
Bila dah kahwin tugas menguruskan rumah tangga, mendidik anak tak boleh letak 100 peratus pada isteri saja. Suami pun kena la bertanggungjawab dan main peranan.
Ibarat kata orang, susah sama-sama, senang pun sama-sama. Barulah kemanisan itu sentiasa ada dalam diri suami isteri.
Namun yang sedihnya, apa yang dikongsikan oleh Puan Masturah Abu Bakar mengenai sikap suami yang anggap tugas jaga anak adalah pada isteri semata-mata patut diperbetulkan.
Saya dapat banyak PM luahan rasa. Antaranya, “Untung suami puan faham dan membantu. Suami saya….”
Panjanglah luahannya. Saya jadi geram.
Kita berkahwin sebab nak hidup bersama. Tapi bila part jaga anak, tolong tolong tolong ada kebersamaan jugak. Sama2 jaga anak.
Jangan la beban jaga anak atas bahu mak-mak je. Saya tahu ramai lelaki yang bertanggungjawab. Tahniah saya ucapkan. Saya tak nak pukul rata.
Tapi ramai juga lelaki yang lepas tangan.
Mengandung, melahirkan dan menyusukan dah tentu bapak-bapak tak boleh buat.
Yang berjaga malam, menyusukan anak, siapa? mak. Kalau anak tak menyusu badan mak jugak la yang bangun bancuh susu. Pak-pak sedap kroh kroh kroh melayan mimpi.
Yang fikirkan anak nak minum susu apa mak jugak. Tu belum lagi masuk peralatan perang untuk menyusu. Breastpump segala mak nenek tu. Bapak tak pikir pun.
Yang mandikan anak, siapkan anak, gosokkan baju sekolah anak, gosokkan baju kerja suami, siapkan sarapan sekeluarga. Mak jugak. Dan mak akan jadi orang terakhir yang makan. Baju mak pun mak gosok sendiri, takde orang nak tolong pikirkan.
Kadang-kadang saya perhatikan bapa ni nak dilayan macam raja. Sudah la tangan isteri menyotong settle itu ini. Dia pulak macam king duduk kat meja makan tunggu hidangan sampai. Siap order lagi, nak kopi susu kurang manis satu, nak telur separuh masak sebijik.
Lepas tu, nak basuh pinggan dan cawan sendiri pun susah. Alahai, mudahnya jadi lelaki.
Dah la dia siapkan diri dia je, suap makan ke mulut dia je. Pinggan dan cawan sendiri pun berat nak basuh.
Sambung lagi.
Yang nak pikir pasal sekolah anak, mak jugak. Sebab balik kerja bapa cakap penat, nak rehat. Amboi mudahnya. Duduk kat sofa sambil tunggu makan malam siap, sambil goyang-goyang kaki mengadap telefon. Tak pun kroh-kroh dalam bilik.
Yang menyotong kat dapur siapkan makan malam mak jugak. Dari awal sampai la semua dah sendawa kekenyangan. Tapi yang sedihnya mak makan tak kenyang mana. Rasa nak tercekik pun ada.
Sebab anak-anak duk kerumun mak mintak itu ini. Nak minum air la, nak basuh tangan la. Bapa siap makan duduk kat sofa tengok telefon lagi.
Belum pun nasi dihadam perut, ambik kunci nak keluar. Nak jumpa kawan katanya. Urusan orang lelaki.
Wahhhh bestnya. Balik pulak pukul 1 2 pagi. Lepas tu letak kepala kat bantal, lena.
Yang mak-mak ni struggle dengan anak-anak. Dari tengok kerja sekolah, sampai la nak suruh tidur.
Lepas tu mengemas pulak. Sediakan keperluan semua untuk esok.
Bapa sekalian, jaga anak-anak ni bukan tugas mak sahaja.
TUGAS BERSAMA.
Fungsi yang SAMA.
Sama-sama fikir.
Sama-sama urus.
Sama-sama hadap.
Kalau tak nak sama-sama bab jaga anak, eloklah membujang sampai tua.
Sumber: Masturah Abu Bakar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Tak Nak Perkembangan Anak Terbantut, Mak Ayah Kena Buang Jauh-jauh 3 Sifat Toksik Ni!

