Pun begitu, dalam kita berjimat harus pastikan kesihatan diri dan anak-anak diutamakan. Elakkan sama sekali menggunakan minyak masak berulang kali. Ini yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Samhan menerusi facebooknya.
Minyak masak yang digunakan berulang kali boleh mengundang risiko mendapat penyakit atherosclerosis (salur darah tersumbat akibat menjadi keras dan tebal), penyakit hati, penyakit jantung, penyakit Alzheimer, Parkinson dan barah.
Ini kerana semasa menggoreng, minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang tertinggal di dalam minyak.
Makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut.
Ads
Kebanyakan kita tidak membuang minyak yang telah digunakan dan menggunakannya lagi beberapa kali sebelum dibuang.
Pesanan saya, ✅ Sebaiknya minyak masak digunapakai maksimum sehingga dua atau tiga kali sahaja. Jika minyak berkenaan telah bertukar warna menjadi perang kehitaman, minyak berkenaan perlu dibuang.
Ads
✅ Minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dibuang kerana darah haiwan itu akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemaknya yang berbahaya kepada kesihatan.
✅ Hati-hati menggunakan minyak masak dalam peket 1kg. Kajian menunjukkan minyak dalam peket 1 kg ini tidak sihat mengikut piawaian yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
✅ Elakkan dari membeli minyak yang tidak dapat dipastikan pengeluarnya walaupun harganya adalah lebih murah.
Ads
✅ Kurangkan tabiat makan makanan yang digoreng di luar rumah kerana dibimbangi peniaga menggunakan minyak masak yang dikitar semula kerana berharga murah dan dapat mengurangkan kos.
✅ Gunalah minyak yang mendapat pengesahan dari SIRIM sahaja untuk menjamin kesihatan kita.
Di rumah,saya memang melarang isteri untuk guna minyak yang sama. Cukup hanya sekali.
Jangan gunakan minyak masak berulang kali. Minyak yang dikitar semula hanya sesuai dijadikan biodisel untuk bahan bakar bukan untuk masak makanan.
Kongsikan info penting ini pada yang lain supaya lebih ramai tahu bahaya guna minyak masak berulang kali.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak panik bila anak diserang sawan. Lagi-lagi kalau ia pengalaman pertama. Ibu bapa selalu dinasihatkan supaya memantau suhu badan anak terutama bayi ketika demam. Ini kerana bimbang bayi atau kanak-kanak kecil mudah terkena sawan apabila mereka demam terutama bila suhu badan terlalu tinggi.
Siapa tak risau kalau anak demam apatah lagi memikirkan berisiko kena sawan. Ibu bapa sanggup buat apa sahaja bagi memastikan si kecil cepat sembuh tapi kadangkala sawan berlaku juga pada sesetengah anak. Apa sebenarnya punca sawan? Baca penjelasan tentang sawan dan cara menguruskan anak ketika kena sawan.
SAWAN KETIKA ANAK DEMAM MAMPU DIELAKKAN DENGAN PEMBERIAN UBAT DEMAM?
Sawan ketika demam merupakan perkara yang selalu berlaku kepada kanak-kanak. Penyebab kepada berlakunya sawan ini ketika demam masih lagi menjadi tanda tanya para saintis dan juga doktor perubatan.
Ada pendapat yang mengatakan disebabkan otak kanak-kanak masih belum matang, maka ia boleh mencetuskan maklumat yang bercelaru di dalam otak ketika mana suhu tinggi
Disamping itu ramai, dikalangan ibu bapa berpendapat bahawa kawalan suhu yang bagus dapat mengelakkan anak yang demam daripada terkena sawan. Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai sejarah anak sawan ketika demam akan kerap memberikan ubat demam kepada anak mereka ketika demam.
Tetapi tahukah anda, PEMBERIAN UBAT DEMAM TIDAK MAMPU MENCEGAH SAWAN?
