
Tak ada benda yang lebih buat jantung ibu ayah berdebar daripada tengok anak tiba-tiba demam tinggi. Lagi-lagi kalau tiba-tiba mereka kena sawan memang boleh hilang arah.
Ramai sebenarnya tak tahu, 2–5% kanak-kanak boleh mengalami sawan demam, dan ia adalah antara sawan yang paling lazim berlaku pada anak kecil.
Sawan demam ni biasanya menyerang kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 6 tahun, terutama golongan toddler yang baru bertatih. Statistik pun tunjuk, 1 daripada 25 kanak-kanak akan kena sawan demam sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Dan dalam kumpulan ini, lebih kurang 30% mungkin akan mengalami sawan yang berulang terutamanya jika mereka ada faktor risiko tertentu.
Apa Itu Sawan Demam? (Diagnosa)

Sawan demam ialah sawan yang berlaku disebabkan demam panas pada bayi atau kanak-kanak yang sebelumnya normal dan sihat.
Doktor hanya akan mengesahkan sawan demam selepas memastikan tiada punca lain yang mencetuskan sawan selain suhu badan yang tinggi (lebih 38°C).
Tanda & Gejala Yang Ibu Ayah Perlu Kenal
-Anak tiba-tiba tak sedar diri atau tak respon bila dipanggil.
-Kejang atau tersentak pada kedua-dua kaki dan tangan.
-Mata mungkin terbelalak ke atas.
-Ada kes kekejangan hanya berlaku pada sebahagian tubuh, contohnya satu tangan atau satu kaki.
-Sawan selalunya berhenti sendiri dalam masa 2–3 minit, jarang lebih daripada 10 minit.
-Jika sawan lebih 5 minit, bawa anak ke klinik atau hospital segera.
-Semasa sawan, anak boleh tercedera jika jatuh atau boleh tercekik air liur/makanan.
-Kebanyakan kanak-kanak ada demam tinggi melebihi 38.5°C.
-Anak yang kena sawan demam tidak semestinya ada epilepsi.
-Selalunya sawan berlaku pada hari pertama demam.
Siapa Yang Lebih Berisiko Mengalami Sawan Demam Berulang?

-Anak yang masih terlalu kecil (kurang 15 bulan) masa serangan pertama.
-Sawan berlaku sejurus selepas demam bermula atau masa suhu masih normal.
-Ada sejarah keluarga yang pernah kena sawan demam.
-Ada ahli keluarga yang menghidap epilepsi.
Kesan Jangka Panjang: Bahaya Ke?
Majoriti besar kes sawan demam tidak membahayakan. Kajian menunjukkan:
Sawan demam tidak menyebabkan kerosakan otak. Kanak-kanak yang pernah kena sawan demam mempunyai prestasi akademik normal dan kecerdasan setanding adik-beradik lain.
Walaupun dalam kes yang sangat jarang, sawan berlarutan lebih sejam kanak-kanak ini biasanya pulih sepenuhnya.
Dalam kalangan kanak-kanak yang pernah mengalami sawan demam, kira-kira 3% akan mendapat epilepsi. Risiko ini lebih tinggi jika:
-Sawan demam panjang, melibatkan satu bahagian badan sahaja atau berulang dalam masa 24 jam.
-Ada perkembangan lambat.
-Ada ahli keluarga yang mengidap epilepsi.
-Bagi kanak-kanak yang tiada faktor risiko—hanya 1% akan menghidap epilepsi, sama macam populasi umum.
Rawatan & Apa Perlu Buat Semasa Sawan

1. Tindakan Kecemasan
Ikut langkah dalam protokol “Rawatan Kecemasan Semasa Sawan” (biasa diajar oleh doktor).
2. Kawal Sawan
Kebanyakan anak tak perlukan ubat. Tapi jika sawan lebih 5 minit, doktor biasanya akan bekalkan diazepam (Valium) rectal untuk digunakan di rumah.
3. Kawal Demam
Beri paracetamol atau ibuprofen. Lap badan anak dengan air suam untuk bantu turunkan suhu. Elakkan pakaian atau selimut yang terlalu tebal.
Boleh Ke Cegah Sawan Demam?
Doktor mungkin bagi rectal diazepam untuk anak yang pernah mengalami sawan berulang.
Tapi setakat ini tiada kaedah yang benar-benar berkesan untuk mencegah sawan demam daripada berulang.
Yang lega sikit: bila umur anak makin meningkat (5–6 tahun), kekerapan sawan biasanya akan berkurang sendiri.
Sumber: Klinik Pakar Kanak Kanak Dr Yeoh Baby & Child Specialist Clinic
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!














