Sudah banyak kes bayi tersedak susu yang berlaku di Malaysia. Malangnya kebanyakan bayi ini tidak dapat diselamatkan. Kejadian tersedak susu biasanya berlaku kerana bayi tidak diawasi ketika sedang menyusu. Sesetengah bayi yang masih tidak pandai memegang botol susunya sendiri dibiarkan sendiri sambil botol susunya ditahan dengan bantal atau kain.
Di dalam penulisannya, Dr Ahmad Luqman Bukhari menjelaskan tentang kejadian tersedak susu. Semoga penerangan ini memberi manfaat kepada kita semua.
Tolonglah jangan duk biar je baby kita tu menyusu sendiri.
Sempit sangat rasa dada ni bila teringatkan kes-kes bayi tersedak susu. Kebanyakannya berlaku kat baby yang umurnya bawah 6 bulan.
Kadang tu ada pengasuh atau parent yang cuai, dia biarkan je baby pegang botol sendiri dan teguk susu tu sampailah tertidur. Lebih dahsyat, ada jugak yang selamba pergi sendal botol tu kat bantal dan pergi buat kerja lain.
Ads
Akhirnya susu tu menitik masuk berterusan hingga penuh kembung mulut bayi tu. Sekali dia tarik nafas, terus tersedak sebab susu tadi tu termasuk ke paru-paru dia. Sedar-sedar je dah membiru seorang diri kat dalam buaian.
Sebab tu penting sangat-sangat kena pantau dan duduk dengan anak tiap kali dia menyusu.
Lepas menyusu je paling bagus terus sendawakan dulu si kecil tu. Tak pun posisikan sekejap badan dia dalam keadaan mengiring. Kalau termuntah, tak adalah baby kita tu tersedak sebab nanti ia terus mengalir keluar dari mulut.
Ads
Kalau baby menangis, jangan kelam kabut nak sumbat susu je. Periksa jugak mungkin ada keperluan fisiologi lain yang kita belum penuhi. Mungkin pampers dah penuh, boleh jadi dia dah mengantuk sangat.
Risau benar kalau ter overfeeding sampai buatkan perut si kecil tu penuh sangat. Akhirnya nanti tak pasal-pasal dia termuntah dan tersedak.
Cek jugak pengasuh yang jaga anak kita tu. Tak nak lah tersilap serahkan anak kita kat pengasuh yang sebarangan.
Kalau ikutkan guideline JKM, seorang pengasuh sepatutnya paling banyak pun dia boleh jaga 3 orang je kanak-kanak yang berusia bawah setahun. Kalau lebih dari 3 orang, risiko terlepas pandang tu akan jadi sangat-sangat tinggi.
Itu yang anak kecil tersedak sampaikan badan dah keras kaku pun pengasuh kita tak perasan!
Tolong #sebarkan ilmu penting ni terutamanya dengan pasangan yang baru nak terima cahaya mata. Sedih sangat kalau benda tak elok ni berlaku kat bayi kita sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada sesetengah ibu yang mahu melahirkan anak mungkin merasa was-was untuk menunaikan solat apabila sudah keluar ‘tanda’. Ketika mahu bersalin, ada dua ‘tanda’ yang mungkin berlaku pada si ibu sama ada keluar lendir bercampur darah mahupun lelehan air ketuban.
Jika ada tanda-tanda ini, adakah sah solat si ibu? Dipetik dari laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada jawapan untuk persoalan ini.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang.
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin:
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran servik atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
#Membasuh faraj.
#Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
#Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
#Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
ia melindungi bayi anda daripada tercedera sekiranya sesuatu menghentak perutanda atau jika perut anda dihempap sesuatu;
ia membantu sistem paru-paru dan sistem pencernaan bayi untuk matang;
ia melindungi bayi anda daripada jangkitan.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Kesimpulan
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Bila nak solat, ibu perlu merasa selesa. Klik SINI untuk rahsia solat lebih khusyuk dan menenangkan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahukah anda, masalah lidah pendek dalam kalangan bayi sebenarnya boleh memberikan kesan terhadap tumbesarannya kelak? Jika anda ingin tahu apakah kesan lidah bayi pendek, teruskan bacaan anda menerusi penulisan ini.
Apa itu masalah lidah pendek?
Dalam istilah perubatan, ia disebut sebagai ankiloglossia (ankyloglossia). Keadaan ini juga dikenali sebagai tongue tie dalam bahasa Inggeris.
Ia merupakan satu keadaan yang menyekat atau membataskan pergerakan lidah bayi sejak dilahirkan.
Ia berlaku apabila lidah bayi kekal melekat dengan dasar mulutnya dan menjadikan otot nipis di bawah lidah atau frenulum terlalu pendek.
Dengan itu, pergerakan lidah akan menjadi terhad dan sekali gus mengganggu fungsi lidah bayi.
Apakah tanda-tanda lidah pendek dalam kalangan bayi dan kanak-kanak?
Tanda atau simptom lidah pendek dalam kalangan bayi boleh dikategorikan sebagai sederhana atau teruk.
Lidah bayi mungkin kelihatan seperti berbentuk jantung atau mungkin mempunyai takuk di dalamnya.
Antara tanda-tanda atau simptom bayi anda mengalami masalah lidah pendek ialah:
Bagi kanak-kanak pula, antara tanda mereka mengalami masalah ini ialah:
Klasifikasi ini telah digunakan secara meluas dalam dunia perubatan.
Dalam Klasifikasi Hazelbaker, terdapat empat jenis kategori lidah pendek:
Jenis 1
Otot nipis di bawah lidah atau frenulum mempunyai ciri yang nipis dan elastik.
Ia melekat pada hujung lidah sehingga ke bahagian dalam rongga mulut. Jika dilihat dari hadapan, ia kelihatan seperti bentuk jantung (love).
Jenis 2
Otot nipis di bawah lidah mempunyai ciri yang nipis dan elastik. Ia berada hanya 2 hingga 4 milimeter daripada hujung lidah dan melekat ke bahagian dalam rongga mulut.
Jenis 3
Frenulum atau otot nipis di bawah lidah bersifat lebih tebal, berserabut dan tidak elastik. Ia melekatkan bawah tengah lidah dengan dasar mulut bayi.
Jenis 4
Frenulum atau otot nipis di bawah lidah tidak kelihatan, namun masih boleh dirasai. Ia bersifat tebal, berserabut dan melekat daripada dasar bawah lidah ke bahagian dasar mulut bayi.
Selain daripada Klasifikasi Hazelbaker, anda juga boleh menggunakan alat penilaian TABBY untuk menilai masalah lidah pendek bayi anda.
Ini kesan tongue tie terhadap anak anda
Apabila berlakunya masalah lidah bayi pendek, ia sememangnya boleh memberikan kesan atau impak terhadap bayi tersebut.
Kesan ini akan semakin jelas apabila bayi semakin membesar.
Antara kesan utama lidah anak pendek ialah:
#1. Kesan terhadap penyusuan
Bayi dengan keadaan lidah yang normal tidak mempunyai masalah untuk menyusu dengan selesa.
Namun, bagi bayi yang mempunyai masalah frenulum yang pendek, mereka akan sukar untuk menghisap puting sewaktu disusukan.
Bukan itu sahaja, puting payudara ibu juga akan mudah mengalami luka dan melecet setiap kali menyusukan bayi.
Apabila bayi tidak dapat menyusu dengan baik, maka mereka tidak akan mendapat nutrisi daripada susu secukupnya.
#2. Kesan terhadap proses kunyahan dan menelan makanan
Bayi dengan lidah yang normal tidak mempunyai masalah yang besar untuk mengunyah dan menelan makanan.
