Penyanyi Datuk Jamal Abdillah melahirkan rasa teruja apabila bakal menimang cahaya mata sulung bersama isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, yang kini hamil enam bulan.
Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, 60, berkata, isterinya itu kini diminta untuk lebih banyak berehat lebih-lebih lagi selepas pernah keguguran sebanyak tiga kali.
“Saya berasa sangat gembira apabila dikhabarkan oleh doktor yang kami bakal menimang cahaya mata perempuan.
“Buat masa ini, usia kandungan sudah menjangkau enam bulan dan saya sentiasa memastikan isteri berada di rumah dan mendapat rehat yang secukupnya.
“Saya tidak berkongsi berita gembira ini awal-awal bukannya mahu berahsia dengan kandungan isteri tetapi lebih berhati-hati kerana dia pernah mengalami keguguran tiga kali sebelum ini,” katanya.
Ads
Mengalu-alukan peminat beri nama
Dalam pada itu, Jamal menjelaskan, beliau mengalu-alukan peminat untuk memberikan nama kepada anak perempuannya itu.
“Saya sentiasa mengalu-alukan cadangan nama anak yang sesuai daripada peminat.
Ads
“Asalkan, nama tersebut mempunyai maksud yang baik,” ujarnya.
Cahaya mata sulung bersama Zai itu dijangka bakal dilahirkan pada 4 November depan.
Ads
Jamal mendirikan rumah tangga bersama Zai pada 1 April 2019 di Ipoh, Perak.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki iaitu Osama Yamani yang kini berusia 18 tahun dan Ahmad Zaki Yamani, 12.
Mak ayah mana yang tidak berdebar bila mana bakal menyambut kelahiran bayi sulungnya tidak lama lagi. Penyanyi, Ariff Bahran turut melalui debaran yang sama untuk menanti isterinya bersalin tidak berapa lama lagi.
Disamping rasa teruja, kata Bahran, dia kini mula memikirkan akan tanggungjawabnya selepas bergelar bapa nanti nanti amat bersyukur dengan kurniaan rezeki untuk menimang zuriat sendiri.
“Semakin dekat menjelang hari kelahiran anak ini, saya jadi semakin berdebar sebab saya sendiri yang akan menyaksikan proses kelahiran di dewan bersalin dan azankan bayi kami nanti.
“Bakal bergelar bapa membuatkan saya lebih berfikir tentang kehidupan yang akan ditempuhi. Ini semua adalah satu tanggungjawab dan saya amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan ini,” kongsinya lagi.
Terdahulu, bakal bapa ini turut memuat naik video kejutan bagi memperkenalkan jantinanya kepada ahli keluarga.
“So we’re having a baby. Thank you for all the prayers! Our makan makan mengejut, supposedly held at the garden but hujan terlalu lebat. Here’s a sneak peak of our family’s reaction,” kongsinya yang bakal menimang anak lelaki.
Ketika ditanya mengenai persediaannya untuk menjaga bayi kata Bahran, sebagai anak sulung dari tujuh adik beradik, dia sememangnya sudah terbiasa menjaga adik-adiknya yang masih kecil dan tidak mempunyai masalah untuk menguruskan anak nanti.
“Saya anak sulung dari tujuh orang adik beradik lelaki. Dah terbiasa menjaga mereka jadi tak ada masalah untuk jaga anak sendiri nanti,” kongsinya lagi.
Kongsi Bahran lagi, dia dan isterinya sudah mempersiap nama untuk anak yang bakal dilahirkan kelak namun membiarkan isterinya memilih nama kesukaannya kelak.
Terdahulu, Ariff Bahran mengumumkan sudah pun mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu dan kini Arif dan isterinya, Amirah Syazwani Ridzwan menanti kelahiran anak sulung mereka.
Pertambahan berat badan ketika hamil adalah perkara biasa yang akan dilalui oleh setiap individu wanita hamil. Tetapi kalau berat anda menjadi berlebihan, bagaimana untuk mengurangkan berat?
