Anda boleh mengawal pemakanan melalui jumlah porsi makanan yang diletakkan di dalam pinggan. Bagi melatih diri, ambil sehelai kertas, lukiskan bulatan mengikut saiz pinggan. Kemudian bahagikan kepada empat bahagian. Tuliskan empat perkara iaitu Karbohidrat, Protein, Sayur-sayuran dan Buah-buahan. Berikut ialah penerangan terperinci tentang empat bahagian atau porsi diet sihat tersebut.
Nasi (karbohidrat)
Karbohidrat adalah perlu dalam menu harian. Ambillah nasi sebagai sebahagian daripada diet anda. Ada pelbagai jenis beras boleh diperoleh di pasaran. Ramai pengamal diet sihat memilih beras perang untuk menggantikan beras putih. Malah anda boleh mengambil roti berprotein tinggi atau kentang sebagai ganti. Terpulang pada keupayaan dan keinginan. Paling penting anda mengambilnya kerana ia mampu membuatkan anda rasa kenyang. Karbohidrat kompleks bersifat slow release, sehingga metabolisme tidak memerlukan hormon insulin yang terlalu banyak.
Ikan atau ayam (protein)
Daripada mengambil protein daripada daging merah, lebih baik pilih daging ayam atau ikan kerana kandungan lemaknya lebih rendah. Orang yang sering makan ikan boleh menurunkan kadar hormon leptin dalam tubuhnya. Tingginya hormon ini membuat metabolisme tubuh menjadi lambat, sehingga boleh menimbulkan obesiti. Salmon, tuna, makerel adalah ikan yang disarankan pengambilannya minimum seminggu sekali.
Sayur
Sayur dan ikan bukan pilihan walau pun ia mengandungi protein. Sayur merupakan makanan ruji yang perlu ada dalam setiap hidangan dan diambil hampir sama banyak dengan ikan. Sayur mengandungi zat mineral dan vitamin serta serat yang tinggi untuk kesihatan tubuh badan.
Ads
Buah segar
Buah segar sama penting dengan sayur. Ambil pada jumlah yang hampir sama dengan sayur. Ambillah buah dalam bentuk segar berbanding jus. Buah-buahan yang dibuat jus akan kehilangan serat yang diperlukan tubuh. Apatah lagi jika anda membeli jus dari kedai. Selalunya ia akan tinggi kalori kerana ditambah gula atau susu pekat.
Setelah anda ketahui empat porsi makanan sihat ini, maka bayangkan anda meletakkannya di dalam pinggan. Ingat, porsi hendaklah dibahagikan dengan empat iaitu satu porsi nasi (karbohidrat), satu porsi ikan (protein haiwan), satu porsi sayur (zat dan mineral) dan satu lagi porsi buah-buahan (serat).
Ads
Bila nak makan?
Berdasarkan porsi yang diberikan di atas, kini anda perlu tahu pula bila waktu yang sesuai untuk menikmati hidangan tersebut berdasarkan waktu makan. Umumnya waktu makan ada tiga iaitu:
Ads
Sarapan
Makanan yang diambil pada waktu pagi biasanya mengandungi karbohidrat kerana anda perlukan tenaga sepanjang hari. Bagaimanapun, corak pekerjaan sudah berubah. Kerja di dalam pejabat tidak memerlukan tenaga yang banyak berbanding buruh binaan atau pekerja ladang. Usah makan nasi lemak sepinggan penuh. Imbangkan dengan porsi yang disarankan di atas. Tambahkan ulam-ulaman dan buah-buahan. Contohnya sedikit nasi kerabu dengan ikan atau ayam dan ulam yang banyak. Mulakan dengan dua gelas air masak sebelum bersarapan. Ia akan mencuci usus sebelum menyambung tugas berat mencerna makanan anda seterusnya.
Makan tengah hari
Makan tengah hari lebih mudah untuk mengikut porsi sihat yang dicadangkan. Letakkan setiap jenis makanan mengikut empat porsi yang dicadangkan. Pilih nasi atau kentang, kemudian ambil ikan atau ayam dan sayur yang segar atau tidak terlalu masak serta buah-buahan. Jika anda makan di luar, pastikan anda boleh mendapatkan semua itu di situ atau anda bawa bekal buah. Jika di rumah, memang lebih mudah kerana anda tidak perlu gusar. Semuanya mudah dicapai. Jangan lupa, minum dulu segelas air masak sebelum makan. Ia akan membantu penghadaman anda.
Makan malam
Bagi yang ingin mengurangkan berat badan, hindari karbohidrat saat makan malam. Gantikan dengan memperbanyakkan buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran yang berserat. Anda tidak perlukan bekalan tenaga yang tinggi kerana aktiviti pada malam hari tidak seberat pagi dan siang hari. Tenaga yang tidak diguna akan bertukar menjadi lemak dalam badan. Ingat, tidur selepas dua jam makan malam.
Strategi saat makan
Dengan menjaga pola diet yang sihat, usaha untuk menurunkan berat badan akan berhasil. Berikut ialah strategi yang perlu diatur saat makan:
Kurangkan makan. Cuba usahakan makan dua kali sehari. Puasa! Makan sahur jam 5.00 pagi dan berbuka jam 7.00 petang. Jika tidak berpuasa, boleh cuba sarapan lewat sedikit (brunch) iaitu pada jam 10.00 hingga 11.00 pagi. Manakala makan petang jam 4.00 hingga 5.00 petang. Untuk snek malam, cukup minum segelas susu. Bagaimanapun, pada yang tidak berpuasa, minumlah air masak sebanyak mungkin sepanjang hari.
Makan sayur dan buah dahulu sebelum nasi atau ikan. Perut anda akan cepat kenyang dan kebarangkalian untuk menambah hidangan akan kurang.
Usah makan terlalu kenyang. Kunyah makanan sehingga hancur kerana makanan yang hancur akan membuatkan perut anda lebih kenyang.
Buang air dengan lancar. Elakkan daripada masalah sembelit. Banyakkan makan buah betik, pisang, mangga atau nanas jika anda kurang buang air besar.
Berjalan 10 kilometer sehari. Jika tidak mampu atau tidak ada masa, eloklah bersenam di rumah atau gim, joging, berenang atau berbasikal.
Elakkan snek dan makanan ringan. Jika lapar ambillah kekacang yang kurang garam, buah segar atau kering seperti kurma dan aprikot.
Usah fikirkan sangat tentang berat hingga membuatkan anda berasa terdesak atau stres. Stres boleh mengundang padah. Anda mungkin akan berasa lapar yang luar biasa sedangkan anda sebenarnya tidak lapar. Jadi, cuba relaks dan buat kerja seperti biasa. Biarlah berat badan anda turun secara semula jadi.
Sebuah kajian di University of Adelaide, Australia, mendapati wanita membakar lemak tubuhnya 30% lebih banyak ketika masa ovulasi (jika kitaran haid anda 28 hari, dikira bermula dari hari ke-13 atau ke-14 setelah hari pertama haid) hingga dua hari sebelum haid. Pada masa itu, peluang anda untuk menurunkan berat badan lebih besar berbanding masa lainnya. Manfaatkan masa itu dengan berolahraga agar proses pembakaran lemak lebih maksimum.
Minum air masak atau mineral. Elakkan minuman berkarbonat atau air bergula yang sangat tinggi kalori – 200 kal.
Bagi penggemar teh, minumlah teh hijau tanpa gula. Menurut The American Journal of Clinical Nutrition 1999, kafein dalam teh hijau mampu meningkatkan metabolisme tubuh sebanyak empat peratus, jika ekstrak teh hijau diminum tiga kali sehari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu dengan bayi usia 8 bulan pasti ternanti-nantikan perkembangan bayi. Oleh itu, untuk pastikan bayi sihat, ibu tentu mahu bereksperimentasi dengan jenis, tekstur dan juga bentuk makanan baru untuk anak.
Jika anda ingin mendapatkan idea baru untuk makanan bayi, cuba baca artikel ini. Kami pasti ia dapat membantu anda dalam menyediakan makanan yang berkhasiat untuk si manja!
Melihat anak membesar merupakan satu perkara yang amat mengujakan buat ibu dan bapa.
Ketika anak menginjak ke umur 8 bulan, anak anda mungkin sedang cuba untuk buat semua benda dengan kaki dan tangan kecil milik mereka.
Bayi yang berumur 8 bulan mempunyai rasa ingin tahu yang menebal. Mereka akan mula mengembara sekeliling rumah kerana sudah lebih peka dengan keadaan persekitaran mereka.
Mereka juga sudah pandai melakukan pincer grasp – satu gerakan di mana anak anda akan menggunakan hujung jari telunjuk dan ibu jari sebagai ‘penyepit’ untuk mengambil makanan.
Berdasarkan kesemua perkembangan ini, anak anda kini sudah bersedia untuk makanan pejal!
Kajian juga ada menyatakan bahawa bayi yang mula makan makanan pejal semenjak berusia 6 bulan mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat alergi ataupun asma.
Namun, sebagai ibu, anda perlu tahu bila anak anda sudah bersedia untuk makan makanan pejal.
Cuba periksa, adakah anak anda sudah boleh:
Jika anak anda boleh melakukan semua di atas, anda sudah boleh beri bayi makan makanan pejal dengan selamat.
Pada usia ini, anak anda akan perlukan sebanyak 750 ke 900 kalori sehari. Namun, 400 hingga 500 kalori akan datang daripada susu ibu (lebih kurang 720 ml sehari).
Inilah masa yang paling sesuai untuk anda kenalkan makanan yang sihat kepada anak anda.
Anda boleh beri mereka makanan yang kaya dengan protein, karbohidrat, vitamin dan mineral untuk membantu anak membesar dengan lebih sihat.
Selain itu, anda perlu ingat bahawa makanan bayi 8 bulan tidak perlu lumat atau hancur seperti makanan separa pejal sebelum ini.
Cuba rancang menu untuk anak anda menggunakan makanan berikut:
Buah-buahan segar mengandungi pelbagai vitamin dan mineral penting untuk tumbesaran anak.
Namun, daripada melenyek buah-buahan hingga hancur, cuba potong dalam bentuk kiub dan masak untuk lembutkan buah tersebut.
Sama seperti buah-buahan, sayur-sayuran juga boleh diberikan kepada bayi dalam kepingan kecil.
Jika anda ingin lembutkan lagi sayur tersebut, anda boleh cuba stim sayur sebelum beri kepada bayi.
Ikan seperti ikan salmon dan tuna kaya dengan asid lemak omega 3 yang penting untuk perkembangan otak bayi.
Pasti anak anda akan rasa gembira setelah diperkenalkan dengan produk tenusu seperti keju dan yogurt.
Kedua-dua makanan ini mempunyai kalsium yang tinggi yang boleh membantu tumbesaran bayi.
Anda juga boleh beri anak anda makan makanan kaya dengan protein seperti ayam, ikan, telur, dan kekacang.
Masak dan buat puri atau potong kepada bahagian lebih kecil untuk mudahkan anak makan.
Finger food ialah makanan yang anda boleh makan tanpa menggunakan pisau, garpu, ataupun sudu. Selalunya, finger food boleh dimakan terus dengan tangan.
Disebabkan bayi sudah mula melakukan pincer grasp, cuba beri mereka makan finger food untuk merangsang fungsi motor mereka.
Antara makanan yang sesuai termasuklah pisang, roti bakar, pasta dan bijirin.
Selain itu, elakkan beri bayi makanan yang boleh meyebabkan bayi tercekik seperti hot dog, lobak merah yang tidak dimasak, buah anggur, blueberry atau kismis.
Walau bagaimanapun, ingat ya. Jangan sesekali tinggalkan anak seorang diri ketika makan walaupun anda pasti makanan telahpun dipotong sampai halus.
Buat masa ini, elakkan daripada tambah garam atau gula dalam makanan bayi. Garam dan gula boleh buatkan buah pinggang bayi stres.
Bayi lebih mudah untuk menyesuaikan diri kepada makanan pejal jika anda tidak memberikan makanan yang hancur kepada si manja.
Berikan sedikit tekstur pada makanan dan tinggalkan cebisan-cebisan yang sedikit besar untuk bayi.
Bayi banyak bergantung kepada susu ibu ketika umur mereka bawah 1 tahun. Oleh itu, jangan lupa beri bayi minum susu ibu untuk cukupkan kalori seharian mereka.
Susu lembu tidak mempunyai nutrisi yang sesuai untuk bayi bawah 1 tahun. Jika anda mahu beri anak anda minum susu lembu, tunggu sehingga mereka berumur 1 tahun ya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang kita semua telah sedia maklum bahawa SAYUR dan BUAH dapat memberikan vitamin, antioksidan, serat & air pada tubuh badan. Bagi kanak-kanak terutamanya, ianya penting dalam perkembangan tubuh badan serta dapat meningkatkan sistem imunisasi badan mereka.
