Jerebu Selangor, ibu bapa dibenarkan tidak hantar anak ke sekolah. EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan bahawa ibu bapa dan penjaga yang bimbang terhadap kesihatan anak-anak berikutan keadaan jerebu di Selangor dibenarkan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
Gambar sekadar hiasan
Namun begitu, ketidakhadiran murid perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah bagi tujuan pemantauan dan rekod kehadiran.
“Pengetua dan Guru Besar juga diminta untuk memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa melalui laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membolehkan tindakan segera dan bersesuaian diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ads
Jamaliah berkata semua sekolah di Selangor juga telah menerima surat siaran yang menggariskan langkah-langkah perlu diambil sekiranya bacaan IPU di kawasan sekolah mencapai paras tidak sihat iaitu melebihi 100 atau berbahaya.
Beliau berkata langkah itu termasuk menangguhkan aktiviti luar kelas bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua murid berada dalam keadaan baik manakala semua sekolah mesti ditutup dengan serta-merta jika IPU melebihi 200.
Ads
Gambar hiasan – Foto 123RF
Dalam pada itu, Jamaliah berkata situasi jerebu di negeri ini menyaksikan empat kawasan mencatatkan penurunan bacaan IPU iaitu Petaling Jaya (83), Klang (80), Banting (81) dan Johan Setia (88) berbanding 150 yang direkodkan sebelum ini.
Beliau berkata kualiti udara di Shah Alam berada pada tahap sederhana itu 90 manakala Kuala Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 126, berbanding IPU 87 dan 86 yang direkodkan di kedua-dua kawasan itu semalam.
Jamaliah berkata, setakat hari ini tiada kes penyakit yang dikaitkan dengan fenomena jerebu dilaporkan di Selangor dan dapatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengesahkan tiada kes strok haba direkodkan.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Murid tahun 1 dirai dengan maskot Bumblebee, Optimus Prime, terus hilang rasa berdebar. Murid tahun 1 sudah mula menjejakkan kaki ke sekolah. Mungkin ada yang sudah biasa dengan suasana di sekolah namun tidak kurang juga yang berasa asing bila berada di sekolah.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perai meriah apabila murid-murid yang memulakan sesi persekolahan bagi sesi 2025/2026 termasuk Tahun 1 disambut oleh maskot gergasi Bumblebee dan Optimus Prime, watak popular daripada siri filem Transformers.
Dengan ketinggian hampir tiga meter, kedua-dua maskot tersebut menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan murid malah ibu bapa serta guru yang hadir mengiringi anak-anak mereka untuk sesi persekolahan pertama tahun ini.
Menurut Guru Besar SK Kuala Perai, Aini Najwa Othman, idea tersebut tercetus bagi mengurangkan rasa cemas dan takut dalam kalangan murid-murid baharu yang pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah.
“Kami memahami bahawa hari pertama sekolah boleh menjadi satu pengalaman yang mendebarkan bagi murid-murid Tahun 1.
“Oleh itu, pihak sekolah ingin melakukan sesuatu yang berbeza, sesuatu yang boleh membuatkan mereka teruja dan gembira untuk memulakan perjalanan baharu ini.
“Usaha ini juga sebagai peniup semangat kepada murid-murid sekolah terutamanya prasekolah dan Tahun 1. Kedua-dua maskot robot dan Sang Kancil akan berada di sini selama dua jam,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah di sini pada Isnin.
Beliau berkata, SK Kuala Perai menerima 46 murid Tahun 1 dan lebih 40 murid prasekolah bagi sesi 2025/2026.
Dalam pada itu, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka turut memuji usaha pihak sekolah dalam menceriakan hari pertama persekolahan.
Muhammad Daniel Abdullah, 33, berkata, dia berasa lega apabila raut wajah anaknya bertukar ceria selepas ternampak dua maskot robot di hadapan sekolah.
