Penyanyi dan pelakon popular, Alif Satar bakal menimang cahaya mata ketiga apabila isterinya, Sha Dila Halid kini hamil tiga bulan.
Alif, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dia mendapat berita gembira itu sekembalinya dari United Kingdom (UK) pada 21 Februari lalu.
“Sebaik tiba dari UK, isteri mengadu kurang sihat. Jadi, saya terus membawanya ke hospital. Doktor kemudian memaklumkan dia hamil tujuh minggu.
“Kami tidak pernah merancang pun, tapi ini adalah rezeki. Anak adalah amanah Allah dan kami bersyukur atas kurniaan ini. Apa saya boleh katakan, tahun ini tahun rezeki saya. Lagipun saya memang mahukan anak ramai,” katanya.
Ads
Alif yang juga pengacara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 33) mengakui perlu bekerja keras demi keluarga yang semakin bertambah.
“Allah menjanjikan rezeki bagi setiap anak. Dalam masa sama, membesarkan anak ada cabaran tersendiri terutama dalam zaman serba maju ini. Disebabkan itu, saya kena bekerja keras.
“Apa pun, saya sangat gembira dan teruja. Malah, kedua ibu bapa saya antara yang paling teruja kerana tahun ini saja mereka bakal mendapat tiga cucu apabila dua adik saya pun sedang hamil,” katanya.
Ads
Mengenai jantina anak, Alif berharap dikurniakan anak lelaki selepas yang pertama dan kedua adalah anak perempuan.
“Memandangkan sudah dapat dua anak perempuan, jadi saya berharap dikurniakan anak lelaki pula. Namun, dalam soal ini ia ditentukan Allah. Kita hanya boleh cakap saja. Paling penting anak yang bakal lahir sihat, selamat dan sempurna. Insya-Allah, doakan segalanya dipermudahkan,” katanya.
Alif juga berkongsi, dua anaknya Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2, memanggil anak dalam kandungan isterinya dengan ‘baby brother’.
“Setiap kali pegang perut mak mereka, mesti panggil ‘baby brother’. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin mereka pun teringinkan adik lelaki. Apa boleh dikatakan, nampak keterujaan mereka. Setiap hari bertanya mengenai adik mereka,” katanya.
Ketika seseorang wanita sedang hamil, dia perlu sentiasa berada dalam keadaan positif dan menggembirakan. Sebaiknya elakkan rasa tertekan atau sedih semasa dalam tempoh kehamilan.
Selain menggangu tahap kesihatan si ibu, emosi semasa hamil boleh mempengaruhi anak dalam kandungan.
Ibu hamil perlu ada dalam persekitaran yang membahagiakan serta sentiasa disayangi untuk memastikan emosinya stabil dan sentiasa ceria. Kalau tak mahu bayi anda nanti kuat meragam, sentiasa gembira dan ceriakan diri anda sepanjang mengandung.
Sebenarnya memang ada fakta mengatakan ibu yang gembira dan selalu ketawa semasa mengandung akan melahirkan bayi yang juga ceria dan gembira! Berikut beberapa fakta benar tentang pentingnya ibu hamil untuk sentiasa gembira dan ceria:
1. Hormon Kortisol Tinggi
Paras hormon kortisol yang tinggi (hormon stres yang bertanggungjawab untuk tindak balas dalam badan) ketika mengandung ada kaitan dengan bayi yang kuat menangis dan kurang tidur selepas dilahirkan.
2. Ibu Rasa Stres
Stres kronik ketika hamil juga ada kaitan dengan risiko kelahiran bayi dengan berat badan yang rendah. Kepada ibu hamil, sila beri perhatian kepada emosi diri sendiri. Begitu juga dengan orang yang paling rapat iaitu suami.
Satu kajian yang dilakukan oleh Pennsyvlania State College of Medicine mendapati ibu yang bahagia dan mendapatkan banyak sokongan dari orang terdekat akan menurunkan risiko kolik berlaku pada bayi yang baru dilahirkan.
4. Kena Gembira, Duduk Dalam Persekitaran Positif
Emosi positif ibu mempengaruhi keadaan bayi yang dilahirkan. Ia boleh berlaku sekiranya ibu banyak tersenyum dan ketawa. Jadi ibu mesti selalu berdamping dengan orang-orang yang positif dan ceria serta boleh membuatkan ibu merasa bahagia dan gembira sentiasa.