Membesarkan anak-anak memang bukan satu tugas yang mudah. ibu dan ayah menjadi cermin untuk anak-anak dalam mengukir keperibadian mereka.
Malah sifat yang ada pada ibu bapa juga jika menjadi toksik dalam kehidupan anak-anak boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan diri malah lebih teruk perkembangan mereka juga boleh terbantut.
Ini 3 sifat toksik yang mungkin ibu ayah sering kali buat tanpa sedar, yang mana boleh menyebabkan anak hilang keyakinan dan juga boleh menyumbang kepada risiko perkembangan anak terbantut. Ikuti perkongsian oleh Dr Redza Zainol:
3 sifat toksik ni kalau mak ayah buat setiap hari, anak akan hilang keyakinan diri dan perkembangan anak boleh jadi terbantut.
1) Stonewalling
Anak cuba nak berbual tentang sesuatu perkara, tapi kita jauhkan diri kita dengan cara:
- Tak menjawab soalan anak
2. Sengaja lambat jawab soalan anak
3. Tak cakap apa-apa
4. Terus tinggalkan anak
5. Tak ambil serius atau merendah-rendahkan apa yang anak cuba bualkan.
Contoh:
“Papa suka makan apa?”
Kita jawab, “Entah. Pape je laaa.”
Bila perangai macam ni berulang, anak rasa lagi baik cakap dengan dinding. Sekurang-kurangnya cakap dengan dinding, taklah rasa sakit hati.
2) Tak ada sebarang reaksi pada wajah dan abaikan anak. (Expressionless & being ignored)
Contoh:
Balik rumah je, anak semangat nak cerita tentang benda baru yang dia belajar dari buku. Kita pun buat-buat dengar sampai habis. Tapi sampai ke sudah tak bagi apa-apa respon.
Yang buat anak jadi keliru ialah air muka mak ayah tak ada reaksi langsung, pastu diam je.
Yang sebenarnya kita tak fokus pun pada cerita anak.
Sambil dengar, sambil tu tengok cerita Korea. Katanya nak luang masa dengan anak, tapi tangan duk pegang telefon ralit balas mesej wasap.
Maksud beri perhatian pada anak ialah kita 100% fokus pada anak waktu tu. Kita adalah betul-betul “present” di hadapan si kecil kita tu.
3) Gaslighting.
Maksudnya kita meragui atau menidakkan sesuatu yang diberitahu oleh anak.
Contohnya:
Anak balik dari asrama, dia mengadu ada budak lain asyik pegang-pegang dia.
Tapi kita jawab, ”Biasalah tu. Tak ada apalah.”
Atau anak balik dari rumah pengasuh kata itu dan ini.
Kita pun kata anak kita cakap yang bukan-bukan.
Si kecil kita pun jadi keliru dengan apa yang berlaku dan hilang rasa percaya pada diri sendiri. Dia akan fikir semua pendapat dia memang tak penting.
Bila 3 sifat mak ayah ni diulang setiap hari:
- Anak jadi tak percaya pada diri sendiri
- Keyakinan diri yang sangat rendah
- Selalu buat keputusan hidup yang salah akibat asyik dengar cakap orang lain.
- Asyik kritik diri sendiri (self criticism)
- Tak tahu cara urus dan kawal emosi sendiri
Bila anak ni besar dan berkeluarga, mereka mungkin akan buat perkara yang sama pada anak sendiri.
Jangan tidakkan apa yang anak kita rasa. Acknowledge apa yang mereka rasa dengan cara pandang, dengar dan peluk mereka.
Tolong bantu saya #sebarkan ilmu ni pada mak ayah yang lain. Moga ada yang dapat manfaat.
Sumber: Redza Zainol
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama JovianNina. Akan bersiaran setiap Rabu pada jam 9 malam, dan ulangan setiap Ahad jam 9.30 pagi hanya di Astro Ria saluran 104 & 124.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram Pa&Ma D Parents
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cikgu Ini Kongsi Teknik Latih Anak 6 Tahun Tak Lancar Membaca. Berkesan!

Tentu ibu bapa mula bimbang dengan keadaan anak yang tidak dapat membaca dengan baik tetapi dah nak masuk Tahun Satu. Kebanyakan ibu ayah risau kerana silibus tahun satu tak seperti dulu.
