
Hati ibu mana yang tidak bimbang apabila melepaskan anak ke sekolah, lebih-lebih lagi ketika pelbagai kes buli dan ancaman keselamatan yang semakin membimbangkan. Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak-anak sentiasa berada dalam keadaan selamat sepanjang berada di luar rumah.
Dalam keadaan seperti ini, doa perlindungan anak menjadi antara ikhtiar rohani yang sangat digalakkan sebelum anak melangkah keluar setiap pagi. Selain memastikan keperluan fizikal mereka dipenuhi, memohon perlindungan daripada Allah SWT merupakan amalan yang memberikan ketenangan kepada hati ibu bapa.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun mengajak ibu bapa agar tidak hanya bergantung kepada usaha menjaga keselamatan fizikal anak-anak, malah membiasakan diri mengamalkan doa-doa yang diajarkan Rasulullah SAW.
Menurut beliau, sebagai manusia kita tidak mampu mengawasi anak-anak sepanjang masa. Namun, kita boleh menyerahkan urusan mereka kepada Allah SWT yang Maha Memelihara dengan mengamalkan doa-doa perlindungan setiap hari.

3 Doa Perlindungan Anak Yang Dianjurkan
1. Doa keluar rumah
Latihlah anak-anak untuk membaca doa ini setiap kali melangkah keluar dari pintu rumah untuk ke sekolah.
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Apabila seseorang keluar dari rumahnya lalu dia mengucapkan “(doa)” maka akan dikatakan kepadanya ketika itu: ‘Kamu telah diberi petunjuk’ (oleh Allah), kamu telah dicukupkan’ (keperluanmu), dan kamu telah dilindungi’ (daripada bahaya). Lalu syaitan-syaitan pun menjauhkan diri daripadanya.” (HR Abu Daud, no. 5095)
2. Doa pendinding daripada kemudaratan
Doa ini sangat luar biasa untuk melindungi anak-anak daripada sebarang bahaya fizikal, kemalangan, mahupun gangguan daripada manusia yang berniat jahat.
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tidak ada sesuatu pun yang boleh membawa mudarat di bumi mahupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Daripada Uthman bin Affan RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
”Sesiapa yang membaca “(doa)” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah (bencana) secara tiba-tiba sehingga waktu pagi. Dan sesiapa yang membacanya ketika subuh (pagi) sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa musibah secara tiba-tiba sehingga waktu petang.” (HR Abu Daud, no. 5088)

3. Doa mohon perlindungan di tempat baharu
Apabila anak-anak melangkah masuk ke kawasan sekolah, kelas, padang, atau di mana-mana sahaja mereka berada, ajarkan mereka untuk mengamalkan doa perlindungan ini agar dijauhkan daripada kejahatan makhluk seperti pembuli atau gangguan lain.
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Daripada Khaulah binti Hakim Al-Sulamiyyah RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
”Sesiapa yang singgah di suatu tempat, lalu dia membaca “(doa)” maka tidak ada sesuatu pun yang dapat membahayakannya sehinggalah dia beredar (pergi) dari tempat tersebut.” (HR Muslim, no. 2708)
Kepentingan Mengamalkan Doa Perlindungan Anak Setiap Hari
Doa perlindungan anak bukan sekadar amalan ketika berdepan musibah, malah wajar dijadikan rutin harian. Di samping mendidik anak menjaga adab, keselamatan dan disiplin di sekolah, ibu bapa juga digalakkan memperkukuhkan hubungan mereka dengan Allah SWT melalui doa.
Usaha menjaga anak memerlukan keseimbangan antara ikhtiar fizikal dan ikhtiar rohani. Sentiasa berkomunikasi dengan pihak sekolah, mengenali rakan-rakan anak dan memantau perkembangan mereka merupakan usaha yang penting. Pada masa yang sama, iringilah setiap langkah mereka dengan doa agar sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.

Penutup
Walau sehebat mana usaha kita menjaga anak-anak, hanya Allah SWT yang mampu memelihara mereka setiap saat.
Oleh itu, jadikan doa perlindungan anak sebagai amalan harian setiap kali menghantar mereka ke sekolah.
Semoga anak-anak sentiasa dipelihara daripada bahaya, dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini serta dikurniakan keselamatan, kesihatan dan keberkatan dalam menuntut ilmu.
Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!
Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: Ustazah Asma Harun
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





