Setiap parut ada kisahnya. Setiap garisan halus di perut seorang wanita, ada kisah perjuangan yang tidak semua orang sanggup hadapi. Namun, masih ada yang tak faham dan sanggup menghina wanita hanya kerana parut atau stretch marks di tubuh mereka.
Baru-baru ini, tindakan seorang lelaki menghina bekas isterinya yang mempunyai parut bersalin akibat pembedahan caesarean mencetuskan kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial termasuk pempengaruh dan doktor selebriti terkenal, Dr Say Shazril.
Stretch Marks Itu Normal, Parut Caesar Lambang Pengorbanan
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Dr Say menegaskan bahawa stretch marks atau kesan regangan pada tubuh wanita adalah perkara normal. Malah, ia bukan sesuatu yang memalukan atau perlu disembunyikan.
“Stretch marks ni bukan kecacatan. Kalau lelaki ada ilmu, dia tahu stretch marks ni normal je. Bukan wanita mengandung je yang boleh ada stretch marks, lelaki pun boleh kalau perut naik mendadak sebab makan berlebihan,” jelas Dr Say dengan nada tegas.
Menurut beliau, parut pembedahan caesarean pula adalah satu lambang kekuatan. Bukan semua wanita perlu melaluinya, tetapi bagi yang terpaksa, ia adalah jalan untuk menyelamatkan nyawa si kecil dan juga ibu.
Kisahnya seorang suami curang dengan bininya & dia nak powm kat ex wife dia dengan ayat2 sebegini. Benci manapun kat ex wife tu at least ingatlah dia jugak yg go through stretch marks & birth scars untuk melahirkan keturunan kita. Forward lah kat laki2 yg mungkin benak dengan kejadian stretch marks & bekas cezar ni k peeps?
“Ini bukan parut biasa. Ini luka untuk keluarkan anak bila cara biasa tak selamat untuk ibu atau bayi. Awak ingat senang ke?” soal beliau lagi.
Ads
Lelaki Belum Matang Kalau Hanya Nampak Fizikal
Bagi Dr Say, lelaki yang sanggup menghina atau memperlekehkan tubuh wanita hanya kerana perubahan selepas melahirkan anak, adalah lelaki yang belum cukup matang untuk bergelar suami dan bapa.
“Kalau awak hanya menilai wanita daripada luaran, jelas awak belum bersedia nak pikul tanggungjawab besar sebagai suami, apatah lagi ayah,” ujar beliau lagi.
Sebagai suami dan bapa, Dr Say sendiri akui, tubuh isterinya berubah selepas bergelar ibu. Namun, perubahan itu adalah bukti kekuatan, kasih sayang dan pengorbanan yang tiada tolok bandingnya.
Ads
Hanya Sebab Parut Bersalin, Wanita Ini Diludah & Diceraikan
Rata-rata netizen meninggalkan komen yang mereka bangga dengan Dr Say kerana bersuara menegakkan para ibu dan isteri. Ada juga netizen yang berkongsi nasib sama mengalami stretch marks & parut caesar selepas bersalin. Malah, ada lagi malang diludah oleh bekas suami selepas melahirkan empat anak.
*Pa&Ma nak ingatkan buat semua ibu di luar sana, jangan biarkan kata-kata orang sekeliling menjatuhkan semangat awak. Stretch marks, parut caesarean, perubahan bentuk badan itu semua bukan kekurangan.
Tak perlu malu, tak perlu rendah diri. Setiap parut dan garis halus itu ada kisah penuh cinta, perjuangan dan kekuatan seorang ibu.
Kehamilan adalah satu pengalaman hidup yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja untuk anda atau pasangan anda, bahkan untuk ahli keluarga terdekat yang lain. Ianya pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya kehamilan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan diusahakan sekian lama, khususnya jika anda dan pasangan anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata.
Ianya satu nikmat tuhan yang perlu disyukuri, bahkan satu keajaiban bagi anda dan pasangan khususnya jika anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan atau penyakit-penyakit tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah. Keadaan-keadaan kesihatan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis (PID) dan juga polycystic ovarian syndrome adalah contoh penyakit-penyakit yang berupaya untuk mengganggu kesuburan dan fungsi reproduktif normal wanita sekali gus mempengaruhi peluang untuk wanita mengandung.
Justeru, kegembiraan akan jelas terserlah apabila mengetahui bahawa zuriat yang dinanti-nantikan semakin dekat dengan realiti. Namun yang demikian, timbul pula soalan-soalan berkaitan proses bersalin yang bakal tiba. Adakah anda bersedia? Adakah ianya akan menyebabkan kesakitan yang teruk? Jika ya, apakah pula doa mudah bersalin atau tip-tip lain yang boleh anda praktikan untuk mendapatkan proses bersalin yang selamat dan lancar?
Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak aspek-aspek berkaitan keadaan anda dan juga proses kelahiran anda bergantung kepada penjagaan di hospital oleh doktor dan juga jururawat. Namun, terdapat juga beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi menyediakan diri anda. Artikel ini akan membincangkan doa mudah bersalin (khususnya untuk penganut agama islam) serta tip-tip lain yang boleh anda amalkan bagi menyediakan diri anda untuk proses bersalin, sekali gus menjadikan ianya lebih lancar dan kurang menyakitkan.
Komplikasi yang boleh berlaku ketika bersalin
Proses bersalin bukanlah tanpa sebarang komplikasi. Oleh yang demikian, pesakit yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi akan diberikan perhatian yang lebih ketika mereka bersalin di hospital. Berikut adalah komplikasi-komplikasi yang lazimnya, atau boleh berlaku ketika bersalin.
Bahu bayi tersekat
Keterjadian bahu bayi tersekat ketika proses menyambut kelahiran bayi tersebut adalah satu mimpi ngeri bukan sahaja untuk si ibu, malahan untuk para doktor dan jururawat di sekelilingnya. Ianya adalah salah satu komplikasi popular ketika proses kelahiran (labour) berlangsung. Apa yang lebih merisaukan adalah ianya merupakan komplikasi yang tidak boleh diduga, justeru tidak boleh dibendung. Definisi keadaan ini adalah apabila pergerakan-pergerakan tambahan diperlukan (berbanding pergerakan biasa) untuk mengeluarkan bahu bayi tersebut. Ini terjadi apabila bahu bayi tersebut tersangkut pada simfisis pubis ibu atau bahagian unjuran/promontori sacrum. Lazimnya, satu tanda yang diperhatikan berlaku apabila insiden bahu tersekat ini terjadi dan tanda tersebut disebut sebagai ‘turtle sign’, merujuk kepada keadaan kepala bayi yang, apabila sudah terkeluar sedikit, ianya termasuk semula ke dalam, seolah-olah melekat pada perineum si ibu.
Keterjadian bahu bayi tersekat ini membawa komplikasi lain yang tidak terhad untuk ibu sahaja, bahkan untuk bayi tersebut. Untuk bayi yang ingin dilahirkan, komplikasi yang mungkin berlaku, dan cukup digeruni adalah kecederaan brachial plexus dan juga kecederaan hipoksisk-iskemik otak. Bagi si ibu pula, komplikasi yang berupaya untuk berlaku adalah pendarahan selepas bersalin (post-partum haemorrhage), luka melecet pada dinding faraj, kekoyakan perineum dan juga kekoyakan rahim (uterine rupture).
Bahagian muncul bayi yang tidak normal (Malpresentation)
Komplikasi ini merujuk kepada bahagian pertama yang muncul atau keluar daripada faraj si ibu. Beberapa minggu sebelum anda sudah cukup bulan untuk bersalin, kedudukan bayi dalam rahim anda adalah dalam posisi di mana kepala mereka akan berada di bahagian bawah rahim (paling dekat dengan faraj), dagu bertemu dada, dan punggung dan kaki mereka berada di bahagian atas (menunjuk ke arah dada ibu), bersedia untuk masuk ke dalam bahagian pelvis. Dengan posisi ini, bahagian kepala bayi yang paling kecil mendahului penurunan ke dalam pangkal rahim, sebelum keluar melalui faraj. Posisi ini dikenali sebagai verteks (kepada bawah) occiput anterior (OA).
Memandangkan bahagian kepala bayi adalah bahagian yang paling besar dan paling fleksibel, posisi ini adalah posisi yang terbaik untuk bayi tersebut keluar. Dengan cara ini, risiko badan bayi untuk tersekat atau terhalang ketika ingin dilahirkan, dapat dikurangkan ke paras yang minimum. Posisi ini juga mengurangkan risiko untuk kekoyakan faraj/perineum pada darjah yang lebih tinggi.
Namun yang demikian, sesetengah bayi tidak berada dalam posisi ini ketika dalam proses kelahiran (labour). Sebaliknya, mereka boleh berada dalam posisi di mana punggung atau kaki mereka yang masuk menuju ke dalam pelvis. Ini disebut sebagai ‘breech presentation’. Lazimnya, kedudukan sebegini akan dilihat melalui ujian pengimejan ultrasound ketika tempoh-tempoh awal janji temu berkala dengan doktor namun majoriti mereka akan mengambil kedudukan verteks OA semula apabila menghampiri tempoh cukup bulan untuk dilahirkan. Malangnya, segelintir daripada mereka akan mengalami keadaan di mana bayi tersebut tidak berada dalam posisi verteks OA apabila semakin dekat dengan tempoh bersalin.
Breech presentation ini berupaya untuk membawa kepada komplikasi lain yang boleh mengancam nyawa si ibu dan juga si bayi. Antara komplikasi yang berkait rapat dengan keadaan ini, dan berupaya menyebabkan kematian sekitar proses bersalin (perinatal mortality) adalah prolaps tali pusat, asfixia ketika bersalin dan juga kepala bayi tersekat.
Pendarahan pasca-bersalin
Pendarahan pasca-bersalin adalah salah satu komplikasi yang cukup digeruni oleh pakar perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), keadaan ini adalah punca kematian utama ibu di dunia, dengan anggaran 35% daripada keseluruhan kematian ibu mengandung disebabkan olehnya. Menurut WHO lagi, dianggarkan seramai 14 juta wanita menghidap PPH setahun, dengan kadar kematian majoritinya berlaku dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara dan akronim yang digunakan untuk pengelasan punca-punca pendarahan pasca-bersalin adalah ‘4T.’ 4T merujuk kepada Tone, Trauma, Thrombin dan juga Tissue. Tone di sini merujuk kepada tona rahim, khususnya ketiadaan tona rahim (uterine atony). Ini adalah punca utama mengapa terjadinya pendarahan pasca-bersalin dan ketiadaan tona rahim menyebabkan ianya tidak mampu untuk mengecut, atau tidak mampu untuk mengecut dengan cepat. Pentingnya untuk ia mengecut adalah untuk menutup kebocoran salur darah selepas uri dipisahkan daripada dinding rahim. Punca di bawah tajuk Trauma pula merujuk kepada mana-mana bahagian sistem reproduktif yang terlibat dalam proses bersalin, yang tercedera sehingga pendarahan banyak berlaku. Tissue pula merujuk kepada uri atau cebisan uri yang mungkin tertinggal di dalam rahim dan tidak habis dikeluarkan. Memandangkan ianya kaya dengan salur darah, kewujudannya dalam rahim secara berterusan akan menyebabkan pendarahan terus-menerus berlaku. Akhir sekali, Thrombin di sini merujuk kepada masalah-masalah atau keadaan kesihatan yang berkait rapat dengan faktor darah pesakit, khususnya jika pesakit mempunyai keadaan kesihatan atau penyakit yang menyebabkan proses penutupan luka dan pemberhentian pendarahan mereka terjejas. Contoh keadaan yang dimaksudkan adalah Haemophilia.