Kajian menunjukkan ibu yang merasa bahagia setelah melahirkan mempunyai bayi yang menangis kurang dari tiga jam dalam sehari.
Bagi menyokong isteri yang sedang hamil, para suami boleh menunjukkan rasa sayang kepadanya. Tunjukkan yang anda peka dengan perasaan dan keperluannya. Emosi yang terkawal akan menggalakkan pertumbuhan bayi dalam kandungan lebih sihat.
Mungkin ada ibu yang beranggapan tidak perlu untuk melakukan scan bayi atau ujian imbasan dalam kandungan. Sebenarnya scan bayi dalam kandungan amat penting bukan sekadar untuk melihat wajah sahaja seperti yang sering difikirkan segelintir ibu hamil.
Berkenaan ujian imbasan atau scan bayi, apakah ada ujian imbasan khas yang perlu dilalui selain daripada ujian imbasan yang biasa dilakukan setiap kali melakukan pemeriksaan antenatal?
Semua wanita hamil perlu menjalani ujian imbasan nucheal transluscency pada minggu ke-11 hingga 14 bagi mengukur bahagian belakang bayi dalam kandungan. Cecair yang sangat tebal pada bahagian berkenaan boleh menjadi petanda bahawa bayi bermasalah.
Hasil kajian mendapati 50% mengalami masalah kromosom, 25% tidak dapat dijangka masalahnya, 10% bayi meninggal dunia dan 30% bayi lahir normal selepas ujian ini dilakukan.
Selain itu ujian amniosentosis boleh mula dilakukan selepas usia kandungan 15 minggu di mana jarum khas digunakan untuk mengambil air ketuban untuk pemeriksaan selanjutnya di makmal.
UJIAN MENENTUKAN KECACATAN KROMOSOM
Semasa kehamilan, wanita hamil mungkin perlu mengambil beberapa pilihan ujian termasuklah ujian saringan untuk mengenal pasti keabnormalan atau kecacatan kromosom. Walaupun kecacatan kromosom yang berlaku pada bayi belum lahir adalah jarang-jarang, namun kebanyakan ibu bapa dengan keadaan perubatan tertentu atau mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit keturunan adalah perlu untuk lebih berhati-hati.
Keabnormalan atau kecacatan boleh berlaku dengan perkembangan luar biasa kromosom itu sendiri, atau ia boleh termasuk satu atau lebih gen. Bayi tersebut tidak lahir dengan kecacatan tetapi kebanyakannya mewarisi gen abnormal daripada kedua-dua ibu dan bapa. Selalunya, jika bayi mendapat hanya satu gen abnormal, maka gen baik lain akan diambil alih oleh ibu bapa.
Kajian menunjukkan bahawa kecacatan kromosom menghuraikan lebih daripada separuh kes keguguran dalam trimester pertama. Kecacatan kromosom yang dikenali ditemui dalam 0.5 hingga 1 peratus pada kesemua bayi baru lahir yang hidup.
Contoh paling lazim kecacatan kromosom ialah Sindrom Down. Berbanding dengan mempunyai dua kromosom no. 21, individu yang terjejas dengan keadaan ini mempunyai tiga kromosom salinan. Sindrom Down menyebabkan IQ rendah dan ciri istimewa seperti anggota badan yang pendek dan mempunyai kedutan di sekitar mata.
Implikasi lain keabnormalan kromosom ialah kecacatan jantung. Bayi baru lahir yang mempunyai kromosom no. 13 tambahan (Sindrom Patau) atau no. 18 (Sindrom Edward) jarang sekali hidup selepas lahir. Keadaan-keadaan ini kurang diketahui umum berbanding Sindrom Down.
Apakah ujian yang digunakan untuk mengesan kecacatan kromosom?
Pemeriksaan serum
Jika doktor anda mengesan tanda-tanda luar biasa pada fetus anda, dia akan menjalankan pemeriksaan serum seperti ujian amniosintesis. Ujian ini hanya disarankan jika anda berisiko tinggi mendapat kecacatan kromosom. Walau bagaimanapun, mendapat risiko tinggi bukan bermakna anak anda sudah dijangkiti.