Ini kerana lidah dapat membantu menggerakkan makanan dalam mulut dengan baik dan berkebolehan menolak makanan ke dalam tekak sewaktu menelannya.
Namun, bagi masalah tongue tie, makanan akan menjadi sukar untuk digerakkan dalam mulut.
Selain itu, karies gigi juga lebih mudah terbentuk memandangkan lidah tidak dapat membersihkan sisa makanan pada celah gigi atau bawah lidah dengan berkesan.
#3. Kesan terhadap pertuturan
Otot lidah yang normal boleh membuat pelbagai gerakan untuk menghasilkan bunyi perkataan atau percakapan.
Namun, bagi masalah frenulum atau otot nipis di bawah lidah yang pendek, ia akan mengganggu kualiti pertuturan bayi atau kanak-kanak.
Sebutan bayi atau kanak-kanak akan menjadi tidak betul, kelajuan percakapan yang tidak sama, ritma sebutan yang terganggu selain sebutan yang kurang jelas.
#4. Kesan terhadap kehidupan sosial
Apabila bayi anda membesar dan memasuki alam kanak-kanak, mereka akan berdepan dengan beberapa masalah yang berkaitan aktiviti sosial.
Disebabkan mereka tidak mampu untuk bercakap, meniup, dan menjilat dengan baik, maka mereka mungkin akan menolak atau tidak dapat menyertai sebarang aktiviti bersama rakan-rakan.
Masalah ini juga akan membuatkan mereka berasa malu dan rendah diri di hadapan rakan-rakan yang lain.
Jadi, ibu bapa perlu kenal pasti perkembangan setiap anak-anak agar lebih awal bertindak.
Selepas bersalin anda akan melalui tempoh berpantang. Dalam tempoh itu, anda akan lakukan urutan untuk mengembalikan kesegaran tubuh, melancarkan peredaran darah dan sebagainya.
Selesai tempoh berpantang, anda akan kembali bekerja dan menjalani rutin seperti biasa.
Sedarkah anda, ada satu lagi proses berpantang yang dikenali rawatan penutup pantang yang perlu dilakukan. Ia penting untuk wanita lepas bersalin seperti mana yang dikongsikan oleh Nur Syatirah Shuib atau Kak Bidan Sempoi.
Ia adalah rawatan terakhir dalam amalan berpantang orang Melayu. Ramai yang kurang percaya dengan rawatan penutupan pantang kerana dari mata kasar, sukar untuk menentukan sama ada anda benar-benar pulih daripada segi fizikal dan mental. Ini adalah sebab-sebab mengapa anda perlu akur untuk membuat rawatan penutup pantang.
Urutan akan dijadikan dan fokus kepada proses mengeluarkan angin daripada perut dan usus, membantu mengecutkan rahim dan menaikkan rahim iaitu sengkak peranakan.
Ramai sedia maklum bahawa faraj menjadi longgar disebabkan proses melahirkan anak secara normal dan faktor penuaan. Otot lantai pelvis menjadi lemah kerana usia bertambah dan tahap hormon estrogen yang rendah.
Kaedah rawatan faraj yang biasa dilakukan dalam amalan pantang ialah bertangas basah dan kering, skrub, masker, urutan peranakan dan organ sulit wanita serta merawat faraj menggunakan herba yang mampu mengetatkan dan mengencangkan kembali ototnya.
Sesiapa yang melakukan rawatan faraj akan medapati organ sulitnya menjadi putih kemerah-merahan dan panas berbanding orang yang tidak mendapatkan rawatan. Bahagian berkenaan kusam dan sejuk!
Rawatan punggung dilakukan untuk merawat tulang punggung yang terbuka akibat proses bersalin. Selain itu, skrub dan masker yang digunapakai dalam rawatan ini untuk menjadikan otot punggung kembali tegang dan putih bersih.
Sumber: syatirahshuib.blogspot.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!