
Tahun depan anak bakal melangkah ke Darjah 1? Ibu ayah, jangan hanya sibuk membeli beg sekolah, kasut dan pakaian seragam! Ada beberapa perubahan besar dalam sistem pendidikan negara bermula 2027 yang perlu diketahui supaya anak benar-benar bersedia memasuki alam persekolahan.
Maklumlah, masuk sekolah rendah bukan sekadar belajar membaca, menulis dan mengira. Anak juga perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, guru, rakan sebaya serta rutin harian yang berbeza.
Lebih menarik, tahun 2027 menyaksikan perubahan dalam kemasukan murid Tahun 1, pelaksanaan kurikulum baharu serta pendekatan pembelajaran yang memberi penekanan kepada pembentukan karakter anak.
Jadi, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh ibu ayah?
Apa Itu Perubahan Besar KPM 2027?
Bermula sesi persekolahan 2027, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) secara berperingkat.
Pembaharuan ini bukan sekadar melibatkan silibus, tetapi turut merangkumi struktur mata pelajaran, kaedah pengajaran, pentaksiran dan pembangunan sahsiah murid.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan anak yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kemahiran berfikir, literasi digital, keyakinan diri dan nilai murni.
1. Tahun 2027 Melibatkan Dua Kohort Murid Tahun 1

Antara perubahan paling besar ialah peluang kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 secara sukarela.
Bagi sesi 2027, terdapat dua kumpulan murid yang layak mendaftar:
- Kohort enam tahun (5+): Lahir 2 Januari hingga 31 Disember 2021.
- Kohort tujuh tahun (6+): Lahir 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.
Bagaimanapun, ibu ayah perlu faham bahawa kemasukan pada usia enam tahun bukan wajib dan tidak memerlukan ujian saringan, berdasarkan kenyataan rasmi KPM.
Murid yang memasuki Tahun 1 lebih awal juga mengikuti laluan persekolahan biasa, bukannya perlu mengulang Tahun 1 selama dua tahun.
Menurut data KPM setakat 30 September 2026, sebanyak 73,498 permohonan diterima bagi kohort enam tahun, berbanding 418,151 permohonan bagi kohort tujuh tahun.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan permohonan mencecah 491,649.
Namun, ibu ayah jangan terlalu terikut-ikut apabila melihat anak orang lain sudah bersedia memasuki sekolah lebih awal.
Anak yang pandai membaca belum tentu bersedia dari segi emosi. Kebolehan mengurus diri, berkomunikasi dan menyesuaikan diri juga perlu dipertimbangkan.
Artikel Trending: STR 2027: Bantuan Hingga RM150 Sebulan, Keluarga Anda Layak Terima Berapa? Ini Syarat & Tarikh Penting Permohonan
Artikel Trending: KKM Dedah Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat, Amaran Bahaya Untuk Kanak-Kanak & Warga Emas
Artikel Trending: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
2. Kurikulum Baharu KP2027, Cara Anak Belajar Juga Berubah!
Pelaksanaan KP2027 akan bermula dengan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala pembaharuan kurikulum prasekolah telah bermula pada 2026.
Murid Tahun 2 hingga Tahun 6 serta Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 pula meneruskan kurikulum sedia ada sebelum perubahan diperluas secara berperingkat.
Antara pembaharuan yang perlu ibu ayah tahu ialah:
Subjek Alam dan Manusia Diperkenalkan
Bagi murid Tahap 1, mata pelajaran Alam dan Manusia menggabungkan bidang Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, elemen TVET dan digital.
Tujuannya adalah untuk menjadikan pembelajaran lebih bersepadu serta membantu murid memahami hubungan antara ilmu dengan kehidupan seharian.
Ini tidak bermakna kandungan Sains atau Seni dimansuhkan sepenuhnya. Sebaliknya, kandungan pembelajaran disusun mengikut tahap perkembangan murid.
Dua Guru Mengajar Dalam Satu Kelas

