Dalam kesibukan menguruskan hal rumah tangga, kadang-kadang memberi kesan kepada kesihatan isteri. Demam adalah perkara biasa. Bila seorang isteri dan ibu ni demam, boleh ‘melumpuhkan’ keseluruhan keluarga. Sebab itu, isteri tak suka demam lama-lama. Kasihan pada suami dan anak-anak.
Di dalam perkongsian Ustaz Abu Hurairah Asifa, beliau ada berkongsi tentang bagaimana seorang suami boleh membantu untuk meredakan demam si isteri.
Jika isteri demam, ambillah sedikit masa untuk kita merawatnya.
Sebab kuasa penyembuhan itu, Allah ada berikan pada tangan seorang Suami.
Jangan biasakan beri panadol semata-mata, melainkan keadaan tak mengizinkan kita untuk merawatnya.
Ads
Cara Merawat Isteri Demam
1. Pegang kepalanya, baca Al Fatihah dan niatkan untuk supaya Allah buangkan bisa badannya serta panasnya.
2. Niatkan juga moga Allah ampunkan dosanya. Allah surutkan demamnya. Buat dengan penuh kasih sayang.
3. Buatkan bubur nasi. Kacang goreng pedas je. Basuh beras, letak air, buka api, tunggu sampai nasi menjadi bubur. Nak power, letak isi ayam, daging ke, sayur karot skit. Atau paling akhir atau paling malas, sila ke Mcd dan beli saja bubur ayam kat situ.
Ads
4. Buat air penyejuk badan. Rebus Barli. Beli kat speedmart banyak. 60sen je sebungkus. Rebus dan ambil air, buh gula skit sekali dengan lemon. Lagi rajin buh gula batu, kurma cina, kembang semangkuk. Minum suam-suam, insyaAllah segala kepanasan akan keluar.
Ads
5. Yang penting, usaha. Isteri perlukan perhatian. Bukanlah kita nak jaga dia hari-hari, cuma saat dia demam itulah, hari isteri nak lihat kasih sayang kita sebagai Suami.
Kalau macam ngade sangat, tonyoh je lemon kat muka isteri bagi segar 😂
Ketika sakit, isteri hanya mahukan sedikit perhatian dari suami. Jika suami dapat membantu dengan cara-cara seperti yang dikongsikan ini, pasti demamnya akan surut dan isteri cepat sembuh. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada sesetengah ibu yang mahu melahirkan anak mungkin merasa was-was untuk menunaikan solat apabila sudah keluar ‘tanda’. Ketika mahu bersalin, ada dua ‘tanda’ yang mungkin berlaku pada si ibu sama ada keluar lendir bercampur darah mahupun lelehan air ketuban.
Jika ada tanda-tanda ini, adakah sah solat si ibu? Dipetik dari laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada jawapan untuk persoalan ini.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang.
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin:
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran servik atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
#Membasuh faraj.
#Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
#Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
#Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
ia melindungi bayi anda daripada tercedera sekiranya sesuatu menghentak perutanda atau jika perut anda dihempap sesuatu;
ia membantu sistem paru-paru dan sistem pencernaan bayi untuk matang;
ia melindungi bayi anda daripada jangkitan.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Kesimpulan
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Bila nak solat, ibu perlu merasa selesa. Klik SINI untuk rahsia solat lebih khusyuk dan menenangkan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Demam, tumbuh bintik merah, ulser . Bapa ini kongsi pengalamannya apabila si anak dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam Pa&Ma TV.
Encik Zulkfli Zainal berkongsi tentang pengalamannya mengendalikan situasi cemas apabila anaknya, Ziqri Adam Rayyan, 2 tahun 6 bulan dijangkiti Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut atau Hand, Foot & Mouth Disease semasa berusia 2 tahun dalam rancangan TV Pa&Ma disiarkan pada jam 12 tengah hari & ulangan 9 malam 5 Februari 2019 di saluran Astro Prima & Astro Prima HD.
Episod ini disiarkan pada jam 12 tengah hari & ulangan 9 malam 5 Februari 2019 di saluran Astro Prima & Astro Prima HD.
Mengimbau detik cemas itu, Zulkfli berkata, anaknya demam selama 3 hari sebelum menunjukkan simptom HMFD. Bintik merah berisi cecair yang disangka kesan daripada ruam adalah petanda anak kecil ini sudah pun dijangkiti penyakit berjangkit ini.
“Masa tu Adam sudah start demam dlm 3 hari. Lepas tu ada tumbuh bintik-bintik merah dekat tangan,badan dan kaki. Mula-mula saya ingatkan kesan daripada ruam-ruam biasa. Tapi bila tengok bintik-bintik merah itu dah jadi macam cecair & dalam mulut dia ada tumbuh ulser.
“Selera makan dia pun dah kurang. So kami terus bawa dia pergi hospital untuk dapatkan rawatan. Doktor sahkan mmg dia menghidapi HFMD,” kata Zulkifli tentang anaknya.
Ketika itu, kemudahan yang ada amat membantu. Terdapat kaunter khas untuk kanak-kanak HMFD bagi memudahkan proses saringan.
“Kami bawa Adam telah dbawa ke sebuah pusat perubatan dan dekat emergancy kanak2 mmg ada kaunter khas utk wabak HFMD. Setelah jumpa doktor dan doktor ambil sample air liur Adam. Keputusan ujian mengesahkan yang Adam memag positif HFMD pada ketika itu,” kata Zulkifli.