“Saya memang risau sebab anak saya prasekolah, jadi ini kali pertama dia masuk sekolah. Tadi di rumah, muka dia nampak risau, takut. Saya pun risau anak saya menangis selepas sampai di sekolah.
“Tetapi apabila sampai depan sekolah, raut muka dia dah berubah. Dia nampak seronok dan tidak menangis selepas masuk ke kawasan sekolah. Lega saya. Bagus sekolah buat usaha ini,” katanya.
Pekerja kilang, Zan Azriani Rahim, 36, berkata, usaha sekolah dengan membawa dua maskot robot di hadapan sekolah adalah tindakan bijak.
“Saya puji dengan usaha ini, murid-murid jadi semangat nak masuk sekolah terutamanya murid Tahun 1 seperti anak saya.
“Mereka lupa dengan perasaan gementar untuk mengikuti alam persekolahan,” katanya.
Suri rumah, Saforah Awang, 31, berkata, dia berharap agar pihak sekolah meneruskan usaha seperti ini dalam memberi semangat kepada murid-murid untuk datang ke sekolah.
“Usaha ini wajar diteruskan, bukan saja murid-murid malah kami sebagai ibu bapa pun seronok tengok anak-anak gembira masuk sekolah,” katanya.
Hati ibu ayah mana yang tidak sedih apabila anak yang masih kecil diperlakukan sehingga mengalami kecederaan dan berdarah. Lebih mengejutkan, kejadian ini berlaku ketika baru enam hari sesi persekolahan bermula.
Kisah menyayat hati ini tular di media sosial selepas seorang bapa meluahkan kekecewaannya apabila anak lelakinya yang baru memasuki Tahun 1 didakwa ditampar rakan sekolah hingga hidung berdarah.
Menerusi perkongsian di TikTok miliknya, syedrosliofficial, lelaki berkenaan berkongsi kronologi kejadian yang menimpa anaknya sehingga mengundang perhatian ramai.
Tanpa diketahui punca sebenar kemarahan, murid perempuan itu dikatakan telah menampar muka anaknya hingga menyebabkan pendarahan.
Pihak sekolah kemudiannya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan Guru Besar memaklumkan bahawa satu siasatan dalaman akan dijalankan.
Bapa mangsa turut memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu demi mendapatkan keadilan buat anaknya.
“Saya juga bertanya kepada Guru Besar sama ada pihak sekolah mempunyai CCTV, namun dimaklumkan tiada kerana kekangan bajet,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan alasan kekangan bajet yang diberikan, sedangkan peruntukan besar disalurkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, keselamatan murid sepatutnya menjadi keutamaan dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sangat penting bagi mencegah kejadian tidak diingini serta menjadi rujukan jika berlaku insiden.
Dalam laporan media, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa anaknya kini masih trauma akibat kejadian tersebut.
“Anak saya masih trauma dan enggan ke sekolah selepas hidungnya berdarah ditampar seorang murid perempuan ketika ingin ke tandas sekolah,” kata Syed Rosli Syed Harman, 50.
Kejadian itu hanya disedari beliau dan isterinya selepas dihubungi pihak sekolah sekitar jam 3 petang pada Isnin lalu.
Selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, Syed Rosli bersama isterinya terus bergegas ke sekolah di Ampang Jaya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Anaknya kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan dan diberikan cuti sakit selama dua hari oleh doktor.
Guru Besar turut memaklumkan bahawa murid terlibat akan ditukarkan kelas bagi menjaga keharmonian selain merancang pertemuan dengan ibu bapa murid terbabit.
Namun buat masa ini, Syed Rosli memilih untuk menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.
Beliau berharap agar pemasangan CCTV dapat dilaksanakan di semua sekolah bagi membantu pemantauan dan memberi keadilan kepada semua pihak.
“CCTV amat penting kerana boleh dijadikan rujukan semula. Saya berharap KPM akan segera memasang CCTV di semua sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan.
