
Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak kecil mereka tiba-tiba sesak nafas, apatah lagi apabila bayi yang baru berusia beberapa bulan terpaksa bertarung mendapatkan oksigen.
Walaupun kejadian ini berlaku di China, ia wajar dijadikan pengajaran buat semua ibu bapa. Ada kalanya, niat yang baik untuk memberikan yang terbaik kepada anak boleh mengundang risiko tanpa disedari.
Bayi Masuk ICU Selepas Minum Susu Formula Dibancuh Dengan Jus Sayur

Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami keracunan nitrit akibat diberikan susu formula yang dibancuh menggunakan jus sayur-sayuran menggantikan air.
Menurut laporan media tempatan, bayi tersebut dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Zhongshan di wilayah Guangdong selepas mengalami kesukaran bernafas selain perubahan warna kulit dan mulut menjadi kebiru-biruan.
Ibu bapanya memaklumkan bahawa simptom berkenaan muncul tidak lama selepas bayi itu meminum susu formula yang disediakan di rumah.
Mereka mengakui telah menggunakan jus sayur-sayuran sebagai ganti air ketika menyediakan susu formula kerana percaya ia lebih berkhasiat dan mampu memberikan nutrien tambahan kepada bayi.
Punca Keracunan Nitrit Dalam Bayi

Hasil pemeriksaan mendapati bayi tersebut mengalami keracunan nitrit, iaitu sejenis bahan kimia yang boleh terbentuk dalam kuantiti tinggi apabila sayur-sayuran direbus terlalu lama.
Doktor menjelaskan bahawa jus daripada sayur yang direbus berpotensi mengandungi kandungan nitrit yang tinggi. Apabila digunakan untuk membancuh susu formula, ia boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan bayi, terutama yang masih terlalu muda.
Selepas menerima rawatan selama dua hari, keadaan bayi berkenaan dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang dari hospital pada pertengahan Jun lalu.
Mengapa Bayi Berisiko Mengalami Keracunan Nitrit?
Pakar perubatan menjelaskan bahawa sistem pencernaan dan buah pinggang bayi berusia tiga bulan masih belum berkembang sepenuhnya.
Keadaan itu menyebabkan tubuh mereka tidak mampu memproses kandungan nitrat yang tinggi dengan berkesan. Apabila nitrit memasuki aliran darah, ia boleh mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen ke seluruh badan.
Akibatnya, bayi boleh mengalami simptom seperti bibir, kulit dan kuku bertukar warna kebiruan atau keunguan, selain mengalami sesak nafas dan kelemahan fizikal.
Doktor Nasihat Gunakan Air Suam Untuk Bancuhan Susu Formula
Susulan kejadian tersebut, doktor mengingatkan ibu bapa supaya hanya menggunakan air suam yang bersih ketika menyediakan susu formula bayi.
Mereka turut menasihatkan agar tidak menggantikan air dengan jus sayur, air beras, jus buah-buahan atau sebarang jenis sup kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan bayi.
Sumber: SCMP
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





