Ads

I’m Not Okay, Cikgu! Bongkar Realiti Mengejutkan Kesihatan Mental Anak-Anak

Pernah tak ibu ayah tanya anak, “Hari ni okay dekat sekolah?” dan anak cuma jawab, “Okay.” Namun, di sebalik jawapan ringkas itu, siapa tahu ada tekanan, masalah atau perasaan yang sedang dipendam tanpa pengetahuan kita. Realiti inilah yang diketengahkan menerusi siri mini vertikal terbaharu, I’m Not Okay, Cikgu!, yang membuka mata tentang kepentingan memahami kesihatan emosi dan mental anak-anak.

Siri ini telah mengadakan tayangan perdana di GSC, The Starling Mall pada 14 November 2026, yang turut dihadiri pelajar, guru, ibu bapa dan penggerak kesihatan mental. Tayangan ini membuka ruang untuk memahami cabaran emosi golongan muda serta kepentingan memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

I’m Not Okay, Cikgu! Bongkar Realiti Mengejutkan Kesihatan Mental Anak-Anak

Mira Filzah Antara Barisan Pelakon Utama I’m Not Okay, Cikgu!

Siri mini I’m Not Okay, Cikgu! turut menampilkan pelakon popular, Mira Filzah sebagai antara barisan pelakon utama bersama Waheeda Wassini, Mia Sara Shauki, Zul Zamir, Jun Vinh Teoh, Meer Nash dan Syafiqah A. Pohan.

Turut menyerikan siri ini ialah bakat-bakat muda seperti Nurul Irdina, Raisya El dan Irsyad Anakib.

Mengangkat lima jalan cerita berbeza yang berlatarbelakangkan sekolah fiksyen, Sekolah Integrasi Damai, siri ini memaparkan pelbagai cabaran peribadi dan konflik emosi yang dilalui golongan muda, sekali gus memberi kesedaran kepada ibu ayah tentang kepentingan memahami perasaan serta tekanan yang dihadapi anak-anak.

Diterbitkan oleh Folklore Studio, naskhah ini ditulis dan diarahkan oleh Nell Hanan.

I’m Not Okay, Cikgu! Bongkar Realiti Mengejutkan Kesihatan Mental Anak-Anak

Ads

Kesihatan Mental Anak-Anak Jangan Dipandang Ringan

Menurut Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, masalah emosi yang dihadapi golongan muda tidak seharusnya dipandang ringan hanya kerana usia mereka masih muda.

Beliau menegaskan bahawa setiap perasaan dan tekanan yang dialami anak-anak perlu diberikan perhatian, selain menggalakkan mereka berani meluahkan perasaan serta mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

“Usia muda tidak bermakna masalah yang dihadapi itu kecil. Apa yang anda rasakan tetap penting, dan anda tidak perlu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja sepanjang masa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa dan golongan dewasa supaya menjadi pendengar yang baik apabila anak-anak berkongsi masalah, bukannya terus menghukum, memperkecilkan perasaan atau terburu-buru memberikan nasihat.

Ada kalanya, anak-anak bukan mahukan penyelesaian segera, sebaliknya hanya memerlukan seseorang yang sudi mendengar dan memahami apa yang sedang mereka lalui.

Ads

Beliau turut menekankan bahawa perkembangan anak-anak tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya, kesejahteraan emosi, perkembangan diri dan kemampuan menghadapi cabaran kehidupan juga sama penting.

Menerusi siri mini I’m Not Okay, Cikgu!, Yayasan Hasanah berharap lebih ramai golongan muda berani mengenali tanda-tanda tekanan emosi, mendapatkan sokongan dan memahami bahawa tidak mengapa untuk mengakui diri sedang tidak okay.

Mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, prevalens kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 16 hingga 19 tahun mencecah 7.9 peratus, tertinggi berbanding kumpulan umur lain.

Pentingnya Ibu Ayah Memahami Emosi Anak-Anak

Dalam kehidupan seharian, tidak semua anak-anak selesa berkongsi masalah yang dihadapi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tekanan di sekolah, hubungan dengan rakan sebaya atau perasaan yang sukar untuk dijelaskan.

Ada yang memilih untuk berdiam diri kerana bimbang tidak difahami, manakala ada juga yang tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan tentang apa yang sedang mereka rasakan.

Ads

Sebab itulah, perhatian ibu ayah terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak amat penting. Bukan sekadar bertanya tentang pelajaran atau keputusan peperiksaan, tetapi juga mengambil tahu bagaimana keadaan emosi mereka sepanjang hari.

Perbualan kecil yang dilakukan dengan penuh kasih sayang dan tanpa menghakimi boleh menjadi ruang untuk anak-anak berasa lebih selamat apabila ingin berkongsi sesuatu.

Melalui penceritaan yang diketengahkan dalam I’m Not Okay, Cikgu!, mesej tentang kepentingan sokongan emosi ini diharap dapat sampai bukan sahaja kepada golongan muda, tetapi juga ibu bapa, guru dan masyarakat secara keseluruhannya.

I’m Not Okay, Cikgu! Bongkar Realiti Mengejutkan Kesihatan Mental Anak-Anak

Boleh Ditonton Mulai 16 November 2026

Siri I’m Not Okay, Cikgu! boleh ditonton menerusi Instagram rasmi @yayasan_hasanah dan @folklorestudioarts mulai 16 November 2026.

Turut menampilkan runut bunyi asli Peluk Diri Kecil Kita ciptaan Nabil Wahab, siri ini diharap membuka mata masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan emosi anak-anak.

Kadangkala, anak-anak bukan mahu dinasihati, tetapi cuma ingin didengar, difahami dan tidak dihakimi.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Untuk Papa Mama

Anak Dwibahasa Lebih Bijak? Pakar Terapi Pertuturan Kongsi Fakta Penting...

Anak dwibahasa lebih bijak atau mudah lambat bercakap? Pakar terapi pertuturan jelaskan fakta penting tentang perkembangan bahasa anak sejak kecil.