
Detik anak terlepas daripada pandangan walaupun hanya beberapa minit pastinya cukup untuk membuatkan mana-mana ibu bapa panik. Itulah situasi mencemaskan yang dilalui pelakon Zizie Izette apabila salah seorang anak lelakinya, Aaleph, hilang seketika ketika mereka berada di KLCC baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Zizie menceritakan bagaimana rancangan untuk meluangkan masa berkualiti bersama lima anaknya bertukar menjadi detik penuh debaran.

Mahu Bonding Tanpa Bawa Pembantu
Pada hari berkenaan, Zizie Izette memilih untuk keluar bersama anak-anak tanpa ditemani pembantu kerana mahu menikmati masa bersama mereka.
Namun ketika sedang menguruskan urusan di sebuah bank, dia tiba-tiba dikejutkan dengan berita daripada seorang lagi anaknya, Aadam, bahawa Aaleph sudah tidak kelihatan.
“Ya Allah, hari ni (Selasa) saya hilang anak lelaki saya dekat KLCC. Hari ni saya memang tak nak bawa pembantu sebab ingat nak luangkan masa bonding, just mama dengan anak-anak.
Sekali sampai bank, tengah dekat kaunter, Aadam datang panik, ‘Mummy, Aaleph hilang!’”

Mendengar sahaja perkara itu, Zizie terus meninggalkan urusannya dan bergegas mencari Aaleph.
Dalam keadaan cemas, dia sanggup meninggalkan kad pengenalan serta buku bank di kaunter sebelum berlari mencari anaknya. Bagi mana-mana ibu, kehilangan anak daripada pandangan walaupun seketika sudah cukup untuk menimbulkan pelbagai kebimbangan, apatah lagi ketika berada di kawasan tumpuan ramai seperti KLCC.
Syukur, pencarian itu tidak berlarutan lama. Kira-kira lima minit kemudian, Zizie Izette menerima panggilan daripada pihak concierge KLCC yang memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki berada bersama mereka.
“Saya terus tinggalkan IC dan buku bank dekat pegawai dan lari cari Aaleph. Lebih kurang lima minit kemudian, pihak concierge KLCC telefon, ‘Ada seorang budak lelaki dekat sini…’ Alhamdulillah, rupanya Aaleph.
Nasib baik saya memang selalu ajar anak-anak hafal nombor telefon saya untuk waktu kecemasan.”

Zizie Izette Ajar Anak Hafal Nombor Telefon Ibu Bapa
Di sebalik kejadian tersebut, satu perkara yang membantu ialah tindakan Zizie yang sebelum ini sudah membiasakan anak-anaknya menghafal nombor telefonnya.
Zizie juga tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku. Sebaliknya, dia mengakui dirinya mungkin terlalu cepat berjalan sehingga tidak menyedari salah seorang anak sudah tidak berada bersama kumpulan mereka.
“Saya tak salahkan sesiapa. Saya rasa saya pun cuai. Jalan laju sangat sampai tak pandang belakang.”
Pentingnya Headcount Bila Keluar Dengan Anak
Pengalaman tersebut turut menjadi peringatan buat dirinya sendiri supaya tidak menganggap semua anak sentiasa berada di belakang atau berdekatan hanya kerana mereka keluar bersama-sama.
Terutama apabila membawa beberapa orang anak serentak, Zizie Izette menekankan pentingnya melakukan ‘headcount’ atau mengira semula jumlah anak dari semasa ke semasa.
Walaupun melalui detik yang cukup mendebarkan, Zizie sempat berseloroh mengenai pengalaman yang berlaku ketika dia sebenarnya hanya mahu menikmati masa bersama anak-anak.
“Pengajarannya, kalau keluar dengan lima orang anak, jangan anggap semua tengah ikut. Kena buat headcount! Sentiasa kira 1, 2, 3, 4, 5. Ulang setiap lima minit.
“Mama ingat nak bonding time, sekali dapat cardio dengan panic attack.”

Pengajaran Daripada Pengalaman Zizie Izette Buat Ibu Ayah
Kejadian yang dikongsikan Zizie ini boleh menjadi peringatan buat ibu ayah, lebih-lebih lagi apabila membawa beberapa orang anak ke tempat yang sesak.
Selain memastikan anak sentiasa berada dalam pandangan, ajarkan mereka maklumat asas seperti nama penuh ibu bapa dan nombor telefon yang boleh dihubungi ketika kecemasan. Anak juga boleh diajar supaya mencari pengawal keselamatan, petugas pusat beli-belah atau kaunter informasi sekiranya terpisah daripada keluarga.
Walaupun hanya terpisah untuk tempoh yang singkat, situasi sebegini cukup untuk membuatkan ibu ayah cemas. Mujurlah Aaleph ditemui dalam keadaan selamat dan pengalaman tersebut menjadi satu pengajaran bermakna buat Zizie Izette sekeluarga.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: @Zizie Izette
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

