Bagi ibu hamil yang ingin berpuasa ketika di bulan Ramadan, pastikan anda bersahur serta mengamalkan pemakanan yang sihat ketika berbuka. Ini bagi memastikan anda dan kandungan berada dalam keadaan baik.
Ibu Hamil Yang Ingin Berpuasa
Ibu yang hamil ketika bulan Ramadan hendaklah berwaspada akan tahap kesihatan mereka dan juga anak yang mereka kandungkan. Ini kerana ada beberapa tabiat atau kebiasaan yang anda lakukan perlu dielakkan sepanjang tempoh kehamilan termasuk di bulan Ramadan.
Bertuah ibu yang hamil dalam bulan Ramadan kerana hamil pada bulan yang penuh dengan kelebihannnya. Ianya kesempatan yang amat baik mendidik anak dari dalam kandungan untuk mengenal penciptaNya.
Maka, tidak hairanlah, meskipun sedang hamil atau menyusukan bayi, dalam masa yang sama ibu-ibu tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa. Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.
Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan rukhsah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak perlu berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah menggantikan (Qada’) puasanya kelak.
Rata-rata alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan berpuasa . Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada teman untuk berpuasa sama. Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.
Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.
Mereka menangguhkan masa untuk berbuka “Tunggulah setengah jam lagi.” Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka. Hal yang demikian sepatutnya tidak berlaku kerana ibu perlu mengambil kira keadaan bayi ketika ini, apabila gejala-gejala kekurangan gula berlaku, akan menimbulkan mudarat pada bayi anda.
Ini Tip Ketika Bersahur & Berbuka Serta Perkara Perlu Elakkan
KEKAL SIHAT SEPANJANG BULAN RAMADAN
Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan janin sendiri. Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya. Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat.
Ads
Berikut dikongsikan tip mudah bagi ibu-ibu hamil mengekalkan kesihatan unggul semasa hamil dan berpuasa.
Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur. Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil.
CARA TERBAIK BAGI WANITA HAMIL BERBUKA PUASA
Tiada pelan makanan khas yang perlu anda ikuti, tetapi anda boleh mencuba tip-tip berikut sebagai cara terbaik untuk berbuka. Mulakan dengan: tiga biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula yang rendah dalam darah);
*Susu atau yogurt rendah lemak
*Sup jernih
Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi: sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera
*Protein daripada ayam, daging atau ikan, kacang pis atau kekacang
Ads
*Karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh
dan, banyak sayur-sayuran.
*Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketidakcernaan (indigestion)
Apakah saya perlu makan sahur jika saya berpuasa semasa hamil?
Bersahur sangat penting jika anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga anda pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang anda perlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk.
Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi: nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari
*Bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak;
dan, buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.
*Elakkan meminum teh semasa sahur kerana ia boleh membuat anda mengalami dehidrasi.
Saya suka minum kopi dan/atau teh selepas berbuka. Bagaimana saya boleh menggantikannya?
*Minumlah jus buah-buahan segar dan bukannya minuman bergas, kopi atau teh.
*Minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah adalah minuman yang menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian anda. Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet anda.
Apakah yang perlu saya masukkan dan elakkan dalam diet saya semasa berpuasa?
Untuk mengekalkan kesihatan semasa berpuasa, amalkanlah tip-tip di atas semasa makan, dan Selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.
Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur. Minum air yg cukup selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan dehidrasi
Kepada ibu mengandung yang difikirkan sihat dan boleh berpuasa oleh doktor, selamat berpuasa. Bagi ibu-ibu hamil yang tidak boleh berpuasa atau dalam erti kata lain berpuasa boleh memudaratkan, jangan degil untuk berpuasa.
Kesan jangkitan salur kencing (UTI) ketika hamil bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Seperti kita sedia maklum fasa kehamilan mendedahkan ibu kepada pelbagai komplikasi.
Selain darah tinggi dan diabetes yang merupakan antara komplikasi paling popular dihidapi oleh ibu hamil, UTI turut mudah dijangkiti oleh ibu hamil.
Ada ibu hamil yang terkena UTI berasa risau tentang kesan kepada anak yang dikandung. Apa agaknya kesan kepada bayi dalam kandungan?
