
Hati ibu ayah mana yang tidak hancur apabila anak yang selama ini menjadi penyeri keluarga pergi buat selama-lamanya dalam sekelip mata.
Lebih memilukan, pemergian itu berlaku secara tiba-tiba akibat kemalangan jalan raya, meninggalkan kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh insan tersayang.
Begitulah ujian berat yang sedang dilalui sebuah keluarga selepas kehilangan anak perempuan sulung mereka, Asiah Ahmad Shahir, 5 tahun, yang meninggal dunia akibat kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Walaupun reda menerima ketentuan takdir, bapa Asiah, Ahmad Syahir Mohamad Nor Izam, 30, tetap berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Bapa Asiah Mahu Keadilan Buat Anak Tercinta
Memetik laporan berita, Ahmad Syahir memaklumkan bahawa dia bersama isterinya sedang berusaha menerima kehilangan anak sulung mereka.
Namun, di sebalik kesedihan yang masih menyelubungi keluarga, mereka berharap tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap individu yang bertanggungjawab dalam kemalangan berkenaan.
“Kami serahkan semuanya kepada pihak berkuasa, sudah pasti kami mahu tindakan paling tegas dikenakan terhadap individu berkenaan,” katanya.
Bagi keluarga ini, kehilangan Asiah bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi apabila mengenangkan usia anak kecil itu yang baru lima tahun.

Adik Baru Dua Tahun Masih Tercari-Cari Kakak
Antara perkara paling menyentuh hati ialah apabila Ahmad Syahir berkongsi keadaan anak keduanya selepas pemergian Asiah.
Menurutnya, si kecil yang baru berusia dua tahun itu masih sering mencari kakaknya walaupun belum memahami sepenuhnya apa yang telah berlaku.
Ketiadaan Asiah pastinya membawa perubahan besar dalam kehidupan keluarga tersebut, terutama buat adiknya yang sebelum ini membesar bersama kakak tersayang.
Ahmad Syahir turut mengakui bahawa dia masih belum mempunyai kekuatan untuk menceritakan kejadian tragis berkenaan secara terperinci.
Dia memerlukan lebih banyak masa untuk berdepan dengan kenyataan bahawa anak tersayang kini sudah pergi buat selama-lamanya.
Semuanya Berlaku Terlalu Pantas
Mengimbas detik sebelum kemalangan, Ahmad Syahir memberitahu bahawa kedua-dua anaknya berada di tempat duduk penumpang belakang ketika kejadian.
“Ketika kejadian, anak saya berada di tempat duduk penumpang di bahagian belakang bersama adiknya. Apa yang berlaku terlalu pantas,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, Asiah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kejadian berkenaan membabitkan sebuah Perodua Bezza yang dinaiki mangsa bersama keluarganya serta beberapa kenderaan lain.

Kereta Dirempuh Dari Belakang, Libatkan Beberapa Kenderaan
Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika keadaan trafik bergerak perlahan dari arah pusat bandar menuju ke Segambut.
Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta BYD Seal.
Impak pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga lagi kenderaan, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Pemandu BYD Didakwa Hari Ini
Sementara itu, pemandu kenderaan BYD yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan itu tiba di Kompleks Mahkamah KL hari ini bagi menghadapi tiga pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Semoga ada keadilan buat Asiah.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Utusan Malaysia & Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

