Tiada sesiapa pun nak anak yang dilahirkan sakit. Tapi jika itu dah ketentuan ilahi, siapa kita untuk menolak takdir ini. Hanya doa yang tak putus mohon Allah kurniakan kesihatan yang baik untuk anak agar dipermudahkan segala urusan.

Seperti kisah suami isteri ini, kelahiran anak sulung yang dinanti-nantikan sebagai penghibur hati bertukar sedih setelah doktor mengesahkan bayi perempuan mereka mempunyai masalah jantung yang agak serius.

YA ALLAH..TOLONG KAMI SELAMATKAN JANTUNG BABY SOFFEA!

Pada 14hb April 2021, tanggal 2 Ramadhan telah lahir seorang bayi perempuan yang cukup comel. Usai diazankan, abi dan umi menamakan anak syurga cahaya mata pertama ini dengan nama seindah wajahmu, Nur Soffea Al Insyirah.

“Ya Allah..Tolong Kami Selamatkan Soffea. Berilah Peluang Untuk Dia Sihat Membesar”

Sejurus dilahirkan, baby Soffea tak dapat bernafas dengan baik. Nurse yang menjaga perasan dada Soffea berombak kencang. Bacaan oksigen menunjukkan hanya sekitar 80 peratus sahaja. Soffea terus dipasangkan dengan alat “Headbox” dan bacaan oksigen terus dipantau rapi.

Masuk hari kedua kelahiran mu, Doktor Pakar Kanak kanak merasakan sesuatu yang tidak kena kerana oksigen masih juga tidak dapat diturunkan. Maka tubuh kecil Soffea dibawa untuk mendapatkan imbasan x Ray. Ketika itu, pakar kanak kanak merasakan mungkin ada jangkitan kuman sahaja pada paru paru Soffea.

Maka antibiotik dan oksigen terus diberikan. Umi menangis sebab harini umi dah boleh balik, tapi Soffea masih kena tahan di wad NICU. Umi pesan dengan baby Soffea supaya kuat dan jaga diri.

Umi balik dulu simpan tenaga. Doa umi tak pernah putus untuk Soffea. Susu umi akan pam nekad untuk Soffea agar dapat kuatkan antibody mu duhai anak. InshaAllah nanti abi dan umi datang ziarah Soffea lagi esok.

IKLAN

Menjelang hari ketiga, pakar kanak kanak Dr Francis merujuk kepada pakar jantung bayi iaitu Dr Chan. Doktor Chan ajak kami berbincang kerana setelah melakukan imbasan ECHO pada jantung baby Soffea yg kecil itu, Dr Chan dapati jantung baby Soffea dilahirkan dalam keadaan yang sangat istimewa.

“Ya Allah..Tolong Kami Selamatkan Soffea. Berilah Peluang Untuk Dia Sihat Membesar”

Hampir semua saluran darah di jantung Soffea berada dalam keadaan terbalik, suatu keadaan yang dinamakan sebagai Transposition of Great arteries atau singkatannya TGA. Namun mujur ya dinding jantung Baby Soffea ada berlubang di bawah yang dinamakan VSD. Ini membolehkan sedikit darah bercampur dan dapat mewujudkan saluran “Bypass” ke seluruh anggota tubuh Soffea yang kecil. Tanpa lubang itu, seluruh darah tidak dapat dipam ke tubuh badan dan akan bertakung dalam paru paru sahaja.

Dr Chan menerangkan bahwa baby Soffea akan dihantar ke Institut Jantung Negara, IJN untuk pembedahan segera jika ingin terus hidup. Abi dan umi terdiam. Kami betul betul buntu dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Seumur hidup tidak pernah terlintas bahawa kami akan mendapat rahmat ujian seberat ini.

Dr Chan terus menerangkan bahawa buat sementara waktu ini, baby Soffea akan dirawat dengan rapi terlebih dahulu di NICU Hospital Sultanah Aminah sementara menunggu “list” IJN yang memang panjang.

Kami sekeluarga tetap terus berdoa. Setiap malam abi dan umi tidak dapat tidur lena memikirkan keadaan Baby Soffea. Solat hajat sepanjang masa untuk Baby Soffea kami laksanakan. Semoga keadaan mu kembali pulih wahai anak.

IKLAN

Sesampai di HSA, Dr pakar jantung kanak kanak memaklumkan kepada kami bahawa masalah pada jantung Soffea bertambah parah kerana lubang yang ada pada jantung Soffea, yang mana selama ini menjadi penyambung nyawa mu itu mulai semakin mengecil.
Ini memang lumrah kerana setelah bayi mula bernafas, lubang ini memang tidak lagi diperlukan supaya jantung bayi boleh berfungsi dengan normal.

Tapi tak cukup dengan itu, saluran darah di atas jantung Soffea yang dinamakan Aorta juga dilahirkan dalam keadaan yang sempit dipanggil Long Segment Coarctation of Aorta, sungguh Allah maha kuasa. Keadaan yang sungguh “rare” ini kata doktor Hanafi hanya satu dalam sejuta di Malaysia.

Allahuuu.. Sungguh dirimu begitu istimewa anakku.. Air mata umi dan abi menitis lagi..
Allah takdirkan anak pertama umi dilahirkan dengan sepenuh keajaiban.. Ujian dan cabaran ini sungguh adalah menjadi taklifan kepada umi dan abi untuk lebih menjadi hamba yang bertaqwa.

Setelah hampir dua minggu bertarung nyawa di NICU Hospital Sultanah Aminah, tanggal 28hb April 2021 bersamaan 16 Ramadhan, abi dan umi dimaklumkan jasad kerdil mu terpaksa di tidurkan kerana nafas mu semakin cepat. Tiub pernafasan terpaksa dipasang supaya dapat mengurangkan penatnya dada mu meminta secebis nafas.

SubhanAllah.. Abi dan umi menangis lagi… Baru semalam kami melihat mu berhenti menangis dan mencari suara umi. Umi panggil Soffea.. Soffea.. Soffea menoleh, terus berhenti menangis, Soffea tatap wajah umi.. Seolah hendak memberitahu Soffea rindukan umi.. Malangnya umi dari saat Soffea lahir belum pernah dapat memeluk mu dengan puas wahai anak..

IKLAN

Namun sungguh jiwamu seorang pejuang nak.. Baru dua minggu usiamu, pelbagai usaha dirimu lakukan untuk terus menjadi pengikat tautan hati abi dan umi.

Hari ini, umi dapat berita dari HSA juga mengatakan bahawa Soffea perlu cepat dilakukan pembedahan. Malangnya, “list” IJN terlalu ramai. Hanya satu cara ditawarkan sebagai penyambung talian hayat mu, abi dan umi harus membawa mu ke pakar jantung di Glenagles Ampang.

“Ya Allah..Tolong Kami Selamatkan Soffea. Berilah Peluang Untuk Dia Sihat Membesar”

Sungguh berat ujian mu ini wahai Allah. Kami cuba kuatkan juga, walau terpaksa bergolok gadai. Sungguh kami bukanlah orang berada. Abi dan Umi akan cuba juga cukupkan rezeki kami agar dapat membiayai perubatan mu nak.

Kepada sesiapa yang membaca, tangan kerdil ini dihulur, sambil maaf dipohon andai karangan ini menjengah ke ruang layar anda.

Hanya doa yang kami pohonkan agar dapat menjadi penguat dan azimat semangat kami sekeluarga. Terima kasih semua. Jazakumullah kheiran jazak.

Kredit: Nur Afiqah

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI