
Perkongsian seorang ibu berbangsa Cina di platform TikTok mencuri perhatian ramai ibu bapa apabila dia menceritakan pengalamannya menghantar anak lelaki berusia dua tahun setengah ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Lebih menyentuh hati, kanak-kanak yang dikenali sebagai Kangkang itu kini sudah mampu bertutur dalam Bahasa Melayu walaupun masih di usia yang sangat muda.
Hantar Anak Ke PASTI Cetus Perhatian Netizen
Menerusi satu hantaran di akaun TikTok @joeychan427, ibu muda tersebut berkongsi bahawa keputusan menghantar Kangkang ke PASTI dibuat ketika dia pulang ke kampung halaman di Chaah, Segamat, Johor dari Perak pada November lalu.
Ketika itu, dia mencari sebuah tadika berhampiran untuk anaknya belajar sementara waktu sebelum kembali ke Perak.

Menurutnya, faktor jarak yang dekat serta suasana tadika yang mesra kanak-kanak membuatkan dia memilih PASTI tanpa ragu-ragu.
“Bulan November tahun lepas saya balik dari Perak ke Johor sebab urusan rumah. Kangkang dah dua tahun setengah, jadi saya cari tadika untuk dia tumpang belajar sementara. Tadika PASTI ini nampak menarik dan cikgu-cikgunya sangat baik, jadi saya letakkan dia di sini,” tulisnya.
Tak Ambil Hati Komen Negatif
Wanita itu turut mendedahkan bahawa keputusannya menghantar anak ke tadika berasaskan Islam menerima reaksi bercampur-campur, termasuk beberapa mesej negatif daripada segelintir pihak.
Namun, dia memilih untuk tidak mengambil hati dan melihat pengalaman menghantar anak ke PASTI sebagai peluang berharga buat anaknya mengenali budaya berbeza sejak kecil.

Pengalaman Peribadi Jadi Asas Keputusan
Pengalaman hidupnya sendiri membuatkan dia lebih terbuka dalam soal pendidikan anak.
“Saya dulu belajar Form 6 di Cha’ah dan saya satu-satunya pelajar Cina dalam kelas. Jadi saya rasa bagus kalau anak saya boleh belajar budaya lain. Kita satu Malaysia, kan?” kongsinya jujur.
Perkembangan Positif Anak Dalam Masa Singkat
Apa yang membuatkan ramai ibu bapa tersentuh adalah perkembangan Kangkang sepanjang hampir tiga bulan berada di PASTI.
Menurut ibunya, Kangkang kini sudah boleh menyebut beberapa perkataan asas dalam Bahasa Melayu seperti “ibu”, “duduk” serta nombor “satu”, “tiga” dan “empat”.

Lebih membanggakan, kanak-kanak kecil itu juga semakin berani berkomunikasi dan kadangkala mampu menyanyikan lagu-lagu Melayu yang dipelajarinya di tadika.
Perkembangan ini membuktikan bahawa kanak-kanak sangat mudah menyerap bahasa baharu apabila berada dalam persekitaran yang konsisten, selamat dan menyokong, terutamanya pada usia awal perkembangan otak.
Terharu Terima Sokongan Netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan sokongan serta kata-kata positif terhadap keberanian ibu tersebut membuat pilihan pendidikan yang terbuka untuk anaknya.
Wanita itu turut meluahkan rasa terharu atas sokongan yang diterima daripada orang ramai.
“Saya sangat berterima kasih dengan semua komen yang baik. Maaf kalau tak dapat balas satu-satu, tapi setiap komen saya baca,” luahnya penuh rasa syukur.
Akan Kembali Ke Perak, Kenangan Di PASTI Kekal
Menurut perkongsian lanjut, Kangkang dijadualkan kembali ke Perak pada Februari bagi menyambut Tahun Baharu Cina.
Ibunya pula akan kembali bekerja sebagai seorang guru bermula bulan Mac.
Walaupun begitu, wanita tersebut mengakui pengalaman menghantar anak ke PASTI akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati mereka.
“Saya akan rindu sangat tadika pertama Kangkang ni. Lepas ni kalau saya balik Cha’ah, pasti bawa Kangkang jumpa cikgu dan kawan-kawan dia di PASTI,” katanya.
@joeychan427放学啦❤️ Habis sekolah🥰🥰
Pendidikan Awal Bentuk Jiwa Anak
Perkongsian ini membuka mata ramai ibu bapa bahawa pendidikan awal kanak-kanak bukan sekadar soal akademik.
Ia turut melibatkan pendedahan bahasa, budaya serta nilai hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk.
Apabila anak diberi peluang belajar dalam persekitaran yang pelbagai sejak kecil, mereka bukan sahaja membesar dengan keyakinan diri, malah lebih bersedia menjadi insan yang terbuka dan berjiwa besar.
BACA LAGI : Sebelum Hantar Anak Ke Taska/Pengasuh, Pastikan Tempat Tersebut Patuhi Ciri Keselamatan
Sumber: TikTok @joeychan427
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





