Pun begitu, dalam kita berjimat harus pastikan kesihatan diri dan anak-anak diutamakan. Elakkan sama sekali menggunakan minyak masak berulang kali. Ini yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Samhan menerusi facebooknya.
Minyak masak yang digunakan berulang kali boleh mengundang risiko mendapat penyakit atherosclerosis (salur darah tersumbat akibat menjadi keras dan tebal), penyakit hati, penyakit jantung, penyakit Alzheimer, Parkinson dan barah.
Ini kerana semasa menggoreng, minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang tertinggal di dalam minyak.
Makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut.
Ads
Kebanyakan kita tidak membuang minyak yang telah digunakan dan menggunakannya lagi beberapa kali sebelum dibuang.
Pesanan saya, ✅ Sebaiknya minyak masak digunapakai maksimum sehingga dua atau tiga kali sahaja. Jika minyak berkenaan telah bertukar warna menjadi perang kehitaman, minyak berkenaan perlu dibuang.
Ads
✅ Minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dibuang kerana darah haiwan itu akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemaknya yang berbahaya kepada kesihatan.
✅ Hati-hati menggunakan minyak masak dalam peket 1kg. Kajian menunjukkan minyak dalam peket 1 kg ini tidak sihat mengikut piawaian yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
✅ Elakkan dari membeli minyak yang tidak dapat dipastikan pengeluarnya walaupun harganya adalah lebih murah.
Ads
✅ Kurangkan tabiat makan makanan yang digoreng di luar rumah kerana dibimbangi peniaga menggunakan minyak masak yang dikitar semula kerana berharga murah dan dapat mengurangkan kos.
✅ Gunalah minyak yang mendapat pengesahan dari SIRIM sahaja untuk menjamin kesihatan kita.
Di rumah,saya memang melarang isteri untuk guna minyak yang sama. Cukup hanya sekali.
Jangan gunakan minyak masak berulang kali. Minyak yang dikitar semula hanya sesuai dijadikan biodisel untuk bahan bakar bukan untuk masak makanan.
Kongsikan info penting ini pada yang lain supaya lebih ramai tahu bahaya guna minyak masak berulang kali.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada ibu yang memang jenis nak perfect bila buat kerja rumah. Akibatnya semua tugas dia buat sendiri dan akhirnya terlebih penat dan makan diri sendiri sampai jadi stres!
Ada ke yang jenis macam tu?
Kadangkala disebabkan penat buat sendiri, ibu jadi stres tengok ayah seronok tengok TV dengan anak-anak. Akhirnya buat kesimpulan suami memang jenis tak nak tolong.
Sebenarnya suami bukan tak nak tolong tapi dah orang lelaki memang kita kena minta tolong baru mereka buat sebab mereka tak tahu apa tugas yang boleh ditolong.
Perkongsian dari Basyirah Ahmad berdasarkan pengalamannya sendiri patut dijadikan panduan oleh ibu-ibu lain. Ibu kepada tiga orang anak berusia 9, 6 dan 3 tahun ini dulu pun seorang yang cerewet hal-hal tugas rumah tangga.
Kadangkala bila terlalu nak semua perfect ia menjadi punca kita stres dan asyik marah anak dan suami.
Basyi ni dulu spesis mak-mak keturunan naga juga. Sehari rasanya 5-6 kali anak-anak rentung kena semburan berapi.
Mungkin dengan bapak budak tu sekali terasa bahangnya sekali.
Mak paling stress dalam dunia la kekdahnya.
Basyi dulu banyak SOP yang bukan-bukan dalam urusan harian.
Cerewet tak menentu la kata orang.
Rasa rasa, kebanyakan perempuan camtu jugak la.
Satu perkara yang boleh buat Basyi cepat meletop, menyinga dan terbakar jiwa adalah rumah yang bersepah tak tentu hala.
Kita ni kadang bangun pagi dengan mata yang tak berapa nak buka lagi, dah melilau tengok rumah bersih ke tidak. Ada mainan bertaburan atas karpet ke tak.
Kalau ada jumpa rambut-rambut yang bergelimpangan atas lantai, kita sapu dengan tangan dan buangkan.
Itu hal pagi.
Lepas tu banyakkkk sangat SOP.
Baju yang sidai pagi kena siap lipat malam tu juga.
Baju yang dah setengah penuh dalam bakul kena basuh segera.
Yang dah siap pusing dari mesin, kena sidai jam-jam tu juga.
Prinsipnya, dalam bakul tu tak boleh ada apa apa. Bakul baju tu sampai pernah bertindih dua sebab kosong sentiasa.
Lantai wajib bersapu dan bermop setiap hari. Tanpa gagal.
Pukul 11 malam kadang tak tidur lagi. Pasal lantai belum berseri-seri.
Sebelum tidur, sinki tak boleh ada sebijik pinggan atau cawan pun.
