
Siapa sangka, pasangan suami isteri yang selama ini dikenali sebagai antara pasangan romantis dalam industri hiburan tanah air, Akim Ahmad dan Stacy Anam, kini bakal bersaing di pentas pertandingan nyanyian yang sama!
Kemunculan pasangan ini dalam Gegar Vaganza Fantasia (GVF) bukan sahaja kembali mencuri perhatian peminat, malah membuatkan ramai tertarik dengan kisah kehidupan mereka di sebalik pentas.
Namun, di sebalik populariti dan kejayaan dalam bidang seni, ada satu perkara yang mungkin ramai tidak tahu mengenai pasangan yang mesra dengan panggilan KimCy ini.
Rupa-rupanya, Akim mempunyai sebab tersendiri mengapa dia begitu menyayangi Stacy sehingga hari ini. Bukan semata-mata kerana kecantikan atau bakat isterinya, tetapi sikap Stacy dalam mengendalikan emosi dan menjaga keharmonian rumah tangga.
Perkara itu pernah dikongsikan Akim menerusi sebuah rakaman temu bual lama yang kembali mendapat perhatian, apabila penyanyi tersebut secara spontan meluahkan rasa sayangnya terhadap isteri tercinta.
Akim & Stacy Kini Sama-Sama Bersaing Di Gegar Vaganza Fantasia

Bagi peminat yang mengikuti perjalanan seni mereka sejak dahulu, nama Akim Ahmad dan Stacy Anam sememangnya bukan asing lagi.
Stacy mula mencipta nama selepas menjuarai Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada 2008. Penyanyi kelahiran Sabah ini cukup dikenali dengan persembahan bertenaga, tarian serta lagu-lagu pop yang mempunyai identiti tersendiri.
Sementara itu, Akim pula merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang kemudiannya mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi, komposer dan vokalis kumpulan Akim & The Majistret.
Kini, kedua-duanya kembali menjadi bualan apabila menyertai program Gegar Vaganza Fantasia.
Lebih membanggakan, Stacy berjaya mengekalkan kedudukan di tangga pertama selama dua minggu berturut-turut. Pada minggu kedua, persembahannya menerusi lagu Mewangi, yang dipopularkan oleh kumpulan suaminya sendiri, meraih markah tertinggi sebanyak 67.66 peratus.
Malah, juri tetap Datuk Syafinaz Selamat turut memuji persembahan Stacy yang disifatkan sebagai persembahan pada tahap seorang juara, meskipun masih terdapat beberapa aspek vokal yang boleh diperbaiki.
Kemeriahan semakin terasa apabila Akim pula diumumkan sebagai peserta baharu menerusi slot Hot Seat selepas menerima undian tertinggi sebanyak 25 peratus pada 15 November lalu.
Daripada pasangan yang saling menyokong kerjaya seni masing-masing, kini Akim dan Stacy bakal menjadi pesaing di pentas yang sama!
Artikel Trending: KKM Dedah Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat, Amaran Bahaya Untuk Kanak-Kanak & Warga Emas
Artikel Trending: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Sudah 10 Tahun Mendirikan Rumah Tangga, Bahagia Dengan Tiga Anak

Di sebalik kerjaya seni yang sibuk, Akim dan Stacy sebenarnya sudah sedekad melayari kehidupan sebagai suami isteri. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016 dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Eshaal Afiq Akim dan Isa, selain membesarkan anak angkat perempuan mereka, Bella De Luna Valentina.
Melalui pelbagai fasa kehidupan bersama, daripada awal perkahwinan sehinggalah membesarkan tiga anak, pastinya ada cabaran tersendiri yang perlu dilalui.
Namun, apa yang menarik perhatian ialah cara pasangan ini berusaha memastikan hubungan mereka terus kukuh meskipun mempunyai komitmen kerjaya yang besar.
Bagi Akim, kebahagiaan rumah tangga bukan hanya tentang perasaan cinta, tetapi juga kesediaan untuk memahami dan menerima pasangan seadanya.
Sikap Stacy Buat Akim Makin Sayang

