Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) memang banyak menyerang anak kecil termasuk bayi. Siapa tidak risau bila si kecil terkena jangkitan penyakit ini. Kalau anak tinggal di taska, memang terpaksa cuti seminggulah jawabnya bila ada seorang bayi atau kanak-kanak yang dijangkiti HFMD.
HFMD adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan lampin dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5-7 hari.
Penyakit ini selalunya lebih teruk memberi kesan kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa. Jangkitan ini juga boleh menyebabkan keradangan pada otot jantung(Myocarditis), jangkitan pada paru-paru, jangkitan pada otak dan selaputnya(Meningoencephalitis) dan juga kematian.
HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus). HFMD merebak dari individu ke individu dengan hubungan secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti. Semua orang boleh dijangkiti sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak, tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun paling mudah dijangkiti.
Sebagai ibu bapa anda harus memainkan peranan dalam mencegah penyakit ini daripada menular dan menjangkiti anak-anak. Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain daripada rawatan mengurangkan gejala-gejala penyakit tersebut. Langkah tersebut boleh mencegah jangkitan daripada berlaku.
Ads
1. Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, menukar lampin dan mencuci najis.
2. Menutup mulut dan hidung bila batuk juga bersin.
Ads
3. Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
Ads
4. Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
5. Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
6. Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Ibu bapa hendaklah segera membawa anak berjumpa doktor sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selain musim jerebu, terdapat juga sebab lain untuk rakyat Malaysia menggunakan topeng muka – musim flu. Memakai topeng muka adalah pilihan yang bijak khususnya jika rakan sepejabat atau ahli keluarga terdekat anda sudah mula mengalami simptom flu. Selain alat perlindungan fizikal, terdapat juga pencegahan melalui pengambilan suntikan flu. Persoalannya, siapa yang perlu mendapatkannya?
Apa itu flu?
Influenza atau lebih dikenali dengan terma flu, merujuk kepada penyakit respiratori mudah berjangkit yang disebabkan oleh virus-virus influenza. Penting untuk diingatkan bahawa flu dan selesema adalah dua perkara berbeza. Pelbagai jenis virus boleh menyebabkan selesema tetapi hanya beberapa virus sahaja yang bertanggungjawab untuk menyebabkan flu. Jangkitan boleh merebak apabila seseorang itu terdedah kepada titisan cecair yang tersebar semasa batuk, bersin atau melalui sentuhan dengan tangan/permukaan yang tercemar. Jangkitan melalui titisan cecair dalam udara ini lebih mudah berlaku dalam keadaan tertutup atau bersesak.
Influenza boleh berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Kawasan yang paling teruk terjejas dengan penularan jangkitan ini adalah negara-negara yang berada dalam zon iklim sederhana (temperate climate). Di kawasan tersebut, epidemik influenza lazimnya berlaku ketika musim sejuk, iaitu sekitar bulan November hingga Mac untuk hemisfera Utara dan dari April hingga September di hemisfera Selatan.
Antara sebab utama mengapa flu lazimnya berlaku ketika musim sejuk adalah seperti berikut:
-Majoriti individu akan menghabiskan masa yang sangat banyak di dalam rumah bersama dengan individu lain ketika musim sejuk. Ini meningkatkan kemungkinan sentuhan dan penularan jangkitan untuk berlaku.
-Virus tersebut hidup lebih lama dalam kawasan tertutup (indoor) kerana udara yang kurang lembap berbanding udara di luar.
-Ketika berada di udara musim sejuk, lebih mudah untuk ia disedut masuk (ketika bernafas) atau terkena mata, hidung dan mulut manusia.
Penyebab flu
Virus-virus yang menjadi penyebab kepada epidemik influenza adalah seperti berikut:
-Influenza A
-Influenza B
-Influenza C
Influenza A mampu untuk menyebabkan epidemik manakala virus influenza B pula berupaya untuk menyebabkan wabak yang tular dalam satu rantau (beberapa buah negara). Influenza C pula Influenza C pula mempunyai insiden dan beban penyakit dalam manusia yang paling sedikit berbanding influenza yang lain.
