Anak sekecil secomel 2 tahun ini sudah dicabut semua gigi susunya. Kenapa?
Perkongsian cerita ini telah mendapat kebenaran ibunya demi memberi kesedaran dan pengajaran ibubapa diluar sana.
Ayden sangat susah untuk diberus giginya. Gusi sering berdarah dan mengadu sakit. Makan juga agak susah, maka dietnya hanya minum susu botol. Kebiasaannya apabila melihat kaum keluarga makan, dia akan meminta disuapkan.
Tetapi setelah disuap makanan oleh ibunya, dia tidak mengunyah malah diluek keluar makanannya.
Ibu pernah membawa Ayden berjumpa doktor gigi kerajaan untuk pemeriksaan. Sebaik diperiksa, doktor gigi memberi ubat tahan sakit.
Kemuncak kejadian, Ayden menangis-nangis tidak boleh tidur 2-3 malam akibat sakit gigi. Ibu memberi ubat tahan sakit tetapi tangisannya tidak reda. Ketika itu klinik kerajaan tutup.
Maka ibubapa membawa ke bahagian kecemasan hospital. Doktor gigi ‘oncall ‘ memberi ubat tahan sakit paracetamol.
Ayden tetap nangis kesakitan, keesokan paginya ibubapa membawa Ayden ke klinik gigi swasta. Doktor gigi tersebut menyarankan agar dirujuk ke pakar pergigian di hospital kerajaan kerana gusi sudah mulai bengkak-bengkak.
Sebaik jumpa doktor pakar di hospital, doktor memberi ubat antibiotik untuk dihabiskan . Rawatan tidak dapat terus dijalankan kerana senarai menunggu pesakit sangat ramai.
Mereka terpaksa pulang dan menunggu panggilan dari pihak hospital. Sekiranya ada pesakit lain yang terpaksa dibatalkan prosedur di dalam bilik pembedahan, barulah giliran rawatan Ayden akan di buat.
Kena pulang tunggu lagi. Selepas 2 hari menunggu, alhamdulillah dapat panggilan daripada pihak pakar bedah mulut hospital. Doktor memaklumkan Ayden perlu menjalani cabutan semua gigi susu dibawah bius umum (General Anaesthesia).
Boleh bayangkan bagaimana perasaan ibubapanya setelah prosedur? Melihat mulut anaknya penuh dengan jahitan dan bekas darah cabutan gigi?
Alhamdulillah..Sekarang semua sudah selesai.
—————————————————————————–
Cabut semua gigi susu? YA betul.
Ini kerana Ayden mengalami Karies Awal Kanak-kanak. Kes Ayden berpunca dari minum botol susu.
Ads
APAKAH KARIES AWAL KANAK-KANAK ?
Karies awal kanak-kanak adalah kerosakan gigi yang berlaku pada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Ia melibatkan sebatang atau lebih sebatang gigi.
Ia merupakan proses pendemineralan asid terhadap gigi akibat kehadiran plak (tahi gigi) dan air liur.
Diantara punca kejadian karies gigi :
1. Kekerapan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi gula tinggi seperti gula-gula, makanan manisan.
2. Kurang atau tidak memberus gigi.
3. Teknik memberus gigi yang tidak betul dan tidak berkesan untuk menanggalkan plak sisa makanan
4. Menyusu botol minuman yang mengandungi gula sukrosa.
5. Transmisi (pemindahan) bakteria daripada ibubapa / penjaga kepada anak melalui air liur.
Contoh: Ibu dan anak berkongsi sudu makanan. Kebersihan mulut ibu yang tidak memuaskan boleh menjangkitkan bakteria dari ibu kepada anak.
6. Pengambilan ubat yang mengandungi gula ( supplement tambahan)
_________________________________________
KENAPA GIGI AYDEN ROSAK HINGGA MENYEBABKAN BENGKAK GUSI ?