Menerusi sebuah rakaman perbualan video ‘Borak Selebriti Pa&Ma‘ yang kembali trending bersama Akim, penyanyi itu pernah ditanya mengenai perkara yang paling membuatkannya kagum terhadap Stacy sebagai seorang isteri.
Jawapannya cukup menarik kerana Akim mengakui bahawa sehingga hari ini, dia masih terpesona dengan sikap isterinya.
Menurut Akim, Stacy seorang yang mudah memberikan kerjasama dan sentiasa cuba menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi rumah tangga.
“Dia tak pernah say no dengan saya. Apa yang saya suruh buat, dia buat. Apa yang saya suruh dia jadi, dia jadi. Itu yang buat saya rasa sangat sayang dia.”
Namun, apa yang lebih menarik ialah bagaimana mereka mengendalikan emosi ketika berhadapan dengan perselisihan faham.
Akim menjelaskan bahawa dia dan Stacy mempunyai satu pendekatan yang diamalkan supaya pertengkaran tidak menjadi semakin besar.
“Kalau saya marah, Stacy tak boleh marah. Kalau Stacy marah, saya tak boleh marah. Tak boleh dua-dua sekali gus.”
Menurutnya, apabila kedua-dua pasangan bertindak mengikut emosi yang sama, keadaan boleh menjadi lebih tegang dan akhirnya memberi kesan kepada anak-anak. Di sinilah pentingnya sikap bertolak ansur dalam rumah tangga.
Bukan bermakna salah seorang perlu sentiasa mengalah atau mengetepikan perasaannya, sebaliknya suami dan isteri perlu tahu masa yang sesuai untuk bertenang, mendengar dan berbincang.
Dalam kehidupan berkeluarga, adakalanya tindakan seorang pasangan untuk meredakan keadaan mampu mengelakkan pertengkaran daripada berpanjangan.
Tidur Bersama Pasangan, Antara Pesanan Orang Tua Yang Akim Pegang
Selain mengamalkan sikap saling memahami dan konsep give and take, Akim turut berkongsi satu lagi perkara yang dianggap penting dalam mengekalkan hubungan suami isteri.
Menurutnya, dia sentiasa berusaha memastikan dirinya dan Stacy tidur bersama apabila berada di rumah.
Walaupun tuntutan kerja kadangkala menyebabkan mereka perlu berjauhan, Akim seboleh-bolehnya mahu mengekalkan kebersamaan itu apabila keadaan mengizinkan.
Menariknya, Akim menjelaskan bahawa amalan tersebut bukan sesuatu yang direkanya sendiri, sebaliknya merupakan pesanan orang tua yang dipegang sehingga hari ini.
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, perkara kecil seperti meluangkan masa bersama, berbual sebelum tidur dan bertanya khabar pasangan kadangkala mudah dilupakan kerana terlalu sibuk menguruskan keluarga.
Sedangkan, hubungan suami isteri juga memerlukan perhatian dan usaha yang berterusan.
Akim Akui Ayah Yang Garang, Tetapi Tegas Tidak Bermaksud Perlu Memukul

Di sebalik imej ganas dan bertenaga sebagai vokalis utama kumpulan rock The Majistret, Akim berkongsi mengenai kehidupan sebagai seorang ayah kepada tiga anak, Akim turut mengakui dirinya mempunyai sisi yang tegas ketika mendidik anak-anak.
Bagaimanapun, baginya, sikap garang tidak semestinya bermaksud perlu menggunakan kekerasan fizikal. Ada masanya dia bergurau dan melayan kerenah anak-anak, namun dalam keadaan tertentu, dia tetap menetapkan batas serta menegur apabila mereka melakukan kesalahan.
Akim juga menyentuh mengenai perbezaan pendekatan keibubapaan dahulu dan sekarang. Jika zaman dahulu hukuman fizikal seperti sebatan menggunakan tali pinggang pernah menjadi antara cara mendisiplinkan anak, pendekatan itu bukan sesuatu yang wajar diteruskan begitu sahaja.
Sebaliknya, ibu ayah perlu menyesuaikan cara didikan dengan perkembangan pengetahuan serta keperluan emosi anak-anak masa kini.
Hakikatnya, mendidik anak dengan tegas tidak memerlukan pukulan. Anak-anak lebih memerlukan bimbingan, batas yang jelas, komunikasi dan contoh tingkah laku yang baik daripada ibu ayah.
Bila Ibu Ayah Pandai Kawal Emosi, Anak Pun Belajar Perkara Sama

Perkongsian Akim sebenarnya membawa satu pengajaran yang cukup dekat dengan kehidupan ibu ayah. Dalam rumah tangga, perselisihan faham memang sukar dielakkan. Ada hari masing-masing penat bekerja, tertekan dengan tanggungjawab atau berdepan pelbagai masalah.
Namun, cara ibu ayah mengendalikan perbezaan pendapat di hadapan anak-anak sangat penting.
Apabila anak sering menyaksikan ibu ayah menjerit, saling menyalahkan atau gagal mengawal kemarahan, keadaan itu boleh menjejaskan rasa selamat mereka.
Sebaliknya, apabila ibu ayah menunjukkan cara untuk bertenang, meminta maaf dan menyelesaikan konflik dengan baik, anak-anak turut belajar kemahiran menguruskan emosi.
Anak bukan hanya mendengar apa yang ibu ayah nasihatkan, tetapi turut memerhatikan bagaimana ibu ayah melayan satu sama lain.
Malah, dalam menghadapi persaingan Gegar Vaganza Fantasia, Akim dan Stacy juga dilaporkan telah berbincang dengan ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan menjaga anak-anak sepanjang pertandingan berlangsung.
Bagi mereka, komitmen kerjaya tetap perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab terhadap keluarga.
Akhirnya, kisah Akim dan Stacy mengingatkan kita bahawa kebahagiaan rumah tangga bukan bermaksud suami isteri tidak pernah berselisih faham.
Sebaliknya, kasih sayang yang terus dipelihara, kesediaan untuk saling memahami dan keinginan menjaga emosi anak-anak antara perkara yang membantu mengukuhkan hubungan.
Di pentas Gegar Vaganza, Akim dan Stacy mungkin menjadi pesaing. Namun, di rumah, mereka tetap dua insan yang berkongsi tanggungjawab membesarkan anak-anak dan mempertahankan keluarga yang dibina bersama.
Semoga perjalanan rumah tangga pasangan ini terus dipenuhi kasih sayang dan kebahagiaan.
Sumber video: Pa&Ma

sekarang!