Malah jika anak belum lancar membaca, risau akan ketinggalan berbanding rakan yang lain dan akan menyebabkan anak rasa tak seronok untuk belajar.
Sebagai penyelesaiannya, Cikgu Ashikin Hashim menerusi telegram Nota Keluarga Ashikin Hashim berkongsi tentang cara yang boleh mak ayah buat untuk latih anak membaca dengan cepat.

1) Jangan panik. Tarik nafas. Set dalam minda anak kita pasti boleh baca jika anak normal dan tiada masalah pembelajaran. Jika ada Masalah Pembelajaran, mohon rujuk pakar seperti Occupational Therapist atau Speech Therapist untuk masalah berkaitan.
Sekarang, saya fokuskan kepada anak yang tiada Masalah Pembelajaran. Jika anak memahami apa yang kita terangkan, faham arahan dan fokus maksudnya potensi untuk dia pandai baca itu ada.
2) Rangsangan apa yang anak dah terima selama 6 tahun? Jika anak dari bayi memang kita dah bacakan buku, bercakap dengan dia, banyak aktiviti, alhamdulillah anda di laluan yang betul. Tapi jika pada usia 6 tahun kita baru sedar yang selama ini di rumah kita tak berikan rangsangan, maka kita kena buat dari sekarang. Hadkan gajet dan mula buat jadual.
3) Metod apa yang anak guna untuk belajar baca? Yang ini mungkin ada ibu bapa yang masih tak tahu anak guna metod apa di sekolah. Ada yang guna suku kata, fonik atau mengeja. Tanya guru tadika mereka dan ibu bapa pun kena belajar guna metod tersebut supaya mudah nak ajar anak.
4) Mula dari sekarang. Apa pun kita kena bersedia. Kita bekerja atau ‘work from home’, sesuaikan dengan keadaan. Mak ayah kena bersedia fizikal dan mental sebab anak-anak lama tak sekolah. Bayangkan mereka masuk sekolah dalam keadaan tak bersedia, maka bermulalah episod menangis dekat sekolah.
5) Jangan guna buku sahaja. Nak ajar anak baca, jangan guna buku sahaja. Suruh anak duduk, lepas tu mengadap buku tanpa aktiviti. Ini yang buat anak tak nak belajar dan cepat bosan. Gunakan kreativiti kita untuk ajar anak baca.
Saya selalu ingatkan ada tiga cara belajar yang berkesan:
– belajar secara visual
– belajar secara auditori
– belajar secara kinestetik (bergerak)
Belajar berkesan perlu gabung ketiga-tiga cara ini. Jika guna buku sahaja maka kita mungkin guna dua cara iaitu visual dan auditori tapi tak ada kinestetik, iaitu anak tak bergerak.
Anak fitrahnya bermain. Jadi masukkan elemen bermain dalam pembelajaran anak.
Contohnya letakkan kad imbas di serata rumah dan minta anak cari suku kata yang kita sebut. Mesti anak suka.
6) Bersabar. Proses membaca ini adalah satu proses yang panjang dan kompleks. Anak yang baru nak belajar baca bukan terus pandai. Ia mengambil kira pelbagai faktor untuk dia pandai baca. Kalaulah umur 6 tahun baru nak mula belajar, maka jangan harap anak terus pandai. Maka bersabarlah dengan proses ini.
7) Saya bekerja, macam mana nak ajar? Anak tak sekolah pula tu. Baiklah ada beberapa pilihan yang saya boleh cadangkan.
Cari home tutor (Ini hanya saranan. Sekarang mungkin tidak sesuai kerana pandemik).
Cuma saya agak risau bab ini jika anak kita terlalu dipaksa untuk belajar baca. Ibu bapa kena berbincang dengan tutor. Dan ambillah tutor yang memang faham tentang pendidikan awal kanak-kanak.
Pilihan lain, nak tak nak kita terpaksa ajar sendiri. Jika bekerja maka peruntukan waktu khas 30 minit pun dah cukup untuk belajar membaca.
Masa saya bekerja makan gaji dulu, apa yang saya buat ialah saya manfaatkan waktu sebelum tidur dan hujung minggu untuk ajar anak membaca.