Ads
Sekiranya gigi berlubang tidak dirawat, lubang ini akan menjadi lebih besar dan merebak ke bahagian saraf gigi (pulpa) dan boleh menyebabkan jangkitan dan bengkak gusi.
Sekiranya ini terjadi, rawatan yang lebih kompleks diperlukan iaitu rawatan akar ataupun cabutan bagi mengelakkan kerosakan kepada gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam rahang kanak-kanak berkenaan.
APAKAH KESAN CABUTAN AWAL GIGI SUSU?
Cabutan gigi susu yang terlalu awal boleh menyebabkan kesesakan pada rahang akibat pergerakan gigi dan akhirnya boleh menyebabkan tiada ruang yang secukupnya untuk gigi kekal tumbuh.
Jika ini berlaku, gigi kekal yang tumbuh akan berlapis dan kanak-kanak ini mungkin memerlukan rawatan ortodontik contohnya braces untuk membetulkan kedudukan gigi kekal berkenaan.
BAGAIMANA MENCEGAH KARIES GIGI SUSU ?
1. Mulakan membersih gigi anak anda apabila gigi pertama sudah tumbuh. (Gosok dengan tuala pun ok)
2. Gunakan ubat gigi berflorida
• Secalit nipis umur kurang 2 tahun
• Sebesar saiz kacang ‘pea’ 2-5 tahun,
• 2 minit x 2 kali sehari
Ibubapa / penjaga perlu membantu dan pantau anak-anak bawah 8 tahun memberus gigi.
3. Ibubapa / penjaga perlu mengangkat bibir atas anak (Lift the Lip Technique), untuk memastikan tiada plak terkumpul di bahagian pinggir gusi.
Ads
4. Jangan biarkan anak anda tidur sambil menghisap botol susu. (juga susu badan)
Keluarkan botol susu dari mulut sebaik sahaja habis menyusu botol. Jangan biarkan anak mengempeng susu botol !
5. Berhenti menyusu menggunakan botol (umur 1-3 tahun) dan diganti dengan cawan.
6. Jangan kongsi sudu/garpu atau merasa makanan sebelum menyuap kepada anak anda.
7. Elakkan letak gula / manisan ke dalam botol susu.
8. Pengambilan diet yang mengandungi gula rendah dan pantau kekerapan pengambilan makanan ringan.
9. Menggunakan ubat ‘bebas gula’ sekiranya perlu makan ubat berbentuk cecair
10. Minum air masak / berkumur selepas ambil ubat cecair yang mengandungi gula. Ini sebagai bilasan mulut.
11. Pastikan pemeriksaan gigi dilakukan sebelum kanak – kanak berumur satu tahun. Seeloknya sebaik sahaja gigi susu mulai tumbuh.
Menjalani pemeriksaan gigi secara berkala (disarankan 3 – 6 bulan sekali ).
12. Jika anak anda mengalami sakit gigi atau bengkak sila dapatkan rawatan segera.
13. Sapuan Florida. (Pastikan gigi sudah di gosok)
Dapatkan sapuan florida untuk anak anda di klinik pergigian berdekatan bagi mencegah karies gigi.
Sekian.
Bantu saya kongsikan informasi ini agar lebih ramai ibubapa lebih peka bersama-sama menjaga gigi anak masing-masing.
Tahukah anda sekiranya anak mengalami masalah kekurangan vitamin D ia mungkin boleh menyebabkan tulang anak rapuh hingga patah.
Tak ramai daripada kita yang tahu tentang hal ini. Selepas tularnya kes bayi tiga bulan yang mengalami masalah tulang peha patah, ramai doktor dan pakar tampil berkongsi maklumat penting yang boleh dikaitkan dengan kes tersebut.
Dr Amirul Amzar menulis maklumat tentang kekurangan vitamin D ang boleh menyebabkan tulang anak rapuh hingga patah atau kemungknan penderaan kanak-kanak dalam kes bayi comel Hannah Khawlah.
Baby Hannah Khawlah ketika terima rawatan
Baru-baru ini viral satu kes seorang sahabat ditimpa musibah apabila anak beliau yang berusia 3 bulan patah tulang peha selepas diambil dari rumah pengasuh.