Bapa ini juga menerangkan yang tiada rawatan yang khusus untuk virus ini. Katanya, doktor menyarankan membuat rawatan di rumah dengan cara Adam dikuarantin.
“Doktor sarankan kami kuarantin Adam, jangan bagi dia keluar rumah pergi bermain di playground atau bermain dgn kanak-kanak lain. Pada masa yg sama doktor menekankan aspek kebersihan dan menasihatkan keadaan di dalam rumah perlu sentiasa bersih supaya virus HMFD tidak merebak,” kata Zulkifli.
Zulkifli turut berkongsi momen-momen yang paling memeritkan yang terjadi kepada anaknya. kalau boleh dikongsikan.
“Kesakitan yang paling menyakitkan bagi Adam ialah apabila bintik-bintik merah dan cecair tu pecah dalam minggu ketiga. Bila bintik cecair pecah, ia akan menjadi luka dan ini menyebabkan Adam akan merasa pedih bila dia berpeluh & merasa sakit bila terkena air ketika kami mandikan dia.
“So untuk bagi cepat kering luka dia tu, selepas mandikan Adam, kami akan lap kering-kering luka dia tu. Kami sapukan krim antiseptik yang dibeli di farmasi dan tampalkan dengan gauze untuk mengelakkan dia merasa pedih atau menggaru di tempat yang luka tersebut.”
Zulkifli turut berpesan kepada ibu bapa lain untuk memastikan kebersihan di dalam rumah sentiasa terpelihara bagi mengelakkan HMFD kepada kanak-kanak. Sentiasa mop lantai rumah paling kurang dua kali seminggu.
Selain itu, dia turut menyarankan agar ibu bapa tidak membiarkan anak bermain di tempat-tempat kotor atau terdedah dengan sebarang bakteria atau kotoran.
“Pastikan di rumah sentiasa ada hand sanitizer untuk memastikan tangan anak-anak bersih setiap kali menyentuh benda asing. Jika semua aspek-aspek di atas dititkberatkan, Insha Allah anak anda tidak akan dijangkiti virus tersebut,” kata Zulkifli mengakhiri perbualan.
Anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut atau Hand, Foot & Mouth Disease boleh ikutinya di dalam rancangan TV Pa&Ma. Rancangan TV Pa&Ma kini sedang berada di Musim Ketiga dengan pengacara Zahiril Adzim & Syera Aiyob.
Episod Fenomena HMFD yang disiarkan pada jam 12 tengah hari & ulangan 9 malam 5 Februari 2019 di saluran Astro Prima & Astro Prima HD. Kupasan daripada pakar dan perkongsian daripada para ibu bapa lain yang boleh dijadikan panduan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebanyakan wanita merasa takut apabila memikirkan soal melahirkan anak kerana terbayangkan koyakan yang mungkin berlaku sekiranya melahirkan secara normal. Pun begitu, ada sesetengah ibu yang berjaya bersalin tanpa mengalami sebarang koyakan. Sebenarnya dengan cara meneran yang betul, tidak akan ada sebarang koyakan yang berlaku.
Berikut ada beberapa tip untuk elak vagina dari terkoyak ketika bersalin seperti yang dikongsikan oleh Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Kesihatan Wanita & Kehamilan melalui laman Facebooknya.
1. Jangan lar panik tak tentu pasal. Banyakkan membaca fakta dan ilmu yang betul mengenai kelahiran supaya bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran. Bertanya pada yg berilmu, BUKAN PADA PENJUAL PRODUK.
2. Amalkan senaman Kegel: Kemutkan otot pelvis/vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan 3 kali sehari sepanjang tempoh mengandung.
3. Urutan perineum pada hujung-hujung kehamilan berfaedah untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk. Otot pada perineum yang anjal akan lebih senang mengembang dan menguncup tanpa meninggalkan koyakan yang teruk.
4. Meneran dengan cara yang betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah, seperti meneran berak sembelit
5. Jangan meneran awal jika belum tiba masanya. Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih lagi belum nampak pada vagina menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.
6. Pastikan posisi yang betul ketika meneran. Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki, dan jangan sesekali mengangkat punggung ataupun punggung terhuyung hayang ke kanan ke kiri. Macam nak tangkap bola pulak gayanya misi nak sambut kelahiran bila punggung digerakkan ke sana ke mari.
7. Dengar arahan doktor dan misi. Bila nak periksa tu bagi kerjasama, bukannya terkepit-kepit sampai jari misi atau doktor takleh keluar. Banyakkan berzikir dan berselawat, bukannya meraung sepenuh jiwa dan raga mcm tertelan microfon.
Yee, memang saya tak pernah bersalin dan tak rasa sakit bersalin. Pelbagai karenah manusia saya dah jumpa sepanjang masa saya bekerja mengendalikan kes-kes bersalin tak mengira kes berisiko rendah atau tinggi, benda sebegini perlu dimaklumkan supaya pesakit membuat persediaan fizikal dan mental.
Ketika melahirkan anak, sangat penting untuk ibu dalam keadaan positif dan bertenang. Dalam keadaan sakit mungkin ada masanya kita jadi tak tentu arah, tapi ketahuilah semua yang dilalui itu demi si kecil yang menjadi kesayangan. Semoga perkongsian dari Dr Izzat ini dapat memberi sedikit penjelasan kepada para ibu yang bakal melahirkan anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nelydia Senrose hamil selepas 7 tahun penantian. Ketahui kisah penuh kehamilan pertama beliau, pengalaman alahan dan detik penuh emosi yang menyentuh hati.