Bagi mama yang menyimpan susu badan untuk dijadikan stok untuk bayi, penyimpanan stok susu mesti ada teknik yang betul. Ini bagi memastikan kesegaran susu badan terpelihara agar bayi mama mendapat susu yang berkhasiat.
Tip Simpan Susu Ibu Dengan Cara Yang Betul
Susu yang telah diperah perlu disimpan dengan baik di tempat yang selamat. Ibu-ibu yang menyusukan bayi perlu mengetahui cara terbaik menyimpan susu untuk si manja supaya susu tidak rosak dan menghilangkan segala khasiatnya.
Barulah Khasiatnya Tak Hilang
1. Susu ibu yang baru diperah boleh disimpan pada suhu bilik di antara 27°C ke 32°C, jangka waktu 3 – 4 jam adalah had munasabah untuk menyimpan susu ibu perahan.
2. Susu ibu selamat pada suhu 15°C untuk tempoh 24 jam berdasarkan kepada perkembangan minimum bakteria yang terkandung di dalam sampel kajian.
Walau bagaimanapun, terdapat pek sejuk yang digunakan mampu menyimpan susu ibu pada suhu seperti di dalam peti ais iaitu 4°C. Oleh itu pastikan pek ais yang digunakan berkualiti.
3. Kajian pemerahan susu ibu dengan sedikit pencemaran ketika pengepaman menunjukkan perkembangan bakteria adalah pada paras rendah dalam tempoh 72 jam. Malah, ia masih selamat selepas 4 hingga 8 hari didinginkan.
IKLAN
4. Membeku susu ibu perahan (-4°C hingga -20°C) adalah selamat untuk sekurang-kurangnya tiga bulan. Vitamin A, E dan B, jumlah protein, lemak, enzim, laktosa, zink, immunoglobin, lysozyme dan laktoferin biasanya kekal apabila dibekukan.
5. Susu ibu beku perlu disimpan di bahagian belakang peti sejuk beku untuk mengelakkan pemanasan semula akibat kekerapan membuka dan menutup peti sejuk. Jadi, semua bekas penyimpan susu ibu perlu ditutup rapat untuk mengelakkan pencemaran.
6. Selepas bekas penyimpanan diisi dengan susu ibu, sedikit ruang perlu ada di bahagian atas bekas penyimpan untuk membenarkan ia mengembang ketika dibekukan.
IKLAN
7. Semua bekas penyimpan susu ibu perlu dilabel dengan tarikh susu dipam. Nama anak perlu dilabel terutama jika anda membekalkan kepada pengasuh yang perlu memberi susu ibu perahan kepada ramai bayi lain.
Biasanya bayi memerlukan 60 – 120ml setiap sesi penyusuan ketika berada di rumah pengasuh. Jadi, simpan susu ibu dalam stok 60 – 120ml setiap satu adalah cara mudah untuk mengelakkan pembaziran.
8. Elakkan menambah susu ibu yang masih suam ke dalam susu yang telah dibeku. Ini bagi mengelakkan pemanasan semula susu yang telah dibekukan. Adalah lebih baik jika anda menyejukkan terlebih dahulu susu ibu yang baharu dipam sebelum dicampur bersama stok sedia ada.
IKLAN
Susu ibu yang disimpan mungkin berubah bau dan rasa asalnya kerana aktiviti lipase (proses pemisahan lemak yang membantu proses penghadaman bayi terutamanya bayi pramatang). Ia tidak mendatangkan mudarat walaupun ada sesetengah bayi mungkin menolak susu berkenaan.
Apa sebenarnya bentan dari sudut sains? Elok diketahui punca-punca bentan ini supaya tidak terikut pantang larang karut.
Perkataan bentan selalu berlegar dalam masyarakat terutama sekali bagi wanita selepas bersalin dan kanak-kanak berkhatan. Penjelasan ini merungkai apa sebenarnya bentan dari sudut sains.
“Siapa suruh langgar pantang??! Kan dah BENTAN !!”
Bentan sering dikaitkan dengan wanita selepas bersalin. Bentan juga turut dikaitkan dengan kanak-kanak yang berkhatan. Dalam masyarakat Melayu, bentan dipercayai sebagai akibat melanggar pantang-larang selepas bersalin.
Antara contoh pantang-larang selepas bersalin ialah :
Berjalan dengan langkah yang kecil.
Berpantang dari beberapa jenis makanan seperti timun, buah-buahan dan sayuran yang dikatakan sejuk.
Ikat rambut tinggi-tinggi, tidur menggunakan tujuh bantal
Tidak keluar rumah selama 40 hari.
Apakah yang dimaksudkan dengan bentan?
Dari aspek perubatan, bentan adalah komplikasi akibat jangkitan kuman yang dialami selepas proses kelahiran bayi.
Antara gejalanya ialah : Demam, badan berasa lemah / seram sejuk, pening, loya, sakit sendi, tumpah darah, keluar cecair berbau busuk dari faraj, sakit pada bahagian peranakan, sakit pada bahagian luka kelahiran dan jantung yang berdegup kencang.
Terdapat pelbagai sumber jangkitan yang boleh berlaku pada wanita semasa proses berpantang:
1) Jangkitan pada luka tempat kelahiran
Ia boleh berlaku pada luka bahagian faraj jika pembedahan secara normal atau menggunakan vacuum atau forceps. Jangkitan juga boleh berlaku pada luka pembedahan bagi kelahiran secara Caesarean.
2) Jangkitan pada payudara (mastitis)
Dalam masyarakat Melayu, ia lebih dikenali sebagai bengkak susu. Ia boleh terjadi akibat saluran susu yang tersumbat atau rekahan pada puting buah dada yang tidak dirawat.
3) Jangkitan pada salur peranakan.
Ia boleh berlaku jika terdapat sisa daripada proses kelahiran (product of conception) yang tertinggal dalam saluran peranakan contohnya bahagian daripada uri. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit perut, sakit pada ari-ari dan menyebabkan tumpah darah.
4) Jangkitan pada saluran kencing.
Ini boleh berlaku jika wanita tersebut kurang minum air semasa berpantang. Pengambilan air yang cukup adalah penting untuk proses pelawasan kencing.
Mengikut pantang-larang orang-orang lama, wanita berpantang perlu menghadkan pengambilan air bagi mengelakkan muka menjadi sembap atau kaki bengkak. Tetapi, perlu diingatkan di sini, jika terdapat simptom muka, badan atau kaki menjadi sembap, wanita tersebut perlu diperiksa untuk penyakit darah tinggi. Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan sawan atau stroke.
Selain itu, jangkitan pada saluran kencing boleh berlaku jika penjagaan kebersihan faraj diabaikan. Faraj perlu kerap dibersihkan dan kerap menukar tuala wanita.
5) Jangkitan salur pernafasan
Ini boleh berlaku sebagai komplikasi dari prosedur bius (anaesthesia) semasa pembedahan Caesarean. Antara simptomnya ialah batuk, sesak nafas, pernafasan kencang atau sakit dada.
6) Sebab-sebab lain yang tidak berkaitan dengan kelahiran
Jangkitan juga boleh berlaku pada bahagian tubuh yang lain, yang tidak terlibat semasa proses kelahiran. Contohnya akibat gusi bengkak, jangkitan dalam telinga dan cengkam kuku yang bernanah.
Sebagai peringatan utama , bentan adalah salah satu cara tubuh berkomunikasi untuk meminta bantuan dan rawatan . Ia tidak perlu diabaikan atau hanya dipandang mudah sebagai “akibat melanggar pantang”. Dapatkan rawatan dari klinik dan hospital berhampiran dengan segera!
Masalah bayi muntah ini kerap terjadi kepada bayi berumur di bawah 6 bulan dan boleh berlaku samada bayi menyusu ibu atau susu formula. Jika terjadi kepada bayi yang menyusu ibu, ibu atau orang di sekelilingnya akan mengatakan susunya tidak sedap atau kurang khasiat, bayi tidak suka rasa susu ibu dan bayi kembung perut sebab ibu tersalah makan.
Segala mitos ini akan menyebabkan si ibu percaya lantas memberikan bayinya susu formula. Jika ini terjadi kepada bayi yang menyusu formula pula, mitos yang kerap berlegar dalam masyarakat ialah, susu tidak sesuai, alahan kepada susu formula jenama tertentu dan akhirnya kerap bertukar pelbagai jenama susu.
Sedangkan kajian menunjukkan lebih kurang 2/3 bayi di bawah 6 bulan mengalami masalah sekurang-kurangnya sekali sehari. Kebanyakan masalah muntah sejak umur 1 minggu kelahiran dan 40 – 65 % bayi berumur 1-4 bulan disebabkan oleh Gastroesophageal Reflux (GER). Masalah GER ini akan semakin berkurangan sehingga bayi mencapai umur 6 bulan. Lebih kurang 96 % bayi yang mengalami GER ini akan sembuh sepenuhnya apabila mencapai umur setahun. (Anna Rybak, Int Journal Molecular ScienceAugust 2017, Czinn SJ et al. Paediatric Drugs 2013)
Apakah Gasteroesophageal reflux ini?
Di dalam perut manusia terdapat injap bahagian atas yang membuka laluan makanan daripada otot esofagus bawah (LES – lower esophageal sphincter) ke dalam perut (lihat gambarajah). Namun, di dalam bayi baru lahir, otot LES ini belum cukup kuat untuk menutup rapat selepas susu masuk dalam perut. Maka, makanan akan berpatah balik ke atas melalui esofagus dan bayi akan memuntahkan susu keluar.
Sekiranya bayi anda mengalami masalah muntah, perlu diteliti beberapa perkara yang membimbangkan dan perlu dibawa berjumpa pakar kanak-kanak.
Muntah yang tersangat kerap dan berhalaju tinggi setiap kali sejurus selepas atau semasa menyusu. Ini ditakuti bayi mempunyai masalah yang jarang berlaku iaitu Pyloric stenosis iaitu otot pylorus (injap perut bahagian bawah) yang tebal daripada normal.
Muntah yang menyebabkan kurang berat badan atau berat tidak naik secukupnya.
Jika bayi mempunyai tanda-tanda kurang air dalam darah (dehidrasi) seperti kurang membuang air besar dan kecil seperti normal dan kelihatan kulitnya kering dan bayi lemah dan tidak menangis seperti biasa.
Bayi tidak boleh membuang angin, perutnya kelihatan buncit dan lebih keras bila diurut, serta bayi menangis mengerang seperti sakit perut. Inimenandakan bayi mengalami usus tersumbat yang menyebabkannya muntah.
Bayi kerap terbatuk akibat tersedak / tercekik dengan susu yang berpatah balik ke dalam kerongkongnya. Kadang-kadang bayi boleh mendapat jangkitan paru-paru “aspiration pneumonia”.
Sekiranya bayi mengalami muntah disebabkan oleh GER tapi tiada tanda-tanda seperti di atas, maka anda tidak perlu panik. Ikuti langkah seperti di bawah;
Susukan bayi anda dalam posisi kepala bayi lebih tinggi kedudukannya daripada perut samada menyusu ibu atau menggunakan botol. Berhenti sekejap pada separuh masa penyusuannya (bila lihat hisapannya kurang laju). Letak bayi ke dada ibu dalam kedudukan menegak seperti ingin sendawakannya sambal menepuk lembut belakangnya. Ini memberikan masa untuk susu itu turun ke dalam perut bayi mengikut tarikan graviti. Lakukan perkara ini dalam 1-2 minit sahaja dan sambung lagi penyusuannya sehingga bayi kenyang atau susunya habis. Jika perlu sendawakan, sekali lagi ulang meletakkan bayi ke dada ibu. Kemudian, jika bayi tertidur, letakkan bayi mengiring ke tepi (kiri atau kanan) dan elakkan meletak bayi terlentang dengan kepala sama paras dengan perutnya. Ini dapat mengelakkan bayi daripada termuntah dan tersedak (choking) dengan susu yang berpatah balik.
Lakukan urutan perut bayi setiap kali bayi telah buang air besar atau kecil semasa menukar lampinnya. Urutan pusingan U daripada kanan bawah abdomen bayi, memusing U ke arah kiri bawah abdomen. Amalkan juga mengurut bayi di bahagian lain tubuh bayi jika selepas mandi dan boleh rujuk cara urutan ini dalam video pendidikan. Selepas mengurut, boleh lakukan gerakan kedua lutut serentak lipat ke perut untuk memberi tekanan agar bayi dapat membuang anginnya jika dia kembung (colic)
Jika memakai barut, elakkan terlalu ketat.
Elakkan meletakkan bayi dalam keadaan membongkok ke depan (posisi duduk) selepas menyusukan kerana ini akan memberi tekanan kepada perutnya sehingga muntah.
Jika bayi tersedak susu, segera tiarapkan baby di tangan ibu / penjaga, tepuk lembut belakangnya untuk memastikan bayi tidak menjadi kebiruan (cyanosis) kerana kurang oksigen akibat saluran nafas tersumbat. Sedut hidungnya jika terdapat susu keluar melalui hidung.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penjagaan oral dan gigi anak-anak memang sepatutnya dimulakan sejak si kecil anda mula tumbuh gigi. Tapi kadang sebagai ibu yang mungkin tak ada pengalaman atau baru punya seorang anak pasti kurang jelas tentang pemilihan ubat gigi yang baik buat anak-anak.
Dalam perkongsian yang dibuat oleh Doktor Azila Mohd Kasim menerusi akaun Facebook miliknya ada memberikan panduan untuk ibu-ibu memilih ubat gigi yang betul buat si kecil tersayang.
TIPS PEMILIHAN UBAT GIGI KANAK-KANAK.
Gigi berlubang juga dikenali sebagai karies atau kaviti. Ia adalah kerosakkan gigi disebabkan oleh asid dan menjadi bacteria.
Kaviti mungkin berbeza warna daripada kuning kepada hitam. simptom ini termasuk sakit dan kesukaran untuk makan.
Komplikasi termasuk keradangan pada tisu di sekitar gigi, kehilangan gigi dan infeksi atau bernanah.
Lesi karies boleh jadi aktif @ terhenti (arrested). Lesi karies aktif menunjukkan bukti perubahan yang progresif manakala (arrested) tidak. Cara hendak mengetahui lesi aktif atau tidak adalah dengan cara memerhati pada perubahan.
***********************
Memberus gigi adalah antara amalan penjagaan mulut yang sebaiknya dilakukan untuk kebersihan diri.
Memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida setiap hari boleh mencegah gigi daripada berlubang.
Penggunaan ubat gigi berfluorida merupakan salah satu cara untuk melindungi gigi dan mengurangkan kadar kerosakan gigi di serata dunia.
Kanak-kanak yang memberus gigi sekurang-kurangnya sekali sehari dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida akan kurang mengalami kerosakan gigi.
**********************
Apa itu flourida dan ubat gigi?
Penambahan bentuk-bentuk fluorida topikal dapat mengurangkan kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja lebih daripada ubat gigi sahaja, tetapi manfaat tambahannya adalah tidak besar.
Kerosakan gigi (karies gigi) adalah menyakitkan, mahal untuk dirawat dan dapat memusnahkan gigi dengan serius.
Fluorida adalah satu mineral yang mencegah kerosakan gigi. Fluorida telah ditambah ke dalam bekalan air di banyak kawasan. Ia juga dapat diaplikasikan dalam bentuk ubat gigi, ubat kumur, gel dan varnis
*********************
Fluorida ialah mineral semula jadi yang boleh menguatkan lapisan luar gigi dan membantu mencegah kerosakan gigi.
Walau bagaimanapun, penggunaan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan (fluorosis enamel) iaitu kecacatan pada lapisan luar gigi.
Ubat gigi adalah pes atau gel pembersih gigi yang digunakan dengan berus gigi. Ia digunakan untuk membersihkan dan mengekalkan kecantikan dan kesihatan gigi.
Ia berfungsi membantu menghilangkan plak gigi dan sisa makanan yang melekat pada permukaan gigi, mengurangkan halitosis (masalah mulut berbau) serta mengandungi mineral aktif seperti fluorida dan natrium sulfat.
KANDUNGAN FLOURIDA DI DALAM UBAT GIGI ADALAH BERBEZA MENGIKUT KEPERLUAN.
Bagi kanak-kanak, jumlah flourida yang diperlukan adalah 450ppm sehingga 600ppm.
Manakala bagi orang dewasa adalah 1000ppm sehingga 1450ppm.
********************
Penggunaan Ubat Gigi Berfluorida Yang Betul
Memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak boleh memastikan gigi anak-anak anda menerima kebaikan fluorida iaitu menguatkan enamel gigi serta mencegah karies.
Kuantiti penggunaan ubat gigi berfluorida yang di cadangkan:
UNTUK KANAK-KANAK DI BAWAH 2 TAHUN :
Bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, ubat gigi mungkin tidak perlu digunakan
ATAU
hanya meletak satu lapisan yang sangat tipis pada permukaan berus gigi
ATAU
sebesar saiz sebutir beras
2. UNTUK KANAK-KANAK 3 – 6 TAHUN
Gunakan kuantiti kecil ubat gigi berfluorida kanak-kanak sebanyak 0.25 g ke 0.5 g
ATAU
sebesar kacang soya / kacang hijau
ATAU
sepanjang 5 mm pada permukaan berus gigi.
PERINGATAN : Kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah hendaklah di bantu semasa memberus gigi dan penggunaan ubat gigi berfluorida mestilah di kawal oleh ibu bapa atau penjaga.
Sebahagian ubat gigi mempunyai perisa yang pelbagai, seperti strawberi, pisang dan lemon.
Oleh itu, kadang-kala anak kita akan menelan sahaja ubat gigi dan tidak meludah keluar. Ajar anak anda untuk tidak menelan ubat gigi sebaliknya meludah sebaik sahaja selepas memberus gigi.
3. UNTUK KANAK-KANAK 6 TAHUN KE ATAS
Pada usia ini, kanak-kanak sudah dibenarkan untuk menggunakan ubat gigi dewasa (1000ppm flourida).
Kuantiti yang diperlukan adalah sedikit sahaja, iaitu sebesar kacang soya/kacang hijau atau separuh daripada kepala berus gigi khas untuk kanak-kanak.
Paling penting, jangan biarkan anak anda menelan ubat gigi. Ibu bapa boleh merujuk kepada doktor gigi tentang ubat gigi yang sesuai untuk anak anda.
Setiap kanak-kanak mungkin mempunyai keperluan yang berbeza, bergantung kepada tahap kerosakan gigi anak anda di dalam mulut.
******************************
Perkara yang BOLEH dan TIDAK BOLEH dalam penggunaan ubat gigi untuk kanak-kanak.
BOLEH :
Gunakan secalit sahaja ubat gigi kanak-kanak untuk yang kecil di bawah umur 2 tahun ( Ubat gigi kanak-kanak mengandungi fluorida sebanyak 600ppm atau kurang )
Berus dua kali sehari (pada waktu pagi dan malam sebelum tidur)
Penting memberus di waktu malam sebelum tidur
—————————-
TIDAK BOLEH :
1) Jangan mencadangkan ubat gigi yang mengandungi lebih fluorida dari 600ppm untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah melainkan di nilai kadar kariesnya tinggi.
2) Jangan berkumur selepas memberus gigi (digalakkan berludah sahaja )
Untuk kanak-kanak yang di nilai kadar kariesnya tinggi, walaupun ia berumur enam tahun ke bawah, ia di nasihatkan menggunakan ubat gigi berfluorida mengandungi lebih daripada 1000ppm fluorida ataupun ubat gigi dewasa.
*************************
Kesan Pengambilan Fluorida Berlebihan :
Pengambilan fluorida berlebihan oleh kanak-kanak sering kali terjadi bila mereka menelan ubat gigi berfluorida semasa memberus gigi.
Sesetengah kanak-kanak suka dengan rasa ubat gigi yang berperisa. Ini menyebabkan mereka menelan ubat gigi tersebut.
Dalam keadaan lain, sesetengah kanak-kanak diberi fluorida tambahan secara berlebihan. Terdapat juga yang diberi fluorida tambahan sedangkan bekalan air paip sudah pun mengandungi fluorida yang mencukupi.
Pengambilan fluorida yang berlebihan semasa proses pembentukan gigi boleh menyebabkan kecacatan gigi. Kesannya, lapisan luar gigi (enamel) yang putih dan licin menjadi lubang-lubang kecil berwarna coklat / kekuningan /putih susu. Warna ini kelihatan jelas pada permukaan gigi hadapan. Keadaan ini dipanggil ‘FLUOROSIS’
Gigi hadapan sangat penting untuk penampilan dan senyuman menarik. Sudah tentu kecacatan gigi tersebut boleh menjejaskan keterampilan diri.
Soalan Lazim : Perlu ke anak saya diberi “Sapuan Flourida” / “Topikal Flourida” ?
Jawapan :
Sorotan kajian mendapati kanak-kanak dan remaja yang menggunakan fluorida topikal sebagai tambahan kepada ubat gigi berfluorida akan menambah pengurangan kerosakan gigi berbanding kanak-kanak yang hanya menggunakan ubat gigi berfluorida.
Bagaimanapun, manfaat tambahan ini tidak besar, dan kajian-kajian tidak memberikan data berkenaan kesan sampingan.
Tambahan jawapan :
Bagi anak minum susu.
Minum susu untuk cukup kalsium. Kalau sudah besar, minum lah pakai cawan. Bukan suruh pergi menyusu botol semula haha.
Semua dah besar, fikirlah sendiri. Makanan lain yang berkhasiat pun kena juga amalkan.
Badan sihat gigi pun sihat.
Semoga bermanfaat.
Doktor Azila akan kongsi cerita tentang sapuan topikal Flourida di masa akan datang.