
Keluarga Dr. Sheikh Muszaphar sering menjadi tumpuan serta inspirasi kepada ramai orang kerana menyebarkan banyak perkara positif yang dapat mendidik ibu ayah baharu. Bukan saja cara didikan Dr. Sheikh Muszaphar dan isteri menjadi rujukan tetapi anak-anaknya juga boleh menjadi contoh kerana bijak dalam pelajaran dan aktif dalam kokurikulum.
Dr. Sheikh Muszaphar dan keluarga akan menerima ahli baharu tak lama lagi. Kehamilan kali ini bukanlah kembar, tetapi warganet tetap teruja untuk mengetahui perkembangan baru serta jantina anak ketujuh mereka.

Melalui akaun instagram Dr. Sheikh Muszaphar, beliau berkongsi sebuah video yang menunjukkan isterinya sedang memuat ujian imbasan untuk mengetahui jantina bayi. Ketika posting ini dibuat adalah sekitar bulan Februari ketika usia kandungan Dr. Halina 18 minggu.
Baca Juga:
Raja Ilya Kongsi Video Gelagat Talita Nak Turun Dari Stroller, Warganet Terhibur. Punyalah Comel!
Bagusnya Ardell! Cium Urwa Penuh Kasih Sayang, Tapi Ajarkan Anak Tidak Sentuh Bahagian Bibir
Termenung Je! Comel Betul Gaya Alisa Bangun Sahur, Abang Yusuf Pun Ada Temankan Dia!
“Anak-anak perempuan kami nak ikut untuk melihat jantina bayi. Sekarang, Dr. Halina hamil 18 minggu dan semuanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah.”
Tonton video;
Menurut angkasawan negara yang pertama ini lagi, anak-anaknya ada pilihan jantina untuk adik baharu ini.

“Bella nak adik perempuan, Tasha mahukan adik lelaki. Adam pun nak adik perempuan, Noah mahukan adik lelaki. Dengan anak-anak yang sudah 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan, kami tak kisah apa jantina sekalipun. Yang penting sihat.”
Antara komen yang ada;



Mereka sekeluarga sangat teruja untuk mengetahui jantina bayi dan memilih untuk merahsikan tentang hal itu terlebih dahulu. Rata-rata meneka jantina bayi adalah perempuan tetapi ada juga yang mengatakan bahawa ia lelaki.
Didoakan agar perjalanan kehamilan Dr. Halina dipermudahkan sehingga tiba saat melahirkan. Tak sabar sebenarnya nak tahu jantina bayi pasangan ini, tetapi asalkan sihat sudah mencukupi. Tahniah sekali lagi kepada keluarga Dr. Sheikh Muszaphar!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Orang Mengandung Ni Menyusahkan Ke?” Suami-Suami Tolong Jangan Penat Bantu Isteri Hamil

Wanita yang sedang mengandung akan melalui pemeriksaan pranatal dan pelbagai ujian saringan dari awal kehamilan sehinggalah bersalin. Suami-suami jangan penat bantu isteri.
Jadi sudah pasti banyak masa dihabiskan di klinik sepanjang tempoh kehamilan 40 minggu. Sekiranya tahap kesihatan baik, pemeriksaan tidaklah sekerap mana. Namun jika ibu ada masalah kesihatan, maka lebih keraplah ujian, temujanji dan pemeriksaan antenatal perlu dilakukan di klinik. Dengan ini memang lebih keraplah si ibu perlu ke klinik walau pun kandungan semakin hari semakin sarat. Emosinya juga jadi sensitif, tambah-tambah lagi dengan orang yang tersayang.
Suami adalah orang yang tepat untuk menemani isteri ke klinik. Adakalanya terpaksa berkampung di klinik demi si isteri yang sedang hamil. Encik Akhtar Syamir atau Bro Ohsem, telah berkongsi mengenai kisah isterinya yang mempersoalkan perkara ini.
Orang mengandung ni memang menyusahkan ke?
Soal isteri kepada saya semalam dengan memegang erat tangan saya. Matanya merah menahan air mata dari berlinangan kerana menganggap dirinya menyusahkan saya dengan kandungannya yang sudah menghampiri 31 minggu.

Ini kerana kelmarin, beliau untuk kali ketiganya menjalani ujian BSP (Blood Sugar Profile). Jadi boleh dikatakan berkampunglah kami di klinik kesihatan untuk mengambil bacaan darah sebanyak 4 kali dalam sehari. Setelah 2 kali BSP sebelum ini mencatatkan bacaan yang baik, namun kelmarin bacaan pertama pada pukul 8 pagi menunjukkan bacaan 5.3 tahap gula dalam darah. Jika mengikut kadar biasa, bacaan itu adalah baik. Masih di bawah 6.1. Tetapi mungkin orang mengandung ini standardnya berlainan kerana 5.3 pada bacaan pertama hari ujian BSP dianggap sebagai tinggi.
Hasilnya, selepas berjumpa Doktor semalam, isteri diarahkan untuk membuat BSP sekali lagi pada hari ini. Agak mengecewakan juga kerana ujian BSP ini 4 kali. Bermakna 3 kali perlu dibuat di klinik kesihatan dan yang terakhir di klinik biasa atau farmasi. Jadi, saya perlu menemaninya lagi dua hari iaitu hari ini (BSP) dan besok untuk berjumpa Doktor sekali lagi. Bayangkan 4 hari berturut – t urut ke Klinik Kesihatan yang sememangnya penuh setiap hari.

SILAP TERTUNJUK MUKA STRES
Mungkin ternampak sedikit kekesalan di air muka saya semalam yang membuatkan isteri terfikir yang dia menyusahkan saya. Saya akui memang silap saya tertunjuk muka. Selalunya saya memang akan sorok apa jugak kepenatan dalam membantu dia. Saya tidak kesalkan bacaan gula isteri pun sebenarnya.
Cuma agak stress dengan keterpaksaan berkunjung ke Klinik Kesihatan 4 hari berturut – turut. Mungkin memang tidak boleh ditangguh lagi ujian BSP itu. Kalau boleh ditunda ke minggu hadapan alangkah baiknya. Kerana 4 hari berturut – turut memang memenatkan. Tapi demi keselamatan baby, saya harus terus positif.
TIDAK MENYUSAHKAN PUN
Sehingga hari ini saya cuba menenangkan perasaan dia. Sesungguhnya saya sedar perkara ini harus dilalui oleh kebanyakan orang yang mengandung. Tidak ada istilah menyusahkan sebenarnya. Malah saya yang patut bersyukur kerana isteri sudi bersusah payah dengan sakitnya, loyanya, muntahnya untuk kami menambah zuriat. Tidak ada apa lagi yang sepatutnya saya harapkan dari dia melainkan sentiasa cuba meringankan bebannya.
Kadang – kala saya terlihat ada ibu – ibu yang datang ke klinik kesihatan bersendirian ataupun bersama anak yang masih kecil. Terdetik juga rasa kasihan tetapi saya lebih berasa kagum dengan kekentalan mereka. Semoga semua ibu yang menjalani saat – saat ini dipermudahkan segala urusan.
Doakan juga urusan kami dipermudahkan dan semoga isteri saya Nora Azni dan kandungan sentiasa sihat walafiat. Due adalah pada 20hb Oktober ni. Boleh juga bagi kata – kata semangat kat dia. Nampak sedikit down dari semalam lagi.
Korang pernah kena buat BSP? Serik tak? Pengalaman korang macam mana?
Akhtar Syamir a.k.a BroOhsem
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bakteria Yang Menyerang Gigi Akan Merebak Pada Janin Anda! Jaga Kebersihan Gigi Ketika Hamil

Semasa hamil, setiap tubuh anda memerlukan penjagaan yang rapi kerana hormon kehamilan akan membuatkan anda melalui banyak perubahan. Tidak terkecuali, gigi! Ibu hamil sering terlepas pandang akan penjagaan mulut mereka, terutamanya gigi dan gusi.

Disebabkan kurang penjagaan pada bahagian oral, jadi, tidak hairanlah mengapa ramai wanita yang mengalami masalah gigi dan gusi semasa sedang hamil. Masalahnya, jika perkara ini berlaku, akibatnya bukan hanya ditanggung oleh ibu hamil sahaja, sebaliknya bayi dalam kandungan turut menerima kesan buruk.
Risiko kepada kandungan
Tahukah anda bahawa perubahan dan peningkatan hormon semasa hamil akan menyebabkan tubuh bertindakbalas dengan plak, iaitu lapisan bakteria yang ada pada gigi.
Oleh itu, amat mudah untuk ibu hamil mendapat sakit gigi jika kebersihan gigi tidak dijaga dengan baik. Sistem imunisasi badan ibu akan lemah apatah lagi jika ibu mengalami sakit gigi berserta jangkitan batuk ataupun demam.
Proses jangkitan yang dialami pada badan ibu bukan sahaja akan melemahkan ketahanan tubuhnya, bahkan juga boleh menyebabkan bakteria yang menyerang gigi merebak kepada janin anda.
Ibu hamil yang mengalami sakit gigi berisiko mendapat keguguran, kelahiran bayi pramatang dan bayi mati dalam perut. Bayi yang lahir juga akan mengalami masalah kurang berat badan.
Jadi, jangan pandang remeh jika anda mengalami masalah sakit gigi semasa hamil. Segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan.

