Ketika seseorang wanita itu melakukan hubungan kelamin dengan suaminya dan kemudian lewat datang haid pada bulan selepas itu, pasti akan teruja untuk membuat ujian kehamilan. Terutamanya jika sesebuah pasangan itu sememangnya sedang merancang untuk hamil. Ada wanita yang akan terus membuat ujian kehamilan, walaupun tarikh datang haid masih belum sampai (teruja kerana merasakan ada simptom hamil) atau baru sehari dua lewat.
Sebenarnya, pada waktu bilakah yang paling sesuai untuk seseorang wanita itu membuat ujian kehamilan? Memetik sebuah artikel dari Babycenter, ia mengatakan ujian kehamilan mengukur jumlah hormon kehamilan gonadotropin korionik manusia (hCG) dalam badan wanita tersebut.
Kit ujian kehamilan yang boleh anda buat sendiri di rumah (Home Pregnancy Test-HPT) atau dikenali juga sebagai UPT, mengesan kehadiran hCG di dalam air kencing. Jika ujian darah dibuat, kehadiran hCG akan dikesan di dalam darah.
Ujian darah lebih sensitif dan boleh mengesan kehamilan dari enam hingga lapan hari selepas ovulasi. Ujian ini akan dilakukan oleh doktor yang ebrtauliah di klinik atau hospital. Ujian HPT pula boleh dibuat sendiri di rumah. Setiap alat pengesan berbeza antara satu sama lain. Ada yang sangat sensitif dan dapat mengesan hCG walaupun jumlahnya sedikit, seawal empat hari sebelum tarikh datang haid atau seminggu selepas persenyawaan.
Untuk mengetahui tahap sensitif sesebuah alat pengesan itu, anda boleh merujuk kepada labelnya. Ia diuukur dalam mIU/ml (mili-International Unit oer milimetre) dengan julat antara 10-40 mIU/ml. Semakin kecil nombor, ia semakin sensitif dan dapat mengesan kehamilan. Walaupun alat pengesan yang digunakan sensitif, jika ujian dibuat terlalu awal tahap hCG masih sedikit untuk dikesan.
Kadang-kadang, ketika membuat ujian kehamilan keputusannya negatif walaupun sebenarnya anda hamil. Mungkin ujian yang dibuat terlalu awal menyebabkan hCG tidak dapat dikesan menggunakan kit ujian kehamilan yang digunakan.
Ujian kehamilan yang dibuat sendiri di rumah biasanya memberi keputusan yang tepat jika dibuat pada tarikh anda sepatutnya datang haid, iaitu lebih kurang dua minggu selepas waktu ovulasi seseorang wanita. Keputusan negatif boleh jadi atas dua sebab. Mungkin anda benar-benar tidak hamil atau waktu ovulasi lebih lewat.
Satu dalam 10 wanita dipercayai mempunyai tahap hCG yang rendah walaupun selepas tarikh datang haid sudah lepas. Seandainya ujian pertama yang dibuat menunjukkan keputusan negatif walaupun anda sudah lewat datang haid, ulang semula ujian ini selepas tiga hari. Jika seseorang wanita itu hamil, dalam tempoh itu seharusnya paras hCG sudah mulai meningkat dan mampu dikesan oleh alat pengesan kehamilan.
Jangan berputus asa sekiranya ujian yang anda buat menunjukkan keputusan negatif. Mungkin belum ada rezeki buat masa ini dan Allah SWT telah mengatur perjalanan yang lebih indah buat anda dan suami. Bagi pasangan yang sedang merancang untuk hamil, teruskan berusaha dan berdoalah kepada-Nya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu hamil yang bakal menempuhi bulan Ramadan perlu tahu mereka tidak perlu memaksa diri untuk meneruskan puasa. Ada kelonggaran untuk berbuka dalam Islam.
Beberapa hari lagi umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mungkin bagi ibu hamil ada yang terfikir ini adalah peluang untuk berpuasa sebulan penuh memandangkan tiada haid.
Namun sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan dan kemudaratan untuk meneruskan berpuasa, ada kelonggarannya. Pa&Ma mendapatkan informasi daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin mengenai topik ini.
Wanita hamil mempunyai kelonggaran dalam ibadah puasa
Para ahli fiqih (pakar hukum) sepakat bahawa menjadi hak wanita yang hamil untuk berbuka. Dalilnya cukup jelas. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencabut puasa dan separuh solat daripada musafir, dan mencabut puasa daripada perempuan hamil dan menyusui.” (HR Nasa’i dan Ibnu Majah).
Mengapa wanita hamil diberikan kelonggaran dalam ibadah puasa?
Menurut ahli tafsir, wanita yang hamil termasuk dalam kategori “orang yang berat menjalankannya (puasa),” sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: ayat 184.
Islam memahami beban kehidupan yang memberat di bahu wanita hamil. Wanita hamil biasanya muntah-muntah, loya, pening dan kembung perut. Wanita hamil juga biasanya mengalami kekejangan apabila kurang kalsium, pedih ulu hati dan sebagainya.
Islam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan ini dengan merakam kesusahan wanita hamil di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT, “Ibunya mengandungnya dengan susah-payah, dan melahirkannya dengan susah-payah (pula).” (Al-Ahqaf: 15).
Islam sangat berperi kemanusiaan terhadap kesusahan umatnya. Ia termasuklah kepada wanita hamil bahkan kepada musafir meskipun dia bermusafir dengan kenderaan moden, dan kepada ramai lagi golongan lain. Oleh sebab itulah ada konsep ‘rukhsah’ (kelonggaran/keringanan) dalam Islam.
Keadaan yang membolehkan wanita hamil berbuka puasa
Ada pelbagai keadaan wanita hamil. Wanita hamil kadang kala risaukan keadaan dirinya disebabkan payahnya berpuasa. Wanita hamil juga kadang kala risaukan bayi dalam kandungannya. Bayi itu dikesani oleh sumber makanan ibunya. Lebih kerap, wanita hamil risaukan kedua-duanya secara bersama, dirinya dan bayinya.
Dalil hadis di atas yang memberi kelonggaran kepada wanita hamil untuk berbuka, merujuk kepada keadaan wanita itu yang ‘hamil’ secara umum. Ia tidak merujuk kepada keadaan-keadaan khusus bagi wanita hamil itu.
Maka, apabila hamil sahaja seorang wanita, dan dia berasa berat untuk berpuasa, maka boleh baginya mengambil ‘rukhsah’ (kelonggaran) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Jika dia berasakan tidak berat baginya untuk berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasa.
Apakah hukumnya jika wanita hamil itu sihat dan tidak mengalami komplikasi tetapi tetap tidak berpuasa?
‘Harus’ baginya berbuka. Hukum ‘harus’ (mubah) bukan bererti ‘mesti’ berbuka. Hukum ‘harus’ bererti ‘boleh’. Mahu meneruskan puasa, boleh. Mahu berbuka pun, boleh. Dia lebih arif tentang kemampuannya saat itu.
Sesihat manapun wanita hamil, keadaan hamilnya itu menggolongkan dirinya berada dalam keadaan yang lemah. Firman Allah SWT, “Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Luqman: 14).
Orang yang lemah kadang kala berat untuk mengerjakan puasa. Allah memberikannya kelonggaran.
Firman Allah SWT, “Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang sakit berat, orang yang sangat tua, wanita hamil, wanita menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang miskin dalam satu hari), maka itu lebih baik baginya. Dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184).
Fidyah adalah sebanyak secupak beras (anggaran 600 gram) untuk setiap satu hari yang ditinggalkannya, diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah wajib dibayar sebelum datangnya Ramadahan seterusnya. Menurut mazhab Syafie, fidyah bertambah, dengan bertambahnya tahun.
Kaedah untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan
Masalah wanita hamil ‘unik’ berbanding masalah lain. Setelah 9 bulan 10 hari hamil, dia perlu menyusui pula selama 2 tahun. Disebabkan keadaan ‘susah’ yang panjang ini, maka kaedah ‘menggantikan puasa’ yang telah ditinggalkan bagi wanita hamil mempunyai banyak pandangan ulama.
Antara perbahasan mereka ialah:
Adakah wanita hamil diperlakukan seperti orang sakit biasa yang dimestikan mengganti sebanyak puasa yang ditinggalkan?
Atau mereka diperlakukan seperti orang tua renta, baik lelaki mahupun perempuan?
Atau seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh?
Adakah mereka harus membayar fidyah setiap hari atau dibebaskan daripada fidyah?
Bukan itu sahaja, para ulama juga membahaskan:
Adakah berbeza hukumnya, antara orang hamil dengan orang menyusui?
Adakah berbeza orang yang khuatir terhadap dirinya, dengan orang yang khuatir terhadap bayinya?
Dengan membahaskan semua kemungkinan ini, maka keluarlah konklusi yang pelbagai di kalangan para ulama berkaitan kaedah menggantikan puasa yang ditinggalkan. Semuanya merujuk al-Quran dan as-Sunnah yang sama, namun cara tafsir dan sudut pandang mereka berbeza. Inilah antara faktor, isu fiqah mempunyai banyak pendapat.
Pendapat Majoriti
Majoriti ahli fiqih memperlakukan wanita hamil dan wanita menyusui seperti orang sakit. Mereka berkata, “Keduanya berbuka dan mengganti.”
Mazhab Syafie yang biasa diamalkan di Malaysia memperincikan:
1. Ibu yang bimbangkan dirinya, tidak mampu dan tidak berdaya, maka dia boleh berbuka. Kemudian mengganti pada hari lain.
2. Ibu yang bimbangkan dirinya dan anaknya, maka dia boleh berbuka. Kemudian, mengganti dan membayar fidyah pada hari lain.
Masa yang diwajibkan adalah 11 bulan mulai Syawal hingga Syaaban. Jika seseorang telah meninggalkan puasa, kemudian tidak menggantinya dalam tempoh itu dengan sengaja, maka dia berdosa, wajib ganti dan bayar fidyah.
Pendapat Kuat dan Praktikal
Ibnu Umar dan Ibnu Abbas (dari kalangan sahabat), juga Ibnu Sirin (dari kalangan Tabiin), berpendapat, “Mereka hanya perlu membayar fidyah (memberi makan orang miskin) dan tidak perlu mengganti.” Ibnu Abbas menyamakan wanita hamil seperti orang tua renta dalam isu ini.
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqih Puasa membuat kesimpulan:
1. Yang paling kuat ialah pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Wanita hamil dan menyusui hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengganti. Itu yang banyak diamalkan oleh kaum wanita pada masa lalu. Ia suatu rahmat apabila mereka tidak perlu mengganti, cukup dengan membayar fidyah.
2. Ada wanita yang tempoh kehamilannya berjauhan dan anaknya tidak ramai. Dia kurang berasa susahnya kehamilan dan menyusui, kecuali dua atau tiga kali sahaja, maka yang paling tepat baginya ialah mengganti, sebagaimana pendapat jumhur.
Kesimpulan ini dibuat kerana hukum dibangun atas prinsip ‘keringanan’ dan ‘menghilangkan kesulitan yang berlebihan’. Apabila kesulitan tidak ada, maka hukumpun tiada. Apabila kesulitan ada, maka hukumpun ada. Kaedah menyebut, “Hukum bergerak bersama alasannya, ada atau tiada.”
Bila seelok-eloknya proses penggantian puasa ini dijalankan sedangkan selepas hamil sudah tentu si ibu tersebut akan menyusukan anak pula?
Sesiapa yang memiliki hutang puasa Ramadhan, tidak kira kerana uzur seperti sakit, musafir, haid, nifas, atau yang merasakan sangat berat mengerjakannya, juga wanita hamil dan menyusui, bagi mazhab yang mengharuskannya qadha’ (ganti), maka hendaklah dia bersegera sebaik sahaja uzurnya hilang. Bersegera untuk mengganti hari-hari yang dia berbuka, dalam rangka melepaskan diri daripada hutangnya dan bersegera untuk menunaikan kewajipan
Tidaklah berdosa orang yang mengakhirkan pelaksanaan ganti puasa sepanjang pada hatinya tetap berniat untuk mengganti, kerana kewajipan ganti bersifat ‘luas’ masanya.
Adakah penggantian puasa boleh dilewatkan atas sebab menyusukan anak? Misalnya selepas anak berusia dua tahun.
Soalan ini timbul bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil hanya perlu membayar fidyah, maka soalan ini tidak timbul. Lainlah, jika dia memang berasakan menggantikan puasa tidak berat dalam situasi hidupnya. Islam meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.
Huraian seterusnya ini bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Barangsiapa kedatangan Ramadhan yang baru, sedangkan hutang Ramadhan sebelumnya belum dibayar, jika hal itu terjadi kerana uzur (menyusukan anak) maka ianya tidaklah mengapa. Itu pendapat ijma’.
Dia wajib menggantinya selepas dia mampu berpuasa semula.
Puasa sunat 6 hari bulan Syawal & puasa ganti, mana perlu didahulukan?
Keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal bersandar kepada hadis yang kuat.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian dia iringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah).