Tambahan lagi, dengan masalah kesihatan yang dunia sedang hadapi sekarang, anda pastinya risau kerana rasa susah sangat serta tidak tahu cara nak bagi anak makan sayur dan buah kan?
Dah cuba bagi anak makan tapi dia tetap menolak bila dihidangkan sayur dan buah kepadanya? Jom baca tips yang diongsikan ini. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu memberi idea kepada semua ibubapa diluar sana!
1. Potong buah dan sayur dalam bentuk yang menarik
Buah dan sayur boleh disediakan dengan pelbagai cara mengikut selera dan kreativiti anda dalam menyediakannya. Makanan yang disediakan dalam bentuk yang cantik dan menarik dapat membantu dalam menarik minat dan perhatian anak anda untuk mencuba makanan tersebut. Contohnya anda potong carrot atau pisang dalam bentuk bintang, anda boleh ajak anak anda sama-sama susun bintang tersebut di atas pinggan sambil menyanyi lagu “Twinkle twinkle little star”. Dengan melakukan perkara tersebut, ianya dapat membantu anak berasa gembira ketika makan dan mengurangkan tekanan untuk mereka mencuba sayur dan buah yang dihidangkan. Anda memang akan rasa dan nampak seperti anak bermain dengan makanan, tetapi anda perlu ingat, perkara ini mungkin dapat menarik minat mereka serta meningkatkan kepercayaan mereka untuk makan sayur atau buah yang dihidangkan. Sentiasa jadikan waktu makan perkara yang menyeronokkan kerana kanak-kanak belajar dengan cara bermain!
2. Masukkan sayur dalam makanan kegemaran anak
Cara ini dapat membantu mengurangkan ketakutan mereka dalam mencuba makanan baru, contohnya dalam hal ini, anda ingin anak makan sayur atau buah. Ini kerana, agak sukar bagi seseorang kanak-kanak untuk terus mencuba makanan baru dalam bentuk dan rasa yang tidak pernah mereka nampak atau makan. Oleh itu, sebagai langkah permulaan, anda boleh cuba untuk masukkan sayur atau buah ke dalam makanan kegemaran mereka. Contohnya mereka suka makan nugget, anda boleh buat nugget sendiri dan masukkan sayur ke dalam bahan adunan anda. Cara ini dapat membantu menambah pengambilan sayuran dalam diet anak. Antara cara yang lain adalah, anda boleh sertakan sayur atau buah yang ingin anda perkenalkan ke dalam pinggan yang ada makanan kegemaran anak. Jangan letak terlalu banyak, letakkan sedikit dahulu. Untuk permulaan, anak anda mungkin tak akan menyentuhnya, tetapi lama kelamaan, kebarangkalian untuk anak lihat dan mula berinteraksi dengan makanan tersebut dengan cara mencucuk makanan ini menggunakan sudu atau memegang makanan tersebut dan makan tetap ada. Dalam hal ini, ibubapa perlu kreatif!
3. Buat aiskrim buah bersama-sama dengan anak
Daripada anda berikan aiskrim dari luar yang mana sangat tinggi kandungan gula, anda boleh buat dan berikan pada anak aiskrim yang berkhasiat dan bukan itu sahaja, anda dapat melatih anak untuk makan makanan seperti buah. Anda boleh ajak anak sama-sama menghasilkan aiskrim ini. Ajak anak potong buah dan masukkn ke dalam pengisar, kemudian ajak anak anda untuk letakkan bahan kisar tadi ke dalam acuan. Pasti anak anda akan rasa gembira dan aktiviti ini dapat membina hubungan bersama anak dan memori yang baik. Selalunya, kanak-kanak lebih suka makan makanan yang ada melibatkan penglibatan mereka kerana mereka telah membina kepercayaan terhadap makanan yang dihasilkan sepanjang proses penyediaan makanan terbabit.