Mengurangkan berat
Kenaikan berat sepanjang tempoh kehamilan adalah normal tetapi bagi individu wanita yang sudah mempunyai masalah berat badan berlebihan, sudah tentu situasi ini mendatangkan dilema yang merungsingkan hati.
Namun, berita baiknya, terdapat kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan mencadangkan bahawa mengurangkan berat ketika hamil adalah perkara yang dibolehkan dan ia mungkin akan memberikan manfaat khususnya bagi individu wanita dengan berat yang berlebihan atau mempunyai nilai BMI melebihi 23.
Walau bagaimanapun, wanita hamil yang mempunyai berat badan normal sebelum mengandung mungkin tidak sesuai untuk mengurangkan berat. Tetapi jika anda berasa perlu untuk menurunkan berat dan akan memperolehi manfaat daripadanya, anda disarankan untuk berbincang dengan doktor atau pakar perubatan terlebih dahulu, okay?
Berat yang disarankan
Sebelum kita fahami cara untuk mengurangkan berat badan, anda harus tahu mengenai kenaikan berat yang disarankan bagi setiap individu wanita hamil mengikut BMI.
-Wanita yang kekurangan berat badan dengan nilai BMI <18.5, perlu mendapatkan lebih banyak berat, dari 12.5 hingga 18 kilogram (kg)
-Wanita dengan purata berat badan nilai BMI dari 18.5 – 22.9, perlu mendapat kira-kira 11.5 hingga 16 kg
-Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dengan nilai BMI 23 hingga 26.9, sepatutnya menambah berat dari 7 hingga 11.5 kg
-Manakala wanita dengan nilai BMI 27 dan ke atas disarankan untuk menambah berat antara 5 hingga 9 kg sahaja
Secara mudahnya, jika BMI anda adalah antara 18.5 hingga 22.9 sebelum mengandung, pastikan kenaikan berat badan anda sepanjang tempoh kehamilan adalah tidak melebihi 16 kg. Sebaliknya, jika BMI anda adalah tinggi sebelum hamil, kenaikan berat yang lebih rendah adalah amat digalakkan.
Berikut merupakan penambahan berat badan mengikut minggu yang dicadangkan untuk wanita hamil dengan purata BMI dari 18.5-22.9:
-Minggu 1 hingga minggu 12 (trimester pertama): 0.9 hingga 2 kilogram
-Minggu 13-26 (trimester kedua): 4 hingga 5 kilogram
-Minggu 27-40 (trimester ketiga): 5 hingga 6 kilogram
Pelan mengurangkan berat semasa hamil
Menggunakan alasan “makan untuk dua orang” adalah antara punca mengapa berat badan anda boleh naik secara mendadak ketika mengandung. Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi menurunkan berat anda:
Pengambilan kalori
Anda memerlukan kalori untuk memastikan bayi anda membesar tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti yang betul. Apa yang penting adalah untuk mengawal kenaikan berat badan anda agar tidak terlalu cepat naik.
Anda boleh memilih untuk mengisi perut anda dengan sesuatu makanan yang lebih sihat seperti minum susu skim, kentang bakar berbanding kentang goreng atau isi ayam bakar tanpa lemak menggantikan ayam goreng.
Ketika menyediakan makanan, pilihlah makanan yang dapat mengenyangkan anda untuk tempoh jangka panjang tetapi masih mempunyai kandungan kalori yang rendah. Antara contoh pilihan makanannya adalah:
-Sayuran segar, terutama daun hijau
-Buah-buahan dengan kandungan air tinggi, seperti tembikai
-Isi ayam
-Ikan
-Bijirin gandum seperti oat
Jumlah makanan dan lemak
Pastikan saiz dan kuantiti hidangan makanan yang diambil adalah bersesuaian dan mempunyai kandungan nutrisi yang diperlukan. Walau bagaimanapun, anda tetap perlu memastikan ada pengambilan lemak dalam hidangan makanan anda.
