Perlukah ibu hamil mengambil sebarang vitamin ataupun suplemen kesihatan sepanjang kehamilan? Adakah bakal ibu masih tercari-cari apakah vitamin atau suplemen kesihatan yang sesuai semasa kehamilan?
Apabila disahkan hamil, seorang bakal ibu pastinya akan merujuk dan mencari sumber terbaik bagi bayi yang bakal dilahirkan. Salah satu soalan yang sering ditanya oleh ibu hamil ialah berkaitan keperluan pengambilan vitamin atau suplemen kesihatan.
Diet yang seimbang adalah cara terbaik bagi mendapatkan nutrient yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Justeru itu, ibu hamil dinasihatkan mengambil makanan daripada pelbagai sumber bagi memastikan bayi dalam kandungan mendapat semua vitamin dan mineral yang diperlukan. Ia juga bagi memastikan ibu mendapat tenaga yang diperlukan sepanjang kehamilan.
Walau bagaimanapun,terdapat sesetengah ibu hamil yang tidak dapat memakan makanan yang mengandungi nutrien tertentu atas sebab alahan, mual-mual atau loya, muntah yang teruk, dan sebagainya. Oleh sebab itu, pengambilan suplemen vitamin adalah disarankan bagi melengkapkan keperluan nutrien yang diperlukan, bukan sahaja untuk ibu malahan untuk tumbesaran bayi dalan kandungan. Pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan semasa hamil digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko kecacatan bayi, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi.
Apakah vitamin dan suplemen kesihatan yang penting bagi ibu hamil?
Secara amnya, ibu hamil disarankan mengambil vitamin dan suplemen mengikut keperluan dirinya atau saranan daripada doktor dan ahli farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang biasanya perlu di ambil oleh ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen yang paling penting terutamanya semasa trimester pertama kehamilan. Pengambilan asid folik boleh mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang (kecacatan tiub neural). Kecacatan tiub neural iaitu spina bifida berlaku apabila saraf di dalam tulang belakang terdedah dan rosak.
Sebaik-baiknya asid folik diambil apabila seseorang wanita merancang untuk hamil. Asid folik dengan dos 400mcg perlu diambil setiap hari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat (bentuk semulajadi Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Dalam sesetengah keadaan, dos asid folik yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5mg mungkin akan disyorkan oleh doktor. Sebagai contohnya:
Ads
Ibu hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
Ibu hamil yang menghidapi penyakit kencing manis.
Zat Besi
Ibu hamil biasanya akan menjalani ujian darah yang akan menunjukkan sama ada kandungan zat besi dalam badan mencukupi ataupun tidak. Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat besi perlu diambil. Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan zat besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan boleh membawa kepada anemia.
Risiko kelahiran pramatang dapat dikurangkan dengan pengambilan zat besi. Selain itu, pengumpulan zat besi dalam badan juga penting kerana ibu akan kehilangan banyak darah semasa melahirkan. Bayi yang bakal lahir juga mempunyai simpanan zat besi dalam badan mereka. Zat besi ini berasal daripada darah ibunya melalui uri dan boleh bertahan sehingga 4 bulan.
Biasanya, jika ibu mengambil zat besi lebih daripada kuantiti yang disyorkan iaitu 30mg, ia boleh mengganggu saluran pencernaan seperti mengalami sembelit yang dialami oleh kebanyakan ibu hamil, loya ataupun cirit-birit. Suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi dalam kuantiti 30mg atau kurang biasanya tidak memberikan sebarang masalah berkaitan.
Ibu hamil disyorkan berbincang dengan doktor berkaitan ketidakselesaan yang dialami. Sekiranya ibu hamil tidak mengalami anemia, terdapat pilihan untuk bertukar kepada suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, bagi ibu hamil yang mengalami anemia dan tiada pilihan untuk bertukar kepada suplemen lain, disyorkan untuk minum jus prun ataupun mengambil buah-buahan dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah sembelit.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.
Kalsium
Ads
Ibu hamil juga memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu. Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan berlaku kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Biasanya suplemen ini akan diperskripsikan untuk wanita hamil yang alah terhadap susu atau tidak dapat mengambil kalsium yang cukup dalam pemakanan harian mereka. Kekurangan kalsium yang serius boleh mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).
Asid Lemak Perlu
Asid Lemak Perlu seperti asid lemak omega-3 DHA dan EPA juga penting bagi pembentukan otak dan saraf bayi dari peringkat awal pembentukan. Ikan adalah sumber utama DHA dan EPA tetapi ibu perlu berhati-hati supaya tidak makan terlalu banyak ikan yang mengandungi kandungan merkuri yang tinggi. Memandangkan omega-3 adalah sangat penting untuk bayi, adalah idea yang baik untuk berbincang dengan doktor sama ada ibu memerlukan suplemen tambahan yang mengandungi omega-3 ataupun tidak.
Vitamin D
Ads
Vitamin larut lemak seperti vitamin D turut membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat kerana vitamin D memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu hamil mengambil vitamin D tambahan bagi memastikan tulang yang sihat serta menyediakan bayi dengan vitamin D yang mencukupi bagi beberapa bulan pertama mereka. Dos yang dicadangkan ialah 200IU vitamin D setiap hari.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi vitamin D adalah ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan daging.
Tips pengambilan vitamin dan suplemen
Sebelum membeli sebarang vitamin atau suplemen, baca label dengan teliti bagi memastikan dos dan kandungan yang tepat dan selamat dipilih agar sesuai dengan keperluan ibu.
Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup bagi menentukan vitamin dan suplemen kesihatan yang terbaik dan selamat diambil.
Pastikan ibu hamil tidak mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selain yang dicadangkan oleh doktor ataupun ahli farmasi.
Bagi mengelakkan loya, cuba ambil suplemen kesihatan pada waktu malam sebelum tidur. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selepas makan bagi mengurangkan iritasi dengan perut kosong.
Bincanglah dengan doktor atau ahli farmasi mengenai multivitamin khas untuk kehamilan. Ia seharusnya mengandungi asif folik, zat besi, vitamin D dan kalsium. Dapatkan juga multivitamin yang mengandungi vitamin C, vitamin D, vitamin B seperti B6 dan B12, potassium, zink dan vitamin E.
Multivitamin bagi kehamilan tidak mengandungi retinol, iaitu vitamin A daripada sumber haiwan, kerana jika diambil dalam kuantiti yang banyak, retinol boleh menjadi racun kepada bayi dalam kandungan. Ibu hamil juga perlu mengelakkan makanan yang mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi seperti hati dan juga produk berasaskan hati seperti minyak hati ikan (fish liver oil). Bagaimanapun, vitamin A boleh diambil dalam bentuk provitamin A, iaitu betakarotin yang diperolehi daripada sumber tumbuhan dan selamat untuk bayi.
Pengalaman mengandung setiap anak sememangnya berbeza-beza. Ada kandungan yang mudah tanpa alahan tidak kurang juga berdepan pelbagai komplikasi pada kandungan seterusnya.
Bagi pelakon, Izreen Azminda, selain kenaikan berat badannya sebanyak 15kg diketika usia kandungannya baru lima bulan, dia kini juga mengidam pelbagai jenis makanan malah sentiasa craving untuk makan pelbagai jenis makanan.
Terbaru menerusi Instagramnya, kata Izreen dia begitu teringin untuk menjamah Nasi Kandar di Pulau Pinang. Namun apakan daya, sekatan rentas negeri tidak membolehkan impiannya untuk ke sana.
“Berapa kali masuk dapoq dah, sat teringin tu sat teringin ni.
“Sebenaqnya, betoi ka orang kata kalau kita teringin makan apa-apa tapi tak dapat, baby akan menjejeh ayaq lioq. Ka sebenaqnya mitos ja?
“Ka memang beberapa bulan pertama tu kelenjaq ayaq lioq baby memang aktif?
