
Setiap ibu ayah mempunyai cara tersendiri dalam membentuk rutin tidur anak-anak. Ada yang lebih selesa tidur bersama si kecil, namun tidak kurang juga yang memilih untuk membiasakan anak tidur sendiri sejak usia bayi.
Begitu juga dengan penyanyi popular, Shila Amzah yang berkongsi pengalamannya melatih kedua-dua anak untuk tidur secara berasingan sejak kecil.
Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 36, dia sudah membiasakan anak-anaknya tidur di katil sendiri sejak dilahirkan, meskipun masih berkongsi bilik dengannya.

Usia 8 Bulan Dah Mula Tidur Bilik Sendiri
Menerusi perkongsian di Threads, Shila Amzah menjelaskan bahawa kedua-dua anaknya mula tidur di bilik berasingan apabila mencapai usia lapan bulan.
Bagaimanapun, dia tetap menggunakan alat pemantau bayi (baby monitor) bagi memastikan keadaan anak-anak sentiasa dalam pemantauan.
“Saya melatih anak-anak tidur sendiri sejak mereka dilahirkan dan mereka tidak pernah tidur sekatil dengan saya, tetapi masih berada di dalam bilik yang sama.
“Apabila mereka berusia lapan bulan, saya memindahkan katil bayi mereka ke bilik sendiri dan memasang alat pemantau bayi (baby monitor) untuk memantau keadaan mereka,” katanya menerusi satu hantaran.

Lebih Tenang Tidur Tanpa Risau Anak Tertindih
Bagi pelantun lagu Memori Tercipta itu, keputusan mengasingkan tempat tidur anak-anak juga membuatkan dirinya lebih selesa untuk berehat pada waktu malam.
Walaupun anak-anak masih terjaga untuk menyusu, sekurang-kurangnya dia tidak perlu terlalu bimbang tentang risiko anak tertindih ketika tidur.
“Mereka masih terjaga pada waktu malam untuk menyusu dan sebagainya, tetapi sekurang-kurangnya apabila saya tidur, saya tidak perlu risau mereka tertindih kerana saya dan suami mempunyai tubuh yang agak tinggi,” katanya.
Anak Sulung Lebih Mudah Dilatih Berbanding Anak Kedua
Dalam pada itu, Shila turut mengakui bahawa setiap anak mempunyai corak tidur berbeza.
Jika anak sulungnya lebih mudah mengikuti rutin tidur yang ditetapkan, anak perempuannya pula mengambil masa lebih lama untuk dapat tidur sepanjang malam tanpa terjaga.
“Anak sulung saya lebih mudah dilatih, tetapi anak perempuan saya hanya mula tidur sepanjang malam selepas berusia dua tahun tiga bulan, baru-baru ini,” katanya.
Untuk rekod, Shila mempunyai dua cahaya mata iaitu Seth Uwais hasil perkahwinan pertamanya bersama Haris Idraki Elias, manakala Rhea Akira menerusi perkahwinan keduanya dengan Ubai.

Keselamatan Tidur Bayi Tetap Perlu Diutamakan
Bagaimanapun, bagi aspek keselamatan tidur bayi, ibu ayah disarankan meletakkan bayi di katil berasingan dalam bilik yang sama dengan penjaga sekurang-kurangnya enam bulan pertama. Permukaan tidur juga mestilah rata, kukuh dan bebas daripada bantal, selimut longgar serta permainan lembut.
Selain memastikan tempat tidur bayi selamat, ibu ayah juga perlu mengambil kira usia, perkembangan dan keperluan penyusuan anak sebelum membuat keputusan untuk mengasingkan bilik tidur.
Perkongsian Shila Amzah mengenai pengalaman melatih anak tidur sendiri boleh menjadi salah satu contoh pendekatan keibubapaan, namun ia tidak semestinya sesuai untuk semua keluarga.
Apa pun pilihan ibu ayah, keselamatan dan keselesaan anak perlu sentiasa menjadi keutamaan.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Utusan Malaysia

sekarang!