Ini kerana sesetengah jenis lemak adalah penting dalam membantu perkembangan bayi dalam kandungan anda. Sebaiknya pengambilan makanan bergoreng, (jika anda terlalu teringin untuk makan makanan sebegitu), ambillah dalam kuantiti yang terkawal.
Bersenam
Siapa kata wanita hamil tidak boleh bersenam atau melakukan aktiviti fizikal? Anda masih boleh melakukan senaman tetapi pastikan ia adalah bersesuaian dengan keadaan fizikal anda. Anda boleh memilih untuk mengikuti kelas yoga pranatal atau hanya berjalan kaki mengelilingi taman. Paling penting luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti fizikal.
Berat badan naik secara tidak terkawal boleh mendatangkan beberapa risiko masalah kesihatan kepada anda dan bayi dalam kandungan seperti kelahiran pramatang, diabetes, tekanan darah tinggi dan kecacatan kelahiran. Jadi pastikan anda mengawal pemakanan serta melakukan senaman yang bersesuaian untuk memastikan anda kekal aktif dan sihat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mana Ada Diet Nak Elak Plasenta Previa, Ini Perkara Penting Ibu Hamil Kena Tahu
Placenta previa boleh menyebabkan risiko pendarahan semasa hamil dan juga ketika proses kelahiran. Ada beberapa situasi yang menyebabkan ibu-ibu hamil dengan kes placenta previa perlu berwaspada.
Menurut Dr Amirul Amzar, plasenta previa ialah satu keadaan di mana uri terletak di bahagian bawah rahim dan menghalang laluan untuk bersalin. Beliau juga turut memberikan reaksi kepada penyebaran info yang mengatakan ada diet tertentu yang boleh mengelakkan plasenta previa ini.
Makin mengarut ajaran doula ekstremis ni. Hari tu kata ada diet untuk elakkan Caesarean. Sekarang ada diet untuk elakkan Placenta Previa pulak!
Saya cari punya cari, tak ada pulak jurnal yang membuktikan informasi ini. Saya tanya pakar perbidanan dan pakar pemakanan pun tak ada jugak makanan untuk elak Placenta Previa. Mana lah doula ni belajar. Lepas tu ajar pada pada orang awam, orang awam pun percaya bulat-bulat.
Placenta previa adalah satu keadaan di mana uri terletak di bahagian bawah rahim dan menghalang laluan untuk bersalin.
Biasanya ia didiagnos selepas 28 minggu kehamilan kerana sebelum itu, uri yang rendah masih ada potensi naik ke atas.
Placenta previa ni ada beberapa jenis. Ada yang masih boleh bersalin normal, ada yang memang kena Caesarean.
Placenta previa juga mendedahkan ibu pada risiko pendarahan yang teruk. Kalau berdarah, sekejap je darah dalam badan si ibu boleh kering. Sebab itu ia perlu pemantauan rapat oleh pakar.
Antara faktor risiko placenta previa adalah:
1. Sejarah placenta previa pada kandungan sebelumnya.
2. Sejarah pembedahan melibatkan dinding rahim seperti Caesarean atau pembuangan fibroid (myomectomy).
3. Sejarah kandungan ramai, terutama jarak antara kandungan rapat-rapat
4. Merokok.
5. Menggunakan kokain sewaktu mengandung.
6. Sejarah pencucian rahim oleh sebab keguguran (dilation and currettage).
7. Kandungan kembar, kerana uri yang lebih besar.
8. Posisi bayi tidak normal seperti songsang atau melintang.
Tak ada lagi makanan yang menyebabkan placenta previa dan tak ada lagi makanan yang boleh membantu dalam rawatan placenta previa.
Jadi, hati-hati bila dengar informasi kesihatan dari doula ekstremis. Kalau dengar, double confirm kesahihan dengan doktor merawat. Takut bayar beratus-ratus, dapat informasi pulak mengarut-ngarut.
Doula hanya peneman. Doula tak ada kelayakan beri nasihat perubatan.
*Doula bukan bidan
*Doula bukan doktor
*Doula bukan pakar pemakanan
*Doula juga bukan farmasis.