“Awak keluar dulu”. Itulah ungkapan terakhir isteri yang maut dalam kereta terbakar dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Sedenak, malam tadi.
Redzuan Jamil, 28, berkata, beliau ditarik keluar orang ramai daripada cermin kereta bahagian penumpang belakang, cuba menyelamatkan isterinya, Nurul Nazihah Kamalul Arifin atau dikenali sebagai Azi, 28.
“Cubaan saya memecahkan cermin depan kereta dan memecahkan pintu penumpang depan tidak berjaya dan isteri tersepit di tempat duduk depan.
“Ketika itulah tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.
“Saya tidak merasa bahang panas api, malah isteri juga tidak memanggil nama saya, selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dulu,” katanya.
Sementara itu, bapa wanita maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi, hanya mampu mengalirkan air mata apabila melihat video tular kemalangan ngeri itu.
Tak sanggup tengok video kemalangan
Kamalul Arifin Ahmad, 66, yang kelihatan sugul berkata, beliau tidak sanggup melihat video berkenaan sehingga habis apatah lagi mendengar jeritan serta rintihan menantunya, Reduan Jamil, 28.
“Hati saya luluh dan menggigil apabila dimaklumkan Azi (Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28) maut apabila terperangkap dalam kereta yang terbakar.
“Apabila dimaklumkan Azi dan suami terbabit kemalangan, kami sekeluarga menyangkakan kemalangan biasa.
“Namun apabila ahli keluarga menunjukkan video tular kereta dinaiki Azi marak terbakar, lemah longlai badan saya, malah isteri, Saliah Hood, 56, amat terjejas kerana rapat dengan anak.
“Bagaimanapun, perasaan saya dan isteri terubat apabila dimaklumkan pihak berkuasa memaklumkan jenazah Azi ditemui dalam keadaan duduk sempurna walaupun kereta dinaikinya hangus terbakar,” katanya sebak ketika ditemui.
Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.
Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.
Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan empat kenderaan, di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus Utara Selatan, Arah Selatan, berhampiran Sedenak.
Ketika kejadian, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sementara suaminya berjaya ditarik keluar dari kereta oleh orang awam.
Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan masih belum dapat dikenalpasti.
Hilang penghibur keluarga
Sementara itu, Kamalul Arifin berkata, Azi yang juga anak keempat daripada lima beradik adalah seorang yang periang, peramah dan suka menghiburkan keluarga.
Katanya, Azi juga seorang pemurah kerana setiap bulan akan membelikan pelbagai ubatan untuk dirinya dan isteri tanpa gagal.
“Saya pernah nak membayar semula ubat yang sentiasa dibelikannya, namun Azi enggan menerima wang yang diberikan sebaliknya meminta saya menyimpannya untuk keperluan lain,” katanya.
Berdoa ketika berada di Mekah untuk dapat anak
Tambah Kamalul lagi, dia, isteri, Azi dan suaminya baharu pulang dari menunaikan umrah Rabu lalu. Itulah juga impian Azi kerana mahu berdoa bagi mendapatkan cahaya mata selepas tiga tahun berkahwin.
“Azi sangat gembira ketika di Makkah dan sempat membeli buah zuriat sebagai usaha mendapatkan anak,” katanya.
Beliau berkata, kali terakhir Azi menghubung dirinya dan isteri adalah dua hari lepas bagi memaklumkan dia dan suami akan pulang ke kampung.
“Saya terkilan dan ralat, Azi pulang ke kampung dalam keadaan begini akhirnya,” katanya.
Jom, meriahkan Pa&Ma Gala 2022 Reunion X TYT dan anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik! Sharing istimewa dari Dayah Bakar & Tasha Manshahar tentang cara penjagaan anak serta demo urutan istimewa dari Aunty June (TYT).
Power Pumping membantu merangsang penghasilan susu ibu apabila hasil perahan merudum. Ketahui cara melakukannya, kekerapan yang disyorkan serta tip mengepam dengan lebih berkesan.