendoakan diri sendiri. Terlalu fokus doakan anak.
Dengan harapan, moga Allah makbulkan doa ini dan Adam dan Yusuf mengerti harapan umminya ini.
2️⃣ Doa selepas solat or ketika sujud atau mana-mana waktu mustajab doa ( contohnya ketika hujan, kita ajak sekali anak kita aminkan doa sama-sama atau hari jumaat, kita banyakkan doa ).
Lagi hebat kesannya, doa bila kita bertahajud. Berqiamullail.
Doa ibu bapa ini sangatlah ajaib khususnya doa ibu. Saya pun selalu minta doa ummi dan abah dalam menjalani hidup.
Saya pasti ada peristiwa dalam perjalanan hidup saya dimudahkan oleh Allah disebabkan doa dan restu ummi dan abah saya.
Ads
Tanpa mereka dengan izin Allah, pasti perjalanan seorang anak anak ini sukar dan payah.
3️⃣Pengaruhi minda separa sedar anak. Ketika anak sudah mahu tidur, sudah lali, bisikkan doa dan harapan kita untuknya.
Bercakaplah dengan anak kita tentang akhlak yang baik sambil menyusu dan anak sudah mahu terlelap.
Kuasa minda separa sedar ini sangat hebat dan akan terkesan untuk jangka waktu yang lama. Orang barat kata, ” bed time story”.
So, ambillah peluang ini untuk doakan, nasihatkan anak biarpun anak masih kecil.
Moga ada hasilnya buat ibu yang tiada putus asa mendidik.
Tips ini saya dapat dari kuliah Ustazah Asma’ Harun.
Sudah pasti, tiada kelihatan lagi kesannya pada waktu ini, kerana jika anak kita masih kecil. Belum menginjak 2 tahun pun. Tapi sebagai ibu, wajib kita usaha untuk anak tersayang.
4️⃣- Kitalah yang harus tunjukkan akhlak dan karakter yang baik.
Ads
Itu yang utama. Sebagai ibu, harus sentiasa berubah jadi lebih dan baik. Bukan semata-mata untuk anak, untuk diri sendiri juga.
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA katanya, tidaklah Rasulullah SAW seorang yang bersifat keji, dan tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji, Baginda bersabda, “Sesungguhnya di antara orang-orang yang terpilih di antara kamu ialah orang yang paling mulia akhlaknya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud orang yang terpilih, adalah orang-orang yang berakhlak mulia adalah orang yang terpilih di sisi Allah dan Rasul serta diberi darjat yang istimewa di dalam Syurga.
Kitalah role model pertama mereka. Kita tak sempurna, namun sentiasa ada ruang untuk jadi lebih baik.
Anak-anak cermin ibu bapa, mengikut kajian, umur anak 3-4 tahun akan menzahirkan didikan dan ajaran ibu bapa tersebut.
Bila ada yang tak kena pada anak, saya cuba muhasabah pada diri.
Kenapa Adam macam tak dengar bila saya cakap ?
Rupanya ada waktu saya yang tak respon dia cakap.
Ads
Kenapa Yusuf gunakan suara kuat untuk panggil saya ?
Rupanya bila dia guna suara perlahan saya tak berpaling pun.
Kenapa anak-anak susah nak ikut rutin makan di meja makan ?
Rupanya umminya yang tak konsisten makan di meja makan.
Begitulah. Sedarlah kita bahawa kita punya pengaruh yang besar dalam membentuk anak-anak.
Tapi kita ibu ayah, memang tak lepas dari silap, takpe, bangun balik, maafkan diri, dan doalah sentiasa.
Moga Allah hiasi anak kita dengan akhlak mulia. Moga keluarga kita bahagia dengan berakhlak mulia. Moga Allah kuatkan semua ibu dan bapa untuk mendidik anak.
Moga Allah himpunkan kita satu keluarga di syurga dengan asbab Allah merahmati kita disebabkan akhlak mulia yang memberatkan timbangan. Amin.
Dari Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Tidak ada sesuatu amalan yang jika diletakkan dalam timbangan lebih berat dari akhlak yang mulia. Sesungguhnya orang yang berakhlaq mulia boleh menggapai darjat orang yang rajin puasa dan rajin solat.” (HR. Tirmidzi no. 2134 )
Anak mula buat bising, sepah, mengada-ngada dan berusaha keras untuk membuat adiknya menangis, ibu ayah kena semak balik cara berikan perhatian kepada anak, cukupkah sebenarnya?