Simptom flu
Selain suntikan flu dan langkah pencegahan lain (penggunaan topeng), penting untuk anda cakna tentang simptom flu. Ini membolehkan anda untuk mengambil langkah berjaga-jaga sekitar orang yang disyaki menghidapnya. Antara simptom flu adalah:
-Demam secara tiba-tiba
-Menggigil
-Batuk
-Sakit tekak
-Hidung berair dan/atau tersumbat
-Kerap bersin
-Sakit sendi
-Sakit otot
-Rasa letih dan lesu
-Sakit kepala
-Muntah dan cirit-birit (lebih kerap berlaku dalam kanak-kanak)
Penting untuk diingati bahawa bukan semua orang akan mengalami demam atau kesemua simptom-simptom di atas. Penyakit ini mampu mengakibatkan keterukan pada pelbagai tahap (dari sederhana sehinggalah teruk) di samping berupaya untuk menyebabkan kematian. Kaedah pencegahan seperti pengambilan suntikan flu dan juga penggunaan topeng muka adalah kaedah berkesan dalam melindungi diri daripada dijangkiti.
Pemantauan influenza di Malaysia
Untuk negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia, insiden penyakit influenza boleh berlaku bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Secara amnya, insiden jangkitan pernafasan (termasuk influenza) di Malaysia sentiasa dipantau rapi oleh pihak Kementeriaan Kesihatan Malaysia (KKM). Pemantauan ini dilakukan bagi mengenal pasti sebarang corak insiden yang luar biasa. Pemantauan ini meliputi kadar konsultasi kes penyakit persis influenza atau influenza-like illness (ILI) dan juga pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat severe acute respiratory infection (SARI).
Sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia dipantau rapi oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Berdasarkan trend yang direkodkan, rakyat Malaysia mungkin boleh menarik nafas lega kerana peningkatan kes ILI sejak bulan jun 2019 berada dalam julat yang normal. Insiden yang diperhatikan ini adalah hampir sama dengan trend pada tahun-tahun sebelumnya. Lebih melegakan lagi, pemantauan genetik virus-virus ini juga tidak menunjukkan sebarang mutasi yang mampu mencetuskan virus influenza yang baru.
Keperluan suntikan flu
Virus-virus influenza mudah membiak dan menukar ciri antigen mereka. Oleh itu, kebanyakan ubat antivirus yang lama seperti amantadine, tidak lagi berkesan dalam melawan penyakit ini. Berbeza dengan demam atau selesema yang biasa, influenza bukanlah jangkitan yang boleh hilang dengan masa atau dengan sekadar mendapatkan rehat yang mencukupi. Tambahan lagi, di Malaysia, penularan wabak influenza tidak mempunyai musim kerana ia boleh berlaku sepanjang tahun. Untuk itu, suntikan flu adalah langkah perlindungan yang sangat penting dalam mencegah keterjadiannya.
Kumpulan populasi yang berisiko tinggi untuk dijangkiti influenza adalah:
-Kanak-kanak bawah usia 5 tahun (khususnya bawah usia 2 tahun)
-Wanita mengandung
-Warga emas berusia 65 tahun dan ke atas
-Pesakit yang menghidap penyakit kronik
-Individu yang menghidap penyakit respiratori
Anda juga sangat disarankan untuk mendapatkan suntikan flu jika merancang untuk melancong ke negara-negara beriklim sederhana. Walau bagaimanapun, terdapat juga kumpulan populasi yang tidak boleh mendapatkan suntikan flu. Mereka adalah:
-Bayi yang berusia bawah 6 bulan
-Individu yang mempunyai tindak balas alahan yang teruk terhadap suntikan flu dan bahan yang terkandung di dalamnya
Selain kumpulan di atas, terdapat juga kumpulan khas yang perlu mendapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan untuk menerima suntikan. Mereka adalah:
-Individu yang alah kepada telur
-Mereka yang pernah menghidap sindrom Guillain-Barré
Suntikan flu yang diluluskan adalah berbeza mengikut kumpulan populasi. Sebagai contoh, terdapat vaksin (inactivated influenza vaccines) yang boleh digunakan untuk bayi seawal usia 6 bulan. Terdapat juga suntikan yang hanya diluluskan untuk orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas. Oleh itu, penting untuk anda berunding dengan doktor bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan suntikan yang sesuai dengan usia dan indikasi anda.