4. Ajak anak buat smoothie buah & sayur
Anda boleh hasilkan smoothie yang berkhasiat pada anak anda. Cara ini juga dapat mengurangkan tekanan ketika mereka mencuba buah dan sayur kerana apabila menjadi smoothie, ianya bukan lagi dalam bentuk rupa asal makanan tersebut. Bagi mencuba makanan baru, ia akan mengambil masa serta anda perlu kreatif. Anda boleh ajak anak sama-sama potong buah dan masukkan semua bahan ke dalam pengisar serta minta anak untuk tekan butang pengisar tersebut. Jangan lupa untuk puji anak kerana berjaya mengisar bahan-bahan tadi! Kanak-kanak sangat sukakan pujian dan respond daripada ibubapa. Setelah bahan-bahan tadi berjaya dikisar, minta anak masukkan bahan-bahan yang telah di kisar ke dalam cawan, hias cawan tersebut bersama anak dan minum! Yummy!
5. Kenalkan sayur dan buah pada anak berulang kali
Sekiranya anak tak mahu makan sayur dan buah yang anda beri, anda perlu teruskan usaha untuk perkenalkan kepada mereka. Jangan putus asa ya! Untuk membolehkan seseorang kanak-kanak menerima sesuatu makanan, mereka perlu dapat lebih 20 kali pengenalan pada sesuatu makanan tersebut. 10 kali untuk beri peluang pada mereka untuk menerima makanan itu seperti nampak kewujudan makanan tersebut manakala 10 kali diperlukan untuk mereka membuat keputusan sama ada mereka menyukai makanan tersebut atau tidak. Anda dah cuba lebih dari 20 kali? Ibubapa perlu ingat, tak semua kanak-kanak hanya memerlukan 20 kali pengenalan makanan. Berkemungkinan juga anak anda memerlukan lebih daripada 20 kali. Apa yang penting adalah anda teruskan usaha anda!
6. Makan sayur dan buah dihadapan anak
Anda sendiri adalah contoh yang terbaik buat anak anda. Anak lebih suka untuk meniru apa yang ibubapa, adik beradik atau orang sekeliling mereka lakukan. Oleh itu, sekiranya anda mahu anak anda makan sayur dan buah, anda sendiri perlu sertakan sayur dan buah ke dalam diet anda dan makan di hadapan mereka. Boleh cakap “Emmm! Sedapnya sayur ni! Nyum! Nyum! *sambil buat aksi yang menarik supaya dapat menarik perhatian anak untuk pandang apa yang anda sedang buat. Di meja makan, pastikan semua ahli keluarga makan sayur dan buah. Apabila anak nampak, berkemungkinan bagi anak meniru untuk makan sayur dan buah adalah tinggi kerana terikut dengan apa yang orang disekelilingnya lakukan.
7. Ajak anak sama-sama sediakan makanan
Anak akan berasa seronok bila diberi peluang untuk mereka menyediakan makanan bersama dengan anda. Cara ini juga mampu meningkatkan peluang untuk anak mencuba makanan yang mereka hasilkan sendiri serta dapat menghasilkan memori yang mengembirakan bagi anak. Contohnya anda boleh ajak anak basuh buah dan sayur, keluarkan sayur atau buah dari peti sejuk untuk dimasak (anda boleh kenalkan pada anak sayur atau buah yang anak ambil supaya anak berasa semakin selesa dan kenal dengan makanan tersebut) atau anda boleh minta anak untuk susun buah yang telah dipotong oleh anda di atas pinggan. Apabila wujud penglibatan anak disepanjang proses penyediaan makanan ini, ianya dapat membina kepercayaan terhadap makanan tersebut dan sekaligus dapat meningkatkan potensi untuk anak makan makanan tersebut.
8. Buat aktiviti WARNA & COP bentuk menggunakan buah dan sayur
aktiviti ini bersama anak, ianya dapat mengurangkan rasa takut anak pada makanan tersebut dan dapat mewujudkan memori yang mengembirakan. Bermain adalah cara terbaik untuk kanak-kanak belajar. Ini kerana, mereka dapat melakukan aktiviti yang mengembirakan hati mereka seperti cop bentuk menggunakan sayur dan buah yang telah dipotong di atas kertas. Cara ini bertindak sebagai pendedahan awal untuk anak supaya tidak takut untuk menyentuh buah dan sayur. Ya, aktiviti ini nampak seperti hanya bermain tetapi sebaliknya, ia dapat memberi kebaikkan pada anak dalam membiasakan diri mereka apabila dikenalkan dengan sayur dan buah. Pendedahan awal penting dalam memastikan usaha supaya anak suka untuk makan sayur dan buah berjaya!
