
Taktik kumpulan pengganas kini dilaporkan semakin licik apabila kanak-kanak dan remaja seawal usia 12 hingga 15 tahun menjadi sasaran perekrutan melalui platform permainan dalam talian seperti Roblox.
Perkara ini seharusnya menjadi peringatan besar buat ibu ayah supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak di telefon bimbit, terutama siapa yang mereka kenali dan berkomunikasi ketika bermain permainan video.

Anak Main Roblox, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!
Menurut bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa golongan ekstremis kini menggunakan platform permainan dalam talian untuk mendekati kanak-kanak sebelum mempengaruhi pemikiran mereka.
Menurut beliau, jika sebelum ini proses perekrutan dilakukan secara bersemuka menerusi pertemuan tertutup, kini taktik tersebut telah beralih ke alam maya.
Lebih membimbangkan, individu terbabit dipercayai menggunakan permainan video sebagai ruang untuk berkenalan dan membina hubungan dengan kanak-kanak sebelum membawa mereka menyertai kumpulan perbualan tertutup.
Dalam kumpulan berkenaan, mereka kemudiannya didedahkan kepada fahaman ekstremis dan diasuh untuk melakukan tindakan keganasan.
“Kita dapat kesan budak-budak umur 12, 14, 15 tahun sudah mula direkrut melalui permainan Roblox. Di situ mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan keganasan,” katanya.
Pendedahan ini cukup membimbangkan kerana pada usia sebegitu, kanak-kanak dan remaja masih berada dalam fasa membentuk pemikiran serta mudah dipengaruhi oleh individu yang dianggap sebagai rakan atau seseorang yang dipercayai.

Ancaman Fahaman Ekstremis Tidak Boleh Dipandang Ringan
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang ringan ancaman fahaman Salafi Jihadi yang boleh mendorong pengikutnya menghalalkan tindakan keganasan atas nama agama.
Beliau turut merujuk kepada insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 2024 sebagai peringatan bahawa ancaman keganasan merupakan perkara serius yang perlu ditangani.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan undang-undang pencegahan yang berkesan supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih awal sebelum sebarang ancaman menjadi semakin serius.
Bagi ibu ayah pula, aspek pencegahan boleh bermula dari rumah dengan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan digital anak-anak.
Jangan Tunggu Anak Berubah, Baru Nak Periksa Telefon!
Pendedahan ini membuka mata tentang pentingnya peranan ibu ayah dalam memantau penggunaan gajet anak-anak.
Kadangkala, ibu ayah lebih memberi perhatian kepada tempoh anak bermain telefon berbanding mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan sepanjang mereka berada dalam talian.
Jangan hanya memeriksa telefon anak apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini. Sebaliknya, jadikan pemantauan sebagai rutin keluarga dengan cara yang terbuka, sesuai dengan usia dan menghormati privasi anak.
Keselamatan Anak Ketika Bermain Roblox Perlu Diberi Perhatian
Dalam kesibukan menguruskan rutin harian, mungkin ada ibu ayah yang tidak menyedari bahawa permainan dalam talian turut mempunyai fungsi komunikasi yang membolehkan pemain berinteraksi dengan individu lain.
Walaupun anak-anak hanya bermain untuk mengisi masa lapang dan berseronok bersama rakan, ibu ayah tetap perlu mengetahui dengan siapa mereka berhubung sepanjang menggunakan platform tersebut.
Lebih-lebih lagi apabila ada individu tidak dikenali yang cuba mendapatkan kepercayaan anak-anak, meminta maklumat peribadi atau mengajak mereka meneruskan perbualan melalui aplikasi lain.
Ibu ayah juga boleh mengambil masa untuk memahami ciri keselamatan dan tetapan privasi Roblox, termasuk kawalan komunikasi yang bersesuaian dengan usia anak.
Paling penting, pastikan anak-anak tahu bahawa mereka boleh berkongsi sebarang pengalaman yang mencurigakan tanpa perlu takut dimarahi.

Mak Ayah Kena Peka Dengan Perubahan Tingkah Laku Anak
Selain memeriksa aktiviti dalam talian, ibu ayah juga boleh memberi perhatian terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, terutama jika mereka mula merahsiakan perbualan dengan individu tertentu atau kelihatan takut apabila ditanya tentang rakan yang dikenali melalui permainan video.
Jika menemui mesej berunsur ugutan, perekrutan atau galakan melakukan keganasan, simpan bukti yang berkaitan, hentikan interaksi dan laporkan kepada pihak berkuasa.
Ingat mama papa, anak mungkin berada di depan mata, tetapi kita belum tentu tahu siapa yang sedang berhubung dengan mereka di sebalik skrin.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Utusan Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

