Anak perempuan saya berumur 5 tahun dan dia selalu mengadu sakit belakang pada waktu malam. Kadang-kadang dia tak mahu menggalas beg sekolahnya dan meminta ayahnya ataupun saya untuk membawa begnya ke kelas. Saya risau dengan keadaanya. Mungkin disebabkan begnya. Apa yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah sakit belakang anak saya?

Rossa Rembau

Terima kasih atas soalan Puan. Kanak-kanak yang berumur 5 tahun dan mengalami sakit belakang pada waktu malam bukanlah perkara biasa dan memerlukan pemeriksaan segera. Ada pelbagai organ yang berkaitan dengan sakit belakang iaitu, tulang belakang (verterbrae), otot tulang selangka, tulang rawan, sistem aliran darah dan paling penting sistem saraf.

Perkara yang perlu diberikan perhatian ialah:

Adakah anak puan mempunyai tulang belakang yang kelihatan bengkok yang tidak normal?

Jika didapati tulangnya bengkok berbentuk S atau C (kyphoscoliosis), boleh mengakibatkan sakit belakang yang kronik dan tidak spesifik.

IKLAN

Adakah anak puan pernah terjatuh dan terhentak punggungnya / belakang?

Jika pernah, ini berisiko kepada ceper rawan antara tulang verterbra (interverterbral disc) beralih sedikit daripada kedudukan normalnya (Slipped Disc) atau keretakan tulang ?

Sakit belakang akan lebih teruk apabila anak bergerak. Jika sdisebabkan oleh slipped disc, sakitnya boleh menjalar hingga ke dua belah kakinya dan anak boleh berasa kakinya kejang (stiffness).

IKLAN

Adakah anak puan mengalami demam, sakit belakang yang lebih teruk pada waktu malam?

Jika ada, dia mungkin mengalami keradangan kepada ototnya (myositis) dan tulang belakang (osteomyelitis/diskitis) yang disebabkan oleh jangkitan kuman, trauma / kecederaan atau penyakit ketumbuhan (tumor/kanser). Selalunya jika ada jangkitan, sakit belakang berlaku lebih teruk pada waktu malam sehingga mengganggu tidurnya. Sekiranya jangkitan kepada saraf, pesakit boleh mengalami kebas, sakit kaki yang tajam dan mengalami gejala kelumpuhan. Ada pelbagai gejala lain yang mungkin

dialami oleh anak seperti kurang selera makan, kelesuan serta kehilangan berat badan. Penyakit yang jarang berlaku yang mempunyai gejala hampir sama seperti di atas, ialah keradangan kepada saraf tunjang (spondylo myelitis / transverse myelitis) akibat jangkitan kuman atau penyakit auto-imun yang perlukan pemeriksaan lanjut.

IKLAN

Secara realistik, kanak-kanak prasekolah tidak mempunyai bebanan buku yang berat seperti pelajar sekolah rendah atau menengah. Maka, bebanan beg sehingga sakit belakang amat jarang berlaku. Sekiranya anak pernah menjalani latihan fizikal yang berat seperti bersukan sebelum gejala ini dialaminya, kemungkinan sakitnya disebabkan oleh kekejangan otot belakang (muscle strain). Anak akan menunjukkan gejala sakit di bahagian yang spesifik dan lebih teruk dengan pergerakan belakang, berkurangan apabila dia kurang bergerak (berehat).

Sakit belakang dikalangan kanak-kanak perlu dirujuk kepada doktor dan sebaiknya kepada pakar tulang (Orthopedic) supaya pemeriksaan, ujian seperti radiologi, ujikaji darah dapat dilakukan secara teliti. Rawatan yang anak perlukan bergantung kepada diagnosis punca sakit belakang antaranya seperti fisioterapi, ubat penahan sakit, antibiotik / antivirus atau pembedahan. Sila berbincang dengan doktor yang merawat anak Puan.

Sekian, terima kasih

Dr. Hairin Anisa

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI