
Mak-mak dah bersedia nak ambil keputusan peperiksaan anak? Kadang-kadang yang lebih berdebar bukan anak, tetapi mak ayah sendiri! Anak nampak tenang, boleh lagi tersenyum, tetapi mak pula yang tak senang duduk memikirkan keputusan yang bakal diterima.
Maklumlah, setiap ibu ayah pasti mengharapkan keputusan terbaik buat anak. Ada yang berharap anak mendapat semua A, ada yang mahu melihat peningkatan dan ada juga yang sekadar berharap segala usaha anak selama ini membuahkan hasil.
Namun, dalam keterujaan menunggu keputusan peperiksaan, ada satu perkara yang ibu ayah jangan lupa. Apa pun keputusan yang anak bawa pulang nanti, peluklah mereka dan hargai setiap usaha yang telah dilakukan.
Kerana bagi seorang anak, reaksi pertama ibu ayah ketika melihat keputusan peperiksaan mungkin menjadi kenangan yang diingati sampai bila-bila.
Begitu juga apabila result matrik diumumkan nanti. Walau apa pun keputusan yang diterima, sokongan dan kasih sayang ibu ayah tetap menjadi perkara paling bermakna buat anak.

Sebelum Tengok Result Matrik, Tengok Dulu Wajah Anak
Bayangkan anak menghampiri ibu ayah sambil memegang slip keputusan peperiksaan. Ada yang tersenyum kerana mendapat keputusan cemerlang, tetapi ada juga yang kelihatan takut kerana keputusan tidak seperti diharapkan.
Pada saat itu, perkara yang anak perlukan bukanlah soalan tentang berapa banyak A yang diperoleh, tetapi keyakinan bahawa ibu ayah tetap menyayangi mereka.
Jangan sampai soalan pertama yang keluar ialah, “Kenapa tak dapat A semua?” atau “Kawan kamu dapat berapa?”
Sebaliknya, cuba mulakan dengan senyuman dan kata-kata yang menenangkan.
“Macam mana pun keputusan hari ini, mak bangga sebab kamu dah berusaha.”
Ayat ringkas ini boleh memberikan kelegaan kepada anak, terutama jika mereka sendiri sedang bergelut dengan perasaan kecewa.
Anak Dapat Keputusan Cemerlang, Raikan Usaha Mereka
Apabila anak memperoleh keputusan yang baik, sudah tentu ibu ayah antara insan paling gembira. Tak salah untuk meraikan kejayaan mereka, malah anak juga berhak menerima penghargaan.
Namun, jangan hanya memuji bilangan A yang diperoleh. Hargai juga disiplin, kesungguhan dan pengorbanan anak sepanjang tempoh pembelajaran.
Mungkin kita tak nampak berapa kali anak mengulang kaji pelajaran, menahan rasa mengantuk atau mencuba memahami topik yang sukar.
Sebab itulah, selain mengucapkan tahniah, ibu ayah boleh berkata, “Mak nampak kamu betul-betul berusaha selama ini. Tahniah, sayang!”
Pujian terhadap usaha membantu anak memahami bahawa kejayaan bukan sekadar tentang keputusan akhir, tetapi juga proses pembelajaran yang telah dilalui.
Kalau Result Matrik Tak Seperti Diharapkan, Jangan Terus Marah
Bukan semua anak akan pulang dengan keputusan yang menggembirakan. Ada yang mungkin mendapat markah lebih rendah daripada sasaran atau kecewa kerana tidak mencapai keputusan seperti rakan-rakan.
Dalam situasi begini, reaksi ibu ayah sangat penting. Bayangkan anak yang sudah sedia kecewa dengan dirinya sendiri, kemudian terpaksa pula berdepan kemarahan daripada orang tersayang.
Elakkan daripada terus memarahi, menyindir atau membandingkan keputusan anak dengan orang lain.
Sebaliknya, berikan mereka ruang untuk meluahkan perasaan. Tanyakan apa yang dirasakan dan bahagian mana yang paling mencabar sepanjang peperiksaan.
Keputusan kurang memuaskan bukan bermakna anak tidak mempunyai masa depan. Ia boleh menjadi peluang untuk ibu ayah membantu mereka mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki.

Jangan Bandingkan Anak Dengan Anak Orang Lain
“Anak jiran dapat semua A, kenapa kamu tak boleh?”
Mungkin ada ibu ayah menganggap perbandingan sebegini sebagai cara untuk menaikkan semangat. Namun, kata-kata itu boleh membuatkan anak berasa tidak cukup bagus walaupun sudah berusaha.
Setiap anak mempunyai kekuatan dan kemampuan berbeza. Ada yang cemerlang dalam akademik, ada juga yang menyerlah dalam sukan, seni atau kemahiran lain.
Daripada membandingkan anak dengan orang lain, lebih baik ibu ayah melihat perkembangan mereka sendiri. Jika ada peningkatan, berikan penghargaan. Jika ada kelemahan, bantu mereka memperbaikinya.
Pelukan Mak Ayah Lebih Bermakna Daripada Yang Disangka
Kadang-kadang ibu ayah terlalu fokus kepada keputusan sehingga terlupa bahawa anak juga sedang melalui pelbagai emosi.
Ada anak yang menangis kerana gembira, ada yang kecewa dan ada juga yang takut menunjukkan keputusan kepada ibu ayah.
Dalam keadaan ini, pelukan penuh kasih sayang boleh menjadi cara mudah untuk menunjukkan bahawa mereka tidak keseorangan.
Tak perlu tunggu anak dapat semua A baru hendak dipeluk. Peluklah mereka kerana sudah mencuba, belajar dan berusaha mengikut kemampuan masing-masing.
Ibu ayah, keputusan peperiksaan memang penting, tetapi kasih sayang dan sokongan kita jauh lebih bermakna.
.Jadi, apabila anak menunjukkan slip keputusan nanti, jangan lupa senyum, peluk dan ucapkan:
“Tahniah sayang, mak ayah bangga dengan usaha kamu. Apa pun keputusan hari ini, kami tetap sayang kamu.”

sekarang!