“Hampa dulu masa mengandung mengidam apa yang tak dapat? Pregnant kali ni, kami teringin betoi nasik kandaq tapi tak mau makan kat umah, nak makan kat Penang.
“Masa abang Adrian lagi dasyat, teringin nasik kenduri dan nak makan kat tempat kenduri tu jugak. Jenuh mak kami dok cari sapa la buat kenduri masa tu, hampa pulak?,” tulisnya berkongsi.
Lain macam penangan kandungan ketiga kali ini. Semoga impian Izreen untuk menikmati segala makanan yang diidamkannya tercapai.
Menerusi entri berlainan, Izreen juga turut berkongsi keadaan fizikal dan kelainan fizikal bayi perempuan dan bayi lelaki.
“BOOOO-LAAATTTTT. Dulu kami percaya orang kata sapa mengandung anak laki berseri, sapa mengandung anak pompuan tak seri sebab baby tarik seri depa kata.
“Kalau anak laki badan tak kembang sangat, kalau anak pompuan badan kembang semangkuk. Kami tengak samaaa ja, badan kekembangan serupa tu gak,”kongsinya lagi.
Namun kata Izreen dia juga tidak mengalami masalah kulit sepanjang dua kehamilannya sebelum ini.
“Cumanya yang kami perasan, kami memang tak dak masalah kulit kalau mengandung.
“Hampa ada masalah kulit yang teruk dak cthnya, tak mengandung kulit elok ja, kalau mengandung kulit tu rasa macam nak p sagat kat jalan punya nak bagi licin,” selorohnya lagi.
Terdahulu, Izreen mendedahkan yang dia kini hamil lima bulan selepas memuat naik video menampakkan baby bump nya.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @izreen.azminda
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebelum ke klinik kesihatan ibu dan anak, ibu perlu dapatkan pengesahan bertulis daripada doktor yang mengesahkan diri hamil. Ujian air kencing atau Urine Pregnancy Test (UPT) sahaja tidak cukup. Tapi kenapa ye?
Kadang kala pasangan teruja untuk membuka buku rekod kehamilan atau dikenali sebagai buku pink. Bila tahu keputusan UPT positif, terus ke klinik ibu dan anak untuk membuka buku pink.
Jururawat, Puan Nur Harmuny Amaluddin ini menerangkan penting bagi ibu untuk mendapatkan pengesahan/ bukti bertulis atau pengesahan mengandung dari doktor sebelum proses membuka buku pink. Berikut ialah perkongsian beliau;
Di klinik saya jika ibu mengandung dan mahu buka buku pink kami perlukan bukti bertulis a.k.a pengesahan mengandung dari doktor.
Pernah berlaku kes , ibu buat UPT sendiri di rumah dan positif keputusan mengandung. Ibu datang ke klinik dan buka buku pink. Ibu tidak menjalani pengesahan di mana-mana klinik untuk pengesahan mengandung.
Sebaik sahaja di rujuk doktor dan di lakukan scan… rahim ibu kosong. Kes dirujuk ke hospital untuk ujian pengesahan mengandung dan keputusan diperolehi adalah “negatif”.
DINASIHATKAN MEMBUAT UPT & MENDAPATKAN PENGESAHANBERTULIS
Apabila ibu dinasihatkan membuat UPT dan memerlukan keputusan bertulis sebenarnya adalah sebagai langkah awal untuk mengelakkan berlalunya kes seperti di atas.
KEHAMILAN PERLU DISAHKAN OLEH DOKTOR
Tidak menjadi kesalahan jika ibu sudah lakukan UPT dirumah. Tetapi ibu masih juga perlu ke klinik kesihatan / hospital
Antara lainnya , jika ibu positif mengandung tetapi rahim ibu kosong dikhuatiri ibu mengandung diluar rahim.
NAMPAK REMEH TAPI PENTING
Nampak remeh tetapi betapa pentingnya ujian pengesahan mengandung ini perlu dilakukan di klinik kerajaan ( klinik kesihatan/swasta).
Diharap jika berlaku kekeliruan kenapa perlukan bukti bertulis inilah jawapannya.
Bagi ibu hamil pertama kali atau ibu yang sudah lama tidak hamil, info terkini mengenai pemeriksaan-pemeriksaan pranatal di klinik ibu dan anak ini amat membantu.
Ibu hamil pertama kali mungkin akan berasa janggal dengan pemeriksaan yang dilakukan di klinik. Info yang dikongsikan oleh jururawat Lara Marina ini boleh dijadikan panduan. Berikut ialah perkongsiannya;
Apa yang akan berlaku semasa pemeriksaan pranatal anda?
Pemeriksaan rutin akan dilakukan pada setiap temu janji untuk memastikan anda dan bayi anda sihat.
Temu ramah ringkas dengan jururawat (akan bertanya soalan-soalan asas mengenai keadaan kesihatan anda ketika itu dan pergerakan bayi).
Pemeriksaan dengan doktor bertugas (apabila perlu, tidak semestinya pada setiap kali).
Ujian air kencing untuk mengesan protein dan gula.
Pemeriksaan tekanan darah.
Ukuran berat badan.
Memegang perut anda untuk memeriksa kedudukan bayi,saiz dan perkembangannya.
Mendengar degupan jantung bayi. Ini boleh dilakukan menggunakan stetoskop khas (Pinard).
Memeriksa sekiranya anda mengalami bengkak kaki, tangan atau muka.
Ujian darah
Semasa pemeriksaan pranatal pertama di KKIA, anda akan menjalani satu ujian darah untuk memeriksa:
Kumpulan darah anda
Faktor rhesus
Sebarang jangkitan termasuk HIV, sifilis dan HEPATITIS B
Satu ujian darah untuk memeriksa kadar hemoglobin anda akan dilakukan setiap tiga bulan. Walau bagaimanapun, sekiranya anda didapati mempunyai masalah ANEMIA (Kekurangan darah) doktor mungkin akan membuat pemeriksaan yang lebih kerap.
Suntikan Kancing Gigi
Jika ini adalah kehamilan pertama anda, suntikan kancing gigi akan diberikan sejurus anda dapat merasa atau mengenalpasti pergerakan bayi. Dos yang kedua akan diberi sebulan kemudian.
Bagi kehamilan seterusnya, satu dos bagi setiap kehamilan sahaja diperlukan dan diberikan untuk melalikan anda dan bayi daripada kesan penyakit kancing gigi.
MGTT (Modified Glucose Tolerance Test)
Di antara bulan ke5 dan ke7 kehamilan, anda akan menjalani Ujian toleransi glukos oral untuk menguji Kencing manis. Ujian ini memerlukan anda berpuasa semalaman sebelum menjalani ujian darah. Jika anda mempunyai faktor risiko tambahan untuk kencing manis, ujian tersebut akan dilakukan semasa awal kehamilan dan mungkin diulang pada trimester ketiga jika ujian pertama didapati normal.
Ujian MGTT wajib bagi kandungan pertama jika pesakit berusia 25 tahun ke atas, obesiti atau mempunyai ahli keluarga yang ada sejarah kencing manis.
Pemeriksaan Payudara
Semasa pemeriksaan pertama anda di KKIA, jururawat atau bidan mungkin akan memeriksa payudara untuk memastikan tiada ketulan tidak normal dan untuk memastikan tiada masalah apabila menyusukan nanti. Jururawat akan berbincang dengan anda dan memberi nasihat tentang penyusuan badan.
Imbasan Ultrabunyi (ultrasound)
Sebilangan klinik kerajaan menyediakan ultrasound secara terhad manakala sebahagian lagi tidak menyediakan kemudahan ini. Kebanyakan KKIA bergantung kepada kaedah manual seperti mengukur perut dan mendengar degupan jantung bayi.
Di klinik kerajaan yang mempunyai kemudahan ultrabunyi atau ultrasound, anda mungkin akan diimbas dua kali :
sekali dalam trimester pertama untuk mengesan sebarang ketidaknormalan, kehamilan berganda dan untuk menolak kemungkinan kehamilan di luar rahim (ektopik)
Sekali dalam trimester ketiga untuk memeriksa perkembangan bayi dan kedudukan plasenta anda.
Jika anda mahu mendapatkan ujian-ujian pranatal yang lain seperti imbasan atau scan untuk sindrom down, anda perlu mendapatkannya di klinik atau hospital swasta.
Pemeriksaan Pergigian Semasa Hamil
Ada di antara KKIA yang berada dalam kawasan klinik-klinik kerajaan yang turut menempatkan klinik pergigian. Setiap wanita mengandung yang datang ke klinik tersebut akan diberi pemeriksaan pergigian di situ. Di KKIA yang tidak mempunyai kemudahan tersebut pula, anda akan dirujuk ke klinik pergigian terdekat.
Di klinik pergigian, doktor gigi akan memeriksa gigi dan gusi anda dan memberi nasihat mengenai penjagaan pergigian semasa mengandung.
SIAPA AKAN MEMERIKSA
Setiap kali anda datang untuk membuat pemeriksaan pranatal di KKIA, anda akan dibantu oleh seorang jururawat perbidanan. Pemeriksaan dengan doktor yang bertugas akan dilakukan sekurang-kurangnya sekali untuk imbasan dan pemeriksaan kesihatan keseluruhan. Pemeriksaan dengan doktor seterusnya hanya dijalankan apabila perlu. Pada pemeriksaan seterusnya anda mungkin akan berjumpa doktor yang berlainan. Ini adalah perkara biasa.
Jika terdapat sebarang komplikasi atau isu-isu tertentu berkaitan kehamilan anda, doktor di KKIA mungkin akan merujuk anda kepada doktor pakar di hospital kerajaan.
Kehamilan anda akan dirujuk kepada doktor pakar sekiranya berlaku keadaan ini iaitu:
Kehamilan anda dikategorikan sebagai berisiko tinggi
Terdapat komplikasi kepada ibu semasa mengandung.
Anda memerlukan ujian-ujian lain yang tidak terdapat di KKIA.
LAWATAN KE RUMAH
Jururawat atau bidan-bidan akan melawat pesakit di rumah selepas bersalin untuk memeriksa keadaan ibu dan anak.
Terdapat banyak perkhidmatan sokongan pranatal di KKIA. Anda boleh bertanya jururawat dan doktor sebarang soalan berkenaan kehamilan atau pun kesihatan bayi anda. Jika anda mempunyai masalah atau kebimbangan, anda boleh pergi ke klinik atau hospital kerajaan berdekatan dengan membawa buku pranatal anda. Sebilangan KKIA dan hospital kerajaan juga mengadakan seminar penyusuan bayi dan persediaan melahirkan bayi.
Dalam kes kecemasan, ibu boleh ke klinik kerajaan atau klinik ibu mengandung yang berdekatan atau pun hospital. Jangan lupa bawa buku pranatal anda bersama.
Bolehkah anda dapatkan penjagaan lepas bersalin?
Selepas bayi anda dilahirkan dan anda telah keluar daripada hospital, seorang jururawat atau bidan yang berdaftar dengan kerajaan daripada KKIA akan melawat anda secara berkala di rumah untuk memeriksa keadaan anda dan bayi.
Jururawat atau bidan tersebut akan memberi bantuan dan panduan serta sokongan berkenaan penyusuan, memandikan bayi dan penjagaan bayi yang baru lahir. Mereka akan menggalakkan anda berehat dan memberi nasihat mengenai cara terbaik untuk menjaga kesihatan fizikal dan emosi anda.
Peringatan :
Sila bawa buku merah anda ke mana saja anda pergi, Incase anda tiba-tiba tidak sedarkan diri, pihak yang berkenaan akan tahu tentang sejarah kehamilan anda dan amat membantu untuk sebarang keputusan yang akan dibuat (Kandungan ke berapa, yang ke berapa minggu, sesuai utk kelahiran yang bagaimana).
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.