Sudah tentu apa juga jangkitan penyakit yang dihidapi oleh bakal ibu akan membawa kepada pelbagai kesan sama ada kepada ibu sendiri atau anak dalam kandungan.
Kesan jangkitan salur kencing
Menurut Dr Maiza Tusimin, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Prince Court Medical Centre perubahan fisiologi ketika hamil meletakkan ibu berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan salur kencing.
Lebih kurang 10% ibu mengalami UTI ketika hamil. Perubahan fisiologi yang menyebabkan ibu mudah mendapat UTI :
90% ibu mengalami pengembangan salur kencing /ureter (hydronephrosis of pregnancy)
Peningkatan kapasiti pundi kencing
Kelemahan otot pundi kencing & salur kencing menyumbang kepada aliran air yang perlahan atau aliran songsang (ureterovesical reflux)
Peningkatan jumlah plasma menyebabkan kepekatan air kencing berkurangan
70% ibu mengalami glikosuria (glukos dalam air kencing) menggalakkan pertumbuhan bakteria dalam air kencing
Photo by MART PRODUCTION from Pexels
Rawatan jangkitan salur kencing
Jika ibu dijangkiti UTI, segera dapatkan rawatan daripada doktor. Jangan buat sebarang petua sendiri kerana ia boleh menyebabkan komplikasi seperti berikut:
Dr Maiza turut mengingatkan ibu hamil untuk mengamalkan beberapa tips bagi mengelakkan daripada terkena UTI sepanjang kehamilan.
Tips dikongsi Dr Maiza mudah untuk dilakukan kerana ia juga antara rutin harian yang kita buat. Jangan abaikan kerana ia mampu mengelakkan ibu hamil daripada dijangkiti UTI.
Konsum air kosong secukupnya (6-8 gelas).
Elakkan minuman bergula / berkafein.
Amalkan diet sihat suku-suku-separuh.
Jangan bertangguh untuk membuang air kencing.
Cuci & lap kering kemaluan dari depan ke belakang.
Memakai seluar dalam yang longgar & serap peluh.
Tukar tuala wanita/panty liner atau seluar dalam dengan lebih kerap.
Kosongkan pundi kencing sebelum & selepas hubungan seks.
Pilih pelincir berasaskan air jika memerlukan pelincir semasa hubungan seks.
Elakkan deodoran atau sabun feminin yang kuat & menyebabkan kerengsaan.
WEBINAR SAYANG ANAK KETAT-KETAT
Sertai Webinar Keibubapaan PERCUMA tahun ini secara virtual. Pastikan setiap ibu bapa join webinar ini kerana anda bukan sahaja dapat belajar pelbagai ilmu keibubapaan daripada speaker-speaker jemputan tetapi juga berpeluang menang hadiah cabutan bertuah.
Webinar ini menjemput speaker-speaker hebat dalam bidang keibubapaan termasuk Prof Madya Dr Nik Salida, Ibu Rose, Dr Ahmad Rostam, Puan Maryam Jamadi. Mereka akan membincangkan pelbagai topik berkenaan perkembangan anak, menjadi ibu bapa hebat, tip mendidik anak dan bermacam lagi.
Taugeh merupakan satu tumbuhan bercambah yang masih diperingkat awal atau muda. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai bean sprouts, dan apabila ia ditafsirkan ke dalam bahasa Melayu, membawa maksud, kacang yang bercambah, yang akhirnya membawa kepada penghasilan taugeh.
Proses penghasilan taugeh ini bermula dengan proses percambahan benih, dalam kes ini, adalah percambahan benih kacang hijau. Ia akan direndam selama beberapa jam. Benih yang direndam ini kemudiannya akan didedahkan kepada gabungan suhu dan kelembapan yang betul. Dalam tempoh selama dua hingga tujuh hari, ia akan mula bercambah. Ia sudah boleh dituai atau diambil apabila ia mula mencapai ketinggian dalam 2 hingga 5cm.
Sebenarnya selain kacang hijau, pelbagai jenis benih turut boleh dicambah seperti taugeh, antaranya seperti:
Kekacang dan pea seperti lentil, kacang soya, kacang hitam, green pea
Bijirin seperti beras perang dan quinoa
Sayuran atau pucuk berdaun seperti lobak, brokoli atau bit
Kacang atau biji seperti badam, biji alfafa, biji labu, biji bijan atau biji bunga matahari
Tumbuhan yang melalui proses percambahan ini boleh dimakan secara mentah atau anda juga mempunyai pilihan untuk memasaknya sedikit atau sekejap sebelum memakannya.