Perkongsian daripada kaunselor Puan Farhan ini diharapkan boleh membuka mata kita semua sebagai ibu bapa supaya menjadi lebih baik.
Jangan menyalahkan anak semata-mata kerana kenakalannya, selalu ‘buat hal/ buat perangai’ sebaliknya periksa kembali cukupkah perhatian yang mereka dapat daripada ibu bapa. Adakah layanan sambil lewa yang diberi memadai sedangkan gajet dan telefon sentiasa di tangan.
Berikut ialah perkongsian beliau;
Tanda anak dahagakan perhatian
Kalau anda perasan anak anda, biasanya ada anak yang jenis try hard utk dapatkan perhatian anda.
Namun, biasanya usaha anak ini sentiasa di salah erti.
Anak yang terlalu berusaha untuk dapatkan perhatian ibu dan ayah ini sering dilihat sebagai anak yang sering melakukan masalah dan kekacauan.
Anak yang dahagakan perhatian biasanya akan melakukan perkara perkara seperti dibawah:
Semua tanda-tanda diatas itu biasanya ditafsirkan dengan cara yang berbeza oleh ibu dan ayah.
Apa yang akan difokuskan adalah kesalahan yang dilakukan berbanding mesej sebenar disebalik itu.
Jadi, apakah sebenarnya punca anak terlalu dahagakan perhatian sehingga mereka sanggup lakukan apa sahaja?
Sebenarnya, anak yang berusaha sungguh-sungguh untuk meraih perhatian ibu dan ayah ini berpunca dari perasaan anak anak itu sendiri yang merasakan bahawa kurangnya perhatian yang diterima dari ibu dan ayah.
LAYANAN SAMBIL LEWA
Pemahaman anak itu kadang berbeza. Walaupun kita rasa kita dah beri perhatian, namun ada kalanya ia dilakukan secara lewa.
Contohnya melayan anak sambil bermain telefon atau membuat kerja.
Apabila anak merasakan ibu dan ayah tidak berminat, mereka akan melakukan sesuatu untuk meraih perhatian itu. Walau kadang kadang apa yang diterima adalah kemarahan. Namun kemarahan itu menandakan ibu dan ayah mereka memberi perhatian. Mereka berjaya membuatkan ibu dan ayah berpaling pada mereka dan terpaksa menyelesaikan apa yang mereka sudah buat.
3 TIP ELAK ANAK TERLALU DAHAGA PERHATIAN & KASIH SAYANG
Jadi, apa yang kita boleh lakukan untuk membantu anak anak kita agar tidak terlalu dahaga kasih sayang.
1. Sentiasa berusaha untuk respon kepada apa yang anak cuba sampaikan/mahu.
Contohnya anak ajak anda bermain.
Kalau anda sibuk, jangan katakan ” Jangan kacau ibu boleh?”
Tetapi sebaliknya katakan.
“Tunggu sekejap ya, ibu siapkan ni sekejap nanti kita main sama sama tau, tak sabar ibu nak main sama sama”
Tunjukkan pada anak effort dan keterujaan anda untuk bersama dengan anak anak walaupun anda sebenarnya sibuk.
2. Berikan pujian kepada perkara baik anda lakukan.
Biasanya kalau anak buat baik kita tak notice. Pandang pun sebelah mata.
Tapi bila anak mula buat sesuatu yang kirang baik kita akan mula pusatkan perhatian kita pada anak dan marah mereka.
Jadi why not, mulai sekarang anda peka dan beri perhatian pada anak anda saat mereka melakukan perkara yang baik.
Kesannya, mereka tidaklah akan cuba sedaya upaya melakukan sesuatu yang tidak baik semata mata mahukan anda beri perhatian kepada mereka.
3. Sentiasa ada special time bersama anak.
Special time itu tak perlu lama pun. 10 minit pun cukup. Duduk bersama anak, berbual bual dan mendengar apa yang mereka mahu katakan. Peluk dan cium anak anak. Gosok belakang mereka.
Special time ini boleh dilakukan secara beramai ramai dan juga ada masanya ia perlu dilakukan seorang demi seorang.
Contoh anda ada anak 3 orang, jadi kak long akan ada special time dengan anda, begitu juga dengan kak ngah dan adik.
Semua usaha ini perlu untuk mengelakkan anak anda menjadi sorang yang terlalu dahagakan kasih sayang sehinggakan mereka try hard untuk berbuat sesuatu yang tidak baik semata mata untuk menarik perhatian ibu dan ayah.
Memberi nasihat adalah proses pengajaran yang berpanjangan dan tiada limitasi usia. Apabila bergelar ibu bapa, memberi nasihat adalah salah satu tugas rutin yang menjadi kewajipan utama pada anak-anak.
Setiap ibu bapa sudah tentu mahu membesar dan mendidik anak-anak menjadi insan yang baik dan berakhlak. Justeru menasihati mereka tanpa jemu salah satu pelajaran penting yang mesti diberi keutamaan.
Namun menasihati anak bukan boleh main redah bila-bila masa sahaja kerana jika tak kena waktu, ia ibarat mencurah di atas daun keladi sahaja. Anak nampak mendengar tapi satu apa pun sampai ke dalam hatinya.
Menurut perkongsian Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, maksud nasihat BUKAN tegur kesalahan atau marah dan ada waktu efektif untuk ibu bapa menasihati anak-anak.
“Mama tak marah! Mama cuma nasihat!”
Itulah skrip biasa yang sering kita dengar atau kita sendiri yang sebut dengan suara tinggi ketika mendepani kerenah anak.
Selalunya waktu anak pecahkan pinggan, anak sepahkan mainan, anak bangun lewat, anak melawan cakap, anak khusyuk bermain ‘game’, anak berkelahi, anak berlama-lama dalam bilik air, anak buang masa, anak malas, anak degil, anak protes dan sebagainya, itulah juga waktunya kita hendak memberi ‘tazkirah’ kepada anak.
Niat memberi nasihat itu akhirnya bertukar menjadi bebelan, menjadi ugutan, keluar ungkapan tidak enak, dan lebih parah lagi menjadi episod jawab menjawab dengan anak.
Nasihat akhirnya menjadi ungkapan kosong masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Buang masa dan buang tenaga.
Nasihat harus sampai ke hati terlebih dahulu, barulah otak akan mula berfungsi untuk memikirkan kesan dan akibat sesuatu perbuatan.
Anak tidak akan dapat menerima nasihat pada bila-bila masa. Ada waktunya keadaan fizikal, mental dan emosi anak tidak bersedia untuk menerima nasihat ataupun terlalu terbeban dengan perkara lain walaupun kita bersemangat memberi nasihat. BILAKAH WAKTU YANG SESUAI MENASIHATI ANAK?
Dr. Muhammad Abdul Hafizh Suwaid dalam buku Prophetic Parenting mencadangkan 3 waktu yang paling efektif dan paling sesuai untuk menasihati anak.
Satu lagi adalah cadangan saya sendiri berdasarkan pengalaman dan pengetahuan.
4 waktunya adalah:
1. WAKTU MAKAN
Sekurang-kurangnya sekali sehari duduklah bersama-sama menikmati hidangan sekeluarga di meja makan.
Inilah masanya kita mendengar cerita anak-anak tentang hari yang dilalui mereka. Inilah waktunya mereka akan meminta dan memerlukan nasihat secara langsung atau secara tidak langsung.
Ketika kita mendengar dan bercerita, selitkanlah nasihat dan panduan sebagai pedoman untuk anak-anak.
Inilah juga masanya kita menerapkan adab dalam diri anak. Adab makan, adab mengambil makanan, adab menyuap makanan, adab berdoa, adab bersyukur dengan rezeki yang berada di depan mata, adab berbicara dan adab mendengar.
Waktu makan adalah waktu santai. Kata orang, kenyang perut senang hati. Apabila hati senang, nasihat dan panduan pun mudah sampai ke dasar hati.
Oleh sebab inilah adalah merugikan sekiranya waktu makan dijadikan waktu untuk anak melayan gajet atau sambil menonton televisyen.
Jika kita terlepas peluang untuk memberi nasihat pada waktu ini kerana gajet, mungkin kita juga akan terlepas peluang pada waktu lain. Jadikanlah waktu makan waktu yang berkualiti untuk keluarga.
2. WAKTU DALAM PERJALANAN
Kehidupan moden adalah kehidupan yang terkejar-kejar. Keluar rumah awal pagi, pulang ke rumah setelah tiada matahari. Beruntunglah mereka yang boleh bekerja masa fleksi.
Sebenarnya waktu yang singkat dan terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak dari sekolah merupakan waktu yang efektif untuk menasihati anak. Nasihat tidak semestinya panjang lebar. Nasihat yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam berbanding nasihat yang penuh berfalsafah.
Dalam perjalanan ke sekolah nasihatilah anak tentang adab dan akhlak bersama guru, bersama rakan-rakan dan juga terhadap orang sekeliling. Nasihat anak supaya gigih berusaha.