Kekoyakan faraj/perineum darjah tinggi
Kekoyakan perineum akibat proses bersalin adalah sesuatu yang sangat lazim berlaku. Malahan, kekoyakan ini, dalam kebanyakan kes, adalah perlu untuk memudahkan pengeluaran bayi tersebut. Untuk tujuan itu, doktor mungkin akan melakukan guntingan episiotomi bagi membuka ruangan untuk bayi tersebut keluar. Namun yang demikian, kekoyakan perineum melalui guntingan episiotomi adalah sesuatu yang terkawal dan pada darjah koyak yang lebih rendah. Darjah kekoyakan perineum ini terbahagi kepada 4 dan darjah 4 adalah yang paling teruk, membabitkan kekoyakan yang mencapai lapisan epitelium anus, sehingga terbentuknya laluan antara epitelium faraj dan juga epitelium anus.
Untuk kekoyakan darjah satu atau dua, komplikasi jangka masa panjang adalah sangat jarang berlaku. Untuk kekoyakan perineum darjah tiga dan empat pula, 60 hingga 80% daripada wanita tidak mengalami apa-apa simtpom atau komplikasi dalam masa 12 bulan pertama. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah tidak lawas membuang air besar, rasa sakit di bahagian tersebut ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan dan juga rasa sakit perineum yang kronik. Namun yang demikian, walaupun tidak lazim keterjadian komplikasi-komplikasi ini, ianya boleh kekal selama-lamanya pada pesakit, khususnya rasa sakit kronik di bahagian perineum.
Bagaimana untuk mengurangkan darjah kekoyakan faraj yang tinggi ketika bersalin?
Beberapa faktor yang meningkatkan risiko koyakan vagina yang teruk termasuklah berat bayi berlebihan, bayi dilahirkan pada kedudukan posterior (muka), episiotomi, waktu bersalin yang lama dan penggunaan alat bantuan waktu bersalin, terutamanya alat forsep. Pun begitu, risiko tersebut boleh dikurangkan melalui beberapa langkah untuk anda cuba:
Kekal sihat – Amalkan diet yang sihat demi memastikan bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk tisu kulit anda menjadi kuat dan fleksibel. Bersenam secara konsisten untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa waktu untuk meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki. Si ibu juga harus belajar teknik pernafasan untuk mencegah tekanan semasa bersalin. Adalah penting untuk mengekalkan berat yang sihat sebelum dan semasa hamil kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.
Urutan perineum – Ibu hamil disyorkan untuk cuba melakukan urutan perineum (kawasan faraj/vagina hingga dubur) sekali atau dua kali sehari dari minggu ke-34 kehamilan dan seterusnya. Cara paling berkesan adalah dengan menggunakan pelincir kulit seperti minyak mineral, vitamin E atau minyak kelapa. Urutan perineum adalah cara yang cepat dan mudah untuk meningkatkan fleksibiliti lantai pinggul anda. Dengan itu, anda dapat mengurangkan risiko berlaku koyakan teruk.
Menggunakan alat Epi-No – Kaedah ini melibatkan kemasukan alat boleh kembung seperti belon ke dalam vagina seminggu sebelum bersalin untuk memastikannya meregang pada tahap tertentu untuk meningkatkan fleksibiliti. Walaupun mungkin kedengaran aneh, tetapi kaedah ini telah terbukti lebih berkesan dan lebih selesa untuk ibu hamil berbanding penggunaan urutan perineum tradisional.
Pastikan perineum anda hangat – Suhu hangat meningkatkan aliran darah, melembutkan dan mengendurkan tisu kulit pada bahagian yang dihangatkan. Sebelum bersalin, anda boleh meminta bidan menekan tuala hangat dan basah dengan lembut pada kawasan tersebut atau anda boleh bersalin dalam tab mandi yang mengandungi air suam atau sedikit hangat.