KP2027 turut memperkenalkan pendekatan co-teaching, iaitu dua guru bekerjasama merancang, mengajar dan menilai pembelajaran.
Bagi 2027, pendekatan ini tertumpu kepada mata pelajaran Alam dan Manusia dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesiapsiagaan sekolah.
Kaedah ini diharapkan dapat menjadikan pembelajaran lebih interaktif serta membantu murid yang memerlukan sokongan tambahan.
Pembentukan Karakter Diberi Perhatian
Bukan akademik semata-mata! KPM turut memperkenalkan Program Pembentukan Karakter yang menekankan adab, akhlak, disiplin, integriti dan kemahiran sosioemosi.
Bagi sekolah rendah dan menengah, program ini diperuntukkan 60 minit seminggu dalam jadual persekolahan.
Anak bukan hanya diajar menjadi pandai, tetapi turut dibimbing untuk menghormati orang lain, bekerjasama dan mengurus emosi.
Fokus Pembelajaran Mengikut Tahap Umur
KP2027 menyusun pembelajaran berdasarkan perkembangan murid.
Tahap 1 (Tahun 1 dan 2) memberi tumpuan kepada kemahiran 3M serta pembentukan karakter.
Tahap 2 (Tahun 3 dan 4) menekankan aplikasi ilmu, kemahiran dan nilai.
Tahap 3 (Tahun 5 dan 6) pula memfokuskan pemikiran analitikal, inovasi dan penyelesaian masalah.
Pentaksiran juga dirangka supaya lebih menyeluruh, termasuk melihat keupayaan murid berkomunikasi, bekerjasama, menyelesaikan tugasan dan mengaplikasikan pengetahuan.
Dalam masa sama, literasi digital dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab turut diberikan penekanan.
3. Pendidikan Menengah Wajib, Usaha Elak Anak Tercicir
Satu lagi perubahan penting ialah usaha memperluas pendidikan wajib sehingga ke peringkat menengah.
Akta Pendidikan (Pindaan) 2025 memperuntukkan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menetapkan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib melalui perintah yang diwartakan.
Matlamatnya adalah untuk mengurangkan keciciran murid selepas Tahun 6 dan menggalakkan anak meneruskan pembelajaran hingga tamat Tingkatan 5.
Bagaimanapun, pelaksanaan kewajipan tersebut tertakluk kepada pewartaan dan ketetapan rasmi.
Bagi ibu ayah, pendidikan anak bukan sekadar memastikan mereka berjaya memasuki Darjah 1, tetapi memberikan sokongan sepanjang perjalanan persekolahan.
Artikel Trending: Jerebu Sangat Berbahaya Kepada Bayi, KKM Beri Amaran Ibu Ayah Jangan Ambil Mudah!
Artikel Trending: Wanita Wajah Cantik Lebih Ramai Anak, Ini Fakta Kajian Saintis Yang Ramai Tak Tahu
Arttikel Trending: Bella & Syed Saddiq Kahwin, Ramai Nak Tahu Status Mahram & Aurat Anak Tiri, No. 7 Paling Ramai Tak Tahu!
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
KPM Buat Persediaan Terima Dua Kohort Murid

Pertambahan murid turut menimbulkan persoalan tentang kemampuan sekolah menyediakan bilik darjah dan tenaga pengajar mencukupi.
KPM memaklumkan pelbagai langkah sedang dilaksanakan termasuk pembinaan bilik darjah tambahan, pengoptimuman ruang sedia ada, penyusunan keperluan guru dan penambahbaikan kemudahan.
Sekolah dua sesi juga boleh dipertimbangkan mengikut keperluan setempat.
Sesi persekolahan 2027 dijadualkan bermula pada 4 Januari 2027 bagi Kumpulan A dan Kumpulan B.
Persediaan Anak Masuk Darjah 1, Ibu Ayah Boleh Mula Dari Sekarang!

Selain menyediakan kelengkapan sekolah, terdapat beberapa perkara yang perlu dilatih di rumah.
1. Latih anak berdikari. Biasakan anak memakai kasut, mengemas beg, membuka bekas makanan dan menggunakan tandas sendiri.
2. Kukuhkan kemahiran 3M. Galakkan anak membaca buku cerita, mengenal nombor dan menulis melalui aktiviti menyeronokkan tanpa tekanan.
3. Bina keyakinan berkomunikasi. Ajar anak meminta bantuan guru, memperkenalkan diri dan memberitahu orang dewasa apabila menghadapi masalah.
4. Biasakan rutin sekolah. Tetapkan waktu tidur, bangun pagi, sarapan dan bersiap supaya anak tidak terkejut apabila sekolah bermula.
5. Ajar urus duit belanja. Latih anak membeli makanan, menunggu giliran, mengenal nilai wang dan menyimpan baki.
6. Sediakan emosi anak. Ceritakan perkara menyeronokkan tentang sekolah dan yakinkan anak bahawa rasa takut atau rindu pada hari pertama adalah normal.
7. Sentiasa berhubung dengan guru. Pantau perkembangan anak dari aspek akademik, pergaulan, tingkah laku dan emosi.
Ibu Ayah, Jangan Mudah Percaya Maklumat Tular!
Dengan pelbagai perubahan baharu, ibu ayah dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada portal rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah atau pihak sekolah.
Pendaftaran utama Tahun 1 sesi 2027 telah dilaksanakan melalui sistem idMe pada 15 Februari hingga 31 Mac 2026. Ibu ayah yang sudah memohon perlu menyemak penempatan dan arahan lanjut daripada pihak sekolah.
Ingat, setiap anak mempunyai tahap perkembangan berbeza.
Ada anak sudah yakin pada usia enam tahun, manakala ada yang memerlukan sedikit masa lagi untuk bersedia.
Jangan jadikan kebolehan membaca atau usia masuk sekolah sebagai ukuran kejayaan anak semata-mata.
Apa yang lebih penting, anak melangkah ke sekolah dengan rasa seronok, yakin, selamat dan bersedia untuk belajar.
Sumber: KPM1 KPM2Astroawani Berita Harian

sekarang!