Dalam menangani masalah penularan wabak influenza, langkah pencegahan yang mampan adalah amat penting. Persis bidalan, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Memilih untuk mengambil suntikan flu bukan sahaja melindungi diri sendiri, ia juga merupakan ihsan kepada golongan masyarakat tertentu yang tidak boleh menerima suntikan.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita yang pertama kali hamil dan bakal bersalin sudah pasti tidak dapat membayangkan rasa sebenar sakit bersalin. Kebanyakan wanita yang sudah ada pengalaman melahirkan anak secara normal, rata-ratanya menyatakan sakit menahan kontraksi sebelum tiba masa mengeluarkan bayi.
Selain wanita itu sendiri bersedia daripada segi mental, suaminya juga perlu mengetahui serba sedikit informasi tentang kontraksi yang bakal dialami oleh si isteri. Dengan yang demikian, dapatlah sang suami memainkan peranan membantu isteRi melegakan dan mengurangkan kesakitan yang dialami.
Sakit faraj
Bila memasuki fasa aktif proses kelahiran, serviks akan meregang secara semula jadi. Ketika ini, faraj akan mengalami tekanan kesan gesaan kepala bayi yang cuba melalui saluran peranakan.
Apabila kontraksi semakin kuat dan menjadi kerap, kesakitan semakin dapat dirasai. Dalam keadaan ini suami perlu tenangkan isteri dengan meminta dia mempraktikkan latihan pernafsan yang betul.
Tarik nafas dalam-dalam dengan keadaan mulut tertutup dan hembuskan nafas sambil menyebut fuh dalam hela yang panjang.
Sakit pinggang
Dalam kes tertentu, kedudukan bayi dalam posisi posterior boleh menyebabkan isteri mengalami sakit belakang yang teruk. Sakit itu boleh dirasai sejak daripada awal. Di peringkat awal, kesakitan masih boleh ditahan, tapi semakin lama sakitnya sukar dikawal.
Lenguh kaki
Bila pinggang sakit, secara tidak langsung kaki pun terasa lenguh. Lebih-lebih lagi jika kantung ketuban sudah pecah. Ketika ini, urutan suami sedikit sebanyak akan membantu menstabilkan emosi isteri untuk menghadapi rasa sakit yang dialami.
Sembelit
Disebabkan gesaan kepala bayi yang melalui saluran peranakan, secara tanpa sengaja ia turut memberi tekanan kepada usus. Lalu, membuatkan perut anda terasa memulas seolah-olah mahu membuang air besar.
Apabila rasa tidak selesa, mungkin ada yang kerap ke tandas. Pastikan isteri ada peneman kerana ia adalah salah satu tanda hampir bersalin.
Seram sejuk
Kontraksi bersalin bukanlah sesuatu yang dibuat-buat. Rasa sakit yang dialami boleh menyebabkan isteri menggigil dan berpeluh. Tambahan pula, kesakitan itu tidak dapat dijangka tempohnya. Ada yang cepat bukaan rahimnya dan dapat segera mengeluarkan bayi. Ada juga yang terpaksa menahan sakit berjam-jam sebelum bayi dilahirkan.
SUAMI PERLU BANTU!
Benar, suami tidak dapat memindahkan rasa sakit kontraksi kepada dirinya namun ada beberapa perkara yang boleh diuat bagi membantu si isteri merasa sedikit tenang. Pa&Ma senaraikan beberapa perkara yang boleh anda buat, untuk sekurang-kurangnya mengurangkan rasa sakit kontraksi:
1. Sebagai peneman, anda perlu TENANG. Sewaktu sakit, isteri cenderung untuk terlalu berfikir. Jadi sebagai suami, anda harus berlagak tenang dan pujuk mereka untuk terus bertahan mengharungi sakit kontraksi.
2. Urutlah mana-mana bahagian tubuh isteri seperti pinggang, bahu atau di mana sahaja yang isteri rasa tidak selesa. Selain itu, anda juga boleh menggunakan tuam panas untuk melegakan kelenguhan yang isteri alami. Elakkan bahagian abdomen dan perut ketika menuam ya!