Sahabat ini yang juga kakitangan kesihatan sudah pasti mengesyaki penderaan atau “non accidental injury” (NAI) berlaku dan membuat laporan pada pihak berwajib.
Namun, apabila ada pendapat tiba-tiba mengatakan ada kemungkinan dalam kes ini kerapuhan tulang disebabkan kekurangan vitamin D berlaku, maka berbondong-bondonglah pengasuh membawang menyalahkan ibu bapa anak ini kononnya salah mereka yang menyebabkan tulang anak ini rapuh hingga patah.
Pada saya, ini adalah tidak adil. Akan saya jelaskan bagaimana NAI masih perlu disiasat tanpa mengira isu vitamin D dalam anak ini.
Pendapat berkaitan vitamin D itu mungkin betul, namun menyamakan kes ini dengan kes yang lain sebelum ini adalah tidak adil, apatah lagi bila pendapat dikeluarkan oleh orang yang tidak terlibat dalam merawat anak sahabat ini.
Memang benar anak-anak yang dimasukkan ke hospital akibat kepatahan tulang, kebanyakan dari mereka mempunyai masalah kekurangan vitamin D. Namun ini perlu disahkan dengan ujian makmal.
Walaupun sudah terbukti kalau anak yang mengalami kepatahan itu kurang vitamin D, kecederaan akibat penderaan masih tidak boleh ditolak tepi.
Kecederaan di tulang peha bagi anak sekecil ini yang berusia 3 bulan lebih menjurus kepada NAI. Anak berusia 3 bulan belum pun boleh mengengsot sendiri, takkan boleh jatuh dan patah sendiri.
Kajian global menunjukkan jika kepatahan berlaku pada usia kurang 1 tahun, 1 daripada 3 kes kepatahan itu adalah disebabkan oleh NAI (1). Bermakna dalam kes ini, kebarangkalian NAI adalah tinggi!
Walaupun kekurangan vitamin D membuatkan tulang lebih rapuh, namun ia tidak termasuk dalam risiko kepatahan akibat NAI. Bermakna, seorang anak yang mempunyai kekurangan vitamin D dan seorang anak yang normal, mempunyai risiko yang sama untuk kepatahan akibat NAI (2, 3).
Memang benar, masalah kerapuhan tulang sama ada disebabkan kekurangan vitamin D atau penyakit lain adalah “differential diagnosis” untuk kepatahan tulang pada kanak-kanak, namun, sebuah ulasan menyarankan penyakit tulang disyaki hanya selepas NAI benar-benar dipastikan tidak berlaku, ia disebut sebagai “diagnosis of exclusion” (4).
Saranan saya, kes kepatahan pada anak sekecil ini perlu disiasat sebagai NAI. Tindakan ayah anak ini membuat laporan polis atas sebab mengesyaki NAI adalah tepat.
Beliau berhak meminta ujian vitamin D dijalankan namun walaupun keputusan ujian menunjukkan tahap vitamin D anak ini rendah, ia masih tidak boleh dijadikan diagnosis tanpa siasatan rapi dari aspek penderaan kanak-kanak.
1) A.M. Kemp, F. Dunstan, S. Harrison, S. Morris, M. Mann, K. Rolfe, et al. Patterns of skeletal fractures in child abuse: systematic review BMJ, 337 (2008), p. a1518
2) A. Fassier, P. Gaucherand, R. Kohler,
Fractures in children younger than 18months,
Orthopaedics & Traumatology: Surgery & Research, Volume 99, Issue 1, Supplement, 2013, S160-S170, ISSN 1877-0568, https://doi.org/10.1016/j.otsr.2012.11.004.
