Epidural adalah salah satu kaedah pembiusan yang paling banyak digunakan untuk proses kelahiran cara pembedahan caeserean. Berikut ialah 10 info mengenainya yang perlu anda tahu.
Dr Isnul Hady Ismail, pakar bius SALAM Shah Alam Specialist Hospital berkata epidural bertindak serta memberikan kesan kepada sistem saraf pusat, sistem kardiovaskular dan sistem pernafasan. Ia akan memberikan kesan kepada tekanan darah, pernafasan, degupan jantung dan beberapa fungsi penting badan yang lain. Prosedur epidural hanya boleh dilakukan oleh pakar bius bertauliah sahaja.
Kadangkala pembedahan yang dilakukan secara kecemasan setelah bayi di dalam kandungan stres dan perlu dikeluarkan segera atas pelbagai sebab. Justeru, ini menyebabkan penggunaan epidural yang tidak dijangka. Justeru mama, ini adalah 10 info penting yang perlu diketahui tentang epidural:
1.Epidural tidak mengganggu susu ibu kerana aliran dan fungsinya terhad pada lokasi tertentu sahaja. Ia hanya akan masuk ke dalam aliran darah dalam kuantiti yang sedikit dan tidak memberikan kesan secara langsung kepada aliran dan kualiti susu ibu. Penyusuan susu ibu boleh diteruskan dalam posisi mengiring dan elakkan daripada duduk.
2.Pening, muntah dan menggigil kesejukan adalah antara kesan dirasai kesan daripada epidural. Epidural memberikan kesan yang lebih ringan berbanding bius lain dan jarang memberikan komplikasi teruk kepada pesakit.
IKLAN
3.Rasa pening kepala dan muntah ialah kerana tekanan darah yang menurun. Manakala menggigil pula disebabkan oleh kesejukan kerana bius bertindak mengurangkan haba dengan cepat pada bahagian bawah badan kerana semua saluran darah sedang mengembang.
4.Epidural lebih baik daripada bius am yang mengakibatkan pesakit tidak sedarkan diri. Perlu difahami bahawa epidural adalah dalam kategori bius setempat yang lazimnya akan digunakan untuk pembedahan pada bahagian pusat ke bawah seperti caeserean.
IKLAN
5.Epidural menjadi pilihan sebagai penahan sakit bagi kelahiran secara normal. Jika ibu berupaya menahan kesakitan semasa kontraksi, maka ia tidak perlu. Selain epidural, terdapat banyak penahan sakit yang boleh digunakan iaitu suntikan pethidine dan gas entonoks. Walau apa juga pilihan, para ibu perlu memahami bahawa setiap prosedur mempunyai kesan sampingan masing-masing.
6.Bagi pakar bius yang sudah biasa melakukannya, kadar kegagalan adalah rendah. Tetapi bagi bagi pesakit yang mempunyai ciri abnormal pada tulang belakang, risiko kecederaan pada saraf adalah tinggi. Kesan alahan atau alergi kepada ubat juga boleh berlaku yang menyebabkan pesakit mengalami kegatalan pada kulit.
IKLAN
7.Perkara penting selepas kelahiran yang dibius ialah berbaring tanpa bantal selama lapan jam hingga 12 jam selepas pembedahan dilakukan.
8.Memakai bengkung moden 24 jam selepas pembedahan sebagai sokongan kepada bahagian perut dan tulang belakang.
9.Ibu perlu bergerak seawal mungkin selepas tempoh berbaring selama lapan hingga 12 jam selepas pembedahan untuk menggalakkan pengaliran darah.
10.Setiap individu hanya boleh mengambil epidural sebanyak dua tahun sekali sahaja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apa yang anda makan semasa tempoh berpantang akan mencerminkan kesihatan anda kemudian hari. Oleh itu, anda perlu mengetahui amalan pemakanan yang betul semasa menjalani tempoh berpantang.
Melalui perkongsian dari Kak Engku Bidan Bersalin, pemakanan antara aspek yang amat penting dalam rawatan semasa pantang bersalin. Keperluan ini perlu diutamakan kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon dalam badan anda. Jika tidak dikawal dan dijaga pemakanan dalam tempoh berpantang, anda akan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan mengganggu penyembuhan dalaman dan luaran anda.
Lazimnya pada awal minggu pertama, digalakkan makan makanan yang kering untuk tujuan mengecutkan rahim. Pastikan waktu makan anda tepat untuk mengelak perut masuk angin. Jika anda mengambil nasi, makan semasa nasi masih panas dan ambil dalam kadar yang sederhana.
Jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Jika masih lapar, anda boleh makan secara kerap. Untuk minum petang pula, anda boleh makan biskut tinggi serat (elakkan mengambil roti kerana kandungan yis yang tidak elok untuk proses pengecutan rahim).
Apabila memasuki minggu kedua dan seterusnya, anda sudah boleh mulai makan makanan yang berkuah seperti sup ikan, sup sayur dan buah-buahan supaya anda mendapat khasiat yang seimbang dalam pemakanan anda.
Semasa dalam pantang juga makanan yang dilarang makanan adalah bersifat sejuk, berangin, gatal dan berbisa. Minuman berais tidak dibenarkan. Ini adalah antara amalan pantang larang yang mesti dilakukan semasa berpantang untuk menyembuhkan dan menyegarkan kembali badan selepas menjalani proses bersalin.
Elakkan Makanan Berlemak
Semasa berpantang kuantiti dan kualiti makanan yang diambil akan memberi impak besar terhadap berat badan dan kesihatan anda. Jadi, anda dilarang untuk mengambil makanan yang boleh menggemukkan sewaktu berpantang. Anda disyorkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman di samping masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus yang terbukti dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan masalah berat badan yang anda alami ketika ini.
Melancarkan Proses Penghadaman
Halia dipercayai memiliki sifat panas dan kering. Sekiranya anda kerap mengambil makanan yang mengandungi banyak halia sepanjang berpantang, anda sebenarnya telah membantu diri untuk memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.
Atasi Masalah Kemurungan
Salah satu jenis ulam-ulaman yang terkenal di kalangan ibu berpantang ialah daun pegaga. Daun ini disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan dan menambahkan ingatan. Antara kelabihan lain yang ada pada daun pegaga ialah ia dapat mengatasi kemurungan yang mungkin timbul disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
Pembuang Angin
Bagi masyarakat india, sayur sawi menjadi keutamaan bagi wanita india yang berpantang. Ini kerana pengambilan sayur sawi bertujuan untuk membuang angin. Sebaik-baiknya sayur ini dicelur terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.
Penambah Pengeluaran Susu
Pengambilan peria, pegaga, lobak putih dan cekur manis oleh ibu berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar dan menambah penghasilan susu ibu. Sekiranya kerap diamalkan ia dapat membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
Kecantikan Wajah
Dalam usaha mengekalkan kesegaran tubuh, makanlah ikan haruan dan tenggiri sebagai makanan tambahan (boleh dibuat sup). Selain dapat melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ia terjadi hasil daripada kandungan asid amino dan lemak yang ada pada kedua-dua jenis ikan ini. Apa yang lebih menarik ialah daging ikan-ikan ini yang bebas kolesterol akan membuatkan wajah kelihatan lebih berseri.
Lawas Buang Air Besar
Dengan mencampurkan perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang, ia dapat memudahkan anda untuk membuang air besar selain daripada menyegarkan tubuh anda.
Hindari Kembung
Seelok-eloknya setiap hidangan dimakan bersama nasi putih yang baru sahaja dimasak. Tujuannya ialah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Oleh itu, elakkan daripada memakan nasi sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kembung perut.
Minuman Penambah Tenaga
Bagi mengembalikan semula tenaga tubuh, anda digalakkan untuk minum air rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan meminum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan anda akan kembali menjadi ringan dan tambah bertenaga.
Caesarean : Kurangkan Lada Hitam
Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah untuk memanaskan badan. Namun yang demikian, bagi ibu berpantang yang melahirkan anak secara ceaserean, anda kurang digalakkan untuk mengambil lada hitam dalam kuantiti yang banyak.
Anti Oksidan
Terdapat pelbagai jenis ulaman berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang antaranya daun pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daum kesum seta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan untuk menyegarkan dan membuang toksin dalam badan.
Pengambilan Cecair
Wanita selepas bersalin tidak dibenarkan mengambil air dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim, faraj mudah longgar serta berair terutama jika minum air sejuk atau air batu. Pengambilan air dibenarkan secara kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air penting untuk proses penyembuhan dan mengalakkan pengeluaran susu ibu.
Pemakanan Ikan
Makan ikan segar dan tidak gatal seperti haruan dan ikan sardin yang segar (bukan dalam tin). Ikan haruan juga dipercayai dapat memulihkan luka luaran dan dalaman (bersalin caesarean). Elakkan juga ikan berbisa dan gatal seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam, terubuk dan parang. Kesannya menyebabkan kegatalan, timbulnya reaksi alahan dan boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Pengambilan Sayuran Dan Buahan
Setiap buah-buahan pula, ia mempunyai khasiat tersendiri antaranya buah oren yang mengandungi banyak vitamin C yang membantu pemyembuhan luka disamping fiber untuk melawaskan air besar. Manakala elakkan makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, bayam, kacang panjang, petola, petai, jering dan terung.
Minuman seperti tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, nangka, cempedak dan pisang nangka, antara minuman jenis yang sejuk dan tajam. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
Kecutkan Rahim
Kunyit yang sering diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu yang berpantang berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.
Suami yang perlu jaga isteri dalam pantang bukan ibu ayah anda! Sudah menjadi kebiasaan, apabila dalam pantang ramai yang meminta bantuan dari ibu dan ayah untuk menjaga. Kalau nak ibu dan ayah anda jagakan, 5 perkara ni wajib anda sediakan. Ikuti perkongsian dari puan Intan.
BERPANTANG DI RUMAH IBU BAPA
Saya mahu mengingatkan semua pasangan suami isteri, terutamanya saya yang menulis ini, rumah ibubapa bukanlah confinement place for free & bantuan mereka menjaga semasa berpantang pun bukanlah khidmat sukarelawan masyarakat, wahai anak-anak.
Ada ramai dari kita, hanya menjenguk kampung apabila mahu beranak semata, sebab mahukan penjagaan rapi semasa berpantang tanpa perlu mengeluarkan kos penjagaan ribu-ribuan. Astaghfirullah, moga Allah ampunkan kita kalau pernah berniat macam tu.
Lelaki sebagai suami & menantu.. ingatlah sebenarnya tanggungjawab menjaga isteri sepenuhnya atas bahumu. Ibubapa yang sukarela mahu menjaga anak perempuan mereka semasa berpantang perlu dihargai, diraikan tetapi bukan bermakna tempoh itu kamu boleh berlepas diri & bersenangan laksana bujang. Sedangkan di kampung, ibubapa yang uzur tadi terkial-kial mengangkat air panas buat isterimu mandi & hampir pitam mengendong anak kecilmu yang meragam dari malam hingga dinihari-setiap hari.
Hal berpantang jangan diambil remeh. Suami isteri perlu duduk berbincang dengan mak ayah tentang segala persediaan & keperluan yang patut dipersiapkan. Seperti ibu saya akan pesan pada suami saya untuk menyiapkan barang keperluan untuk dibawa ke hospital, barang untuk menguruskan uri dan sebagainya.
Jika suami jenis clueless, isteri mainkanlah peranan untuk ingatkan suami hal yang perlu dia ambil tahu, fikir & sediakan sebelum & semasa kita berpantang. Kadang suami ni bukan dia selfish melainkan dia tak terfikir hal remeh temeh yang bakal berlaku dalam tempoh itu. Mungkin kerana kurang membaca, kurang bertanya & mungkin juga terlalu ambil mudah. Terutamanya untuk kelahiran pertama.
Jadi para isteri untuk suami jenis begini, beritahu dia & ingatkan dia yang selain keperluan bayi, kita juga perlukan set berpantang, upah bidan mengurut, standby pam susu kalau terkena bengkak susu, serta jangan lupa beri mak ayah yang menjaga isteri;
1) duit bajet untuk lauk sepanjang berpantang yang perlu diberi kepada mak ayah. Nak beli makanan berkhasiat untuk kembalikan tenaga isteri seperti ikan jenis tertentu, daging, susu, buah, biskut, & lain-lain. Tanya mak tentang kos kasar barang keperluan itu & sediakanlah siap-siap. Jangan lupa nafkah isteri sepenuhnya dibawah tanggungjawab suami. Ada bajet extra, asingkan juga duit belanja dapur untuk mak ayah.
2) duit bil air & elektrik, kerana biasanya jumlah bil akan naik sedikit atau mungkin berganda semasa tempoh berpantang. Kalau jenis pasang air-cond 24jam pasti bil eletrik naik mendadak, jadi jangan buat-buat lupa bayar semula pada mak ayah.
3) duit minyak kereta mak ayah ke hulu hilir hantarkan isteri & anak check-up klinik/hospital/beli barang urgent.
4) duit standby incase tiba-tiba perlu belikan pacifier, baju lebih, pampers jenama lain jika tak sesuai jenama tertentu, krim ruam. Kita tidak tahu kerenah bayi seperti mana. Setiap bayi lain-lain ragamnya.
5) duit extra : jika ibubapa turut menjaga anak-anak yang lain, tentulah perlukan duit untuk beli makanan, permainan & sebagainya. Jangan ajar anak pow atuk nenek pula!
Last but not least, jika ada bajet lebih lagi selepas habis berpantang & anak sudah besar sedikit, bolehlah ajak mak ayah berjalan-jalan makan angin & belanja makan tempat-tempat yang bagus sedikit. Untuk meraikan penat lelah mereka (untuk membayar kita tidak layak & tidak mampu – hanya Allah yang mampu).