Ini adalah bentuk ujian darah yang dilakukan antara minggu ke-15 hingga 20. Jika anda mengambil ujian ini, hormon kehamilan dalan darah anda akan dinilai berhati-hati. Selepas itu, doktor akan menggabungkan keputusan dengan usia anda bagi mengira dan mengenal pasti sama ada anak anda berisiko mendapat Sindrom Down ataupun tidak.
Ujian persampelan vilus korion (CVS)
Ujian diagnostik ini dilakukan untuk menentukan bilangan sebenar kromosom pada bayi. Jika bilangannya 46, ia dianggap normal. Kaedah ini membantu doktor mengenal pasti kebarangkalian bayi mendapat kecacatan kelahiran seperti trisomi 18, trisomi 13, Sindrom Down, dan penyakit lain. Jika ibu hamil mempunyai sejarah keluarga dengan keadaan genetik tertentu, CVS juga akan dijalankan. Doktor akan memasukkan jarum melalui abdomen ibu atau melalui serviks ke dalam plasenta. Kemudian, doktor akan memilih kepingan kecil plasenta untuk dihantar ke makmal bagi pengimbasan genetik. Prosedur ini mengambil masa sekitar 2-3 jam untuk dijalankan. Keputusan akan didapati dalam kira-kira beberapa minggu selepas itu.
UJIAN MENENTUKAN JANTINA
Antara perkara yang mengujakan semasa hamil adalah meneka sama ada jantina bayi anda lelaki ataupun perempuan. Selain daripada mitos yang diperkatakan sejak sekian lama, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti jantina bayi dalam kandungan. Artikel di bawah memberikan maklumat kepada anda mengenai bagaimana jantina boleh dikenal pasti melalui beberapa ujian perubatan.
Mitos
Mitos-mitos yang diperkatakan mungkin sekadar mitos, tetapi tiada salahnya untuk mencuba.
Bentuk perut anda semasa hamil (baby bump):
Mengikut cerita orang-orang dahulu, jika bentuk perut anda semasa hamil bulat seperti bola, ini bermakna anda sedang mengandungkan bayi lelaki. Sebaliknya, jika perut anda berbentuk luas, anda lebih cenderung untuk mendapat bayi perempuan.
Mengidam makanan manis dan berempah, dan makanan yang sedap:
Teknik ini hanya bergantung kepada apa yang anda ingin makan, dan tentunya tidak tepat untuk mengenal pasti sama ada anda mengandungkan bayi lelaki ataupun perempuan. Bagaimanapun, adalah dipercayai bahawa jika seseorang ibu itu mengidam makanan manis, dia akan mendapat bayi perempuan. Sebaliknya, jika anda teringin makan makanan seperti kentang goreng dan stik semasa hamil, anda mungkin sedang hamil bayi lelaki.
Bentuk wajah anda:
Kepercayaan orang dulu-dulu, ibu yang boleh mengawal berat badan mereka dan menjaga penampilan akan melahirkan bayi lelaki. Sementara untuk ibu yang tidak, dia akan mendapat bayi perempuan. Mengapa berbeza? Ini kerana, menurut kepercayaan dahulu, bayi perempuan akan mengambil seri kehamilan ibu tersebut.
Ujian perubatan yang boleh mendedahkan jantina sebenar bayi
Amniosentesis:
Prosedur amniosentesis termasuklah meletakkan sebatang jarum ke dalam bendalir yang mengelilingi bayi. Pakar kemudiannya akan melihat kepada rupa kromosom bayi untuk menentukan jantina bayi, juga sebarang keabnormalan kromosom. Teknik ini pasti dapat menentukan jantina bayi anda. Walau bagaimanapun, memandangkan ujian ini berisiko tinggi menyebabkan keguguran, maka doktor tidak akan mencadangkan anda untuk melakukan ujian ini.
Ultra-bunyi:
Pada usia kandungan 20 minggu, anda dan pasangan boleh mengetahui jantina bayi dengan cara melakukan imbasan ultrabunyi anatomi. Jika anda benar-benar ingin tahu, semasa minggu ke-14 dan 15 kehamilan, imbasan juga sudah boleh dilakukan. Malahan, secara saintifiknya, jika anda melihat bentuk penyu, bersedialah untuk menerima bayi lelaki. Sementara itu, jika anda melihat tiga garisan, maka anda mungkin akan menerima bayi perempuan. Pun begitu, teknologi boleh menyebabkan keputusan yang salah. Jadi, satu-satunya cara untuk memastikan jantina anak anda adalah dengan menunggunya sehingga hari kelahiran.