Sebenarnya masa berkualiti itu lebih berkesan. Walaupun sikit tapi kita ajar dengan berkesan adalah lebih baik daripada kita paksa anak belajar baca berjam-jam tapi anak memberontak kerana disuruh membaca.
Kredit: Ashikin Hashim
**Nak dapatkan buku membaca dengan kaedah suku kata, boleh dapatkannya di sini
Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Untuk mendaftar, klik https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-detik-indah-bersama-si-manja/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa &alli diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/parents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gilir-Gilir Solat Dan Pergi Masjid, Tolak Ansur Suami Isteri Penting, 20 Tip Ibu Ni Boleh Jadikan Panduan!

Kini boleh dikatakan membawa anak mengerjakan umrah adalah hal yang biasa bagi semua ibu bapa. Pun begitu ketika membuat keputusan untuk membawa anak kecil ini bukanlah satu hal yang mudah. Banyak hal yang perlu difikirkan malah waktu melakukan umrah juga perlu lebih fleksibel apabila terpaksa memikirkan keperluan anak.
Tolak ansur antara suami isteri adalah kuncinya sepanjang waktu ini. Ada waktunya isteri terpaksa melepaskan suami beribadat sendiri dan begitu juga dengan suami yang terpaksa bertolak ansur menjaga anak demi memastikan isteri dapat beribadat dengan selesa. Ini penting.
Tip yang dikongsikan oleh ibu ini, Puan Khalisah Hazrina menerusi blognya, www.khalisahazrina.com boleh dijadikan panduan.
Ini adalah kali pertama Lisa bawa baby Sarah yang berumur 9 bulan travel iaitu mengerjakan ibadah umrah. Sebelum ini, Lisa bawa Fareeq travel pada usia dia seawal umur setahun sebulan. Bermaksud ketika itu penjagaan keperluan Fareeq tidaklah serapi sepertimana baby Sarah yang masih bayi dan dia pun belum boleh berjalan lagi.
Maka sepenuhnya Lisa yang dukung dan kendongnya ke mana saja. Sebelum Lisa kongsikan tips bawa anak kecil mengerjakan umrah, Lisa nak kongsi tentang mindset yang perlu kita ada sebagai seorang ibu yang ingin ada masa untuk beribadah di masjidil haram dan masjid nabawi, pada masa yang sama kita juga ada tanggungjawab untuk menjaga keperluan asas untuk anak-anak kita. Makanya, kita tidak boleh samakan masa kita dengan masa mereka yang tiada atau tidak bawa anak kecil ketika umrah.
Sebabnya ada masa anak akan meragam dan ada masanya kita perlu uruskan keperluan asasnya selain menguruskan keperluan diri kita sendiri. Lisa ceritakan perkara ini kerana, sebelum Lisa menjejak kaki ke masjidil haram, dalam hati dan minda ni teringin nak beribadah penuh waktu solat fardhu di masjidil haram dan masjid nabawi.
Tiba-tiba pelbagai perkara yang berlaku menyebabkan ada ibadah yang kita tidak dapat lakukan. Masa tu, Lisa rasa agak sedih juga dan suami nasihat kepada Lisa, jaga anak dan jaga keperluan mereka juga ibadah. Bersyukurlah kaki ini sudah dapat jejak di Baitullah. Cuba buat yang terbaik. Jika perancangan sudah dibuat tetapi pelbagai perkara sebenar berlaku di luar jangkaan maka bersangka baiklah dengan ALLAH. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.
Baiklah Lisa kongsikan 20 tips bawa anak kecil mengerjakan ibadah umrah. Semoga tips dibawa sedikit sebanyak dapat beri panduan kepada anda yang ingin bawa anak kecil sama ada masih bayi atau kanak-kanak untuk melakukan umrah.
PERSEDIAAN SEBELUM UMRAH
PILIH TRAVEL AGENT YANG KIDS FRIENDLY
Apabila anda sudah decide nak bawa anak kecil untuk umrah, perkara pertama yang perlu anda ambil berat adalah mengenai travel agent (ini jika anda mahu menggunakan service travel agent). Sebelum buat booking, tanya kepada pelanggan yang telah menggunakan service travel agent tersebut terlebih dahulu, adakah mereka ini jenis kids friendly atau pun tidak.