Satu kajian telah dibuat pada tahun 2009 dan seramai 289 kanak-kanak yang pernah mengalami sawan ketika demam menyertai kajian ini. Keputusan kajian mendapati kebarangkalian kanak-kanak ini mendapat sawan adalah sama diantara kanak-kanak yang mengambil ubat demam ataupun tidak.[1]
Manakala pada 2013 pula, sekumpulan doktor perubatan menggabungkan 3 kajian mengenai ‘pencegahan sawan ketika demam dengan pengambilan ubat demam’. Kajian tersebut juga mendapati bahawa kegunaan ubat demam tidak mampu mengelakkan sawan daripada berlaku.[2]
Bermaksud, ambil ubat demam ataupun tidak jika sawan itu nak datang, ia pasti akan datang.
Kajian ini bukanlah membawa kesimpulan bahawa tidak perlu beri ubat demam kepada kanak-kanak. Tetapi ia menyatakan satu aspek yang lebih penting daripada kawalan demam iaitu PENGURUSAN ANAK KETIKA SAWAN.
Ini disebabkan sejauh mana kita kawal suhu kanak-kanak tersebut, ia tidak mempengaruhi langsung kebarangkalian kanak-kanak tersebut untuk mengalami sawan. Seperti yang saya katakan, jika sawan itu nak datang ia akan datang.
Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak-anak seperti ini perlu mempunyai ilmu asas untuk menguruskan anak yang sedang mengalami sawan.
Berikut adalah cara yang mudah untuk anda menguruskan anak anda ketika sawan:
1) Jangan panik: Sebagai Ibu bapa, anda tidak perlu terlampau panik sehingga mana anda lupa langkah-langkah yang seterusnya. Jika lupa, anda mungkin akan membahayakan nyawa anak anda.
2) Lihat jam untuk mengetahui pukul berapa sawan itu bermula
3) Jauhkan pesakit daripada bahan-bahan ataupun kawasan yang berbahaya
4) Letak pesakit secara mengiring ke kiri: Sebenarnya jika anda lupa, mengiring sebelah kiri dan kanan pun tak kisah. Tetapi yang paling tepat adalah mengiring sebelah kiri. Ini kerana ketika sawan, lelehan air liur ataupun makanan boleh masuk ke dalam saluran trakea iaitu saluran paru-paru.
Air liur ataupun makanan ini boleh memasuki paru-paru melalui bronchus. Tetapi bronchus paru-paru sebelah kanan lebih lurus berbanding paru-paru sebelah kiri menyebabkan paru-paru sebelah kanan lebih senang dimasuki air liur ataupun makanan tersebut. Oleh itu, mengiring ke kiri adalah lebih baik ketika berlakunya sawan.
5) Dilarang untuk meletak barang di dalam mulut pesakit. Orang terdahulu menyuruh kita meletakkan sesuatu di dalam mulut ketika sawan berlaku. Tetapi didapati perbuatan itu hanya menerukkan lagi keadaan pesakit seperti gigi pesakit boleh patah dan pesakit tercekik, trauma pada lidah dan lain-lain lagi.
6) Sapu sebarang lelehan air liur daripada mulut pesakit. Ini untuk mengelakkan daripada saluran udara tersumbat dengan perkara tersebut
7) Jika sawan sudah berhenti, bawa terus ke jabatan kecemasan
Wajib pergi bawa terus pergi hospital jika
a) Muka pesakit menjadi biru
b) Sawan lebih daripada 3 minit.
c) Pesakit terus tidak sedarkan diri
Perkara yang kami katakan buka menunjukkan tidak perlu menggunakan ubat demam. Tetapi lebih kepada kefaham ibubapa berkenaan perkara ini dan pentingnya ibubapa tahu macam mana nak uruskan kanak-kanak yang sedang sawan.
Melihat perut membesar seperti hamil cukup bulan pasti mengerunkan setiap wanita yang mengalami masalah fibroid. Bagaimanapun, punca sebenar bagi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan peranakan wanita seperti ketumbuhan fibroid, adenomyosis dalam rahim, endometriosis, ovarian cyst, kanser rahim dan kanser payudara tidaklah diketahui.