BEZA UJIAN IMBASAN 2D, 3D, DAN 4D. DOKTOR INI TERANGKAN DENGAN TERPERINCI
Sejak kebelakangan ini, ujian imbasan 3D dan 4D semakin popular di kalangan ibu hamil. Hal ini kerana, dengan perkembangan teknologi moden yang semakin canggih, bukan sahaja jantina anak dapat diketahui dengan mudah, bahkan rupa parasnya juga dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah, apa sahaja yang berkaitan dengan fizikal anak dapat diketahui sejak dalam kandungan lagi.
Menerusi imbasan 3D (tiga dimensi – gambar berwarna oren) dan 4D (empat dimensi dengan video tiga dimensi) ini, anda boleh melihat secara langsung apa yang bayi lakukan di dalam kandungan. Memang mengujakan! Lebih-lebih lagi sekiranya ia kandungan pertama anda.
Namun yang demikian, imbasan 3D dan 4D hanya boleh dilakukan ketika usia kandungan 26 minggu hingga 32 minggu. Ini kerana pada masa ini, bayi di dalam kandungan sudah matang dan besar. Jadi, pembentukan fizikal dan jantinanya boleh dilihat dengan jelas.
Selain itu, pemeriksaan imbasan 3D dan 4D dipengaruhi beberapa faktor lain seperti maternal habitus (gemuk/kurus), posisi bayi ketika imbasan, kandungan air ketuban dan usia kandungan.
Imbasan dan keperluannya
Imbasan ultrabunyi juga dikenali sebagai imbasan ultrasound ataupun sonografi yang melibatkan pemancaran gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Gelombang bunyi akan melalui rahim dan imej bayi dan dipantul balik. Pantulan ini kemudiannya diproses oleh mesin dan komputer untuk mewujudkan imej pada skrin yang mendedahkan kedudukan dan pergerakan bayi.
Imbasan ultrabunyi dianggap sebagai kaedah yang selamat, tepat dan menguntungkan. Ia berbeza dengan X-ray di mana ia menggunakan pengionan yang membahayakan manakala
imbasan ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi. Ia menghasilkan gambar-gambar bahagian dalam tubuh. Pengimejan ultrabunyi, juga dikenali sebagai imbasan ultrabunyi atau sonografi, melibatkan penggunaan transduser kecil (probe) dan gel ultrabunyi diletakkan terus pada kulit.
Pengimejan ultrabunyi merupakan ujian perubatan invasif yang membantu mendiagnosis dan merawat keadaan perubatan. Ultrabunyi memainkan peranan yang penting dalam penjagaan setiap ibu hamil. Antara sebab ia penting adalah untuk:
1. Mengetahui kedudukan uri dan tahap air ketuban. 2. Menentukan usia sebenar bayi dan jangkaan tarikh lahirnya. 3. Mengetahui bilangan bayi sama ada tunggal ataupun kembar. 4. Memeriksa perkembangan fizikal bayi dan kecacatan kelahiran. 5. Memeriksa perkembangan bayi sama ada sesuai dengan peringkat perkembangannya.
Beza 2D, 3D dan 4D
Imbasan 2D memberi gambar dua dimensi dalam warna hitam putih. Imbasan ini juga dikenali sebagai imbasan morfologi. Paling baik dilakukan pada minggu ke-20 hingga 26 kehamilan. Ia merupakan imbasan terperinci bayi dan banyak aspek yang akan dinilai semasa proses imbasan dilakukan. Ini bagi memastikan perkembangan bayi adalah normal.
Biasanya sonografer akan melihat kepala dan otak bayi, muka termasuk profil bibir, jantung, dada termasuk diafragma; abdomen termasuk buah pinggang, pundi kencing, perut, tulang belakang, anggota badan termasuk tangan dan kaki.