Sesuatu insiden atau kejadian di luar kenderaan juga boleh dijadikan modal untuk menasihati anak, supaya anak peka dan cakna dengan keadaan sekeliling.
Di samping bersantai mendengar lagu-lagu di radio, pilihlah juga saluran radio yang bermanfaat, yang boleh dijadikan modal perbincangan bagi menjana minda anak-anak.
Seperti bait lirik nasyid oleh kumpulan Raihan
“Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu indah Hanya pabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah” Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pula, dengarlah cerita anak tentang sekolah, tentang guru, tentang rakan-rakan anak dan juga tentang tugasan sekolah agar kita faham dan terlibat dengan persekolahan anak. Apabila kita mendengar dan faham, anak akan lebih terbuka untuk bercerita dan kita juga lebih berpeluang untuk memberi nasihat.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidhi pernah menyebut bahawa Rasulullah SAW memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang berusia belasan tahun ketika itu secara santai ketika Ibn Abbas menunggang unta (kenderaan) di belakang Rasulullah SAW. Nasihat Baginda, “Jagalah agama Allah, nescaya Allah menjagamu”
3. WAKTU MAIN BERSAMA
Kita biasa mendengar, bermainlah dengan anak ketika berusia 0-7 tahun dan disiplinkanlah anak ketika berusia 7-14 tahun.
Kedua-dua fasa itu berkaitan. Bermain dengan anak ketika usia awal akan mempermudahkan kita untuk mendisiplinkan anak kemudiannya.
Bermain bersama-sama anak ketika mereka kecil, ketika membesar dan juga ketika remaja bukan hanya memberi manfaat kepada perkembangan fizikal anak, malah ia juga membentuk keperibadian positif anak.
Ibubapa yang terlibat adalah ibubapa yang peduli. ‘Involved parents are caring parents’.
Setiap permainan mempunyai peraturan dan strateginya. Setiap permainan mempunyai pemikiran dan emosinya. Inilah waktu yang terbaik untuk menasihati anak tentang asam garam kehidupan, tentang kawalan emosi, tentang interaksi sosial, dan tentang keperibadian dan tingkah laku.
Bermain ‘game’ bersama-sama dengan anak lebih bermanfaat berbanding membiarkan anak mengadap ‘game’ di skrin berseorangan. Apabila ‘bonding’ diwujudkan antara ibubapa dan anak ketika bermain bersama-sama, anak lebih terbuka untuk menerima sebarang nasihat mahupun teguran. Inilah yang memudahkan kita untuk mendisiplinkan anak.
4. WAKTU ANAK SAKIT
Menurut Dr. Abdul Hafizh Suwaid, sakit dapat melunakkan hati orang dewasa yang keras apatah lagi hati anak-anak yang masih lembut dan lebih mudah menerima.
Lumrahnya apabila sakit anak-anak menjadi lebih ‘clingy’ dan lebih inginkan belaian dan perhatian daripada ibubapa.
Inilah peluangnya untuk kita berlembut menasihati anak secara ringan tanpa membebankan.
Bagi menggembirakan hati anak, kita boleh merancang dengan anak untuk melakukan sesuatu aktiviti apabila anak sihat kelak dan pada masa yang sama boleh diselitkan kata-kata nasihat buat anak. Pilihlah nasihat yang mudah diterima dan sesuai dengan keadaan anak.
Usahlah diberikan nasihat yang tidak sihat di kala anak sakit seperti
“Itulah tak dengar cakap Mama, kan dah sakit. Kalau dengar cakap taklah jadi macam ni.”
Ataupun
“Inilah balasan sebab berdosa dengan ayah semalam.”
Anak yang sakit bertambah nazak jadinya dengan kata-kata yang menghukum dan tidak berasas sedemikian.
Dalam buku ‘Prophetic Parenting’ ada diceritakan kisah Rasulullah SAW yang berdakwah kepada pembantu Baginda yang berbangsa Yahudi ketika Baginda SAW menziarahinya yang sedang sakit.
Begitulah antara waktu-waktu efektif untuk menasihati seorang anak.
Setiap anak menerima nasihat pada waktu yang berbeza-beza mengikut keperluan, keupayaan dan kematangan masing-masing. Carilah waktu yang sesuai untuk memberi nasihat agar nasihat itu meresap ke jiwa anak dan tidak menjadi seumpama menyimbah air ke daun keladi.
Dengan bayaran RM20, pembukaan akaun Simpan SSPN akan dibuat secara automatik. Lebih menarik, untuk peserta-peserta terawal yang mendaftar akan menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma. Jangan tunggu lagi, ayuh daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.”
Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”
(Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”
Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.