9. Puji anak anda apabila mereka menunjukkan usaha untuk makan
Sentiasa ingat untuk puji anak anda sekiranya mereka berjaya sentuh makanan (buah atau sayur) atau makan makanan yang dihidangkan pada mereka. Tunjukkan yang anda menghargai usaha yang telah mereka pamerkan. Kata-kata pujian yang diberikan oleh ibubapa dapat menaikkan semangat anak untuk mencuba makanan yang diberikan kepada mereka. Contohnya, anda boleh katanya “Wahhh! Anak mama pandai makan buah!”*sambil tepuk tangan. Selain itu boleh beri kata-kata yang dapat memberi semangat untuk mereka mencuba sayur seperti “Makan sayur boleh jadi kuat tau! Kuat macam ayah!”, ataupun boleh bagi contoh kartun kegemaran anak.
10. Jangan paksa dan elak beri kuantiti yang banyak
Untuk permulaan, berikan sedikit sahaja kuantiti sayur dan buah pada anak. Sekiranya anak hanya menggigit atau mengunyah kepingan kecil sahaja, jangan risau! Ianya akan membantu mereka untuk meneroka tekstur dan rasa sebelum mereka mampu untuk makan kesemuanya. Anda dinasihatkan untuk tidak memaksa anak untuk mencuba makanan yang baru anda kenalkan kepada mereka bagi mengelakkan mereka trauma ketika makan. Sekiranya mereka diperlakukan dengan kasar ketika makan, anak akan terus menerus menolak makanan yang diberikan pada mereka dan waktu makan akan menjadi waktu yang sangat menakutkan bagi anak. Selain itu, elakkan penggunaan gadjet dimeja makan supaya anak sedar dengan kewujudan makanan yang dihidangkan pada mereka dan keadaan sekelilingnya. Pastikan suasana ketika makan itu tenang dari sebarang gangguan (contohnya televisyen, telefon) dan jadikan waktu makan sebagai waktu yang menyeronokkan sehinggakan mereka tidak sabar menunggu tibanya waktu makan.
11. Beri masa pada anak
Anda jangan terlalu memaksa anak untuk makan sayur dan buah. Berikan mereka masa untuk anak mengenali makanan tersebut supaya mereka dapat mewujudkan rasa percaya, selesa dan suka pada makanan yang baru diperkenalkan ini. Anda perlu ingat, untuk membolehkan anak anda mencuba sesuatu makanan baru, mereka perlu lalui 6 langkah ini iaitu:
Anak ada TOLERANSI dengan makanan. Anak dapat menerima kewujudan makanan tersebut di hadapan mereka atau dipersekitaran mereka. Contohnya ketika mereka makan, makanan yang anda ingin kenalkan pada mereka diletakkan jauh sedikit dihadapan pinggan makan anak dan anak memberi respond dengan melihat makanan tersebut tanpa menangis.
Anak ada INTERAKSI dengan makanan. Berinteraksi tidak semestinya bercakap ya. Contohnya anak anda menuang air dalam cawan, menyenduk nasi ke dalam pinggan.
BAU makanan. Anak cuba untuk bau makanan atau mampu bertolenrasi dengan bau sekelilingnya. Bau dan rasa berkait rapat antara satu sama lain. Apabila anak dah mula bau makanan, anak akan mula untuk meneroka makanannya dengan lebih dekat.
Anak cuba SENTUH makanan. Anak cuba untuk menyentuh makanan menggunakan peralatan seperti sudu dan menyucuk makanan, mengambil makanan dengan tangan mereka sendiri dan makan atau cuba meramas-ramas makanan mereka.
Anak RASA makanan. Anak akan cuba mengigit makanan kemudian keluarkan makanan tersebut kembali atau menelan makanan dengan bantuan air.
Akhirnya anak MAKAN makanan yang diberi padanya!
12. Beri peluang untuk anak memilih buah dan sayur
Anda boleh bawa anak ke pasar atau pasaraya dan beri peluang untuk anak memilih atau menyentuh buah dan sayur yang ingin dibeli. Ini akan memberi pengalaman dan memori yang menyeronokkan buat anak anda kerana anda memberi peluang kepadanya untuk membuat pilihan. Selain pasaraya, anda boleh ajak anak anda untuk mengambil buah dan sayur dari peti ais dan kenalkan pada anak apakah sayur dan buah yang diambil oleh mereka. Contohnya anak anda mengambil buah epal, anda boleh kenalkan pada anak “Ini Epal.. Epal ni manis.. Sedap!”. Kemudian boleh ajak anak anda susun epal yang dipotong kedalam pinggan.