Terus terang.. mak ayah memang tidak akan meminta directly, tetapi sebagai anak yang baik, peka & sedar diri, faham-fahamlah sendiri tanggungjawab kita. Dah beranak pinak pun kan.. harapnya bolehlah lebih bertimbangrasa.
Mak ayah memang tak pernah berkira dengan anak-anak, sebaliknya anak-anak selalu sangat berkira dengan mak ayah. Walhal memang sudah tanggungjawab kita. Jadi, janganlah asyik ambil kesempatan.
Jangan zalimi ibubapa yang duit bulanan kamu tak pernah beri, tetapi bila tempoh kritikal begini kamu tambahkan pula beban lagi. Jagalah adab kita sebagai anak. Takut mak ayah kecil hati dalam diam, jadi tak redha, kita yang berdosa.
PENTING
Sekiranya ibubapa berterus terang sudah tidak mampu menjaga, mungkin atas faktor uzur & sebagainya, suami sepatutnya sudah merancang hal isteri berpantang sejak dari awal kandungan lagi. Mungkin suami sudah mula berfikir patut ambil cuti lebih lama selepas isteri bersalin dan mula mencari info tugas yang perlu dilakukan jika mahu berpantang sendiri, atau jika tak boleh cuti lama, boleh mula menabung untuk upah confinement lady serta bayaran daycare untuk anak yang lain sementara isteri berpantang. Sekarang dah moden, semua info ada di hujung jari.
Ibu selalu cakap pada saya; “dah beranak & jadi ibu ni barulah kamu lebih faham ibu kan. Bukan senang jadi ibubapa ni..” fuh memang sebak rasa. Rasa macam sangat kerdil dibandingkan dengan kasih sayang ibu ayah yang melimpah ruah. Terima kasih ibu ayah..
Maka anak-anak, janganlah ambil kesempatan atas kasih sayang mereka. Ibubapa cuma ada seorang atas muka bumi ini. Jika Allah ambil mereka kembali tentulah tiada lagi galang gantinya. Kita juga bakal menjadi orang tua kelak. Santunilah mereka semampunya, kerana Allah tahu apa di dalam hati kita.
Wallahu ‘alam.
Penulisan ini berdasarkan pengalaman & pandangan peribadi diri ini sahaja. Boleh tambah di ruang komen jika ada cadangan lain.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Tak boleh main agak-agak kalau nak anak memperoleh khasiat susu ibu yang sebenar. Malah ada ibu yang bersungguh buat stok simpanan susu tetapi tidak tahu menjaga suhu dan cara menyimpannya dengan tepat. Lebih-lebih lagi pada ibu baru pertama kali menyusu.
Ini panduan untuk mama, seperti yang dikongsikan oleh Dr Muhammat Izzat di facebooknya. Jangan keliru lagi!
Ramai ibu dok tanya saya berapa lama susu perahan boleh bertahan. Cerita dia macam ni:
Suhu bilik 23-32 darjah celcius ( susu boleh tahan 3-4 jam ) 19-22 darjah celcius ( susu boleh tahan 6-8 jam )
* Pastikan bekas susu tu sentiasa bertutup dan sejuk sejauh mana yang boleh.
Cooler bag/ ada ice pax 15 darjah celcius ( susu boleh tahan 24 jam ) * Kena pastikan bekas susu tu sentiasa bersentuhan dengan ice pax. Jangan kejap-kejap nak buka cooler bag tu.
Deep freezer Suhu < -20 darjah celcius ( susu perahan boleh tahan 6 hingga 12 bulan lamanya )
* Saya nasihatkan simpan susu dalam bekas-bekas kecil, tulis tarikh bila susu tu disimpan. Susu yang mana masuk dulu, susu tu yang akan pakai dulu bagi kat baby. First in First out.
Peti ais 1 pintu – ruang biasa dan freezer sekali Suhu < 15 darjah celcius ( susu boleh bertahan selama 2 minggu ) * Jangan simpan susu kat pocket frigde
Kalau simpan susu ruang sejuk biasa Suhu < 4 darjah celcius ( susu boleh tahan 4-8 hari ) Peti ais 2 pintu. Ruang biasa + freezer asing-asing Suhu < -18 ( susu boleh tahan 3-6 bulan )
Susu tu untuk baby. Jangan bapaknya pakai susu tu untuk bancuh kopi dah lah. Sebab tu kena label elok-elok masa nak simpan tu.
Ingat, lagi banyak ibu perah susu, lagi banyak susu dihasilkan.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!