Imbasan ini perlu dilakukan di dalam keadaan yang baik dan memerlukan kerjasama bayi. Jika kedudukan bayi tidak menentu, anda mungkin terpaksa pulang dan datang kembali pada masa yang lain.
Setiap bayi mempunyai ciri-ciri tersendiri. Contohnya, sesetengah bayi mempunyai ukuran kepala yang lebih besar atau ukuran tulang paha yang lebih pendek. Ciri-ciri ini sering sama dengan ibu bapanya. Aspek-aspek lain yang dinilai adalah:
1. Kadar jantung bayi. 2. Bilangan bayi. 3. Kedudukan plasenta. 4. Jumlah cecair amnion sekitar bayi. 5. Tempoh pembukaan laluan serviks. 6. Rahim ibu.
Imbasan 3D pula merupakan gambar statik tiga dimensi dan 4D pula merupakan rakaman video. Imbasan 3D dan 4D dianggap selamat seperti imbasan 2D kerana imej-imej yang terdiri daripada bahagian-bahagian imej dua dimensi ditukar ke dalam bentuk gambar.
Imbasan 3D dan 4D boleh memberikan lebih banyak maklumat kerana ia boleh menunjukkan lebih terperinci dari sudut yang berbeza. Pengimbasan 3D dan 4D juga berguna untuk melihat hati dan organ-organ dalaman yang lain. Sebelum 26 minggu, bayi anda mempunyai sangat sedikit lemak di bawah kulit. Jadi, tulang mukanya akan mudah dilihat dengan lebih jelas. Selepas 32 minggu, kepala bayi akan pergi jauh ke dalam pelvis dan anda mungkin tidak dapat melihat wajahnya.
Pada minggu ke-28, jika plasenta berada di hadapan rahim (anterior plasenta), anda akan melihat imej terbaik wajah bayi! Namun, kadang-kadang ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Ia bergantung pada kedudukan bayi di dalam rahim. Pihak sonografer mungkin akan meminta anda untuk berjalan-jalan dahulu atau datang kembali dalam tempoh seminggu dengan harapan bayi berubah ke kedudukan yang lebih baik.
Susu atau produk tenusu memberikan nutrisi kepada ibu dan kandungan. Susu kaya dengan kalsium untuk gigi dan tulang. Ibu hamil yang kurang mengambil makanan atau minuman yang mempunyai kalsium akan berisiko tinggi untuk kehilangan kalsium dari tulang. Sendi ibu akan berasa sakit, gigi tak kuat kerana kalsium si ibu ditarik oleh bayi dalam kandungan.
“Kak, kaki saya selalu ‘cramp’ lah malam-malam. Ada kaitan ke saya tak minum susu?” Tanya adik M.
Ibu muda di depan saya ini adalah salah seorang penghuni rumah Raudhatus Sakinah, iaitu rumah perlindungan untuk remaja perempuan dengan pelbagai masalah sosial. Usianya baru 14 tahun. Masih keanak-anakan saya lihat, tetapi sudah melalui alam kehamilan yang penuh mencabar.
“Susu semasa mengandung ni perlu ambil untuk memastikan pengambilan kalsium mencukupi. Kalsium bukan sahaja penting, malah adalah kritikal untuk ibu mengandung, kerana kalsium diperlukan untuk bayi membina tulang dan gigi yang kuat.”
“Kalsium juga berfungsi untuk memastikan bayi dapat membentuk jantung, saraf dan otot yang sihat disamping memastikan bayi memastikan ritma jantung yang normal dan proses pembekuan darah berlaku dengan baik.” Terang saya.
“Sekiranya kalsium ibu ambil tidak mencukupi, kalsium akan diambil daripada tulang dan gigi ibu yang boleh membawa kepada osteoporosis dan osteopenia kepada ibu di kemudian hari.”
“Tapi saya tak suka minum susu. Nak muntah rasanya bila minum susu.” Balasnya lagi.
“Cuba angkat tangan, siapa yang tak suka minum susu?” Tanya saya.
Separuh daripada 20 orang pelatih mengangkat tangan mereka. Ramai juga yang tak minum susu.