Bagaimana review atau komen mereka mengenai travel agent tersebut. Adakah sesuai jika anak kecil sertai group tersebut? Kids friendly ini lebih kepada masa yang fleksible, kedudukan hotel dan lain-lain lagi. Dalam situasi kami, Lisa menggunakan 60% cara diy dan 40% khidmat travel agent. Alhamdulillah travel agent yang Lisa ambil memang sangat bagus kerana masa yang fleksible dan kami mudah untuk berhubung mengenai masa dan itinerary. Boleh baca di entry post lisa yang ini untuk ketahui bagaimana arrangement kami.
PILIH MASA PENERBANGAN MENGIKUT WAKTU TIDUR ANAK
Seperti yang Lisa ada kongsikan sebelum ini, kami booking ticket flight secara persendirian tanpa menggunakan travel agent supaya kami dapat adjust masa dan adjust budget kewangan. Jika perjalanan anda melebihi 5 jam dan anak anda masih bawa umur setahun, Lisa sarankan ambil bassinet. Supaya tidak lenguh untuk pegang bayi ketika dalam kapal terbang. Dan anak pun boleh tidur dengan lena dan selesa. Perjalanan kami dari Dubai ke Jeddah, hanya mengambil masa 2 jam lebih sahaja maka Lisa tak ambil bassinet untuk Sarah. Kebetulan penerbangan yang kami ambil adalah kapal terbang yang kecil maka terhad untuk beberapa bayi sahaja. Alhamdulillah masuk saja dalam perut kapal terbang Sarah terus lena tidur.
VAKSIN
Vaksin yang perlu diambil untuk kanak-kanak dan dewasa adalah vaksin meningococcal. Tetapi bagi bayi yang bawah umur 9 bulan mereka hanya perlu bawa buku vaksin yang diberi sejak umur setahun sahaja kerana vaksin meningococcal ini sesuai untuk bayi yang berusia 9-10 bulan ke atas. Ini apa yang diberitahu oleh pihak kerajaan negara UAE. Di Malaysia Lisa tidak pasti, mungkin ia sama kerana perkara ini dikeluarkan oleh pihak kedutaan Saudi di Dubai.
PILIH HOTEL YANG DEKAT
Betul orang cakap, bila bawa anak kecil membuat umrah pemilihan hotel yang dekat sangat penting kerana pelbagai faktor. Antara yang lisa rasa banyak hikmahnya kami memilih hotel yang dekat apabila belaku perkara yang tak disangka-sangka. Iaitu, ada sekali tu waktu maghrib Fareeq dah tak tahan nak membuang air kecil dan untuk pengetahuan anda tandas agak jauh dari pintu masuk masjid. Disebabkan terlampau tak tahan Fareeq terkencing di seluar dan terkena baju papa nya. Mujurlah hotel dekat, sempat Fareeq dan papa tukar baju dan solat jemaah di Masjid.
Hotel yang dekat bermaksud +-50m. Jika lebih 200m, ia dikira agak jauh. Hotel yang kami duduk kira-kira 50m dari Masjidil Haram dan 50m juga di Masjid Nabawi. Hotel kami tidaklah mahal dan mewah, hotel budget sahaja tapi alhamdulillah selesa untuk kami tidur dan rehat.
Lagi satu sebabnya kita perlu hotel yang dekat, di tandas masjidil haram mahupun masjid nabawi tiada kemudahan untuk tukar pampers bayi. Jika nak selesa lebih baik pulang ke hotel dan tukar pampers anak di sana.
BAWA BARANG KEPERLUAN SECUKUPNYA
Barang keperluan ini termasuklah pakaian, pampers, perubatan, makanan dan sebagainya. Selain itu, anda perlu alert tentang suhu di Mekah dan Madinah. Baru-baru ini Lisa pergi awal bulan 12, maka suhu di Mekah seperti suhu di Malaysia tetapi suhu di Madinah lebih sejuk. Sebab itu Lisa siap-siap bawa baju sejuk untuk Fareeq dan Sarah. Kedudukan Madinah lebih tinggi dari Mekah menyebabkan suhu dua kota ini agak berbeza sedikit.