3) Schilling S, Wood JN, Levine MA et al (2011) Vitamin D status in abuse and nonabused children younger than 2 years old with fractures. Pediatrics 127:835–841
4) Pandya NK, Baldwin K, Kamath AF, Wenger DR, Hosalkar HS. Unexplained Fractures: Child Abuse or Bone Disease? A Systematic Review. Clinical Orthopaedics and Related Research. 2011;469(3):805-812. doi:10.1007/s11999-010-1578-z.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebelum tiba saat melahirkan, anda seharusnya peka dan ambil tahu beberapa masalah yang boleh terjadi menjelang, semasa dan selepas proses kelahiran.
Terlilit tali pusat
Keadaan ini kerap kali mencetuskan rasa risau di kalangan ibu hamil berikutan ramai yang menyatakan masalah ini biasa dialami semasa proses bersalin.
Biarpun begitu, perlu anda tahu bahawa terdapat beberapa jenis masalah tali pusat yang tidak membahayakan janin. Apa-apa pun, ia perlulah terlebih dahulu melalui pemeriksaan ultrasonografi.
Menerusi pemeriksaan ini, kedudukan tali pusat dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah jumlah lilitan dan keadaan aliran darah di kawasan sekitar lilitan pun boleh diketahui.
Dengan yang demikian, doktor dapat mengenal pasti adakah lilitan berkenaan membahayakan bayi dalam kandungan ataupun sebaliknya.
Jika lilitan terlalu kuat, ia boleh menyebabkan bayi kekurangan oksigen dan boleh membahayakannya. Apabila keadaan ini berlaku dan anda boleh bersalin normal, maka dapatkan nasihat doktor untuk langkah seterusnya.
Jika ia boleh memburukkan keadaan, maka adalah selamat jika anda bersalin melalui pembedahan caesarean.
Posisi songsang
Apabila bayi didapati berkedudukan songsang, anda boleh meminta bantuan doktor yang pakar melakukan External Cephalic Version (ECV) sebelum memutuskan untuk bersalin dalam proses pembedahan.
Langkah lain yang boleh anda lakukan agar bayi kembali ke posisi normal ialah dengan melakukan posisi knee – chest atau sujud – menungging.
Perlu anda ketahui bahawa ECV hanya boleh dilakukan jika anda tidak mengalami pendarahan pada faraj dan plasenta berada dekat dengan ‘mulut’ rahim. Walau bagaimanapun agak sukar dilakukan jika degupan jantung bayi tidak normal, kehamilan kembar, pertumbuhan janin tidak normal dan air ketuban kurang.
Lahir pramatang
Penyebab umumnya terjadinya kelahiran pramatang ialah premature rupture of membrane (PROM). Hal ini terjadi kerana selaput ketuban pecah dan air ketuban keluar sebelum waktu sepatutnya bayi lahir.
Kebanyakan doktor berpendapat pemicu masalah ini adalah disebabkan oleh jangkitan pada bahagian faraj. Ia mungkin disebabkan oleh kadar hormon estrogen yang meningkat sepanjang tempoh kehamilan hingga menyebabkan faraj menghasilkan lebih banyak glikogen yang menggalakkan pertumbuhan kulat.
Pencegahan awal yang boleh dilakukan adalah dengan menjaga kebersihan faraj. Antara lain, ia mungkin berpunca daripada masalah jangkitan saluran kencing.
Gejalanya adalah salur kencing terasa seperti ‘terbakar’ ketika membuang air kecil, sering terasa mahu membuang air kecil; urin berbau dan berwarna keruh serta kadang kala mengandungi darah.
Pencegahannya adalah anda perlu minum air kosong dalam amaun yang sesuai dengan keperluan tubuh.
Berkemungkinan juga kelahiran pramatang berlaku disebabkan oleh listeria atau listeriosis iaitu jangkitan yang sering diabaikan. Gejalanya sama seperti selesema dengan sedikit demam dan kadang kala cirit-birit.
Selain kelahiran pramatang, bayi juga mungkin menderita meningitis. Langkah pencegahan yang boleh dilakukan ialah dengan menghindari makanan yang mudah berkulat seperti keju lembut atau daging yang belum dimasak sepenuhnya.