Penjagaan gigi semasa hamil
Penjagaan gigi yang betul dengan bantuan daripada doktor gigi akan menjadikan gigi anda kekal sihat walaupun semasa anda sedang mengandung. Bagi mengelak dan mengurangkan risiko anda daripada mengalami masalah sakit gigi semasa hamil, ikuti langkah-langkah di bawah:
1. Teruskan amalan penjagaan gigi semasa hamil.
2. Patuhi amalan kebersihan oral untuk mengelakkan atau mengurangkan masalah kesihatan mulut dan gigi.
3. Kurangkan makan makanan yang manis. Anda perlu menggosok gigi setiap kali selepas mengambil makanan manis.
4. Amalkan diet yang sihat dan seimbang. Gigi pertama bayi anda akan mula tumbuh semasa tiga bulan pertama kehamilan. Jadi, ambillah makanan yang mengandungi produk tenusu, keju dan yogurt yang amat baik untuk penghasilan gigi, gusi dan tulang yang sihat.
5. Jika perlu mendapatkan rawatan gigi, jumpa doktor obstetrik anda dahulu. Doktor akan memberikan nasihat tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh ibu hamil- termasuklah dari segi penerimaan ubat-ubatan semasa rawatan gigi.
6. Beritahu doktor gigi anda tentang kehamilan anda terutamanya jika anda masih lagi berada di trimester pertama. Doktor akan memberi nasihat tentang rawatan yang selamat untuk ibu hamil.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keluar ‘Tanda’ & Air Ketuban Ketika Hampir Bersalin, Boleh Ke Ibu Hamil Teruskan Solat? Ini Jawapan Dari Mufti WP

Setiap muslim diwajibkan untuk menunaikan kewajipan solat. Begitu juga dengan seorang ibu yang sedang sarat hamil. Tapi bagaimana pula jika ketika menghampiri Tarikh jangkaan bersalin, keluar tanda-tanda yang menyebabkan ibu hamil ragu-ragu sama ada masih boleh mengerjakan solat atau sebagainya.
Dalam satu persoalan yang diutarakan menerusi laman web Mufti Wilayah Persekutuan mengenai keluarnya darah bercampur lendir dan juga air ketuban secara berterusan sebelum bersalin. Apakah dalam keadaan tersebut wanita hamil perlu mandi wajib dan terus bersolat, ini jawapan yang diberi.

Berikut adalah penjelasan terperinci oleh Mufti Wilayah tentang hal ini yang wanita patut tahu.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?

Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
- Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
- Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai permasalahan darah wanita:
AL-KAFI 740: Keluar Darah Sebanyak Dua Kali Sebulan http://bit.ly/2OxeozY
AL-KAFI # 1476: Tempoh Suci Antara Dua Haid http://bit.ly/2ueYCD0
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE – 226: Keluar Darah Dari Faraj Kerana Pembedahan Buang Fibroid http://bit.ly/3bfm9V2
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)

Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
- Membasuh faraj.
- Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
- Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
- Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
- ia melindungi bayi anda daripada tercedera sekiranya sesuatu menghentak perutanda atau jika perut anda dihempap sesuatu;
- ia membantu sistem paru-paru dan sistem pencernaan bayi untuk matang;
- ia melindungi bayi anda daripada jangkitan. Rujuk: https://www.babycenter.com.my/a25020502/tahap-cecair-amnion-rendah-oligohidramnio
Hal ini sebagaimana Firman Allah S.W.T:
فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ
Maksudnya: “Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim)”.
(Surah al-Mursalat :21)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Kesimpulan
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
- Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
- Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
- Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
- Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.

Semoga dengan jawapan yang diberi dapat menjelaskan apa yang mungkin bermain di fikiran ibu-ibu hamil dan dapat memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.
sumber: Muftiwp & Sirap Limau
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!



