
Bahang cuaca sekarang ni memang bukan biasa-biasa, kan mama papa? Kadang-kadang duduk bawah kipas pun masih terasa pijar kulit. Dengan pengesahan daripada MET Malaysia bahawa fenomena El Niño ini dijangka berlarutan sehingga awal tahun 2027, kita sebagai ibu bapa tak boleh lagi ambil sikap “tengok dan lihat”.
Kanak-kanak dan bayi adalah golongan paling cepat tersungkur akibat cuaca ekstrem sebab sistem imun dan kawalan suhu badan mereka belum matang sepenuhnya. Jadi, untuk pastikan anak-anak kita kekal selamat dan sihat, ini panduan lengkap DO & DON’T yang wajib kita hadam dan amalkan dari sekarang!
WHAT TO DO (Apa Yang Wajib Dibuat)
1. Taktik “Paksa” Minum Air Masak
Budak-budak kalau dah seronok bermain, mereka akan lupa dunia apatah lagi lupa nak minum air. Jangan tunggu sampai mereka mengadu haus, sebab waktu tu badan sebenarnya dah mula dehidrasi.
Sediakan Botol Khas: Letakkan botol air kegemaran atau yang bercorak kartun kesukaan mereka betul-betul di depan mata (ruang tamu, tempat main, bilik tidur).
Set Alarm / Rutin: Setiap 30 minit atau satu jam sekali, panggil anak untuk teguk air. Jadikan ia satu aktiviti wajib.
2. Pakaian Ringan, Nipis & Longgar
Pemilihan material baju sangat penting dalam cuaca bahang macam ni.
Pilih Kain Cotton: Pakaikan anak baju daripada material kapas (cotton) yang nipis, serap peluh, dan berpotongan longgar supaya ada aliran udara.
Warna Cerah: Pilih baju warna cerah (putih, pastel) sebab warna gelap lebih cenderung menyerap haba jika anak perlu keluar rumah sekejap.
3. Kerapkan Mandi & Lap Badan
Bila cuaca terlalu panas, suhu dalaman badan anak pun akan meningkat dengan cepat.
Mandi Singkat: Mandikan anak beberapa kali sehari untuk sejukkan badan mereka. Tak perlu mandi lama-lama, cukup sekadar menurunkan suhu kulit.
Teknik Lap Basah: Kalau tak sempat mandikan, ambil tuala kecil, basahkan dengan air biasa (bukan air sejuk dari peti ais), dan lap kawasan lipatan badan seperti leher, celah ketiak, belakang lutut, dan muka anak.
WHAT DON’T (Apa Yang Jangan Sesekali Dibuat)
1. JANGAN Biar Main Luar Waktu Puncak (11 Pagi – 4 Petang)
Ini waktu paling “beracun” di mana matahari tegak di atas kepala dan bahang bumi berada di tahap maksimum.
Kurung Aktiviti Luar: Simpan dulu aktiviti kayuh basikal, main gelongsor di taman, atau kejar-kejar kat luar rumah waktu ni.
Alternatif: Biarlah rumah bersepah sikit dengan mainan di dalam ruang tamu, asalkan mereka selamat daripada strok haba di luar.
2. JANGAN Tinggalkan Anak Dalam Kereta (Walaupun Seminit!)
Ini kesilapan yang boleh mengundang maut dalam sekelip mata. Suhu di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari boleh melonjak naik sehingga 40°C-50°C dalam masa beberapa minit sahaja! Walaupun tingkap dibuka sedikit, ia tetap tidak selamat untuk anak kecil.
3. JANGAN Paksa Pakai Baju Berlapis ATAU Tebal
Simpan dulu baju-baju sejuk jenis hoodie, jersi tebal, atau kain jenis sintetik/nilon yang tidak menyerap peluh. Pakaian sebegini akan memerangkap haba badan anak dan mempercepatkan proses strok haba.

KENAL PASTI ‘RED FLAG’ (Tanda Amaran Bahaya)
Mama papa kena sentiasa buat pemeriksaan visual pada anak. Kalau ada tanda-tanda di bawah, tolong jangan tunggu atau bagi ubat sendiri. Terus bawa anak pecut ke klinik atau kecemasan hospital berdekatan:
Kencing Bermasalah: Anak makin jarang kencing (pampers kering lebih 6 jam) dan air kencing bertukar warna kuning pekat atau oren.
Perubahan Tingkah Laku: Anak tiba-tiba jadi terlalu lesu, tidak bermaya, meragam teruk tanpa sebab, ataupun mula muntah-muntah.
Kulit Kering Tapi Badan Panas: Ini tanda paling kritikal! Suhu badan anak sangat tinggi (demam panas), tetapi kulit mereka rasa kering dan langsung tak keluar peluh. Ini bermakna sistem penyejukan badan mereka sudah “gagal berfungsi”.
Memandangkan pihak kerajaan melalui TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun dah ingatkan kita semua supaya lebih peka, mari kita mainkan peranan kita sebagai pelindung utama keluarga. Muat turun aplikasi myCuaca untuk pantau amaran suhu harian, dan jom kita amalkan checklist ini demi keselamatan anak-anak tercinta!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