Selain daripada kemungkinan yang dinyatakan, antara penyebab lain yang perlu dititikberatkan ialah air ketuban yang terlalu banyak, ‘mulut’ rahim yang lemah, bentuk rahim tidak normal, kehamilan kembar, masalah tekanan sepanjang tempoh kehamilan atau kehamilan di usia matang.
Plasenta praevia
Plasenta praevia ialah keadaan di mana plasenta berada di tempat yang salah. Seharusnya, plasenta terbentuk di bahagian atas rahim. Namun dalam kes ini, plasenta berkemungkinan melekat atau menutupi laluan serviks.
Keadaan sebegini boleh mengganggu proses kelahiran kerana plasenta menutupi saluran kelahiran dan dilaporkan sekitar 0.5 % ibu hamil mengalami plasenta praevia. Posisi plasenta yang tidak berada pada tempat yang sepatutnya boleh diketahui sejak sebelum proses bersalin iaitu melalui pemeriksaan ujian imbasan.
Jika didapati anda mengalami uri bawah pada usia kehamilan lebih daripada 28 minggu, maka anda akan dikategorikan sebagai plasenta praevia. Jika plasenta terus menerus menghalang saluran kelahiran sehingga tiba saat bersalin, maka doktor akan memutuskan pembedahan caesarean sebagai proses kelahiran bayi.
Berat badan bayi lahir rendah
Proses kelahiran bayi yang bersaiz kecil atau berat badannya rendah cenderung lancar tetapi keadaan bayi yang baru sahaja dilahirkan itu tidak sempurna.
Umumnya masalah ini terjadi lantaran disebabkan usia kehamilan belum cukup matang atau bayi sememangnya bersaiz kecil dalam kandungan.
Faktor penyebab masalah ini ialah adanya gangguan dalam pertumbuhan janin yang mungkin disebabkan oleh masalah penyaluran makanan daripada ibu kepada pbayi tidak sampai atau berkurangan; kelainan plasenta, jangkitan atau masalah tekanan darah tinggi yang dialami oleh ibu.
Dalam usaha mencegah risiko berat badan bayi lahir rendah ialah mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang seperti yang disarankan oleh doktor dan menjaga kehamilan agar pertumbuhan bayi berkembang normal
Ketuban pecah awal
Ketuban pecah? Sering kali kita mendengar perkataan ini. Ia boleh menimbulkan panik di kalangan ibu hamil yang pada ketika itu, belum tiba masa untuk melahirkan bayinya. Tambahan pula, ramai yang tahu bahawa hal ini adalah salah satu petanda awal proses kelahiran.
Sebenarnya penyebab ketuban pecah lebih awal banyak bergantung kepada keadaan anda dan kehamilan itu sendiri. Jika jumlah air ketuban masih cukup, doktor cenderung untuk menahan bayi di dalam kandungan kekal di rahim. Sementara itu, anda perlu berehat sepenuhnya dan diberi ubat untuk mematangkan paru-paru janin dan antibiotik demi mencegah sebarang jenis jangkitan.
Kebiasaannya, kesan daripada langkah yang dilakukan oleh doktor ini akan membuatkan selaput ketuban tertutup sendiri dan air ketuban kembali terbentuk semula. Jika hal sebaliknya berlaku iaitu air ketuban sudah kering, doktor akan segera mengeluarkan bayi melalui pembedahan caesarean.
Tip yang boleh dilakukan untuk mengelakkan ketuban pecah awal ialah dengan melakukan pemeriksaan kehamilan secara teratur dan segera mendapatkan peemeriksaan doktor jika berasa ada sesuatu yang tidak normal dengan kehamilan atau kawasan sekitar kemaluan.