Susun atur rumah, dua tiga bulan sekali, kita alih segala perabot tukar habis tempat dia.
Melipat pun 1 hal juga. Bucu semua kena mau sama.
Basyi ni, Kalau sesekali encik tu tolong lipatkan, Basyi diam-diam bukak dan lipat balik sebab tak ikut spek yang Basyi maukan.
Rupanya dia tau dan terus merajuk panjang.
Baju hujung minggu kena siap beriron bergantung untuk seminggu punya.
Yang spesis masa sidai baju susun ikut kaler pun ada juga.
Dan segala rencah mak nenek ni, selalunya kita sibuk buat semua sorang diri. Atas prinsip orang perempuan ni mampu uruskan semua perkara sendiri.
Minta tolong orang lain uruskan rumah tu tanda kita lemah dan tidak mampu menjadi supermom mengikut standard yang kita tetapkan.
Orang laki ni pulak, selagi kita tak mintak tolong, dia pun ingat kita mampu uruskan semua benda.
Tapi tau tak korang, segala susah payah ni akhirnya akan makan diri ?
Semua standard prosedur yang kita cipta sendiri ni, memang boleh bentuk kita jadi orang yang cekap dan lebih berdisiplin.
Tambah-tambah, benda kecil dan detail ni memang fitrah orang perempuan. Sukakan kecantikan.
Tapi sayangnya, benda-benda kecil begini bila kita terlalu terikat dengannya, akan jadi satu tekanan negatif pula untuk kita.
Ada waktunya, korang akan mula merasa bahang stressnya.
Anak tak boleh sepahkan barang sikit, kita akan cepat melenting.
Baru dia nak letak mainan dia sekejap, kita dah gelisah macam cacing tak jumpa tanah.
Terkejar-kejar nak siapkan semua task dalam 1 masa.
Lepas tu mula la buat kerja dalam keadaan marah-marah. Jadi tak ikhlas sikit habuk pun sebenarnya.
Bila orang lain tak ikut cara kita, kita rasa diorang tak boleh paham dengan kita.
Muka asyik masam mencuka. Lagi masam dari cuka kurma.
Hati meronta-ronta nak spend masa golek-golek depan TV sambil gaduh berebut remote tibi dengan anak-anak dan laki, tapi urusan rumah belum selesai lagi.
Tak ada me time.
Kehendak diri rasa tak dipenuhi.
Benci.
Sampai kadang-kadang kena tegur dengan encik suami.
‘Awak ada marah saya ke apa?’ Padahal orang tu tak ada salah apa-apa.
Lepas tu kita mengharapkan semua orang akan berterima kasih dengan segala jerih perih yang kita dah lakukan. Tapi tak ada pun!
Deep down, kita sebenarnya dah start tak menghargai diri sendiri.
That’s it! Basyi dulu pun spesis tu la juga.
Tapi Basyi dah tak nak hidup macam ni dah.
Basyi nak rilek-rilek. Happy happy.
Basyi tune. Tak mudah. Tapi lama-lama benda tu akan jadi biasa.
Basyi buang semua standard yang Basyi dah tetapkan.
Pinggan tak sempat basuh, biarkan.
Rumah tak sempat mengemop dan bersapu. Pejam mata sudah.
Kain setimbun belum berlipat dan bersidai. Abaikan.
Esok ada. Tak sempat esok, lusa, tulat, tungging, hujung minggu.
Rumah tu rumah kita. Selagi tak berkecah sangat, tak payah nak kecoh sangat la.
Tak sempat nak masak segala, kedai kan ada. Support la jugak depa. Anak-anak pun bosan juga asyik nak makan yang kita masak punya.
Basyi belajar delegate tugas.
Awak, awak tolong buat ini boleh? Saya buat ini, ini.. Tak sempat tak apa.
Rupanya tak ada masalah pun dia nak bantu kita. Kita ja yang kalut sorang nak pulun semua dah kenapa?
And yesss. Basyi lebih happy dengan diri sendiri, dengan tok laki, dengan family.
Kesimpulannya Basyi nak cakap lepas berleter panjang panjang ni,
(1) Sayang dan hargai diri kita dulu. Baru orang lain akan start hargai kita .
Jaga diri. Kalau kita sihat dan happy, baru kita boleh jaga anak-anak.
Balik rumah, siapkan diri dulu. Letak beg, mandi, silang kaki depan TV. Hihi.
(2) Tak kisah kita mak yang kerja ke, duk rumah ke, kalau kita penat, berhenti sekejap dan berehat sajalah.
Sesekali usap usap muka dan belai jerawat yang ada seketol dua, tak ada salahnya.
(3) Cari me time.
Walaupun sekejap, setakat minum kopi panas sambil kaki bersilang atas meja dan angkat majalah tinggi-tinggi depan muka, dah cukup heaven dah tu.
