Apabila Anak Bergaduh, Jangan Menyebelahi Sesiapa. Penawarnya Puji Kebaikan Kedua-dua Anak

Share

Apabila anak-anak bergaduh, memang pening kepala dibuatnya, terutama anak yang semakin besar. Bergaduh adalah perkara lazim berlaku antara adik beradik. Sehingga ada pepatah mengatakan, “Air dicincang tidak akan putus” Namun sebagai ibubapa, kita tidak mahu pergaduhan yang berlaku bakal merobek keharmonian keluarga.

Anak-anak kecil disebabkan perkara kecil dan remeh-temeh mereka boleh bergaduh. Mereka mahu memiliki, tidak mahu berkongsi, rasa seperti kalah dan sebagainya.

Anak-anak suka berlawan, mereka sentiasa mahu menang. Kalah itu seperti suatu kegagalan yang besar. Padahal tidak dapat tangkap bola sahaja!

Tip 1: 

Tidak perlu masuk campur apabila anak-anak bergaduh manja, biarkan sahaja. Buat-buat tidak nampak. Pandai pula mereka berkawan semula. Namun sekiranya pergaduhan melibatkan kecederaan dan risiko keselamatan, itu lain cerita.

Tip 2:

Elakkan menyalahkan kakak apabila adik menangis. Jangan memberi ganjaran kepada tingkah laku negatif.

“Kakak, tengok apa kakak sudah buat pada adik. Adik sudah menangis. Tidak baik begini!”

Kakak mendapat perhatian. Perhatian adalah suatu bentuk ganjaran yang diterima oleh kakak, walaupun dalam bentuk marah-marah. Bagi mendapat ganjaran dan perhatian lagi, kakak akan mengulang perbuatannya.

Tip 3:

Leraikan pergaduhan dengan menyebut kelebihan anak kepada anak yang lain.

Panggil adik, beritahu adik. “Adik mesti hormat kakak, kakak selalu bacakan adik buku dan mengajar adik mengira.”

Panggil pula kakak, beritahu kakak. “Kakak kena sayang pada adik. Adik selalu ikut cakap kakak. Nanti siapa mahu berkawan dengan kakak di dalam rumah ini?”

Dalam banyak kes, buat-buat tidak tahu dan buat-buat tidak nampak anak-anak berkelahi sesama mereka mengurangkan kes pergaduhan kecil.

Sumber: wanrohaniismail.blogspot.my

IKLAN