Nutrien dalam taugeh
Walaupun ia sebenarnya merupakan satu sumber makanan yang rendah kandungan kalori, namun ia merupakan sumber makanan yang kaya nutrien dan sebatian tumbuhan yang bermanfaat. Ia turut mengandungi vitamin dan sumber mineral.
Secara umumnya, proses percambahan yang dilalui taugeh ini membantu meningkatkan tahap nutrien, menjadikannya tinggi kandungan protein, folat, magnesium, fosforus, mangan (manganese) dan vitamin C dan K berbanding tumbuhan yang tidak melalui proses percambahan.
Sebagai contoh, beberapa kajian menunjukkan bahawa proses percambahan ini dapat membantu meningkatkan kandungan protein. Tumbuhan seperti taugeh juga cenderung untuk mengandungi asid amino penting yang lebih tinggi.
Selain itu, protein yang terkandung dalam tumbuhan seperti taugeh juga akan lebih mudah untuk melalui proses pencernaan. Ini mungkin disebabkan oleh proses percambahan, yang kelihatan seperti mengurangkan jumlah antinutrien, iaitu sebatian yang akan mengurangkan keupayaan badan anda untuk menyerap nutrien dari tumbuhan sehingga 87%.
Ia yang berasal daripada kacang hijau ini merupakan tumbuhan yang mengandungi sumber antioksidan dan sebatian lain yang bermanfaat. Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa makanan yang terhasil daripada kacang hijau juga adalah lebih berkhasiat.
Manfaat taugeh
Taugeh adalah sejenis sayur-sayuran yang malang sekali, kurang digemari oleh kebanyakan individu tanpa mengira jantina dan usia. Sebenarnya, ia mempunyai pelbagai khasiat yang ramai tidak tahu. Berikut adalah beberapa manfaat yang boleh diperolehi dengan memakannya, seperti:
Kaya protein
Ia sebenarnya mempunyai dua kali ganda lebih banyak protein berbanding daging lembu atau ayam. Antara kebaikannya adalah ia mampu meningkatkan kesuburan terutamanya lelaki yang sangat memerlukan protein untuk menghasilkan hormon untuk tujuan kesuburan.
Kaya enzim
Berbanding sayur-sayuran lain, ia mengandungi 100 kali ganda enzim. Ia sangat penting untuk fungsi tubuh badan terutamanya untuk proses pencernaan. Enzim mampu membantu individu yang mempunyai masalah penghadaman dan kembung perut.
Kaya serat
Dalam pada itu, ia juga baik untuk fungsi penghadaman kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi. Serat ini akan membantu meleraikan lemak dan toksin dalam tubuh badan lalu mengeluarkannya. Ini sekali gus dapat membantu anda mengawal berat badan.
Kaya antioksidan
Taugeh yang kaya antioksidan dan asid amino sebenarnya mampu memberikan pelbagai kebaikan. Antaranya yang penting adalah melawan kanser dan memperbaiki fungsi otak. Dalam masa yang sama, memakannya juga sebenarnya adalah amalan awet muda yang sangat bagus untuk diikuti.
Kaya asid lemak
Selain itu, ia juga sangat kaya dengan asid lemak. Kebanyakan individu tidak mendapatkan asid lemak omega-3 kerana hanya bergantung kepada makanan laut atau telur sahaja. Oleh itu, tidak salah rasanya jika anda mengambilnya sebagai alternatif, bukan?
Kaya vitamin
Paling penting, taugeh sebenarnya sangat kaya dengan vitamin seperti vitamin A, C, E dan pelbagai lagi dalam keluarga vitamin B. Vitamin-vitamin ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan tubuh badan anda.
Taugeh untuk kesihatan
Taugeh merupakan satu pilihan makanan yang sihat. Malah lebih baik, ia adalah pilihan makan yang murah dan mudah untuk didapati. Mari kita selidik kebaikan dari aspek kesihatan yang boleh diperolehi dengan memakannya.
Tingkatkan penghadaman
Taugeh dapat membantu anda untuk mencernakan makanan anda dengan lebih baik dan lebih mudah. Seperti yang dinyatakan di atas, ia mengandungi antinutrien yang rendah, ini sekali gus menjadikan badan anda lebih cepat menyerap nutrien semasa proses penghadaman. Proses pencambahan ini membantu meningkatkan jumlah serat yang tidak larut, sejenis serat yang membantu pembentukan najis dan proses pengeluarannya melalui usus, yang akan mengurangkan risiko untuk berkemungkinan mengalami sembelit.
Kesihatan jantung
Mengambil taugeh dalam pengambilan makanan harian anda, ia dipercayai dapat memberikan manfaat kepada jantung anda. Ini kerana ia dapat membantu mengurangkan faktor risiko penyakit jantung seperti paras kolesterol darah tinggi. Beberapa kajian kepada haiwan menunjukkan bahawa memakannya akan membantu meningkatkan tahap kolesterol HDL yang dikatakan sebagai kolesterol ‘baik’ dan mengurangkan tahap kolesterol LDL yang dikatakan sebagai kolesterol ‘tidak baik’.
Dalam kajian yang dilakukan terhadap 39 individu dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dengan masalah kesihatan diabetes jenis 2, dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diberikan 60 gram lentil setiap hari dan satu kumpulan lagi tidak diberikan sebarang lentil, salah satu jenis tumbuhan yang melalui proses percambahan seperti taugeh. Selepas tempoh kajian selama 8 minggu, kumpulan yang diberikan lentil mempunyai 12% paras kolesterol HDL yang lebih baik dan 75 hingga 84% paras trigliserida dan tahap kolesterol LDL yang lebih rendah berbanding kumpulan yang tidak diberikan lentil.
Tekanan darah
Taugeh kaya dengan kalium, magnesium dan serat yang boleh membantu mengurangkan tekanan darah. Mempunyai tekanan darah tinggi adalah satu masalah kesihatan yang serius kerana ia meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung, satu penyakit utama yang menyebabkan kematian di dunia.
Ia boleh membantu menurunkan tekanan darah. Melalui kajian yang menghubungkan nutrien seperti kalium, magnesium dan serat yang terkandung di dalam taugeh dapat menjadikan tekanan darah tinggi lebih rendah.
Gula dalam darah
Apabila seseorang individu mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Ia adalah ciri utama masalah diabetes dan telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan yang kronik. Oleh sebab ini, profesional perubatan dan kesihatan sentiasa menasihati ramai individu untuk mengekalkan dan memastikan tahap gula dalam darah berada pada tahap yang sihat.
Salah satu cara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan memakan taugeh bagi membantu mengurangkan kadar gula dalam darah. Ini kerana komposisi nutrien dalam taugeh baik dalam menurunkan tahap gula dalam darah. Ia tinggi serat dan protein yang menjadikan proses pelepasan gula ke dalam aliran darah menjadi perlahan.
Berat badan
Terdapat kajian yang dilakukan menunjukkan kandungan serat dan protein dalam taugeh dapat menghalang hormon lapar seperti ghrelin. Tambahan lagi, terdapat kajian tambahan yang mendapati kedua-dua nutrien dalam taugeh ini juga menggalakkan pembebasan dan penghasilan hormon yang menjadikan anda berasa lebih kenyang seperti peptida YY, GLP-1 dan cholecystokinin.
Dengan membuatkan anda berasa kenyang, ia sekali gus dapat mengawal pengambilan kalori dan membantu mengurangkan berat badan anda.
Kehamilan sihat
Bagi wanita hamil, anda sememangnya akan disarankan untuk mengambil makanan yang tinggi kandungan folat semasa tempoh kehamilan. Ia adalah penting untuk membantu pertumbuhan optimum dan perkembangan bayi dalam kandungan anda. Lebih membahayakan wanita yang tidak mendapat keperluan folat yang mencukupi, berdepan dengan risiko kecacatan kelahiran yang lebih tinggi.
Taugeh mengandungi 80% jumlah pengambilan nutrien makanan yang disyorkan bagi folat dalam satu cawan taugeh yang dimasak, iaitu sebanyak 202 gram. Ia juga tinggi kandungan zat besi, protein dan serat yang sememangnya amat diperlukan oleh individu wanita mengandung.
Namun, individu wanita yang mengandung harus mengelakkan dari memakan taugeh mentah kerana ia berkemungkinan membawa bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan berbahaya kepada bayi dalam kandungan. Sebaiknya pastikan taugeh yang hendak dimakan dimasak dengan sebaiknya.
Radikal bebas
Antara kebaikan yang boleh diperolehi dengan pengambilan taugeh dalam diet pemakanan harian adalah ia dapat mencegah diri kita daripada radikal bebas. Untuk makluman anda, radikal bebas adalah satu keadaan apabila badan kita mengandungi sebatian kimia yang melebihi had yang sepatutnya. Kandungan kimia ini akan berupaya untuk menjejaskan dan mendatangkan kesan kepada sel-sel dalam badan dan menjadikan ia sel yang tidak baik, di mana sel-sel ini akan menyerang sel yang baik dan sihat yang terdapat dalam badan anda.
Jadi bagaimana taugeh dapat membantu menghalang anda daripada radikal bebas? Ini kerana taugeh mengandungi antioksidan yang akan membantu badan melawan sel-sel yang tidak baik. Antioksidan juga berperanan untuk meningkatkan sistem kekebalan dalam badan anda. Ia sekali gus menjadikan badan anda dilindungi daripada radikal bebas yang turut merupakan salah satu punca kanser.
Bahaya taugeh
Taugeh merupakan tumbuhan yang menjadi antara makanan tidak boleh dimakan mentah. Ini kerana proses tumbesarannya berlaku dalam keadaan yang lembap yang berisiko untuk terdedah kepada bakteria seperti salmonella dan E.coli. Bakteria ini tidak akan boleh disingkirkan dengan hanya membasuh tetapi ia perlu dimasak dengan sempurna untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
Berikut adalah beberapa kesan bahaya taugeh jika tidak dimasak dengan betul:
Kehamilan dan penyusuan
Fasa kehamilan adalah satu peringkat penting bagi seorang individu wanita. Pada waktu ini adalah penting untuk mengambil makanan yang seimbang dan mengandungi nutrien penting seperti vitamin dan mineral.
Taugeh merupakan sumber nutrien penting bagi vitamin B, C, zat besi, folat, kalium dan magnesium serta nutrien lain. Ini menjadikan ia sangat bermanfaat untuk memberikan fasa kehamilan yang sihat.
Tetapi ia juga merupakan satu tumbuhan yang berisiko tinggi untuk mengandungi bakteria sekiranya ia tidak dibersihkan dan tidak mengalami proses tumbesaran yang baik. Seperti yang dinyatakan di atas, ia berisiko untuk membiakkan bakteria salmonella dan E.coli yang boleh menyebabkan masalah seperti cirit-birit, mual, demam, dan masalah serius lain kepada wanita hamil. Jadi sangat penting untuk memastikan ia dimasak dengan sebaiknya. Namun, pengambilannya secara berlebihan pula boleh menimbulkan masalah seperti penyerapan nutrien yang tidak baik, kembung perut dan kekejangan perut serta lain-lain lagi.
Alahan
Taugeh sememangnya mengandungi sumber nutrien yang sangat baik seperti vitamin, mineral, antioksidan, fitonutrien, dan serat makanan. Kehadiran sebatian baik ini menjadikannya sangat bermanfaat untuk diambil dalam diet pemakanan harian. Namun, bukan semua individu boleh menikmati manfaat daripada tumbuhan ini. Ini kerana sesetengah individu mungkin akan mengalami reaksi alahan seperti kegatalan, berdehit, ekzema, sesak dan pendek nafas, sakit perut, mual, muntah dan cirit-birit.
Risiko glisemik
Mengambil taugeh dalam kuantiti yang sederhana dan secara tetap adalah sangat baik untuk individu yang menghidap diabetes (kencing manis) dan kepada individu yang berdepan risiko untuk mengalami diabetes. Ia disebabkan indeks glisemik yang rendah dan ini bermakna, tumbuhan ini akan membantu melepaskan gula ke dalam aliran darah pada kadar perlahan dan ia membantu mengawal diabetes.
Tetapi pengambilan taugeh secara berlebihan boleh menyebabkan gula dalam darah turun ke tahap tidak normal yang boleh menimbulkan masalah hipoglikemia (Hypoglycemia), ia merupakan satu keadaan di mana paras gula berada di bawah tahap normal dan individu yang mengalami keadaan ini akan berdepan simptom seperti peluh secara berlebihan, kelaparan yang berlebihan, pengsan, keletihan, mual, muntah dan penglihatan kabur serta lain-lain masalah kesihatan. Jika anda seorang individu yang menghidap diabetes dan telah mengambil ubatan dan memakan taugeh pada jumlah yang berlebihan akan memperburukkan keadaan kesihatan anda.
Resepi masakan taugeh
Seperti yang dinyatakan di atas, taugeh memberikan banyak manfaat dan kebaikan dari aspek kesihatan. Oleh itu, apa kata kita ubah persepsi dan diet pengambilan makanan kita untuk lebih menggemari dan memperbanyakkan sayur taugeh? Jadikan ia sebagai satu makanan yang perlu ada dalam diet kerana manfaat daripadanya adalah sangat banyak dan penting buat kita. Berikut beberapa resepi taugeh mudah dan ringkas yang boleh anda cuba:
#1. Taugeh masak lemak
Bahan yang diperlukan:
Taugeh
½ batang lobak merah, dipotong panjang-panjang
½ bawang besar dipotong halus
1 ulas bawang putih dipotong halus
Udang, jika anda mempunyai alahan, anda boleh memilih untuk tidak menggunakan udang, dan menggantikannya dengan ayam
½ cawan santan,
½ cawan air
Garam
Gula
Cara penyediaannya:
Bancuh santan dengan air. Masukkan ke dalam periuk. Masukkan bawang putih, bawang besar, udang dan lobak merah.
Bila ia sudah mendidih masukkan taugeh. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Bila taugeh kelihatan hampir layu, tutup api.
Makanan sudah sedia untuk dihidangkan.
#2. Taugeh goreng
Bahan yang diperlukan:
300 gram taugeh kasar
2 keping tauhu, dipotong dadu
3 biji cili merah
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
100 gram udang segar, dibuang kulit, jika anda mempunyai alahan makanan laut, anda boleh menggunakan isi ayam dan dipotong kecil
50 g daun kucai, dipotong pendek
3 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Cara penyediaannya:
Panaskan minyak dan gorengkan tauhu sehingga masak. Angkat tauhu dan masukkan ke dalam pinggan.
Cili merah, bawang merah dan bawang putih ditumbuk bersama dan tumiskan. Masukkan udang sehingga wangi.
Masukkan tauhu, taugeh, daun kucai dan garam. Kacau rata. Biarkan seketika.
Ibu hamil jangan pandang ringan jika ada masalah kencing kotor. Tahukah anda bahawa kencing kotor jika tidak dirawat boleh membahayakan serta menyebabkan kematian kepada ibu hamil?
Perubahan hormon yang berlaku ketika hamil bukan sahaja boleh memberikan kesan positif kepada janin untuk membesar, ia juga boleh menyebabkan kekuatan otot salur ureter dan pundi kencing bertambah renggang. Keadaa inilah yang menyebabkan ibu hamil lebih berisiko mengalami masalah kencing kotor.
Kencing Kotor, Bahaya Untuk Ibu Hamil Kalau Tak Dirawat
Apabila rahim mula membesar, ia berupaya untuk menyekat lebih banyak air kencing. Ditambah pula dengan kelemahan otot pundi kencing untuk menolak air kencing keluar, ia boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.
Faktor-faktor lain seperti peningkatan tahap keasidan air kencing dan gula yang terdapat di dalamnya berikutan perubahan hormon yang berlaku menjadikan wanita hamil mudah untuk didiagnosis dengan masalah kencing kotor.
Tanpa rawatan, jangkitan tersebut boleh menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan keradangan pada organ buah pinggang. Apabila sudah sampai ke tahap itu, kuman yang terdapat pada sistem salur kencing wanita hamil mudah untuk bergerak masuk ke dalam aliran darah.
Mungkin ramai bakal ibu yang merungut tatkala doktor meminta mereka memberikan sampel air kencing semasa temu janji rutin. Mana tidaknya, ramai ibu mengandung yang lain beratur untuk memberikan sampel air kencing dan anda sangat yakin bahawa anda tidak ada masalah kencing kotor.