Realitinya, cuti Hari Raya membuka peluang besar untuk kita beramah mesra dan menjamu selera dengan sanak saudara. Tidak seperti hari-hari lain. Maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunah pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Menjaga hubungan silaturrahim amat penting. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Kita dalam dilema;
1. Jika mendahulukan yang wajib, bimbang tidak berkesempatan berpuasa enam.
2. Jika mendahulukan yang wajib kemudian terus berpuasa enam, bimbang tidak sempat meraikan majlis menjamu selera bersama sanak-saudara.
3. Jika mendahulukan yang sunah, bimbang puasa wajib terus terhutang dan tidak sempat dilakukan pada masa-masa depan.
Pandangan yang sahih berkenaan isu ini, menurut Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, boleh saja melaksanakan puasa sunah sebelum mengganti. Buat puasa sunah enam hari dahulu pada bulan Syawal. Kemudian, melakukan puasa ganti pada hari-hari lain sebelum masuk Ramadhan berikutnya.
Kesimpulan ini diambil daripada ucapan Aisyah r.ha., “Ketika itu saya memiliki hutang puasa Ramadhan. Saya tidak mampu menggantinya kecuali di bulan Sya’ban.” (Muttafaq a’laih).
Tidak boleh disekalikan niat antara yang wajib dan sunat bagi mereka yang mahu menyelesaikan gantian Ramadhan dahulu. Tapi mereka boleh berdoa kepada Allah mudah-mudahan sempat mendapat kelebihan puasa enam.
Kebanyakan bakal ibu pasti akan berasa teruja apabila perut anda sudah naik baby bump, kan? Saat ini juga merupakan waktu yang paling best untuk anda berkongsi foto atau video perubahan saiz perut anda bulan demi bulan di laman sosial. Pun begitu, ada wanita yang tidak suka dengan bentuk badannya ketika sedang hamil. Nak tahu kenapa? Jom ikuti artikel ini!
Kehamilan sememangnya akan menyebabkan perubahan pada badan anda. Bergantung kepada individu, ia sudah pasti akan menyebabkan rasa yang tidak selesa. Selepas bersalin pula, badan wanita akan mengambil masa yang lama untuk kembali ke keadaan asal, atau tidak langsung boleh kembali langsing bak kerengga seperti zaman muda-muda dulu.
Walaupun perubahan ini semula jadi dan semua wanita yang hamil akan mengalaminya, ada wanita yang tidak dapat menerimanya. Ini kerana mereka berasa insecure dengan diri sendiri terhadap persepsi orang lain. Seharusnya, ini tidak terjadi kepada bakal ibu. Sepatutnya, anda menghargai saat kehamilan anda. Anda perlu tahu bukan semua wanita berpeluang melaluinya.
Jadi, apa yang bakal ibu perlu lakukan untuk lebih menghargai saat-saat bayi anda berada dalam kandungan anda?
Menurut Amanda Butler yang merupakan jurulatih kecergasan Aaptiv, melihat diri anda semakin gemuk atau besar dari ke hari adalah sangat menakutkan walaupun ia adalah satu perubahan yang normal, seperti sedang mengandung.
Manakala menurut Sia Cooper yang merupakan jurulatih peribadi kecergasan wanita, kebanyakan kita memang mempunyai isu bentuk badan sejak awal lagi. Kehamilan pula sudah pasti akan mengeruhkannya lagi!
Disebabkan ini, wanita yang sedang hamil akan lebih tertekan untuk menjaga berat badannya. Ini sepatutnya tidak perlu berlaku kerana pertambahan berat badan wanita semasa hamil adalah sangat normal. Jadi, cuba untuk tidak terlalu bimbang tentangnya, ya?
Apakah maksudnya? Kebanyakan wanita pasti akan berasa takut akan risau setiap kali melihat nombor pada penimbang berat. Semasa hamil, kebimbangan ini akan menjadi lebih teruk. Sewajarnya, anda tidak perlu bimbang mengenai nombor ini. Anda harus faham bahawa setiap individu adalah berbeza. Jadi tiada istilah berat badan yang normal atau tidak semasa hamil. Untuk lebih kepastian, dapatkan khidmat nasihat daripada doktor.
Ini ada sangat penting. Anda perlu tahu bahawa keadaan kehamilan setiap ibu adalah berbeza. Begitu juga dengan saiz badannya. Mungkin jika dia baru mengandung anak pertama atau dia memang seorang kurus, maka perutnya mungkin tidak terlalu jelas. Lain pula kisahnya jika dia memang seorang yang berbadan besar. Oleh itu, jangan sesekali membanding diri anda dengan bakal ibu yang lain tau!