Bagi keperluan ubat, Lisa juga bawa lotion (kulit anak-anak jadi sangat kering disebabkan suhu di sana), ubat demam, balm, minyak gamat, aloe vera dan plaster. Sebenarnya jika anda terlupa nak bawa barang ubatan ini, jangan risau di Mekah dan Madinah banyak pharmacy cumanya harga agak tinggi sikit berbanding di Malaysia.
Barang-barang keperluan yang wajib dibawa jika nak travel dengan bayi yang bawah setahun. Dari segi pakaian, Lisa bawa untuk Fareeq dan Sarah, sepasang baju siang dan sepasang baju malam untuk tidur. Kami pergi umrah selama 9 hari maka jumlah pakaian anak-anak, (18 pasang untuk Fareeq dan 18 pasang untuk Sarah). Lisa memang asingkan baju mereka dan letak dalam travel pouches. Supaya mudah nak diambil dan tidak akan bersepah-sepah nanti.
BAWA STROLLLER DAN BABY CARRIER
Dua benda ini sangat penting jika nak bawa anak kecil untuk buat umrah, sebabnya kita banyak berjalan dan melakukan aktiviti fizikal. Pengalaman Lisa kali pertama membuat umrah, Fareeq berjalan membuat tawaf dan saie bersama suami Lisa dan Sarah pula Lisa dukung menggunakan baby carrier. Cuma waktu round terakhir ketika tawaf, Fareeq dah start kata dia penat sebab waktu tu tengah panas terik, dan suami Lisa perlu dukungnya. Kali ketiga kami membuat tawaf sunat, kami bawa stroller dan alhamdulillah Fareeq lebih selesa dan sampai tertidur dalam stroller tu.
BERCERITA TENTANG KAABAH DAN UMRAH KEPADA ANAK-ANAK
Boleh dikatakan setiap kali Lisa travel dengan anak-anak, Lisa suka cerita tentang apa yang bakal dorang akan tengok di tempat tersebut. Lisa buat cara ini untuk timbulkan rasa excited dalam diri mereka. Lisa cerita kaabah itu apa, umrah tu bagaimana, tawaf itu nak buat caranya macam mana, keadaan di sana bagaimana. Alhamdulillah apabila sampai di masjidil haram, Fareeq memang sangat excited tengok kaabah. Dia kata Allah’s house is big. There is door. But why Allah don’t want to open His door. Fareeq nak masuk. Biasalah soalan-soalan dari kanak-kanak yang baru berusia 5 tahun, yang masih tak faham mengenai agama. Sebagai ibu bapa kita layankan sahaja karenah mereka dan terangkan perkara yang betul.
KETIKA MENUNAIKAN UMRAH
KEBERSIHAN ANAK-ANAK PERLU DIJAGA
Jika anda mahu bawa anak-anak kecil ini untuk melakukan ibadah umrah mahupun ibadah sunat, pastikan kebersihan mereka perlu dijaga. Antaranya sebelum anda pergi membuat tawaf, saie dan bertahlul, pastikan pampers mereka sudah ditukar dan baju mereka dalam keadaan yang bersih. Kerana syarat ibadah umrah adalah bersih dari hadas besar dan hadas kecil. Walaupun ia berkaitan dengan diri kita tetapi, disebabkan kita mahu bawa anak kecil ini sekali maka kebersihan mereka juga kita perlu titik beratkan.
PASTIKAN ANAK KECIL INI CUKUP MAKAN DAN MINUM
Sebelum anda membuat umrah atau pergi ke masjidil haram mahupun masjid nabawi, pastikan anak-anak kita sudah diberi makan dan minum yang cukup. Jika keperluan asas ini tidak dipenuhi, keberangkalian untuk mereka meragam akan berlaku. Jika mereka haus ketika melakukan saie, jangan risau ada banyak tong air zam-zam di letakkan di tepi-tepi jalan untuk kita singgah dan minum di sana. Waktu suapkan anak minum air zam-zam, doakan semoga mereka diterangkan hati dalam ilmu agama serta tajam akal fikirannya dan semoga jadi anak yang soleh solehah.
Sebelum datang membuat umrah pertama, Fareeq dah makan tapi bila masuk buat saie, dia dah start rasa lapar. Mujurlah bawa stok makanan dalam beg. Berhenti tepi bagi dia makan dulu then baru sambung balik.
BAWA BEG KEPERLUAN ANAK
Selalunya di antara waktu maghrib dan isya, Lisa tidak balik ke bilik hotel sebab niat memang nak duduk di masjid untuk buat perkara sunat. Maka Lisa akan bawa 1 beg keperluan baby Sarah dan Fareeq iaitu termasuklah pampers, 1 pakaian persalinan in case kalau najis terkena di baju dia, permainan, spray, changing mat, makanan dan lapik selimut yang tebal (sebab kadang-kadang tak dapat duduk di atas karpet). Kasihan pula Sarah terpaksa duduk di atas simen sejuk.
BAWA STROLLER KETIKA MALAM
Jika anda bercadang untuk bawa stroller, disarankan membuat tawaf ketika malam atau ketika tidak ramai orang di mataf iaitu di sama level dengan kaabah. Jika tidak, pihak pak guard tidak benarkan kita masuk ke dalam dan mereka akan minta kita buat tawaf di tingkat dua atau di tingkat atas sekali. Lisa tahu perkara ini apabila kami cuba bawa masuk stroller ketika waktu dhuha sebelum masuk waktu solat jumaat, tetapi pak guard tidak benarkan. Maka kami letak stroller di luar masjid dan menyuruh Fareeq berjalan untuk tawaf dan saie.
PILIH WAKTU BERSESUAIAN UNTUK MELAKUKAN UMRAH
Jika anda yang mengikuti travel agent, mereka mungkin sudah ada itinerary yang perlu diikuti tetapi jika anda pergi secara persendirian, anda boleh tentukan masa yang sesuai bila masanya untuk membuat umrah. Mengikut pengalaman Lisa sendiri, kami memilih waktu umrah adalah waktu pukul 10 malam ke atas. Ketika itu, orang sudah tidak ramai. Dan masjidil haram buka 24 jam, maka anda boleh pilih waktu bila yang sesuai.
BERI ANAK REHAT SECUKUPNYA
Nak diikutkan tenaga kita, mungkin kita rasa kuat dan boleh melakukan semua ibadah di masjid tetapi anak kecil kita belum tentu lagi. Sebab itulah, di antara waktu zuhur dan asar, selepas makan tengahari dan solat zuhur Lisa akan pulang ke bilik untuk tidurkan Sarah. Lebih kurang 2 jam juga dia lena tidur dalam bilik hotel. Mungkin ada sesetangah kanak-kanak boleh tidur di dalam masjid tetapi anak Lisa, Sarah ni dia agak sensitif dengan bunyi bising. Sebab itu, Lisa terpaksa beri masa kepada dia untuk rehat secukupnya supaya pada waktu malam kami dapat beribadah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
MASAK MAKANAN BAYI
Bagi bayi yang bawah umur setahun seperti Sarah yang baru mencecah 9 bulan, makanan dia agak berbeza dengan kami. Maka Lisa bawa rice cooker travel, blender, beras dan keperluan makanannya yang lain untuk Lisa masak sendiri dalam bilik hotel. Di Mekah Lisa masak sendiri tetapi di Madinah Lisa ambil sedikit makanan hotel kerana kami ambil pakej fullboard dan kebetulan makanan yang dihidang adalah makanan Malaysia.
DI MASJIDIL HARAM, BERIKTIKAFLAH DI ROOFTOP
Ada sahabat Lisa beri tips dan nasihat, jika bawa anak kecil lebih baik beriktikaf di rooftop sebab kawasan yang luas dan selesa. Jika malam, suhunya agak nyaman dan anak-anak akan suka bermain-main di atas. Berlari dan melompat. Ramai juga Lisa tengok keluarga pak dan mak arab yang bawa anak-anak kecil akan berkelah di rooftop.
Di rooftop, tidak ramai seperti di mataf sama level kaabah maka anak-anak akan mudah untuk kita jaga. Lisa pernah duduk di mataf betul-betul depan kaabah tetapi masa itu tidak ramai orang. Fareeq dan Sarah seronok bermain di kawasan kami solat cumanya ruangan agak terhad sedikit.