Persediaan untuk melalui kelahiran normal
Kebanyakan ibu yang sedang hamil akan berasa risau mengenai apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dilakukan sebelum melahirkan bayi dan ini adalah normal. Jika anda bercadang untuk bersalin secara normal, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Ketahui peringkat kelahiran
Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walau bagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:
Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.
Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Melahirkan bayi sememangnya satu proses atau prosedur yang akan mendatangkan kesakitan kepada para ibu. Namun begitu, selain berzikir, beristighfar dan membaca doa mudah bersalin, terdapat teknik lain yang yang boleh anda lakukan, misalnya hypnobirthing.
Dicipta oleh seorang pakar hipnoterapi dari Harvard University Ford Foundation iaitu Marie “Mickey” Mongan, hypnobirthing adalah sejenis teknik meditasi yang dilakukan oleh ibu hamil untuk tujuan melahirkan bayi dengan lebih mudah. Teknik ini dilakukan dengan menggunakan metode hipnosis bagi membantu ibu hamil berasa lebih relaks secara mental, fizikal dan rohani. Selain itu, teknik ini juga dilakukan untuk membantu mereka melawan perasaan takut dan mengurangkan rasa sakit serta rasa letih ketika melahirkan bayi. Berbanding menggunakan perkataan seperti sakit atau letih, teknik ini akan menggantikannya dengan perkataan tekanan. Kontraksi pula akan digantikan dengan perkataan seperti pusuan atau gelombang.
Teknik ini akan melibatkan penggunaan muzik, visual, perkataan dan pemikiran yang positif untuk tujuan merelakskan badan, mengawal pernafasan serta sensasi ketika melahirkan bayi. Ia boleh dilakukan secara sendiri atau mendapatkan bantuan daripada pakar hipnoterapi. Namun begitu, mereka ini mungkin tidak akan berada di sisi ketika proses bersalin hampir dekat, oleh itu, anda disarankan untuk mempelajarinya sendiri.
Uruskan bulu ari-ari anda
Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama. Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran. Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin. Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.
Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi
Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi. Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin. Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda. Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:
-Tanda-tanda kelahiran
-Progres kelahiran yang normal
-Teknik menghadapi kesakitan
-Bagaimana pasangan anda boleh membantu
-Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat
-Tanpa mengira keputusan anda untuk bersalin di rumah, di pusat bersalin atau hospital, perkara-perkara asas ini akan membantu anda bersedia untuk bersalin secara normal.
-Anda juga boleh menghadiri kelas agama berkaitan proses bersalin. Kelas seperti ini akan mendidik anda tentang bersuci serta tip-tip dan doa mudah bersalin bagi memudahkan proses kelahiran.
Doa mudah bersalin serta aspek spiritual lain yang boleh membantu semua wanita yang mengandung inginkan proses bersalin yang lancar serta selamat. Untuk seorang muslim, doa adalah senjata utama mereka dalam mengharungi pancaroba kehidupan. Justeru, mengamalkan doa mudah bersalin dan amalan-amalan lain adalah digalakkan bagi mendapatkan proses bersalin yang mudah.
Terdapat dua jenis doa yang dianjurkan oleh alim ulama dan ahli agama yang sesuai dijadikan amalan, ia bukan sahaja boleh digunakan sebagai doa mudah bersalin, bahkan doa untuk memperoleh keselamatan dan zuriat yang baik. Koleksi doa mudah bersalin ini boleh dibaca oleh ibu yang menunggu saat melahirkan anak dan oleh mereka yang menunggu kelahiran bayi seperti suami atau ibu bapa. Senarai doa mudah bersalin di bawah ini adalah berdasarkan ayat-ayat daripda kitab suci Al-quran.
Doa mudah bersalin yang boleh ibu amalkan ketika ingin bersalin
“Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, apa yang kurang sempurna, dan apa yang bertambah dalam rahim. Dan setiap sesuatu ada kadar ukuran di sisi-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 8)
“Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah kemudian daripada air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya. Dan tidak dipanjangkan umur seseorang dan tidak pula dikurangkan umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Luh Mahfuz). Sesungguhnya, yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah Al-Nahl, ayat 78)
Doa mudah bersalin yang dibaca oleh orang menunggu ibu bersalin (suami sangat digalakkan baca doa ini)
“Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu” (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
“Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya.” (Surah Al-Zalzalah, ayat 1-2)
InsyaAllah, jika sering diamalkan, doa mudah bersalin di atas mampu untuk memberi kekuatan kepada anda dan juga keluarga anda. Doa mudah bersalin di atas juga dapat dijadikan sumber pahala dan taqwa kepada tuhan. Kalau anda sedang menunggu hari untuk bersalin, belajarlah menjadi lebih positif untuk melalui pengalaman melahirkan anak.
Sememangnya, ianya adalah pengalaman yang ditakuti oleh semua wanita hamil tetapi pahala daripada-Nya pasti diberikan kepada si ibu.
Langkah selebriti yang satu ini sentiasa menjadi perhatian. Terkenal dengan penampilannya yang sentiasa cantik dan kebijaksanaannya mengadunkan gaya, Scha Al Yahya tidak pernah kalah dalam bergaya biarpun kini sedang sarat hamil anak keduanya.
Scha yang bakal melahirkan bayi keduanya itu pada Februari depan berkata, kandungannya kali ini cukup berbeza berbanding mengandungkan Lara.
Namun menerusi satu video yang turut dikongsikan mStar, isteri kepada pengacara, Awal Ashaari ini mengakui sudah mempersiapkan nama untuk anak kedua mereka. Pun begitu masih dirahsiakan kerana tidak tahu jantinanya.
“Kalau lelaki pastinya L, A dan kalau perempuan pun sama, huruf pangkalnya tetap L dan A seperti nama Lara Alana,” kongsi Scha ringkas.
Dalam pada itu, kata Scha, biar pun usia kandungannya sudah memasuki lapan bulan, dia masih berdepan alahan ‘morning sickness’.
” Mengandung kali kedua ini sangat berbeza kalau dibandingkan dengan mengandungkan Lara dahulu. Mengandung kali ini lebih mencabar dan lama.
“Alhamdulillah Scha okay, morning sickness tu je yang teruk,” katanya berkongsi.
Pun begitu kata Scha lagi, dia juga tidak mengidamkan yang pelik-pelik seperti kebanyakkan ibu mengandung lain.
“Saya makan seperti makanan biasa cuma lebih banyak daripada sebelum ini.
“Saya masih suka makan nasi macam selalu cuma kali ini banyak benda manis yang saya suka seperti coklat. Saya jarang suka sebelum ini,” kongsi Scha lagi.
Lara makin manja dan cemburu
Melalui video yang sama juga, Scha juga turut berkongsi perubahan sikap yang dialami anak sulungnya, Lara Alana yang kini makin berubah semenjak kehamilan Scha.
“Lara Alana semenjak saya mengandung ni dia sangat clingy dan sentiasa bersama dengan Scha tak boleh nak berenggang.
“Bila dia tau yang baby ni akan keluar boleh nampak yang dia agak jealous sedikit.
“Dia rajin pegang perut saya, cakap dengan baby. Scha tau dia akan jadi kakak yang baik, ” ujarnya.
Bakal muncul dalam Schawal Baby Boom
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbaru perjalanan seninya, kata Scha lagi, dia dan Awal serta Lara bakal muncul dalam satu program realiti terbaru Schawal Baby Boom yang bakal bersiaran pada Khamis, 14 Januari ini jam 9 30 malam di Astro Ria.
“Sekarang ni Scha tengah ada realiti program baru, Schawal Baby Boom dan yang menariknya ia berkisarkan kehidupan kami sekeluarga serta baby yang bakal dilahirkan kelak.