3. Galakkan isteri untuk bernafas secara beritma dan dalam. Pernafasan begini dapat membantu mengurangkan rasa kontraksi yang dialaminya.
4. Selain memegang tangannya, anda boleh bantu isteri untuk bertenang dengan membelai ubun-ubun atau memeluk si isteri. Selain memberi kelegaan, cara ini dapat merembeskan hormon endorfin dan oksitoksin yang membuatkan ibu gembira dan bersedia untuk melalui proses kelahiran.
5. Berbual dengan isteri dan cuba untuk penuhi permintaannya. Biasanya, pada waktu ini isteri akan selalu dahaga dan minta air masak untuk diminum. Pastikan juga anda bersedia dengan stok snek sihat untuk membekalkan tenaga kepada isteri.
6. Anda boleh bacakan ayat-ayat Al-Quran atau berzekir bersamanya. Proses ini umpama meditasi yang bukan sahaja memberi ketenangan tetapi membuatkan si isteri terlupa yang dia sedang mengalami kontraksi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai suami, anda kena amalkan doa ketika isteri sedang bertarung nyawa nak lahirkan bayi di bilik bersalin.
Semakin hampir waktu nak bersalin, ibu mengandung paling takut sekali.
Selain bergantung kepada Allah SWT, isteri sangat memerlukan sokongan daripada suami untuk menghadapi saat ini.
Sebagai suami anda kena tahu apa yang patut dibuat semasa isteri sedang bertarung nyawa di bilik bersalin untuk melahirkan zuriat anda berdua.
Selain sokongan moral, sebagai Muslim seharusnya bakal ayah mengamalkan bacaan doa dan mengaji al-Quran sebagai satu cara mengurangkan kesakitan isteri dan memudahkannya bersalin.
Amal Doa Ini
Perkongsian daripada seorang suami Encik Muzaha Mohamed yang juga bapa kepada empat anak dalam laman blognya tentang amalan doa yang dilakukan sepanjang isterinya menahan kesakitan di bilik bersalin boleh dicontohi oleh bakal ayah yang lain.
Doanya adalah doa Nabi Yunus tatkala berada dalam perut ikan yu atau paus
“Lailaha ila anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin”
Maksudnya : “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.(Surah Al-Anbiya’ : 87).
Doa ini elok dibaca oleh isteri semasa rasa sakit hendak bersalin. Ulang doa ini berulang kali. Bagi suami pula bacalah juga doa ini berulang kali semasa sedang menunggu isteri hendak bersalin. Niatkan supaya Allah mempermudahkan jalan keluar bagi kandungan tersebut.
9
Selain daripada itu banyakkan juga baca surah Al Fatihah berulang kali. Diselangi dengan doa Nabi Yunus. Maksud Al Fatihah itu sendiri pun “pembukaan”. Semoga Allah membuka jalan keluar bagi bayi tersebut.
Sebenarnya ada banyak lagi doa-doa yang boleh diamalkan oleh bakal ibu dan ayah, cuma pastikan amalkan doa-doa yang ma’thur berdasarkan hadis yang sahih agar kita tidak terpesong daripada sunnah Baginda.
Selain amalan membaca doa, anda sangat digalakkan membaca al-Quran sepanjang kehamilan dan menunggu kelahiran bayi.
Sesungguhnya al-Quran itu adalah penawar kepada segala masalah yang dihadapi oleh manusia.
Bahkan bakal ibu bapa yang rajin membaca al-Quran juga telah berjaya memberi rangsangan positif kepada anak sejak dari dalam rahim lagi.
InsyaAllah anak yang lahir mempunyai akhlak dan peribadi yang mulia denga izin Allah SWT.
Semoga ibu dan ayah dapat memperuntukkan masa untuk membaca al-Quran setiap hari sebagai amalan yang mesti dibuat demi melahirkan keluarga yang bahagia dunia dan akhirat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Scoliosis Kanak-Kanak sering berlaku tanpa simptom jelas pada peringkat awal. Ketahui tanda-tanda penting yang ibu ayah boleh perhatikan di rumah serta pilihan rawatan yang tersedia.