“Sebenarnya,susu adalah antara sumber kalsium paling mudah didapati dari diet harian. Selain daripada itu, ikan bilis, keju, sayur seperti brokoli, pak choi juga kaya dengan kalsium. Cumanya jumlah kandungan kalsiumnya agak rendah untuk cukupkan jumlah kalsium sehari. Kena ambil dalam jumlah yang banyak baru cukup. Contohnya secawan sayur pak choy hanya memberikan 74mg kalsium. Jika mahu ambil daripada sayur saja mestilah tidak mencukupi keperluan harian kalsium ibu.”
” Ibu mengandung perlukan 1000mg kalsium sehari. Jika ibu di bawah usia 19 tahun, perlukan 1300mg kalsium sehari.”
“Sebagai contoh, segelas susu atau lebih kurang tiga sudu besar susu tepung akan memberikan antara 200-300mg kalsium untuk satu hidangan. Maka, ibu perlu ambil antara 2-3gelas sehari atau lebih untuk mencukupkan keperluan kalsium 1000mg sehari. Jika diambil susu yang tinggi kandungan kalsium yang boleh beri sehingga 500mg kalsium untuk satu hidangan, dua hidangan sehari sudah mencukupi.”
” Selain itu, 100g ikan bilis memberikan 500mg kalsium juga. Jika tidak mahu ambil susu sehingga tiga gelas sehari, mungkin boleh masukkan 100g ikan bilis sehari ke dalam diet harian untuk cukupkan keperluan kalsium 1000mg sehari. Tapi… Boleh ke hari-hari nak makan ikan bilis sahaja?”
Para pelatih ketawa.
” Maka, saranan untuk mempelbagaikan pilihan makanan harian yang kaya dengan kalsium adalah penting diikuti untuk mencukupkan keperluan kalsium harian. Bukan sahaja daripada susu, malah ikan tertentu, sayur juga kaya dengan kalsium.”
“Tetapi… Jika susu pun tak minum, sayur tinggi kalsium pun tak ambil, ikan pun kurang, terpaksa juga ambil suplemen kalsium setiap hari.” Jelas saya lagi.
“Kak, orang kata susu soya boleh minum. Ada kalsium juga. Betul ke?” Tanya Adik M.
“Susu dan produk soya antara makanan yang tinggi kalsium. Biarpun tidak setinggi kandungan susu, tapi boleh diambil untuk mencukupkan keperluan kalsium. Sebagai contoh, susu soya boleh mempunyai antara 80 ke 500mg kalsium. Bergantung kepada jenis susu yang telah difortifikasikan. Ataupun ditambah kandungan kalsium ke dalamnya. Boleh makan juga tauhu, tofu, fucuk dan sebagainya sebagai penambah kalsium dan juga sumber protein.” Cerita saya lagi.
” Tau fufah pun boleh kan kak? Sedapnya…” Tanya sahabat adik M.
” Boleh. Tanpa air gulanya. Makan banyak-banyak kena kencing manis pula nanti.” Balas saya.
” Alaaaaaah…Itu yang sedap.” Kata mereka beramai-ramai.
” Nak sedap ke nak sakit. Pilih? Allah bagi pilihan untuk kita buat. Ingat, apa kita makan, anak pun akan dapat. Tetapi jika makan tidak cukup zat, anak tetap akan ambil zat dari ibu. Ibu akan kurang zat. Kasihan ibu kan. Itu antara hikmah kenapa Allah, suruh taat dan hormat ibu yang banyak berkorban untuk kita.”
“Semasa saya mengandungkan anak dahulu, saya rasa sebak setiap masa. Bila rasa sakit, letih, teringat pada mak saya.” “Macam ni lah Ummi kandungkan aku dahulu. Susah payah bawa diri, semua untuk aku.” “
” Saya mula jadi anak yang taat pada Ummi saya, lebih ambil berat dan hargai ummi saya. Sebab saya tahu, saya balas macamana pun takkan mampu balas semua jasa Ummi saya. Selagi ada mak, berbaktilah. Jika ada rasa dendam, marah pada mak, buanglah. Andai ada salah dia, maafkanlah. Kerana, semua tu takkan dapat balas semua kesakitan dan pengorbanan dia untuk bawa kita ke dunia.” Saya akhiri sesi petang itu dengan sedikit nasihat.
Para pelatih tunduk. Ada rasa sebak dalam hati saya juga apabila memikirkan hebatnya pengorbanan seorang ibu.
” Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman:14)