Abaikan saja anak-anak yang tengah bergusti depan mata.
(4) Jangan biarkan orang lain sibuk-sibuk judge kita. Dia tak tau susah kita, hidup kita macam mana.
Kalau dia asyik nak membawang pasal kita, pekakkan telinga saja. Kalau tak tahan juga, ambil bawang putih dan tonyoh dalam mata dia. Bhahahah. Ni jahat!
(5) Kita sendiri pun jangan down grade kan diri kita.
Enjoy dengan apa yang kita buat setiap hari sebab ada momen-momen dalam hidup kita tu, yang mungkin lepas ni kita takkan rasa lagi.
Bebas dari stress adalah satu kejayaan bagi Basyi.
Kalau dari dulu Basyi macamni, mesti muka Basyi awet muda macam budak darjah 6 baru habis periksa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amalan berpantang selepas keguguran, jangan anggap tak penting, paling kurang 14 hari. Keguguran ketika mengandung boleh berlaku kepada mana-mana wanita hamil. Situasi keguguran dikatakan lebih serius berbanding kelahiran.
Amat penting untuk wanita yang mengalami keguguran untuk menitikberatkan penjagaan selepas keguguran. Keguguran ialah kehilangan bayi dalam kandungan sebelum minggu ke-24 kehamilan.
Keguguran yang berlaku dalam 12 minggu pertama kehamilan, ia dipanggil keguguran awal. Jika kehilangan berlaku selepas tempoh ini, ia dipanggil keguguran lewat.
Keguguran biasanya berlaku kerana embrio (janin) tidak berkembang seperti sepatutnya. Masalah-masalah kromosom juga dikatakan penyebab yang biasa. Masalah-masalah ini biasanya berlaku tanpa sebarang sebab.
Untuk berkembang dengan betul, bayi memerlukan jumlah kromosom normal yang tepat. Dia memerlukan 23 kromosom daripada ibu dan 23 lagi daripada bapa. Kecacatan kromosom boleh menghalang bayi daripada berkembang.
Kecacatan ini mungkin berlaku kerana:
Terdapat jumlah kromosom yang tidak tepat;
Terdapat perubahan dalam struktur kromosom.Dalam kes ini, kehamilan akan terhenti pada peringkat embrio.
Keguguran lewat pula lebih berkemungkinan berlaku akibat masalah kesihatan wanita tersebut berbanding masalah pada bayi, tetapi tidak semua kes seperti ini.
Perlu tak berurut dan berpantang? Jawapannya perlu berurut dan berpantang. Wanita mengalami keguguran juga perlu melalui tempoh berpantang dan berurut, bertungku sama seperti ibu selepas bersalin. Cuma tempoh berpantang agak berbeza dengan berpantang selepas bersalin sebenar.
Berapa lama tempoh berpantang?
Kalau mengikut nasihat orang tua-tua dahulu, berpantang keguguran sama tempohnya dengan bersalin sebenar dan lebih rapi. Tetapi oleh kerana keadaan semasa da ‘life style’ sekarang, tidak mengizinkan ibu yang keguguran berpantang dalam tempoh yang lama untuk berehat dan menjaga pemakanan.
Selalunya untuk wanita yang bekerja, doktor hanya memberikan 7-10 hari cuti sakit akibat daripada keguguran. Oleh kerana waktu berehat yang pendek meyebabkan ibu yang keguguran tidak dapat berpantang sama seperti ibu bersalin sebenar.
Ibu yang bersalin secara normal mahu pun pembedahan akan menjalani tempoh berpantang selama 40-44 hari, ada juga yang berpantang 60-100 hari. Terpulang kepada individu.
Berpantang kerana keguguran, disyorkan menjalani proses berpantang, berurut dan bertungku serta menjaga pemakanan selama 14 hari paling minimum. Ini kerana untuk menjalani proses berpantang sepenuhnya seperti yang di ajar oleh org tua-tua dulu adalah tidak praktikal lagi kerana masalah kerja dan cuti yang pendek.
JIKA PENJAGAAN BERPANTANG DILAKUKAN DENGAN BETUL, IBU DAPAT MEMPERCEPATKAN PROSES PEMULIHAN SEPERTI TEKANAN EMOSI, MASALAH KESUBURAN, LEMAH RAHIM, KETIDAKSEIMBANGAN HORMON, BENGKAK DAN BISA OTOT PERANAKAN.
Masalah angin merian yang berpunca daripada keracunan darah juga boleh terkena kepada ibu yang keguguran tanpa penjagaan rapi. Sekiranya bahagian rahim tidak dibersihkan dengan rapi, toksin akan meresap ke seluruh sistem badan. Akibatnya ibu boleh demam panas sehingga mendapat kancing gigi apabila tidak berpantang makanan yang dilarang selepas keguguran.