Menurut Pakar Sakit Puan, Dr Hamid Arshat selain faktor baka yang turut mempengaruhinya, terdapat punca-punca lain seperti kelemahan imuniti, toksin, dan hormon estrogen yang berlebihan dalam tubuh badan wanita serta ketidak seimbangan antara hormon estrogen dan progesterone lebih berperanan dalam ketumbuhan tersebut.
Beberapa situasi yang menyebabkan hormon estrogen meningkat ialah kegemukan atau obesiti. Lemak- lemak yang berlebihan boleh menggalakkan pembentukkan estrogen serta pengurangan progesteron.
Selain daripada kilang telur, sumber lain bagi estrogen ialah kilang adrenal yang terletak di atas buah pinggang. Wanita yang mengalami masalah pembengkakan ovary seperti Polycystic ovaries Syndrome (PCOS) juga sering mengalami masalah hormon estrogen yang berlebihan dan kekurangan hormone progesteron.
Oleh itu, saya cadangkan beberapa langkah untuk mengawal tindakan atau pengaruh estrogen agar ketumbuhan yang dinyatakan di atas dapat dikurangkan. Estrogen dibentuk dari kolesterol melalui rangkaian tindakan biokimia, dan enjim aromatase diperlukan.
Langkah-langkah mengawal estrogen:
1. Kekalkan berat badan ke tahap yang sesuai mengikut kiraan BMI kerana kegemukan boleh menggalakkan penghasilan estrogen yang berlebihan.
2. Lakukan senaman kerana senaman mempunyai pelbagai faedah di antaranya dapat mengimbangkan hormone estrogen dan progesteron
3. Mengawal stres. Selain boleh meningkatkan hormon cortisol/steroid, stres juga mempunyai pelbagai pengaruh yang boleh mengancam kesihatan wanita. Ia juga meningkatkan tahap estrogen.
Oleh itu, ambillah langkah- langkah mengawal stres seperti membaca al-Quran, solat, berzikir, berselawat ,bersenam selama 30 minit sehari, yoga dan yang paling mudah adalah dengan melakukan deep breathing exercise.
Deep breathing exercise ini boleh dilakukan di mana- mana setiap satu atau dua jam. Ini dapat menenangkan fikiran dan sekaligus dapat mengimbangkan hormon Estrogen dan Progesteron.
Pengambilan makanan yang berkhasiat:
Ada beberapa jenis makan yang bertindak mengawal tahap estrogen iaitu:
Buah delima/ promegranate
Pengambilan buah delima atau mengamalkan jus delima setiap hari akan memberi pelbagai faedah kesihatan. Antaranya ialah mengawal tekanan darah, mengurangkan arterosclerosis dan juga boleh mencegah/ mengurangkan risiko sakit jantung.
Seterusnya, ia juga bertindak sebagai anti-estrogen dengan mengawal enzim yang digelar aromatase enzim yang biasanya menggalakkan peningkatan estrogen.
Sayur- sayuran
Sayur- sayuran seperti brokoli, kobis, bunga kobis, sawi dan bayam mempunyai kandungan chlorophyll yang bertindak mengawal penghasilan hormon estrogen. Ia juga mengandungi sterol yang memang bertindak mengawal pembentukan estrogen.
Minyak zaitun (Extra virgin olive oil)
Minyak zaitun ini jika diamalkan setiap hari, ia boleh mengawal tahap estrogen dalam tubuh wanita melalui satu kandungannya yang digelar lutreopin yang juga mengawal/menindas tindakan enzim aromatase (enzim yang bertanggungjawab dalam penghasilan estrogen) di mana sekaligus mengawal penghasilan hormon estrogen yang berlebihan.
Cendawan
Cendawan yang dikatakan boleh mencegah enzim aromatase ialah cendawan butang atau cendawan Shitake yang bukan sahaja mencegah penghasilan estrogen, ia juga boleh mengawal kanser.
Biji anggur (grapeseed)
Biji anggur mengandungi pelbagai bahan resveratrol dan lain- lain polyphenol yang banyak mempengaruhi kesihatan manusia. Di antaranya ialah, mencegah penyakit jantung dan angin ahmar. Ia juga bertindak mengurangkan hormone estrogen dalam badan wanita.
Chia Seed
Chia seed merupakan bahan yang berguna untuk mengurangkan tahap estrogen dalam tubuh badan wanita. Begitu juga flexseed. Chia seed mengandungi omega 3 yang tinggi di samping vitamin-vitamin lain juga yang mempunyai faedah dalam kesihatan wanita
Oats
Oats adalah makanan yang sering diambil pada waktu sarapan. Ia juga diketahui mengandungi bahan steroidal saponins untuk mencegah tindakan enzim aromatase yang seterusnya menggalakan penghasilan estrogen.
Buah-buahan citrus
Buah buahan citrus seperti lemon,limau kasturi, limau bali, limau nipis di samping mangandungi vitamin C,dan anti-oksidan, ia juga mengandungi unsur anti-estrogen
Minum air limau kasturi (2 biji ), sebiji limau nipis atau sebiji lemon diperah juskedalam segelas air suam dan dicampur satu sudu madu. Amalkan setiap hari.
Bawang
Bawang banyak digunakan sebagai rencah dalam makanan kita. Di samping mengandungi bahan- bahan yang mengandungi anti-oksidan,ia juga boleh mencegah serangan sakit jantung. Ia juga mengandungi bahan dipanggil quercetin, sejenis flavonoids yang mengurangkan tahap estrogen dalam badan.
Kunyit
Kunyit mengandungi banyak khasiat kesihatan di antaranya dapat mengurangkan hormonestrogen dalam badan wanita. Mengamalkan kunyit/perahan air kunyit 2-3 kali seminggu dikatakan baik untuk mengimbangkan hormone estrogen dan progestero
Algae ( spirulina/ chlorella)
Algae diketahui ada kesan mengawal pembentukan estrogen dalam badan. Algae boleh diamalkan untuk mengimbangkan hormon wanita.
Makanan-makanan fermented
Makanan fermented seperti tempe, yogurt, kimchi, diketahui mempunyai pelbagai faedah dan juga berbillion bakteria baik untuk badan dan melawan bakteria yang berbahaya untuk usus kita. Ia juga mempunyai kesan anti-estrogen
Minyak kelapa dara
Minyak kelapa dara diketahui mempunyai kesan anti-estrogen.
Bawang Putih
Bawang putih mempunyai pelbagai kesan untul mengawal peredaran darah dan mengurangkan risiko sakit jantung dan angin ahmar. Ia juga mempunyai kesan anti -estrogen.
Daun kucai
Daun Kucai juga mempunyai bahan – bahan yang bertindak sebagai anti-estrogen.
Berries (black berries, blackcurrant, mulberry)
Berries mengandungi bahan anti-oksidan dan juga flavonoids yang banyak faedahnya terhadap kesihatan tubuh badan wanita. Di samping itu juga ia bertindak sebagai anti-estrogen
Ambillah langkah-langkah untuk mengimbangkan hormon serta mengurangkan tahap estrogen dalam tubuh badan wanita agar penyakit-penyakit seperti fibroid, adenomyosis dalam rahim, endometriosis, ovarian cyst, kanser rahim dan kanser payudara dapat dikawal di samping mengambil langkah- langkah lain untuk mengawal penyakit-penyakit tersebut.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak sampai hati bila anak-anak kena ekzema. Bukan apa pasti mereka rasa tak selesa, asyik merengek dan selalu nak menggaru. Hingga sampai satu tahap habis kulit melecet dan berdarah.