Bukan sahaja anda, orang di sekeliling anda juga perlu sentiasa bersikap positif terutamanya suami anda. Sebagai suami, jangan sesekali mengejek pasangan anda yang semakin meningkat berat badannya kerana hamil. Ingatlah bahawa mereka sudah berkorban masa selama 9 bulan untuk melahirkan zuriat keturunan anda sendiri, ya?
Paling penting, jangan terlalu pasif semasa kehamilan. Kadangkala, tidak salah jika anda keluar rumah dan lakukan senaman yang ringan, bukan? Ia sudah pasti akan menguatkan lagi fizikal dan mental. Namun, jangan pula sampai bersukan lasak pula! Cukup sekadar mengeluarkan peluh dan membiarkan minda anda lebih tenang dengan melihat persekitaran di luar rumah.
Konklusinya, tiada apa yang perlu anda bimbangkan tentang bentuk badan anda semasa hamil. Tanamkan dalam diri anda bahawa ia adalah perkara yang sangat normal. Anda juga sepatutnya berasa bangga dengan baby bump anda. Pada pendapat penulis, ia sangat comel dan tidak semua wanita berpeluang merasainya. Oleh itu, berbanggalah wahai wanita!
Hamil lagi 6 bulan selepas bersalin ceaseran? Mama perlu tahu risiko yang bakal dihadapi, kemungkinan rahim pecah sangat tinggi.
Lazimnya bagi ibu yang bersalin secara pembedahancaesarean, doktor akan menyarankan waktu selamat untuk hamil semula ialah selepas dua tahun. Tapi bagaimana kalau anda hamil lagi sebelum waktu itu….?
MINIMUM ENAM BULAN
Menurut Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, Hospital Columbia Asia Seremban, ibu tidak perlu panik kerana terdapat kajian yang menunjukkan jarak minimum untuk hamil selepas kelahiran adalah enam bulan sahaja. Sebagai contoh, sekiranya ibu hamil setelah anak pertama berusia sepuluh bulan, risiko dinding rahim terkoyak adalah amat rendah.
RISIKO UTERINE RUPTURE
Masalah dinding rahim terkoyak ini dinamakan sebagai uterine rupture selalunya berlaku sewaktu kontraksi ketika hendak bersalin. Ia Dilaporkan berlaku kurang dari 1% bagi ibu yang mempunyai satu pembedahan caesarean sebelumnya. Percubaan untuk bersalin secara normal selepas adanya pembedahan caesarean dikenali sebagai TOS atau (Trial of Scar). Bersalin secara normal melalui faraj selepas adanya pembedahan caesarean dikenali pula sebagai VBAC (Vaginal Birth After Caesarean Section).
MASIH BERPELUANG BERSALIN NORMAL
Jika seseorang wanita ingin melalui pembedahan caesarean bagi kandungan kedua, ini dikenali sebagai Elective Repeat Cesaerean Section ( ERCS). Bagi pesakit yang pernah mengalami pembedahan caesarean dan inginkan VBAC bagi kandungan keduanya, doktor hendaklah memberitahu bahawa VBAC lebih selamat daripada ERCS.
Ini bererti, pesakit yang berjaya melalui TOS tanpa berlakunya dinding rahim terkoyak dan bersalin melalui VBAC, mereka tidak banyak mengalami masalah. Jika ada 10 orang wanita yang melalui TOS, lapan daripadanya akan berjaya bersalin secara normal.
Amat penting bagi ibu untuk memahami bahawa dinding rahim terkoyak berisiko kepada wanita yang melalui proses TOS. Walau pun ibu terbabit dipantau di hospital yang mempunyai perkhidmatan doktor pakar perbidanan dan pakar bius, serta perkhidmatan tabung darah, hal ini boleh berlaku!
KESAN DINDING RAHIM TERKOYAK
Dr Norintan menasihatkan agar ibu yang hamil semula dalam jarak kurang dari enam bulan segera merujuk kepada pakar sakit puan & perbidanan supaya rekod pembedahan yang pertama boleh diperiksa atau disemak sebelum melalui TOS. Risiko dinding rahim terkoyak amat tinggi (jika ia berlaku).
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemilihan nama buat cahaya mata sememangnya menjadi momen istimewa bagi setiap ibu bapa. Bagi pasangan selebriti Shuib dan Watie Hanifiah, nama yang diberikan kepada puteri sulung mereka bukan sahaja indah didengar, malah mempunyai kisah tersendiri yang melibatkan seluruh keluarga.