“Kami juga berkongsi perkembangan mengenai baby, rumah baru dan hobi Awal yang suka memasak.
“Kalau dulu kita ada Lara Oh Lara, kali ini Schawal Baby Boom 2021 pula,” kongsinya.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Ibu mana yang mampu menahan bila mana anak yang masih kecil terpaksa menjalani pembedahan. Masalah tonsil mungkin dirasakan remeh dan tidak berbahaya bagi sesetengah ibu. Hakikatnya bagi seorang kanak-kanak kecil berusia 2 tahun, ia mampu mengundang bahaya. Bila berdepan dengan masalah ini pastinya terasa begitu sukar.
Inilah yang dilalui ibu ini, Puan Atiyah Salleh yang terpaksa merelakan anak keduanya menjalani pembedahan tonsil disebabkan berada pada tahap tiga. Kisahnya ini boleh dijadikan panduan untuk ibu-ibu lain. Jangan abaikan setiap kesakitan yang dialami anak kita. Anak kita berbeza-beza. Bawa berjumpa doktor dan minta nasihat dan rawatannya. Jangan biarkan sahaja.
Sekadar ingin berkongsi pengalaman. Hero kedua saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang tonsil pada usia yang terlalu muda iaitu 2 tahun 5 bulan.
Episod duka bermula apabila dia seringkali batuk dan selesema hampir setiap hari setiap bulan sejak dari bulan mac 2019. Dan sejak itu jugak hampir setiap malam dia akan muntah. Bayangkan dari bulan Mac sampai sekarang hampir setiap hari, setiap malam dia akan muntah.
Klinik? Hospital? berubat kampung? Semua dah ikhtiar buat tapi masih tak sembuh. Masalah tonsil anak saya telah drujuk ke pakar ENT dan memang doc pakar ENT sahkan tonsil anak saya memang membengkak agak teruk.
Tapi pada waktu tu doc memang tak digalakkan untuk buang atas faktor masih kecil. Doktor hanya suggest untuk on antibiotik supaya bengkak tonsil mengecut dan akan normal seperti biasa.
Malangnya walaupun beberapa kali ubat diberikan dan ikhtiar dari segi perubatan islam serta tradisional jugak dibuat. Anak saya masih tak sembuh. Bengkak masih tak surut dan akhirnya anak saya mengalami demam panas on off tak kebah selama seminggu. Dan suhunya mencecah 42°c.
Anak saya dimasukkan ke hospital dan sekali lagi dirujuk ke pakar ENT. Doktor maklumkan masalah tonsil anak saya dah sampai tahap 3 dan jika dibiarkan mugkin akan berlarutan menjadi tahap 4.
Ubat-ubat yang diberikan sebelum ni memang tak memberikan kesan kepada anak saya. Pakar Ent memaklumkan anak saya perlu dibedah. Sekiranya tidak dibuang kesihatan anak saya akan kerap terganggu malah akan lebih buruk.
Saya dan suami terpaksa bersetuju demi kesihatan hero kami. Hati ibu mana yang sanggup tengok keadaan kesihatan anak begitu. Dan memikirkan ini mungkin juga salah satu ikhtiar dan jalan yang Allah berikan demi kesembuhan anak kami. Dan pada 12/9/2019 pembedahan dijalankan. Alhamdulillah semuanya selesai dengan selamat. Anak saya dibius sepenuhnya dan proses mengambil masa hampir 2 jam.
Alhamdulillah Allah mudahkan segala urusan. Hari ini hero sorang ni dah berselera makan dan minum seperti biasa cuma masih perlu dijaga pemakanan sebaiknya. Susu pun kena bancuh sejuk. Harapnya selepas ni berakhirlah episod duka hero kedua saya ni.
Maaf panjang lebar post saya ni. Hanya sekadar berkongsi rasa untuk tatapan semua. Jangan ambil mudah masalah tonsil anak kerana setiap orang tak sama caranya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!