13. Masak sayur dengan cara masakan yang berbeza
Anda perlu ingat, ada kemungkinan anak tidak makan sesuatu makanan yang diberi pada mereka kerana mereka tidak sukakan tekstur, bau atau suhu makanan yang dihidangkan kepada mereka. Ada kanak-kanak suka makan makanan bergoreng kerana mempunyai tekstur yang rangup (apabila digigit, ada bunyi terhasil), ada juga yang suka makan makanan yang berkuah seperti sup. Ada pelbagai cara masakkan yang anda boleh gunakan. Sesetengah sayur dimasak dan digabungkan bersama kumpulan makanan yang lain seperti ayam, ikan, daging dan kekacang untuk dijadikan sebagai sesuatu hidangan. Oleh itu, ibubapa perlu kreatif dan cuba pelbagaikan jenis serta cara masakkan supaya anda dapat mengenal pasti hidangan dan cara masakkan apakah yang anak anda sukai.
14. Sediakan makanan yang sama dengan ahli keluarga yang lain
Elakkan daripada membezakan makanan antara anak dengan ahli keluarga yang lain. Hidangkan makanan yang sama untuk dimakan bersama ahli keluarga yang lain. Ini kerana, kanak-kanak akan cuba meniru apa yang orang sekelilingnya lakukan. Contohnya anda sediakan sup sayur, pastikan setiap ahli keluarga makan sup yang sama. Apabila anak nampak setiap ahli keluarganya makan sayur tersebut, kebarangkalian untuk anak makan sayur tersebut juga tinggi. Jadikan setiap ahli keluarga sebagai contoh untuk anak dan yang paling utama adalah ibubapa itu sendiri.
15. Sediakan sayur dan buah yang mempunyai rasa, bentuk dan warna berbeza
Kepelbagaian buah dan sayur yang diperkenalkan kepada anak dapat menarik minat mereka untuk memilih apa yang mereka sukai. Sekiranya anda meletakkan sayur bersama-sama dengan makanan kesukaan anak, fokus mereka tak akan tertumpu hanya pada sayur tersebut sahaja. Ini dapat mengurangkan tekanan buat mereka untuk makan kerana makanan kesukaan mereka turut terhidang. Hal ini bagi mengurangkan tekanan bagi anak untuk mencuba makanan yang baru diberi. Lama kelamaan, ibubapa boleh mengurangkan kuantiti makanan yang biasanya anak makan, dan tingkatkan kuantiti makanan yang ingin diperkenalkan secara perlahan-lahan. Ya, ianya akan mengambil masa dan yang paling penting adalah anda jangan putus asa. Apabila ada makanan yang berlainan bentuk dan warna, anda boleh mengajak anak main bersama dengan cara menyusun buah dan sayur dia atas pinggan menjadi rupa manusia, bentuk binatang dan sebagainya. Cuba wujudkan aktiviti yang mengembirakan ketika makan.
Anda jangan risau sekiranya anak masih tolak apabila diberi sayur dan buah kepada mereka. Teruskan mencuba. Kalau anda berhenti, sudah pasti tak akan nampak hasil, tapi sekiranya anda terus mencuba, kemungkinan untuk anak menerima makanan yang diberi sentiasa ada. Jadi, teruskan usaha anda! Saya doakan anda semua berjaya untuk bantu anak kesayangan anda!
Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Secara semulajadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa.
Selain terdapat dalam bentuk semulajadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan. Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.
Pada label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa (sucrose), fruktosa (fructose), sorbitol, manitol (mannitol), sirap jagung (corn syrup), madu (honey), malt, ekstrak malt (malt extract), maltosa (maltose), ekstrak beras (rice extract), molas (molasses) , golden syrup dan inverted sugar.
Apakah saranan pengambilan gula tambahan?
WHO (2003) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).
Gula tambahan yang dimaksudkan adalah monosakarida dan dwisakarida yang ditambah ke dalam makanan dan minuman oleh pengilang-pengilang makanan dan gula yang ditambah semasa memasak dan menyedia makanan.
Apakah corak pengambilan gula di Malaysia?
Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, orang dewasa di Malaysia menambah 7 sudu teh sehari iaitu 4 sudu teh gula pasir dan 3 sudu teh susu pekat manis ke dalam minuman mereka. Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini sahaja telah melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula sehari tidak melebihi 50g.
Apakah kesan pengambilan gula secara berlebihan?
Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.
Pengambilan tenaga harian yang berlebihan dalam jangkamasa yang panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III, 2006 mendapati 29.1% orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan mankala 14.0% pula obes. Ini telah menunjukkan peningkatan berbanding NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16.0% (berlebihan berat badan) dan 4.0% (obes).
Obesiti dan berlebihan berat badan meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.
Prevalen pesakit diabetes dalam kalangan penduduk yang berumur lebih daripada 30 tahun telah meningkat daripada 8.3% pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9% pada tahun 2006 (NHMS III).
Gula juga boleh dikaitkan dengan pembentukan karies gigi (dental caries). Data dari Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar karies gigi di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun adalah 76.5% (2005) dan 80.9 % dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 6 tahun (1997).
Apakah saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengurangkan pengambilan makanan dan minuman kurang gula?
Saranan utama 1
Makan makanan yang rendah kandungan gula.
Cara untuk mencapai
Saranan Utama 2
Minum minuman yang rendah kandungan gula.
Cara untuk mencapai
(Sumber: Panduan Diet Malaysia 2010)
Apakah kesan penjimatan gula kepada kesihatan?
Pengurangan penggunaan gula menjimatkan perbelanjaan dan boleh meningkatkan taraf kesihatan.
Kesan kepada kesihatan individu :
1 sudu teh gula membekalkan 20 kilokalori. Sekiranya seseorang itu mengambil makanan dan minuman yang ditambah dengan 7 sudu teh gula sehari, jumlah pengambilan tenaga tambahan daripada gula adalah 140 kilokalori. Jika tidak digunakan, 140 kilokalori tenaga ini akan ditukarkan kepada 20 gram lemak. Jika pengambilan gula ini berterusan setiap hari dan tenaga yang dihasil tidak digunakan untuk tempoh sebulan, akan terkumpul 600 gram lemak. Jika pengumpulan lemak ini berterusan selama 1 tahun, akan terkumpul 7.2 kilogram lemak berlebihan dalam badan!. Ini belum ditambah dengan pengumpulan lemak daripada makanan yang berminyak, bersantan dan berlemak yang diambil setiap hari.
Untuk membakar 140 kilokalori yang diperolehi daripada 7 sudu teh gula tambahan, seseorang itu perlu berjoging atau berjalan menaiki bukit selama 20 minit, senamrobik selama 30 minit, berbasikal selama 40 minit atau melakukan kerja-kerja rumah yang biasa seperti menyapu sampah, membasuh, memasak dan mengemas selama 1 jam.
Sekiranya seseorang itu mengurangkan pengambilan gula tambahan kepada 3 sudu teh gula sehari (iaitu 1 sudu teh gula bagi setiap cawan minuman dan diambil 3 kali sehari), beliau telah dapat mengelakkan penambahan tenaga sebanyak 80 kilokalori sehari, 560 kilokalori seminggu atau 2240 kilokalori sebulan. Oleh itu, beliau dapat mengelakkan penambahan lemak sebanyak 300 gram sebulan, atau 600 gram dalam tempoh dua bulan atau 3.6 kilogram dalam tempoh setahun.
7 Langkah bijak mengurangkan gula
Rujukan
Panduan Diet Malaysia 1999. Jawatankuasa Penyelaras Makanan dan Pemakanan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Recommended Nutrient Intake, 2005. National Coordinating Committee on Food and Nutrition, Ministry of Health Malaysia.
Strategy for the Prevention of Obesity Malaysia 2005.
National Healthy Morbidity Survey III, 2006. Ministry of Health Malaysia.
Malaysian Adult Nutrition Survey, 2002/2003. Ministry of Health Malaysia.
Food Balance Sheet, FAO 2008.
Panduan Diet Malaysia, 2010. Kumpulan Kerja Teknikal Panduan Diet Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia.
Asid folik penting untuk wanita hamil dan yang merancang kehamilan. Ketahui fungsi, sumber semula jadi, dan peranan suami dalam memastikan kesihatan ibu dan bayi.