Berurut dan bertungku sangat membantu untuk proses pemulihan selepas keguguran. Janganlah berurut mengikut ala kadar asalkan buat. Berurut dan bertungkulah sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh berpantang, urut seawal hari yang ke 3 atau ke 4 selepas proses DNC atau pun janin keluar sendiri melalui proses natural.
Kebaikan berurut dan bertungku ialah mengeluarkan saki baki darah beku yang tertinggal di dalam rahim atau disaluran peranakan, mengeluarkan angin, memulihkan dan melembutkan urat-urat yang tegang dan menyegarkan badan.
Untuk lebih berkesan, pantang larang pemakanan juga mesti diambil berat.
Pelbagai hadiah menarik menanti anda selain boleh berhimpun bersama ratusan ekor kucing Oyen comel di sini. Apa lagi daftar sekarang dan jadi sebahagian peserta kami.
Dahulu, dirinya pernah berasa kecewa lantaran dihempap dengan dugaan yang dibebankan di bahu sejurus melahirkan anak kedua. Namun kini Nurul Ain tekad berubah menjadi ibu yang sentiasa berdiri teguh di belakang anaknya Muhammad Al Qhalef bin Mohd Hafidzul, dua tahun yang disahkan mengalami sindrom Down. Mari baca luahan hatinya.
Saat mengandungkan kamu, semuanya berjalan dengan lancar. Tiada ada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Sangkaan mama, kamu bakal lahir dalam keadaan yang sihat dan selamat, sama seperti bayi normal lain yang menjadi dambaan setiap ibu.
Pemeriksaan antenatal saban bulan, mama lalui seperti kelazimannya. Menurut kata doktor, si ibu dan si anak dalam kandungan disahkan sihat. Mama langsung tidak pernah berdepan dengan masalah kesihatan. Malah mama sering diberi pujian daripada doktor kerana semua hasil ujian yang dijalankan menunjukkan keputusan yang sangat memuaskan.
Semasa usia kandungan lebih kurang tujuh ke lapan bulan, mama menjalani ujian imbasan 4D. Hasil ujian itu pun langsung tidak dapat mengesan sebarang permasalahan yang menyelubungi diri kamu sejak dari dalam kandungan. Paling mama ingati, mama teruja apabila dapat menyaksikan iras wajah kamu saling tak tumpah, sama seperti kakak sulungmu yang dilahirkan normal.
Musibah ini hanya mama ketahui setelah kamu dilahirkan, sayang. Doktor yang menyambut kelahiran mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lantaran kamu tidak menangis. Tambahan pula keadaan fizikal kamu agak lembik dan bentuk muka pula berbeza daripada kanak-kanak normal.
Siapa sangka mama yang berumur 28 tahun saat mengandung dan melahirkan kamu boleh terjebak memiliki anak sindrom Down. Sungguh mama tidak menyangka dugaan ini menimpa kita.
Bila difikirkan sejenak, mama beranggapan hal ini mungkin ada kaitan dengan faktor keturunan. Hal ini lantaran kakak mama pun turut mempunyai anak sindrom Down dan usia sepupu kamu kini sudah tujuh tahun.
Lama-kelamaan mama sedar tiada apa-apa yang patut mama malukan. Kamu darah daging mama! Manakan mungkin mama melakukan sedemikian kepada kamu. Naifnya mama saat itu.
Syukur Alhamdulillah, doktor dan keluarga kita terutamanya papa banyak menyedarkan dan memberi semangat padu kepada mama. Mama mendapat kaunseling dan ilmu yang betul tentang cara penjagaan dan pengendalian anak istimewa. Ya! kamu memang sangat istimewa pada pandangan mama, sayang.
Perkembangan kamu agak lambat dan sangat mudah terkena jangkitan semasa masih bayi. Hospital umpama rumah kedua disebabkan mama dan papa kerap keluar – masuk hospital demi menjaga kamu yang diduga dengan masalah batuk berpanjangan.
Kini, kamu dan mama sama-sama menjalani rutin fisioterapi. Di rumah pun mama selalu berikan kamu urutan khas saban pagi. Mujurlah mama ada sesikit bekal ilmu lantaran turut memiliki spa D’Layla Beauty di Seksyen 7, Shah Alam.
Mama akui, masa kita berdua lebih banyak berbanding apa yang seharusnya mama peruntukkan untuk kakak. Harap dia faham tentang dugaan yang sedang kita sekeluarga lalui. Sungguh mencabar buat mama tetapi mama perlu terus kuat untuk menempuhi semua ini.
Harapan mama terhadap kamu tidaklah menggunung tinggi. Mama selalu berdoa Allah panjangkan usia mama agar dapat terus membimbing dan melihat kamu berupaya untuk berdikari di masa hadapan.
Mama sayang kamu,
Nurul Ain Mohd Rosly
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!