Jika masalah kencing kotor tidak dirawat dengan segera, ia boleh mengundang bahaya dan juga kematian. Jadi, adakah anda enggan menjalani ujian air kencing seperti yang dipinta oleh doktor hanya kerana anda rasa prosedur tersebut menyusahkan?
Ketahuilah bahawa kencing kotor tidak selalunya didiagnosis pada mereka yang mempunyai air kencing yang keruh atau berkeladak. Mereka yang mempunyai masalah UTI kebiasaannya akan mengalami simptom seperti:
*Rasa terbakar sewaktu kencing *Darah di dalam air kencing *Air kencing keruh *Kerap ke bilik air untuk kencing walaupun hanya sedikit urin yang keluar *Tidak dapat menahan kencing
Jika seseorang itu mengalami jangkitan pada buah pinggang, antara simptom yang akan dialami adalah:
*Demam *Loya *Muntah *Sejuk menggigil *Sakit pada bahagian belakang badan, di bawah rusuk
Ambil langkah berjaga-jaga
Ujian saringan yang dilakukan oleh doktor merupakan satu keperluan bagi mengelakkan berlakunya komplikasi kencing kotor seperti jangkitan buah pinggang. Jika anda disahkan positif jangkitan, terapi antibiotik akan diberikan secara serta merta bagi merawat keadaan tersebut.
Doktor akan menentukan jenis antibiotik yang selamat dimakan oleh anda mengikut kepada keperluan semasa. Jika anda hamil, sudah semestinya antibiotik yang diberikan tidak akan menyebabkan komplikasi kepada anda mahupun anak di dalam kandungan.
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dijangkiti? Anda boleh mencuba tip berikut:
*Minum air mengikut kadar saranan harian (6-8 gelas) atau seperti yang dipreskripsikan oleh doktor anda.
*Jangan bertangguh untuk membuang air kecil. Perbuatan tersebut boleh menyebabkan lebih banyak bakteria membiak di dalam pundi kencing.
*Selepas membuang air kecil, pastikan anda mengelap kemaluan dari depan ke belakang.
*Tindakan ini boleh meminimumkan risiko bakteria untuk merebak dari kawasan punggung ke bahagian intim.
*Pakai pakaian dalam yang longgar dan diperbuat daripada kapas.
*Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap.
*Elakkan daripada mengambil minuman bergula atau berkafein.
Kencing kotor lazim dialami wanita
Apabila kita berbicara tentang kencing kotor, pasti anda akan terbayangkan air kencing keruh umpama air teh dan berkeladak. Hakikatnya, bukan semua individu yang mengalami masalah kencing kotor dapat didiagnosis daripada rupa air kencing mereka.
Jangkitan kuman pada saluran kencing (UTI) merupakan masalah kesihatan yang lazim dialami oleh golongan wanita. Pada kebanyakan kes, jangkitan ini disebabkan oleh bakteria, namun ada juga yang disebabkan oleh kulat atau virus meskipun ia jarang berlaku.
Saluran kencing melibatkan organ buah pinggang, salur ureter (menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing), pundi kencing dan salur urethra (saluran yang membawa keluar air kencing).
Kebanyakan UTI yang berlaku hanya melibatkan salur urethra dan pundi kencing. Jika jangkitan tersebut berlaku pada organ buah pinggang atau salur ureter, kebiasaannya individu tersebut akan mengalami simptom yang lebih teruk.
Terdapat beberapa sebab mengapa kencing kotor lazim berlaku pada wanita berbanding dengan lelaki:
*Salur urethra wanita lebih pendek berbanding dengan lelaki.
*Kedudukan salur urethra wanita yang berdekatan dengan vagina dan anu, memudahkan kuman merebak.
*Penggunaan pelbagai jenis produk kontraseptif seperti spermisida (pembunuh sperma) menyebabkan populasi bakteria baik pada faraj berubah.
*Wanita menopaus mengalami perubahan hormon.
Kencing kotor semasa mengandung lazim dialami oleh wanita hamil. Pemeriksaan awal oleh doktor penting bagi memastikan komplikasi kencing kotor dapat dielakkan.
Jika anda mengalami gejala seperti yang tersenarai di atas, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan daripada doktor.
Dalam kehidupan rumah tangga, sokongan dan kata-kata penghargaan daripada pasangan boleh menjadi ubat yang paling mujarab.Seorang isteri yang seharian menguruskan anak-anak kecil di rumah...