Selain itu, sekiranya anda mengalami masalah rahim tidak kuat, adalah lebih baik jika hubungan seksual dengan suami dihentikan segera. Antara lain, anda boleh mencuba dengan mengambil suplemen atau mengambil makanan atau minuman yang mengandungi vitamin C dalam bentuk segar secara teratur selepas usia kehamilan lebih daripada usia 20 minggu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lompat, panjat sana sini dan jatuh itu lumrah anak kecil yang sedang lasak bermain. Dalam pada membiarkan anak aktif, namun berhati-hatilah. Anggota tubuh yang perlu dikisahkan ibu bapa di rumah adalah kepala kerana banyak bahayanya.
Aktif macam mana pun, sebaiknya elakkan anak bermain hingga boleh mengundang bahaya pada bahagian kepala. Ada banyak kerisauan yang perlu mak ayah berikan perhatian. Perkongsian dari Pn Wawa Shauqi ini mak ayah perlu lebih peka.
Ingat tak bulan lepas? Anak saya muntah-muntah & dan tak bermaya lepas jatuh. Jatuh kepala dulu. 3 kali di tempat yang sama pernah jahit. Haih! Taknak jadi dah.
Waktu tu, dah lah hospital jauh. Sepanjang perjalanan saya menangis bila nampak anak yang tadinya aktif, tiba-tiba lemah, pucat dan muntah-muntah.
Sebelum ni, dah beberapa kali terjatuh. Almaklumlah, anak jantan. Aktif dia tak boleh bawak bincang. Bawak bincang, bertahan 10 saat, lepas tu melompat balik. Cuai seminit, macam-macam boleh jadi.
Tapi hikmahnya, waktu di hospital, banyak benda yang saya dapat belajar dari doktor yang merawat. Ada beberapa kemungkinan yang jadi pada anak bila mereka jatuh kepala dulu:
* Berlaku kecederaan pada kulit, atau trauma melibatkan tengkorak dan paling serius, sehingga menjejaskan bahagian otak. Baca pun dah ngilu.
* Benjol disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pun pendarahan di bawah kulit di mana darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak. Ia boleh hilang dengan sendiri. Cuma memakan masa.
Kalau lebamnya kecil di dahi, nampak warak sikit. Kalau besar, redholah sekejap anak nampak macam flowerhorn.
* Berlaku hentakan pada tengkorak. Bila ada keretakan, anak berdepan dengan risiko jangkitan kuman.
Jom kenal pasti apa tanda-tanda kemungkinan berlaku pendarahan dalaman : * Pengsan * Hilang ingatan * Muntah-muntah * Mengadu sakit kepala * Tak dapat bercakap dengan betul * Berlaku perubahan perangai * Mata hitam tak sama saiz * Telinga dan hidung keluar darah.
Ini baru bab jatuh di kepala. Ada banyak lagi risiko kecederaan yang anak kita hadapi. Patah tulang, dihimpap tv, dipatuk ular, disengat sernagga, dihimpap perabut, terkena air panas, sawan, sesak nafas dan banyak lagi.
Tak semua orang rumah dekat dengan hospital. Sebeb itu perlunya semua mak ayah ada ilmu bantuan kecemasan. Bantuan kecemasan awal dapat menyelamatkan nyawa anak kita.
Peluang Jadi Vendor di Baby Bazaar by Pa&Ma
Ada waktunya kita kesuntukan masa untuk mencari kelengkapan si comel. Tidak perlu waktu yang lama, membeli belahlah melalui atas talian yang lebih menjimatkan masa anda.
Pa&Ma ingin memperkenalkan portal barangan bayi dan ibu hamil yang baru, iaitu Baby Bazaar by Pa&Ma. Menerusi portal ini, ibu bapa tidak perlu gusar untuk mencari makanan atau kelengkapan buat si comel. Portal ini menjanjikan proses pembelian yang mudah dan barang akan terus dihantar ke rumah anda.
Bagi anda yang ingin menjual produk bayi, produk ibu atau servis berasaskan bayi dan ibu, inilah peluang anda untuk menjadi vendor di bazaar kami. Jom cepat-cepat sertai kami dengan melayari portal Baby Bazaar by Pa&Ma, babybazaar.my.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.