Arwah Paling Rapat & Manja Dengan Bapa. Sudah Tertulis Ajalnya, Tolonglah Jangan Kecam

Share

Cukuplah jangan kecam bapa arwah lagi..Itu luahan ahli keluarga kepada allahyarham adik Aina Batrisha Aisyah Shaiful Azrul, 4, yang ditemui meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, kelmarin.

Arwah anak paling manja dan rapat dengan bapa

Difahamkan arwah adalah anak yang paling rapat dan manja dengan bapanya dan dalam kejadian itu, bapanya betul-betul terlupa yang arwah sedang tidur di tempat duduk belakang.

Menurut ahli keluarga arwah yang enggan dikenali, bapa arwah dilihat begitu sedih dengan kejadian yang menimpa anak keempatnya daripada lima beradik itu.

Katanya, difahamkan dalam kejadian itu, arwah sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit Sungai Pasir, selepas bapanya menghantar adik bongsu mangsa ke rumah sepupu bapanya di kawasan berdekatan.

“Pada pagi kejadian bapa arwah terlebih dulu menghantar isteri ke tempat kerja sebelum menghantar anak-anak lain ke sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN [Terlupa Hantar Ke Rumah Nenek. Setelah 10 Jam Tengok Anak Tak Sedar Di Kerusi Belakang]

“Kemudiannya, bapa arwah menghantar anak bongsu ke rumah sepupu dan sepatutnya selepas itu mangsa dihantar ke rumah nenek, namun bapanya terlupa mangsa tidur di tempat duduk belakang,” katanya.

Dia berkata, ibu mangsa yang pulang dari tempat kerja pada jam 3 petang juga tidak mengetahui mangsa tiada di rumahnya neneknya.

Nenek ingatkan bapa arwah cuti, tak hantar anak

Katanya, nenek mangsa juga menyangka bapa mangsa tidak bekerja pada pagi kejadian menyebabkan dia tidak bertanyakan mengenai Aina Batrisha yang tidak datang ke rumahnya.

“Semua tidak menyangka perkara ini berlaku, mungkin ini dugaan buat bagi kami sekeluarga, jadi tolong hentikan segala kecaman terhadap keluarga kami terutama kepada bapa mangsa.

“Kalau tidak tahu cerita sebenar, janganlah membuat andaian sesuka hati ia akan menambah kesedihan hati kami sekeluarga,” katanya.

Sebelum ini, arwah Aina ditemui dalam keadaan tak sedarkan diri di tempat duduk belakang selepas 10 jam ditinggalkan oleh bapa dalam kereta yang berkunci dan enjin dimatikan.

Ketika hari kejadian, pada pagi itu arwah sedang tidur dan bapanya terlupa untuk menghantar ke rumah nenek sehinggalah ternampak arwah dah kaku pada jam 6.20 petang ketika hendak pulang ke rumah.

Sumber: Harian Metro

IKLAN