Bukan anak saja tak selesa, tapi ibu bapa pun akan rasa stres kerana dah berhabis wang untuk merawat dan membeli pelbagai ubat-ubatan untuk mengurangkan masalah ini.
Ada sesetengah pendapat menjelaskan untuk merawat masalah anak ekzema, penjagaan pemakanan penting bagi mengelakkan masalah ini berlarutan.
Menerusi perkongsian Puan Harlinda Halim dia ada berkongsi kisah mengenai anaknya iaitu Ku Muhammad Daffa Iman yang menghidap ekzema.
Menurutnya, penderitaan tersebut bermula sejak umur anaknya berusia 9 bulan lagi.
Mula ruam di leher terus merebak
Ini kisah saya dan anak saya yang keempat, seorang #eczemafighter. Saya ada 5 orang anak. 4 lelaki dan 1 perempuan. Alhamdulillah semuanya comel-comel dan bijak belaka. Anak keempat saya adalah seorang budak lelaki yang mana asalnya semasa lahir dia adalah seorang bayi yang normal, sangat comel dan putih melepak. Gebu gebasss bak kata orang. Nama anak kami hat sorang ni Ku Muhammad Daffa Iman atau nama panggilannya Porpor.
Tapi nak dipendekkan cerita, semasa umurnya masuk 9 bulan, satu hari ni dia kena ruam kat leher dan ruam ni luar biasa sikit. Sebab ruam ni nampak sangat gatal dan cepat betul merebak. Saya pun beli macam-macam krim sapu nak legakan gatal dia. Cuma tak bawa jumpa doktor sebab nak elakkan dari gunakan steroid kat anak. Sebab dah tau dah side effects steroid. So saya memang elak dari awal. Masa tu saya ingatkan penyakit ekzema ni macam penyakit kulit biasa. Maksudnya ianya boleh berlalu pergi dengan cepat dan terus sembuh dalam masa yang singkat. Rupanya saya silap besar.
Kulit terkopek dan merekah
Setelah saya sapu macam-macam krim yang saya beli melalui online & juga di farmasi, “ruam” anak saya semakin merebak dan jadi teruk. Kulit lehernya terkopek dan merekah. Dia punya gatal sampai dia garu kawasan leher tu hingga berdarah-darah. Scary sungguh saya tengok masa tu. Dari ke hari masalah gatal anak saya tu tak sembuh-sembuh malah makin teruk, makin merebak dan juga semakin kronik. Sampai tahap saya sapu apa pun langsung tak berkesan. Dan anak saya asyik menangis melalak non stop siang malam.
Terpaksa kawal makan dan berhenti sapu ubat
Malam langsung dia tak boleh tidur. Macam kena histeria dia menangis. Dengan saya-saya sekali mengongoi menangis sebab saya tak tau nak buat apa untuk tolong dia. Ada sekali ni, saya tinggalkan dia sekejap je tak sampai 5 minit sebab saya dah tak tahan nak buang air. Bila saya keluar je dari tandas, saya tengok dah habis satu muka dia berlumuran darah sebab dia garu. Allahuakbar, hanya Allah Taala je lah yang tahu apa yang saya rasa masa tu. Rasa buntu, bengap, stress, sedih melampau, lost, useless, failed..semua pun ada.
Since saya pun susukan dia dengan susu badan sepenuhnya, saya terpaksa kawal makan. Saya sendiri jadi takut gila nak makan semua benda. Nak makan apa pun saya tak tau. Since dah terlalu stress sebab berbulan-bulan hadap situasi yang sama, satu hari saya decide untuk stop sapu segala jenis ubat dan krim yang dibeli. Saya buat research dan pembacaan macam orang gila. Saya consult orang sana sini. Saya tanya kawan-kawan yang ada masalah yang sama.
Barulah saya faham akhirnya. Ekzema ni bukan penyakit kulit biasa-biasa rupa-rupanya. Ianya adalah penyakit yang “luar biasa” yang dah jadi penyakit biasa dikalangan anak-anak kecil zaman sekarang. Kalau saya nak ceritakan semua sekali memang akan jadi sangat-sangat lah panjang posting saya kali ni. So saya share yang ringakasannya sahaja buat masa ni. Setelah berhabis duit berbelas ribu ringgit beli macam-macam ubat dan buat macam-macam rawatan termasuklah ruqyah, I finally decided to take the matters into my own hand.
Cuba buat rawatan semulajadi
Dari keluar duit beli ubat kat farmasi, saya decide untuk bancuh sendiri ubat sapu ekzema untuk anak saya. Kebetulan masa saya mengandungkan anak saya 7 bulan, saya pernah pergi belajar buat sabun handmade sebab nak buat bisnes sabun dari rumah. Dan bertitik tolak dari ilmu pengetahuan buat sabun tulah, saya tahu serba sedikit cara nak buat sabun & juga krim khas untuk masalah kulit ekzema.
PETUA LEGAKAN KEGATALAN EKZEMA MELAMPAU DENGAN PANTAS MENGGUNAKAN BAHAN DARI DAPUR ANDA
Di sini saya nak kongsikan dengan mommies petua mudah nak stopkan rasa gatal ekzema yang melampau tu dengan bahan dari dapur jeee iaitu OATMEAL.
Mommies perasan tak? Bila nak masuk waktu maghrib je. Nanti kulit anak menjadi-jadi gatal. Kalau ada yang macam ni, mommies boleh lah cuba petua saya ni. Cepat dan BERKESAN tau hilangkan rasa gatal tengah malam tu.
Sebab saya sendiri selalu buat kat anak saya. Bila setiap kali dia gatal tengah malam tak boleh tidur. Saya memang laju laju mandikan dia dengan oatmeal ni. Lepas mandi dengan oatmeal baru nampak dia bertenang dan boleh tidur.
Mandian oatmeal tersangatlah BAGUS dan berkesan dengan CEPAT dalam melegakan KEGATALAN dan KERADANGAN ekzema.
Bahan-bahan yang mommies perlukan adalah:
✅ ROLLED OATS
Sebaiknya cari Organic Rolled Oats. Rolled oat tak ley dimakan oleh pesakit ekzema. Nanti usus terbeban dengan gluten yang ada dalam oat. Boleh untuk mandian luaran sahaja. Guna rolled oat yang tiada campuran bahan lain. Elakkan guna minuman atau makanan oatmeal 3 in 1 yang ada susu dan gula.
✅ STOKIN BERSIH
Gunakan sarung kaki yang bersih. Boleh juga gunakan “organza bag” yang biasa kita letak telur pengantin tu.
✅ AIR SUAM
Jangan guna air panas. Ekzema tak sesuai air panas. Nanti mengeringkan lagi kulit ekzema dan menerukkan lagi kegatalan.
✅ BATH TUB
Selain bath tub. Boleh juga guna besen besar yang bersih.
Cara-caranya adalah:
1️⃣ Ambil SEGENGGAM ROLLED OAT dan letakkan didalam stokin.
2️⃣ RENDAMKAN STOKIN tadi 3 ke 5 minit di dalam besen besar atau tub mandian anda sampai air berubah warna putih susu.
3️⃣ RENDAM BADAN anda beberapa minit/ siram badan anda dengan air rendaman oatmeal tadi.
4️⃣ Kemudian PICIT-PICIT STOKIN bagi mengeluarkan lendir oat. Lendir oat ini boleh disapu pada bahagian yang sedang gatal dan merah keradangan.
5️⃣ Selepas itu, TAK PERLU BILAS DENGAN AIR BIASA. Biarkan ia kering di badan.
Wajib tekan button SHARE atau TAG parents lain yang ada anak ekzema juga lepas baca posting ni ye.
Kita nak lebih ramai lagi mak ayah tahu petua ni & dapat aplikasikan ilmu berharga ni demi anak kesayangan.
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...