UPAH ANAK DENGAN BARANG 2 RIYAL
Bila nampak anak bersemangat buat tawaf dan sangat behave ketika dalam masjid, boleh upah mereka dengan barang permainan 2 riyal. Banyak sangat pilihan dalam kedai 2 riyal ni. Ini antara kedai favourite anak lisa. Di Dubai, permainan yang harga 2 ringgit di Malaysia, harganya dalam Rm10-20. Menyebabkan kami memang akan kawal pembelian permainan dia. Tetapi bila datang ke Mekah dan Madinah, Lisa tengok harganya agak murah maka bagi Fareeq peluang untuk beli 2 atau 3 permainan yang dia suka. Bila anak gembira, kita juga akan turut gembira.
MASUK RAUDHAH DENGAN ANAK KECIL
Lisa rancang sebenarnya nak masuk Raudhah tanpa bawa Sarah dan dah tidurkan dia di hotel. Lisa minta suami jagakan anak-anak, kononnya ibu mereka ni nak beribadah di dalam Raudhah lagipun orang kata nak masuk ke sana bersesak-sesak. Semasa Lisa tunggu giliran tiba-tiba suami call suruh ambil Sarah sebab dia menangis tak berhenti. Suami Lisa kata sejurus Lisa keluar bilik, Sarah pun terjaga sampai tercari-cari Lisa dalam tandas. Suami Lisa give up nak pujuk dan minta Lisa untuk balik ke hotel. Tapi itu bukanlah untuk Lisa patah semangat untuk masuk raudhah. Mujurlah bilik hotel dekat dengan pintu 25 di Masjid Nabawi, Lisa ambil Sarah dan kembali ke tempat menunggu untuk masuk ke Raudhah.
Tips yang Lisa boleh kongsikan dengan anda yang nak bawa anak kecil, pastikan anda adalah group pertama masuk ke dalam Raudhah supaya anda dapat saf dihadapan sekali dan chances untuk anak anda kena langgar sangat-sangat kurang. Dan anda perlu ada tenaga lebih untuk berjalan cepat ketika pintu sudah dibuka untuk kita masuk di ruangan raudhah. Masa untuk masuk raudhah adalah selepas subuh dan selepas isya, maka anda perlu solat subuh atau isya di dalam pintu kayu yang besar, jika solat di luar kemungkinan anda tidak akan dapat untuk jadi group pertama masuk. Solat dan doa secepat mungkin kerana ramai orang akan berpusu-pusu masuk.
SUAMI ISTERI PERLU BERTOLAK ANSUR
Bila suami isteri sudah decide nak bawa anak kecil maka bermulalah sesi bertolak ansur antara suami dan isteri. Masing-masing tidak boleh pentingkan diri sendiri untuk beribadah. Ada masa berilah peluang kepada isteri untuk beribadah tanpa ada gangguan dari anak dan ada masa berilang peluang kepada suami pula untuk beribadah. Jika anak anda atas umur 6 tahun mungkin mereka sudah faham untuk mendengar kata tetapi bagi anak-anak kecil yang baru nak membesar ini, mereka perlukan sedikit kawalan dari ibu bapa supaya tidak pergi jauh dari tempat anda duduk beribadah.
Kalau anda pergi dengan saudara mara, itu lebih mudah kerana boleh minta pertolongan dari mereka untuk jagakan anak-anak ini. Tak salah untuk bertolak ansur, kerana ALLAH suka hambaNya yang tolong menolong tambahan pula untuk beribadah kepadaNya.
BERSABARLAH WAHAI IBU DAN AYAH
Tips terakhir yang lisa nak kongsikan dengan anda adalah banyakkan bersabar dengan karenah anak-anak ini. Akan ada pelbagai perkara yang tak dijangka berlaku, ketika itu anggap sahaja itu ujian untuk kita menjadi lebih matang. Bawa anak-anak melakukan umrah bukanlah mudah tetapi dengan pertolongan ALLAH insyaALLAH ia menjadi mudah dan menjadi perkara yang menyoronokkan apabila dikenangkan kembali. Ramai sangat jemaah dari negara-negara lain yang membawa anak-anak kecil ini. Biasalah kadang-kadang anak menangis, meragam, membuat perkara yang kita hampir hilang sabar tetapi itulah yang memberi kita pahala lebih dalam menjaga dan mendidik mereka.
Semoga perkongsian Lisa ini dapat beri sedikit sebanyak panduan untuk anda yang nak abwa anak kecil menunaikan umrah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI